Rabu, 9 September 2015

BERITA BURUK YANG BAIK








BERITA BURUK YANG BAIK


Najib Razak masih enggan berundur. Ini berita amat buruk untuk rakyat Malaysia.  Sabar dahulu. Berita buruk Najib Razak enggan berundur ini  juga adalah berita yang amat baik. Dalam ilmu falsafah pekara sademikian dipanggil ‘kesatuan  yang bertelagah atau unity of the opposite’.

Dalam tulisan ini saya akan beri pencerahan untuk memahami bagaimana berita buruk ini boleh menjadi baik. Ini samalah saperti kita memahami bagaimana tahi lembu atau najis manusia boleh membantu manusia.

Bersih telah berjaya menghasut   500,000 rakyat Malaysia  turun ke jalan raya. Ini adalah  tanda undi TIDAK PERCAYA kepada Najib Razak.

Sesudah Bersih4 kita terus membaca pelbagai berita yang berkaitan dengannya. Semuanya memberi gambaran bahawa suami Rosmah Mansor yang bernama Mohd Najib bin Abdul Razak masih enggan melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia. Suami Rosmah semakin dilihat degil. 

Kenyataan dan tindakan politik Najib  saban hari  menyakinkan saya  dan meyakinkan warga Malaysia  bahawa  suami Rosmah ini ingin terus berkuasa sampai hari kiamat. Suami Rosmah  mahu terus memimpin parti United Malays National Organisation ke dalam PRU14.

Buktinya - paling baru ialah kenyaatan Abdul Hamid Bador bekas timbalan pengarah Cawangan Khas (SB). Bekas pegawai polis ini  membocorkan berita dimana dalam satu ‘mesyuarat tergempar’ si Rosmah Mansor turut hadir. Mesyuarat tergempar kerajaan  ini dipengerusikan oleh Najib  sendiri. Turut hadir ialah  Zahid Hamidi  dan pegawai tinggi kerajaan. 

Apa ke jadahnya Rosmah Mansor berada dalam mesyuarat tergempar kerajaan? Ini satu pertanyaan tapi  dalam masa yang sama ianya juga satu kenyataan. Ini yang dikatakan  dalam ilmu falsafah - ‘kesatuan yang bertelagah’.

Berita Rosmah berada dalam mesyuarat kerajaan sebenarnya TIDAK lagi memeranjatkan Malaysia. Malah berita  ini memperkuatkan lagi keyakinan  umum bahawa sabenarnya Najib Razak ini telah menjadi bangkai bernyawa yang ‘berlakun’ mengikut arahan telunjuk Rosmah Mansor.

Justeru, pembocoran berita dari bekas pegawai Cawagan Khas ini mensoheh  dan memperkuatkan satu lagi berita yang telah dibocorkan oleh Mahathir Muhamad. Mengikut  Mahathir  si Rosmah  ini sedang menggunakan kuasa bomoh untuk mempertahankan suaminya. Menurut Mahathir si Rosmah ini menggunakan khidmat  bomoh dari India dan   Jawa. 

Awas! Ini bukan fitnah. Ini kata-kata dari Mahathir Muhamad. Mahathir Muhamad ini bukan tukang kebun sekolah. Mahathir bukan Pak Cik warung. Mahathir ialah bekas Perdana Menteri Malaysia. 

Jadi persoalan timbul - apakah ini bermakna 30 juta rakyat Malaysia sedang bertempur dengan Guru Ji - bomoh Rosmah dari India? 

Semua berita-berita ini sekali pandang sebagai berita buruk. Tetapi hakikatnya semua berita ini  adalah berita baik. Semua  sedang membantu rakyat Malaysia untuk membenci parti United Malays National Organisation.

Kedegilan suami Rosmah ini semakin jelas dilihat. Kritikan  dan tuntutan agar suami Rosmah ini melepaskan jawatan telah datang dari pelbagai sudut. Beberapa bahagian parti United Malays National Organisation  telah meluluskan resolusi menuntut suami Rosmah berundur. Ini berlaku dalam mesyuarat tahunan parti. 

Tidak cukup dengan ini - suami Rosmah  yang juga presiden parti ini telah disaman oleh ahli parti sendiri. Saman-saman ini bersangkutan dengan kes duit 2.6 bilion ringgit yang masuk ke dalam akaun pribadi suami Rosmah.

