Rabu, 30 Disember 2015

TAHUN 2015 YANG SEDIH









TAHUN 2015 YANG SEDIH 

LAGI PELIK

Apabila tuan hamba membaca tulisan hamba ini yakinlah tahun telah berganti. Tahun 2015 telah melintas hilang dan tahun 2016 telah sampai. Ini maknanya umur hamba dan umur tuan hamba bertambah setahun lagi.

Sebenarnya  hamba ada niat hendak mengucapkan selamat tahun baru kepada tuan tuan hamba para pembaca. Macam hamba mengucapkan Selamat Menyambut Krismas minggu lalu. Hamba berharap dengan ucapan ini akan muncul beberapa ekor Tok Mudim dan Tok Siak dengan pisau-pisau tajamnya. 

Hamba nak mendengar  ayat-ayat terselit dan ayat tersepit yang akan disurahkan oleh para Tok Mudim  dan Tok Siak untuk melarang Bani Melayu dari mengucapkan Selamat Tahun Baru.

Kalau ucapan sambutan Maulud Nabi Isa lagi dilarang. Inikan pula menyambut tahun baru yang berasal usul dari kalender Pope Gregory ke13. Mesti banyak ayat terselit dan ayat tersepit yang akan disurahkan. Mana tahu entah-entah Pope Gregory ini pernah menghisap darah dan makan hati Bani  Melayu. 

Hamba sabenarnya  memang suka menggangu tidur Tok Mudim dan Tok Siak.

Tahun 2015 yang telah berlalu ini untuk hamba ialah Tahun Kesedihan.  Disini hamba nak berkesah tentang apa yang sedih lagi menyayat hati.

Bani Melayu merasa amat sedih kerana  telah dihina dan diinjak-injak. Pemimpin Agong Bani Melayu telah dituduh dengan pelbagai tuduhan. Paling hina ialah apabila pemimpin Agong Bani Melayu dituduh menerima duit rasuah  dari  Tok Arab. Berita ini bermula dari laporan sebuah akhbar  Yahudi terbitan  New York yang bernama Harian Tembok Jalan. Mustahil sebuah akhbar dengan nama Tembok Jalan  boleh dipercayai.  Kalau namanya Dire Straits Times mungkin masuk akal untuk dipercayai. 

Hamba rasa penghinaan terhadap pemimpin Agong Bani Melayu ini adalah racangan Yahudi. Mereka cemburu kerana  negara Bani Melayu  ada menara berkembar bernama KLCC. Kita boleh berbangga kerana kita ada LRT.  Kita ada MRT. Dan kita juga ada GST. Negara lain mana ada macam kita.

Banyak  negara asing cemburu dengan kejayaan bani Melayu ini. Kita  juga ada kereta Proton. Kereta Proton ini  amat-amat  spesial dalam dunia ini. Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa hanya saintis dan pakar Bani Melayu sahaja  yang memiliki teknoloji membuat cermin kereta yang tingkapnya  tidak boleh  dibuka. 

Ini satu penemuan teknoloji tercanggih dalam dunia. Negara Bani Melayu satu-satunya negara yang berjaya membuat cermin tingkap kereta yang tidak boleh dibuka. Dari segi teknoloji perang ini satu pencapaian kerana jika tingkap kereta tidak dapat dibuka maka musuh tidak dapat masuk ke dalam kereta untuk menyerang kita. Pada hemat hamba ramai orang asing cemburu dalam hal kejayaaan teknoloji kita ini. 

Malah dari risikan Haji Desas bin Lebai Desus hamba difahamkan tiga orang pakar nuklear Rusia telah  datang ke Kuala Lumpur. Mengikut  Haji Desas para saintis ini telah diarahkan oleh Presiden Vladimar Putin datang merisek untuk mempelajari teknoloji tingkap tidak boleh dibuka. Dikatakan Putin amat amat tertarik dengan teknoloji ini dan ingin menggunakan untuk roket Sayuz 7K-Lok yang akan dihantar ke bulan.

