Rabu, 27 Mei 2015

APA DIA MAHATHIR NAJIB







MEMAHAMI MAHATHIR DAN NAJIB


Hari ini dimana sahaja warga Malaysia berkumpul kalau mereka tidak bercerita tentang harga barang naik mereka akan bercerita tentang Presiden PAS Tuan Haji Hadi yang akan dilawan oleh Tuan Haji Ahmad Awang dalam Muktamar PAS bulan hadapan. Labon punya labon – sembang punya sembang pasti akan keluar pertanyaan : Bila Najib akan diundurkan?

Saya rasa pasti ramai pembaca yang tertanya-tanya soalan yang sama. Pasti ramai juga yang tercari-cari akan jawapan pada soalan ini. Sebelum saya menjawab – bila? - adalah molek untuk kita memahami apa sebenarnya pertarungan antara bekas Perdana Menteri Mahathir Muhamad dengan Perdana Menteri sekarang Najib Razak. Ini lebih afdal.

Untuk memahami dengan jelas babak politik ini mari kita lihat kembali garis masa bermulanya perang politik ini. Warga Malaysia pasti TIDAK akan lupa tentang kenduri kahwin anak Rosmah yang selesai pada akhir bulan March dahulu. Harga bunga hiasan kenduri kahwin ini sahaja dikatakan mencecah 3 juta ringgit. Rakyat satu Malaysia menerima hakikat bahawa kenduri ini lebih besar dari besar. Kenduri lebih agong dari Agong. Kenduri ini dicap sebagai “kenduri kurun ini”.

Belum pun sempat kenduri dipihak jantan berlangsung – Mahathir telah meledakkan 'bom nuklear'. Najib Razak dan Rosmah Mansor menjadi sasaran. Kenduri kahwin ini juga menjadi peluru.

Apabila Mahathir mula menyerang. Satu Malaysia jadi heboh. Serangan Mahathir Najib ini lebih heboh dari Kapal Madras karam. Warga Malaysia – dari Mak Cik Felda hingga ke CEO MayBank semuanya tahu bahawa satu krisis besar sedang melanda United Malaysia National Organsiation. Najib Presiden Parti Ketuanan Melayu hendak ditendang keluar oleh Mahathir Muhamad.

Macam macam pandangan kita dengar. Macam macam tulisan kita baca. Ada komentar dan analisa dari Profesor pelbagai jenis – ada yang kangkong dan ada yang asli. Dalam masa yang sama kerana wujudnya internet kita juga berpelung membaca komen politik dari Mat Tikus dan Lebai Kerang dari Sintok dan Manjung.

Ada analisa mengatakan Mahathir menyerang Najib untuk menyediakan tempat buat anaknya. Ada yang berkata bahawa Mahathir ini memiliki ego menggunung. Ada yang berkata Mahathir dimalukan kerana 'jambatan bengkok' dari Johor Baru ke Singapura gagal didirikan.

Semua pandangan ini tidak salah tapi tidak semuanya tepat dan betul.

Saya sering menerangkan bahawa banyak tulisan dan komentar politk telah gagal untuk memberi kefahaman tentang apa yang sebenarnya sedang berlaku. Analisa ini gagal kerana ada fakta yang hilang. Fakta hilang ini ialah fakta ekonomi dan kelas.

Untuk saya apa sahaja analisa politik jika TIDAK dimasukkan ekonomi dan kelas maka analisa itu gagal tidak syumul dan tidak menyeluruh. Ertinya analisa itu hanya berligar dengan pribadi sosok, berligar dengan niat dan cita-cita sosok. Dalam kes Mahathir Najib akan dlihat pertembungan dua personaliti. Dua sosok yang memimpin negara dengan dua cara yang berbeza.

Hakikatnya - politik ialah ekonomi. Perebutan kuasa politik ialah perebutan ekonomi. Manusia ialah binatang ekonomi. Dari ekonomi akan muncul kelas. Ada kelas tani, kelas buruh dan kelas borjuis.

Justeru, adalah wajib menganalisa politik dengan menggunakan ekonomi dan kelas. Menganalisa masyarakat mengunakan pendekatan Marxis. Apa itu pendekatan Marxis?

Sila jangan salah faham. Menggunakan pendekatan Marxis ini bukan bermakna kita jadi ahli Parti Komunis Malaya. Atau dengan tetiba kita minum arak dan terus berzina. Marxisma ini kita gunakan sebagai alat. Kalau kita bertukang kita ada peralatan. Kita ada tukul besi, ada paku, ada pahat, ada gergaji dan ada ketam papan. Semua ini alat untuk bertukang. Justeru Marxisma ini juga adalah alat untuk kita bertukang.

Bertukang disini maknanya kita menggunakan kaedah Marxis untuk menganalisa dan memahami masyarakat. Apa sahaja tulisan atau pandangan yang menganalsia politik dan masyarakat Malaysia hari ini akan separuh masak dan tempang jika tidak memasukkan ekonomi dan kelas.