Kes putar alam ‘duit derma Tok Arab’  suami Rosmah ini bukan hanya ditimbulkan oleh parti pembangkang. Kes  rasuah suami Rosmah ini telah menjadi kes antarabangsa. 

Persidangan Anti-Rasuah Antarabangsa baru sahaja selesai. Malaysia dan SPRM telah menjadi tuan rumah. Dalam persidangan ini suami Rosmah  telah ditibai kiri dan kanan. Seorang demi seoarang delegasi antara bangsa telah bangun  bertanya tentang hal duit 2.6 bilion ringgit yang masuk ke dalam akaun pribadi suami Rosmah.

Add caption
Bayangkan - dalam satu persidangan dunia - seramai 1000++ delegasi antara bangsa - telah ketawa berdekah-dekah apabila seorang ahli Parlimen dari Kenya bertanyakan tentang duit ‘derma’ dari Tok Arab kepada suami Rosmah.   

Soalan dari Kenya ini satu gambaran yang amat  berat. Apabila kayu sudah condong bukan sahaja kura-kura datang memanjat malah Mat Bangla sudah berani bergayut terberak.

Sekali lagi saya nyatakan bahawa semua ini kelihatan amat amat buruk untuk imej Malaysia. Tetapi disebalik keburukkan ini ada hikmahnya. Saperti membuat tapai kita memerlukan masa agar ragi dan pulut betul-betul masam sebelum nikmat tapai dapat dirasakan.

Masa dan waktu kedegilan suami Rosmah ini wajib dijadikan masa dan waktu untuk mengolah persetujuan orang ramai bahawa masanya telah sampai untuk menumbangkan kerajaan di bawah pimpinan suami Rosmah Mansor.

Rosmah Mansor dan Najib Razak kini telah menjadi ikon kebencian rakyat. Maka secara terancang, secara tersusun orang ramai, anak anak muda dan bakal pengundi boleh di hasut  dengan  menggunakan  nama Rosmah Mansor.

Pada tahun 1998/99 - saya pernah menulis dan menyebarkan pencerahan tentang bagaimana  dari segi strateji politik media  imej  Mahathir Muhamad wajib digambarkan sebagai sosok yang zalim. Kezaliman ini menjadi bahan hasutan kepada anak-anak muda untuk turun ke jalan raya. 

Gerakan Reformasi berjaya - Mahathir Muhamad dinobatkan sebagai Mahazalim. 

Sesudah Mahathir letak jawatan - strateji media juga beralih dari Mahathir yang zalim kepada Dolah Badawi yang bebal. Dolah digambarkan selalu tidur. Sering dulak dalik. Sering tak tahu kiri atau kanan. Sering terlupa. Malah saya mementaskan teater  Tok Sloo untuk menyebarkan hasutan. 

Akhirnya berjaya - Abdullah Ahmad Badawi dinobat sebagai Mat Bebal a.k.a Tok Sloo.

Tetapi apabila melihat kebelakang saya  sedar saya telah melakukan  kesilapan yang amat besar ketika itu. Kempen Mat Bebal a.k.a Tok Sloo ini berjalan cepat. Belum sempat ranum Dolah Badawi telah diturunkan dari tahtha. Dari segi strateji politik  berjangka panjang adalah amat molek jika Dolah Badawi   terus berkuasa agar ‘ tapai’ betul-betul ranum untuk dilingkupkan. Sayang. Tetapi dari kesilapan ini kita wajib mengumpul pengalaman dan jadikan kesilapan sebagai ilmu pedoman.

Justeru, pada tahap ini  kempen menghasut orang ramai wajib menggunakan imej Rosmah Mansor. Ini sama saperti yang sedang dilakukan oleh Zunar dalam karikaturnya.

Imej Rosmah digunakan kerana umum  sedar bagaimana Najib kini telah ‘dibomoh’ dan ‘ dikontrol’ oleh Rosmah. Budaya  bomoh  dan  budaya ‘nasi kangkang’ ini  wujud dalam pandangan  dunia alam Melayu. Justeru ianya menjadikan kerja propaganda politik senang dan ampoh.

Strateji politik berjangka panjang kita ialah agar suami Rosmah  ini terus berdegil saperti perangainya hari ini. Kita harapkan  Tok Bomoh yang ditaja oleh Rosmah akan sentiasa  membakar kemenyan dan Guru Ji dari India akan terus membawa api sembahyang  mengelilingi Putra Jaya. 