Hamba akan terus mengingati tahun 2015 yang  cukup  menyedihkan kerana maruah Bani Melayu selalu dicabar. Sepanjang tahun 2015  maruah Bani Melayu dicabar berpuluh kali. Maruah Bani Melayu dicabar dalam kedai talipon bimbit. Maruah Bani Melayu dicabar di Jalan Petaling. Maruah Bani Melayu dicabar apabila 500,000 warga negara Malaysia turun ke jalan raya anjuran Bersih. 

Maruah Bani Melayu terbarai merata-rata. Hamba sendiri merasa sedih melihat maruah Bani Melayu dirobek-robek. Tidak ada tangisan yang sangup menangis kerana melihat maruah Bani Melayu dicabar. Maruah Bani Melayu  bersepah-sepah dicabar hinggakan Mamak Tongkang Penang malu nak mengaku Melayu.

Maruah Bani Melayu ini dicabar kerana Bani Melayu tidak bersatu. Semua ini berpunca dari perpecahan politik Bani Melayu.  Jika Bani Melayu ini dapat bersatu bukan sahaja Tok Arab sanggup menghulur derma malah  Tok Bengali Janggut anak mendiang Karpal Singh juga akan mengaku menjadi Bani Melayu sama macam Tee Chuan Seng yang kini  dengan bangganya memakai nama Mamat Rituan Baku Tee. Alhamdulilah.

Hamba juga ada mendengar  memang ramai orang bersedih  pada tahun 2015 terutama orang  Pahang. Ramai anak muda Pahang menyimpan hati hendak memetik bunga sekutum ditaman Rosmah. Tup Tup entah macam mana bunga sekuntum  ini  telah disambar helang Kazakhtan. Punan jantan-jantan Pahang. 

Dibelakang  bunga sekuntum ini ada kesah benar yang takjub lagi menakjubkan. Pelik lagi memelikkan. Kesah ganjil lagi mengganjilkan. Sedih lagi menyedihkan. Lebih hebat dari Ripley’s Believe It or Not. Ini bukan kesah rekaan hamba. Ini kesah  tahun 2015 yang tidak akan kita lupa-lupakan walau pun Hadi Awang telah dinobatkan sebagai Penasehat Ekonomi Negara.

Kesah sedih menjadi takjub ini bermula dengan  lapan bilion  umat manusia  yang sedang  bernafas dalam dunia kita hari ini. Dari lapan bilion ini ada 17 juta orang hidup dalam sebuah negara ditengah-tengah padang rumput yang bernama Kazakhtan. Ibu kotanya bernama  Astana. 

Jauhnya Astana dari Kuala Lumpur ialah 3748.4 batu. Kalau naik pesawat Air Astana  akan mengambil masa 8 jam.  Kalau naik  Rayani Air mungkin 15 jam kerana juruterbang dan anak kapal wajib  berhenti ambil wuduk di Mumbai. Kalau naik pesawat MAS belum pasti sampai mungkin pesawat MAS  ini ngelencong ke Melbourne.

Tapi bukan ini yang hendak hamba kesahkan. Hamba  hendak berkesah tentang seorang Jantan dari Astana yang telah bersusah payah membuat potokopi surat berhenti sekolah. Membuat salinan sijil sekolah. Membuat sijil TOEFL yang membuktikan  Jantan ini boleh berbahasa Inggeris. Semua sijil-sijil  ini dicap cemerlang dengan kepujian kelas A+++. 
Lalu si Jantan ini melamar masuk ke Kulombia Universiti... oopps maaf salah eja.. Columbia University New York. Dalam masa yang sama bunga sekuntum milik  Rosmah juga melamar masuk ke universiti yang sama. 

Bayangkan ada 30 ribu  jantan betina belajar di univeristi ini. Ada jantan kacak Latino. Ada jantan kacak Tok Arab. Ada jantan sasa Hitam Puteh. Ada Putera Raja. Ada anak Cartel Latino. Pilih punya pilih  kuntum milik Rosmah  memilih untuk berpacal  dengan Jantan Kazakhtan. Akhirnya mereka  berkahwin. 

Dibelakang cerita kahwin ini ada cerita pelik tetapi benar. Ada besi berani yang merapatkan dan menarik mereka. Inilah kuasa Yang Maha Kuasa. Ini Karma segala Karma dalam dunia ini.

