MENJELANG HIMPUNAN 1 MEI 2015: SETIAP SABTU PROTES PAKAIAN HITAM
Sekretariat #KitaLawan akan menumpukan sepenuh tenaga kepada mobilisasi dan segala kekuatan anak muda akan dikerahkan bagi memastikan seramai 1 juta orang rakyat Malaysia akan turun ke Kuala Lumpur pada Himpunan 1 Mei 2015.
Kami percaya, kerakusan cukai GST mencengkam seluruh rakyat Malaysia. Rakyat tidak lagi takut untuk menentang kezaliman ini secara terbuka sedangkan mereka yang berkuasa terus hidup dengan penuh kemewahan.
Kami menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk memulakan protes melawan GST dengan memakai pakaian hitam setiap hari Sabtu bermula pada minggu ini.
Kami juga menyeru agar program-program rakyat, komuniti dan politik yang pro-rakyat yang dijadualkan pada hari-hari Sabtu menjelang 1 Mei 2015 juga menggalakkan orang ramai memakai baju hitam.
Tujuannya adalah seperti berikut:-
1. Menyebarkan mesej dan tanda protes terhadap GST di setiap pelosok negara. Pakaian hitam ini akan memberikan kekuatan untuk kita bersama-sama melawan penindasan cukai ini dan mengingatkan semua untuk turun beramai-ramai ke Kuala Lumpur pada 1 Mei 2015.
2. Pakaian hitam pada setiap hari Sabtu adalah simbolik keberanian anak muda #KitaLawan yang saban minggu sanggup berhadapan dengan segala risiko dan tekanan untuk berhimpun secara aman bagi mendedahkan kepincangan dan kegagalan pentadbiran negara. Kami percaya semangat melawan dalam setiap sanubari rakyat Malaysia akan dizahirkan dengan turun ke jalan raya apabila kita terus dizalimi dan dianiaya.
3. Tanda setiakawan dan solidariti bersama rakan-rakan pimpinan rakyat, aktivis muda dan media yang ditahan dan diheret ke lokap hanya kerana menyatakan kebenaran dan menggunakan hak mereka untuk bersuara.
Maka, Sekretariat #KitaLawan sekali lagi menyeru kepada semua untuk mula mengajak rakan-rakan untuk turun Himpunan 1 Mei 2015 dengan menunjukkan bantahan terhadap GST secara terbuka dengan memakai pakaian hitam bermula hari Sabtu ini.
Mohon sebarkan mesej ini seluas-luasnya.
Lagi ditekan, lagi #KitaLawan !
2 APRIL 2015
SEKRETARIAT KITA LAWAN
------------
Mari ramai2 kita lawan sampai kerajaan babi tumbang. ...har2 saekor najib...
BalasPadam