Kita sedar kedegilan suami Rosmah ini sedang  mengharu birukan United Malays National Organisation. Parti ini sedang dihantui oleh krisis. Dua kumpulan sedang mengumpul kekuatan. Satu berkumpul dibelakang Muhyiddin dan satu lagi sedang dipayungi oleh  Tok Bomoh Rosmah.

Ketika musuh kita huru hara berkrisis kita juga  wajib berkempen secara terbuka menuntut suami Rosmah ini meletakan jawatan.  Dari segi mengolah persetujuan politik  kita akan dilihat bebal  jika tidak menuntut suami Rosmah berundur.

Tuntutan Najib Undur ini  kita lakukan khusus untuk media dunia. Kita juga akan dlihat bebal oleh media antarabangsa  jika kita tidak bangun melawan dan menuntut suami Rosmah mengundur. Justeru Bersih4 adalah sebahagian dari taktik untuk mengolah persetujuan media dunia.

Setakat ini apa yang kita lakukan telah berjaya. CNN, BBC, NBC, RT - The Guardian, The Age, Sydney Morning Herald,  South China Morning Post, The New York Times, Boston Globe, Wall Street Journal, Jakarta Post, The Times of London.. dan dan dan.... Hampir seluruh  media dunia telah bersama memerangi suami Rosmah. Ini satu kejayaan.

Taktik ‘ mengolah persetujuan media barat’ telah digunakan oleh anak-anak muda ketika menjatuhkan Marcos. Taktik yang sama  telah dijalankan ketika anak muda ke jalan raya  menjatuhkan  Suharto. Malah  Hosni Mubarak dari Mesir jatuh terlungkup melalui gerakan jalan raya yang sadur dengan laporan media barat.

Jangan merasa segan dan malu apabila menggunakan media barat. Kita secara sedar menggunakan media barat kerana media barat ini memperngaruhi suasana pelaburan.

Kita sedar tugas utama media barat saperti New York Time, The Economist, Wall Street Journal  bukan untuk memperkukuh demokrasi, hak asasi atau keadilan.  Media barat juga sama hampeh macam Utusan. Kalau Utusan menjaga kepentingan United Malays National Organisation - media barat menjaga kepentinagn kaum pemodal antarabangsa.

Dalam kes suami Rosmah kita bertemu dan bekerjasama. Ini yang saya katakan ‘ kesatuan yang bercanggah’. Kali ini kepentingan kita   yang mahu menjatuhkan  rejim United Malaya Nayional Organisation  selari dengan kepentingan kaum pemodal antarabangsa. 

Jangan anggap Hishamuddin Rais tidak kenal siapa dibelakang CNN, atau BBC atau New York Times atau Wall Street Journal. Tetapi pada ketika ini kepentingan kita bertemu dilorong yang sama. Maka saya ucapkan ah lan wa sahlan. Lagi banyak laporan mengutuk Malaysia atau suami Rosmah lagi baik untuk  warga Malaysia.

Rabu ini Majlis Tertinggi United Malays National Organisation akan bersidang. Sama ada Muhyiddin dibuang atau tidak kini mejadi bualan politik. Muhyiddin diterajang pun baik untuk kita. Muhyiddin tidak diterajang pun baik untuk kita. 

Apa yang saya tidak mahu ialah tapai belum ranum dan suami Rosmah kena terajang. Jika ini berlaku bermakna Tok Bomoh dari India dan Jawa telah lembik.Ini soheh berita buruk. (TT)

NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanmggan akhbar minngun ini
sila pukul talipon
03-92-21-30-45
-----------

3 ulasan:

  1. Selagi Najib tak insaf selagi itu Rakyat merana

    Moga2 Najib dapat hidayah sebelom ter lambat

    Elok jugak kalau Najib dapat tengok video2 di link page ini
    http://atsixty-zakriali.blogspot.my/2015/09/video-wajib-dengar-tanda-100-hari-nak.html?m=1

    Mana lah tau dapat hidayah dan jadi umat ter baik di hujung zaman nya

    Allah maha mengetahui

    BalasPadam
  2. cerita lawak...khayalan dan perasan penulis. I hate ahjib gor the bogus warrior but I totally disagree with the tulisan kat atas tu. mengarut betul, angkat bakul sendiri aka perasan.

    BalasPadam
  3. tanpa nama

    berfikir dgn otak bukan dgn lutut

    BalasPadam