Khamis, 6 Ogos 2015

HANYA LANUN TAHU SIAPA LANUN







BELANJA KEMPEN BN RM2.6 BILION TETAPI PRESTASI MAKIN MEROSOT, BELUM DAPAT MENAWAN KUBU PEMBANGKANG

Saya agak tercuit dengan penerangan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional, Abdul Rahman Dahlan kononnya Najib  Razak perlu berbelanja besar untuk menampung kempen pilihanraya BN yang lalu kerana beberapa negeri berada di bawah pembangkang (Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan). Dalam wawancara dengan TV1 semalam, beliau menggunakan alasan bahawa Selangor berada di bawah Pakatan Rakyat yang menyebabkan  Najib Razak memerlukan sumbangan sehingga RM2.6 bilion untuk menampung perbelanjaan.

Sudah tentu ramai rakyat akan tertanya bagaimanakah dengan perbelanjaan kempen sebegitu besar Barisan Nasional masih gagal memenangi kembali Selangor? Malah dalam PRU13, Najib Tun Razak bukan sahaja kalah besar di Selangor, Barisan Nasional turut kalah besar di Pulau Pinang dan gagal merampas Kelantan. Kerusi Parlimen Barisan Nasional juga turut susut.

Maka, alasan Abdul Rahman Dahlan itu perlu disanggah dari beberapa segi:

1.    Jika benar “sumbangan” RM2.6 bilion ke akaun peribadi Perdana Menteri itu untuk perbelanjaan Umno, kenapa Timbalan Presiden Umno sendiri tidak mengetahui kewujudan wang sebanyak itu yang kononnya milik Umno?

2.    Jika benar RM2.6 bilion itu digunakan untuk kempen PRU13, kenapakah BN kalah teruk di kubu-kubu pembangkang seperti Selangor dan Pulau Pinang? Sekiranya RM2.6 bilion ini diagihkan kepada 1.7 juta pengundi di Selangor, setiap pengundi menerima RM1,500 seorang dan BN telah boleh membeli kemenangan di Selangor dalam PRU13.

3.    Jika RM2.6 bilion ini diagihkan kepada calon dan dibelanjakan sebagai kempen pilihanraya, perbeanjaan calon-calon BN sudah tentu melanggar had perbelanjaan RM200,000 yang ditetapkan undang-undang. Dengan anggaran mudah bahawa separuh dari jumlah RM2.6 bilion itu dibelanjakan untuk kempen pilihanraya bagi kerusi Parlimen, ini bermakna setiap calon BN telah membelanjakan sekitar RM5.8 juta dalam PRU13.

4.    Sekiranya setiap calon BN dalam PRU13 telah membelanjakan sumbangan itu dalam PRU13 seperti kiraan mudah dalam (3), ini bermakna setiap calon BN dalam PRU13 telah melanggar peraturan pilihanraya dan kerusi mereka telah dimenangi secara tidak sah.

Soalan-soalan sebegini akan terus berlegar di kalangan rakyat kerana penjelasan yang diberikan setakat ini terutamanya oleh  Abdul Rahman Dahlan tidak masuk akal. Lebih banyak penjelasan yang dibuat, ia akan membuka lebih banyak ruang kontroversi yang akan terus menghakis keyakinan rakyat bahawa pimpinan kerajaan dan Barisan Nasional berterus terang.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN


-------------

Tiada ulasan:

Catat Ulasan