Saya yakin pembaca sedar Presiden Bush menyerang Iraq bukan kerana DEMOKRASi tetapi kerana TELAGA MINYAK. Memiliki pendapat bahawa Bush menyerang Iraq kerana minyak adalah pendekatan Marxis. Minyak ialah ekonomi. Menggunakan pendekatan ekonomi adalah menggunakan kaedah Marxis.

Pertembungan Mahathir dengan Najib ini adalah pertembungan dua kelas. Mahathir dan Najib ini mewakili kelas mereka. Mahathir dan Najib tergulung dalam kelas borjuis. Kelas dan borjuis adalah istilah Marxis.

Apa itu borjuis? Borjuis ialah ahli kelas sosial yang membuat harta dan kekayaan dengan menggunakan tenaga dan kerja orang lain. Kelas borjuis bukan kaum tani dan bukan kelas buruh. Mereka menjadi kaya raya atas tenaga kaum buruh dan kaum tani. Borjuis juga terbahagi kepada Borjuis Nasional dan Borjuis Kompardor.

Apa dan siapa dia borjuis komprador? Komprador adalah sosok yang membuat harta kekayaan dengan bersandarkan modal dari luar negara. Towkay 7/11 atau towkay Mek Dogal atau tukang impot Honda adalah contoh terbaik kelas komprador. Dalam sistem ekonomi kapitalis kaum komprador menjadi orang perantaraan syarikat luar dengan anak tempatan.

Najib Razak mewakili Borjuis Komprador. Manakala Mahathir mewakili Borjuis Nasional. Hakikatanya – yang sedang bertempur hari ini ialah dua kelas borjuis. Dua kelas borjuis yang bertempur untuk memilik, mengawal dan menjarah ekonomi Malaysia.

Borjuis Nasional dan Komprador memiliki watak-watak dan ciri-ciri tersendiri. Sekali pandangan mungkin Najib dan Mahathir TIDAk ada perbezaan. Mereka berpayung dalam satu parti. Tetapi ini pandangan mata kasar. Dari pandangan kelas mereka berdua ini amat berbeza.

Mahathir – yang mewakili Borjuis Nasional yang memiliki watak yang lebih progresif. Mereka memiliki sikap nasionalis. Mereka mementingkan perkembangan modal tempatan. Mereka mahu harta kekayaan negara dimiliki oleh anak tempatan. Justeru Borjuis Nasional merasa sangsi terhadap kaum pemodal luar atau syarikat multinasional.

Justeru kita melihat Mahathir yang nasionalis mendirikan Proton. Mahathir mengajukan 'buy British last'. Akhir-akhir ini Mahathir menentang projek imperialis Amerika yang akan mendominasi politik dan ekonomi Malaysia melalui Perjanjian TPPA

Manakala Najib Razak mewakili kelas komprador. Kelas yang bertenggek diatas sokongan dan bantuan pemodal luar negara. Watak kelas ini dapat dilihat dengan jelas apabila Najib Razak tunduk menyembah Presiden Obama untuk menjualkan Malaysia kepada pemodal luar negara melalui TPPA. Kaum komprador TIDAK memiliki sikap nasionalis. Mereka sedar bahawa tanpa bantuan 'luar' mereka akan runtuh.

Justeru kita lihat pada minggu ini Najib pergi ke Jepun untuk mengadu nasib kepada kaum pemodal Jepun. Dilaporkan Najib akan bertemu dengan 34 orang kapten industri Jepun. Kenapa bertemu dengan pemodal Jepun? Kenapa tidak bertemu dengan pemodal tempatan. Malah Najib dituduh TIDAK bagitu kuat Imannya untuk mempertahankan pemodal Bumiputera. Jelas semua ini adalah watak komprador.

Jika kurang yakin maka sila ingati kembali – apabila Najib masuk ke Putrajaya kita menyaksikan bagaimana hampir setiapa bulan soldadu dan tentara Amerika keluar masuk dibumi Malaysia. Malah jangan terperanjat jika Amerika akan mendirikan pengkalan tentera di Pengerang. Ini politik komprador – tunduk pada kuasa asing.

Paling akhir kita melihat lihat bagaimana Najib telah mengadu nasib kepada Sultan dan meminta Sultan Pahang datang membantu. Tidak cukup dengan Sultan Pahang – pada minggu ini juha Najib telah mengadu nasib kepada Maharaja Jepun. Inilah watak asli Borjuis Komprador.

Agak berbeza dengan watak Borjuis Nasional yang berwatak progresif. Dalam perniagaan mereka pro anak watan. Dalam kes Malaysia Mahathir dilihat pro pemodal Bumiputera. Borjuis Nasional dilihat anti imperialis dan anti kaum feudal. Watak-watak ini dapat kita lihat dalam sosok Mahathir Muhamad.

Minggu lalu klip ucapan Muhyidin Yasin telah menjadi viral. Klip mesyurat tertutup ini memperlihatkan dua garis politik yang kini wujud dalam United Malays National Organisation. Satu garis politik Najib dan satu lagi garis politik Muhyiddin. Satu Borjuis Komprador dan satu Borjuis Nasional.

