Jumaat, 19 Jun 2015

HAPUSKAN AKTA HASUTAN







Penangkapan Akta Hasutan 409 kes dari 2008-2015 bukti Akta Hasutan disalahgunakan
Saya telah mengemukakan soalan saya kepada Kerajaan pada 17 Jun 2015 seperti di bawah:
“Berapa kes siasatan, tangkapan dan dakwaan Akta Hasutan mengikut tahun sejak ia dilaksanakan dari 1948 hingga 2015 mengikut tahun.”

Jawapan yang saya terima amat mengejutkan. Mengikut rekod polis, sejak tahun 2008 sehingga 22 Februari 2015, sebanyak 409 kes telah disiasat, 26 kes telah dituduh di Mahkamah, 99 kes masih dalam siasatan, 30 kes telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, 116 kes perlu siasatan lanjut, 138 kes No Further Action.

Kes sebanyak 409 dalam masa 7 tahun sahaja amat membimbangkan. Akta Hasutan memberi takrifan yang meluas kepada pihak kerajaan membuat tangkapan. Dalam perbahasan pindaan RUU Akta Hasutan dalam dewan rakyat yang lepas, Menteri Dalam Negeri enggan memberi takrifan bagaimana seseorang melanggar akta hasutan. Ini bermaksud kerajaan boleh menakrifkan akta hasutan seluas-luasnya. Akibatnya seramai 409 orang telah ditangkap. Kami syaki bahawa kebanyakkan penangkapan-penangkapan tersebut adalah bersifat politik terutamanya melibatkan pembangkang atau aktivis masyarakat. Ini membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa seperti yang disaksikan pada akhir tahun 2014 dan awal tahun 2015 di mana ramai wakil rakyat, aktivis, pensyarah dan kartoonis  ditangkap di bawah akta Hasutan.

Kedua, dengan hanya 26 kes didakwa di mahkamah, bersamaan 6%, ini bermaksud, banyak kes tidak mempunyai prima facie kes yang boleh didakwa. Ini dibuktikan dengan 138 kes NFA, dan banyak kes lagi perlu siasatan lanjut. Kami syaki penangkapan 409 kes adalah satu penyalahgunaan kuasa dan bermotif menakut-nakutkan masyarakat.

Ketiga, Saya juga amat kesal dengan sikap “self congratulatory” dan shiok sendiri yang ditunjukkan oleh kerjaaan yang berkata “ Kita seharusnya mengucapkan syabas dan terima kasih kepada kerajaan terdahulu yang telah bersedia dari awal lagi untuk menggubal akta ini sebelum sesuatu peristiwa yang tidak diingini berlaku. Memandangkan akta ini relevan sehingga ke hari ini, maka kita seharusnya menyokong agar ianya dikekalkan”. Ini amat mengejutkan. Rakyat diberitahu bahawa Perdana Menteri ingin memansuhkan akta Hasutan pada tahun 2012, tetapi pada tahun 2015 ia diperketatkan. Ini adalah pusingan U yang terbesar dalam pentadbiran YAB PM Najib. Apa yang dibanggakan? Adakah kerajaan tidak berasa malu?

Ketiga, isu Akta Hasutan adalah isu Hak Asasi Manusia. Penangkapan berleluasa menggunakan Akta Hasutan telah melanggar hak kebebasan bersuara sehingga menimbulkan batahan dunia tentang akta draconian ini. Pada sesi Parlimen lepas iaitu pada April 9, 2015, selepas debat 12 jam, Pindaan Akta Hasutan diluluskan dengan mandatory penjara 3 tahun jika disabit kesalahan. Ini telah mendapat perhatian seluruh dunia. UNHCR High Commissioner for Human Rights Zeid Ra'ad Al Hussein telah membuat bantahan dan menyeru Malaysia memansuhkan akta Hasutan serta merta.
Kami khuatir martabat Negara Malaysia akan terjejas dengan lebih teruk lagi di mata dunia kerana Malaysia sekarang adalah salah satu ahli dalam UN Security Council dan Pengerusi ASEAN. Malaysia harus meningkatkan kebebasan bersuara dan hak asasi Malaysia ke taraf dunia. Jika tidak, Malaysia akan selama-lamanya dikenali sebagai semi-authoritarian states dengan rekod hak asasi manusia dan kebebasan bersuara yang semakin merosot.

Sim Tze Tzin
MP Bayan Baru




------------

Tiada ulasan:

Catat Ulasan