Khamis, 20 Ogos 2015

SATU JUTA DI KUALA LUMPUR









SEMUA TURUN



20 OGOS 2015

KEADILAN SASAR 20,000 ANGGOTA MENYERTAI BERSIH4, KEMPEN PROMO DI MINGGU TERAKHIR

BERSIH4 akan mencipta sejarah sebagai suatu perhimpunan rakyat yang terbesar di saat-saat negara melalui krisis politik dan ekonomi yang meruncing akibat hilangnya kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan  Najib  Razak sebagai Perdana Menteri.

KEADILAN akan memberi sepenuh sokongan dan bantuan untuk menjayakan perhimpunan bersejarah ini. KEADILAN mensasarkan 20,000 anggotanya dari seluruh negara untuk turun bersama-sama menyertai BERSIH4. Saya telah mengeluarkan pekeliling kepada seluruh cabang-cabang KEADILAN dan pimpinan di setiap peringkat untuk menggerakkan kerahan bagi mencapai sasaran ini. Pada hari Ahad 23 Ogos 2015, YB Nurul Izzah Anwar dan YB Tian Chua iaitu Naib-naib Presiden akan mengadakan taklimat kerahan kepada semua pimpinan dan wakil rakyat KEADILAN dari seluruh negara untuk menjayakan sasaran 20,000 anggota KEADILAN hadir ke BERSIH4.

KEADILAN juga telah dijemput untuk menjadi sebahagian dari petugas keselamatan untuk memastikan BERSIH4 berjalan dengan baik dan lancar. Skuad Angkatan Muda KEADILAN (Skuad AMK) telah bersetuju untuk melatih dan mempersiapkan 700 sukarelawan sebagai petugas keselamatan di bawah kendalian YB Chang Lih Kang, Setiausaha AMK. Latihan bersama dengan sukarelawan BERSIH yang lain telah bermula sejak 2 minggu lalu.

Kesemua pimpinan kanan KEADILAN akan hadir sepanjang penganjuran BERSIH4 dan akan ditugaskan mengikut syif berada di 5 lokasi perhimpunan. Mereka juga akan dijadualkan berucap pada masa-masa tertentu disamping tanggungjawab umum membantu pimpinan BERSIH4 menangani perjalanan perhimpunan. Jadual pimpinan kanan yang ditugaskan di setiap lokasi akan diumumkan minggu depan menjelang BERSIH4.

KEADILAN juga akan memperhebatkan promosi di media sosial dalam minggu terakhir ini. Satu siri 3 video promosi akan dilancarkan setiap 3 hari bermula hari ini untuk mengajak lebih ramai rakyat yang prihatin turun menyertai BERSIH4.

Video pertama dilancarkan pada hari ini di laman Youtube Demi Rakyat yang boleh ditonton di capaian berikut:


KEADILAN juga telah mengarahkan anggota dan pimpinan untuk mengatur promosi-promosi berikut bagi mengajak orang ramai menyertai BERSIH4:

1.    Menukar gambar profail dan grafik kepala (“header”) di laman sosial menggunakan grafik BERSIH4 bermotifkan Anwar Ibrahim (yang disertakan bersama)

2.    Mengadakan “flash-mob” di seluruh negara untuk menarik minat anak muda menyertai BERSIH4

3.    Mengadakan ceramah berbentuk “hit and run” (ceramah pendek menggunakan trak dari satu tempat ke satu tempat)

4.    Ceramah dan edaran risalah yang akan diadakan di seluruh negara

KEADILAN yakin penyertaan seberapa ramai rakyat yang menjayakan BERSIH4 akan mencatat sejarah dan detik 0000 31 Ogos 2015 akan diingati sebagai detik rakyat membersihkan amalan politik di negara ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN




-------------

Tiada ulasan:

Catat Ulasan