Projek 1MDB adalah projek Najib Razak. Projek ini sedang dilihat oleh orang ramai sebagai projek lukah dimana 1MDB boleh berhutang. Duit hutang ini diagihkan kepada kroni Najib dan Rosmah. Justeru muncul nama Jho Low dan Reza Aziz yang memungut untung dari lukah 1MDB ini. Dua sosok ini bukan ahli perniagaan dalam negara. Malah mereka ini tidak pun duduk di Malaysia.

Dibelakang Mahathir ini kita lihat Borjuis Nasional yang telah dibentuk oleh Mahathir - Daim Zainudin, Ananda atau Syed Mokhtar. Dalam forum antarabangsa Mahathir akan memastikan kepentingan ekonomi borjuis nasional ini TIDAK diganggu gugat. Kerana ini para pemodal ini terus tegoh menyokong Mahathir. Kepentingan ekonomi dan kelas mereka terjamin selamat.

Pada tahap ini Borjuis Nasional ini masih memerhatikan apakah Najib akan terus memporak perandakan ekonomi Malaysia dengan hutang 1MDB. Hutang 42 bilion ringgit ini akan mengoncangkan dan meledakan musnah ekonomi Malaysia. Borjuis Nasional amat sedar akan hal ini.

Maka kita kembali kepada persoalan yang ditanya-tanya : Bila Najib akan diundurkan? Jawabnya: Najib akan diundur apabila United Malays National Organisation merasa parti mereka akan lingkup. Kempen Mahathr memainkan peranan tetapi yang akan menentukan ialah ekonomi Malaysia.

Bila akan berlaku? Ianya sedang berlaku sekarang. Fulus telah habis, projek makin pupus. Najib terpaksa menyembah Maharaja Jepun minta Yen kalau tidak lehernya akan dipancung sebelum Hari Raya. (TT)


NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEDIALAN
sesiapa yang ingin melanggan 
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon:
03-92-21-30-45

















-----------------

7 ulasan:

  1. Tanya sakmongkol kerana die lebih ariff tentang najib.kebetulan nama beliau adalah ariff.

    jangan lupe tlg Tanya, sahabat die bekas adun dari pekan tu x berenti lg tipu duit org pakai topeng agama? ke sakmongkol pn tumpang sekaki rembat duit org kg pakai topeng agama?

    TT, klu lu ada telor..lu publish komen gua ni..nk tgk sakmongkol bg penjelasan ke x.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Apo komen lu ni bro? Poyo giler!

      Padam
  2. Daripada beribu ulasan dan kritik pasal 1MDB dan Najib, ini adalah ulasan yang terbaik dan ia di garap oleh En. TT.
    Syabas.

    BalasPadam
  3. Tahniah TT kerana lu ada telor yg berkualiti kahkahkahkahkah

    BalasPadam
  4. Najib dan Mahathir, sang kayaraya tujuh keturunan yang dapat laba hasil daripada peluh dan darah rakyat. Ironinya Najib seronok jadi seorang pelupa, jadi dia boleh bohong. Mahathir pula ingat Melayu mudah lupa, jadi dia boleh cakap siapa yang berbohong (Najib lah tu).

    Eloknya Mahather ini dia berfahaman anti imprealis dan anti kaum feudal.

    Untuk Sang proletar dan Pak TT, hari ini gwa belanja lu serangkap sajak yang masyur. Sajak hasil nukilan Pak Kassim pemikir (sosial - Islam) yang bukan kangkong.
    Dengan meminta izin dan restu Pak Kassim , berikut adalah sajaknya "DIALOG (kepada ibu)" rangkap ll.

    ll

    Tidurlah ibu
    kita manusia kerdil
    siang membanting tulang
    malam menanggung bimbang

    ada besok maka pasti ada surya
    aku akan pergi
    dengan seribu Jebat sianak tani
    kian lama kita mati dalam setia
    kali ini kita hidup dalam durhaka.

    BalasPadam
  5. Najib dan Mahathir, sang kayaraya tujuh keturunan yang dapat laba hasil daripada peluh dan darah rakyat. Ironinya Najib seronok jadi seorang pelupa, jadi dia boleh bohong. Mahathir pula ingat Melayu mudah lupa, jadi dia boleh cakap siapa yang berbohong (Najib lah tu).

    Eloknya Mahather ini dia berfahaman anti imprealis dan anti kaum feudal.

    Untuk Sang proletar dan Pak TT, hari ini gwa belanja lu serangkap sajak yang masyur. Sajak hasil nukilan Pak Kassim pemikir (sosial - Islam) yang bukan kangkong.
    Dengan meminta izin dan restu Pak Kassim , berikut adalah sajaknya "DIALOG (kepada ibu)" rangkap ll.

    ll

    Tidurlah ibu
    kita manusia kerdil
    siang membanting tulang
    malam menanggung bimbang

    ada besok maka pasti ada surya
    aku akan pergi
    dengan seribu Jebat sianak tani
    kian lama kita mati dalam setia
    kali ini kita hidup dalam durhaka.

    BalasPadam
  6. powerful good thinking

    BalasPadam