Tuan hamba mungkin tidak percaya  apabila hamba beri tahu  bahawa Jantan Kazakhtan  ini telah menipu surat sijil sekolahnya. Lagi pelik apabila diberitakan bahawa Jantan Kazakhtan ini juga sedang  dicari oleh FBI kerana kes menipu jual beli rumah. Jangan tuduh hamba membuat fitnah. Jangan tuduh hamba menabur tohmah. Semua kesah ini hamba pungut dari akhbar  New York bukan dari  Utusan Tipu Melayu atau dari Berita Hairan.

Cerita pelik ini tidak tamat disini. Hamba hendak membuktikan tentang wujudnya  kuasa Yang Maha Kuasa yang  telah merapatkan dua makhlok ini sehingga satu dunia tidak percaya. Ramai   menggeleng kepala tidak percaya. Walhal semua ini adalah kesah benar tetapi pelik. 

Pusing punya pusing kitar punya kitar baru baru ini akhbar New York telah melaporkan bagaimana Ibu kepada Jantan Kazakhtan ini telah membeli berbelas-belas beg tangan Hermes. Seperti telah tersurat dalam Loh Mahfuz  si Ibu ini telah enggan  membayar harga beg yang hampir  satu juta dolar Amerika. 

Si Ibu ini bukan saje enggan membayar malah  telah mengugut tuan empunya kedai. New York menjadi heboh kerana Ibu ini  telah menjual nama besannya. Ibu ini dengan bangga telah memperkenalkan dirinya sebagai besan kepada   Muhammad Najib bin Abdul Razak - Taiko Bani Melayu.

Disebut sahaja nama Mumammad Najib - fail FBI terbuka luas. Ini kerana dikatakan FBI sedang menyiasat kes  mendobi duit di Amerika. Dalam masa yang sama Jantan Kazakhtan ini juga sedang dicari FBI. Kini ditambah satu lagi kes -  Ibu pulak lari dengan beg Hermes. Semua menjadi berita terkini lagi  sensasi tahun  2015, maka New York jadi heboh.

Sambung punya sambung - kesah terus berkesah  - cerita bertambah takjub apabila akhbar New York melaporkan bagaimana Ibu ini dikatakan terlibat dalam kes bunuh kekasih suaminya. Aduh! Bila berita ini muncul hamba macam tak percaya. Hamba terus teringat kepada arwah Altantuya. Betulkan laporan dari New York ini?

Membaca semua ini membuatkan hamba  duduk bertafakur. Hamba bertenang diri. Maka inilah bukti kuasa  Yang Maha Kuasa. Walau pun dunia ini ada lapan bilion punduduk tetapi apabila saekor perempuan  dari Astana dan saekor  dari Putrajaya ingin dipertemukan maka mereka akan bertemu juga.  Seribu halangan seribu rintangan semuanya dilupus. Pertemuan dua watak seirama ini terjadi juga  akhirnya.

Mungkin tuan hamba tidak percaya apa yang hamba tulis ini. Saekor perempuan  suka beg Hermes. Saekor lagi  suka beg Birkin. Dua-dua ekor perempuan ini  bukan saja  menjadi  besan, bukan sahaja memiliki sejarah yang sama malah perempuan  dua ekor ini amat  suka dengan Jacob Arabo tukang jual intan berlian di Manhattan. Pelik tetapi benar. Inilah kesah takjub lagi menakjubkan untuk tahun 2015. Sedih tetapi saheh. Amin. Selamat tahun baru. (TT)



NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanmggan akhbar minngun ini
sila pukul talipon
03-92-21-10-45



------------

4 ulasan:

  1. hamba kalian yang hina bodoh bangang merasa paling terhina diperlakukan sebagai hamba oleh ketuanan...selagi perasuah diangkat sebagai pemimpin pilihan Allah s.w.t maka tiada pilihan kepada segenap lapisan rakyat yang hina...kalau bersuara ditangkap diugut didakwa disumbat diperlekehkan melalui kuasa yang ada... amar maakruf nahi mungkar hanya pada pengucapan...rakyat didahulukan hanya sebagai kabur mata... kerakusan nafsu keduniaan semakin memuncak bagi meragut segala harta kekayaan untuk kepentingan diri kaum kerabat demi kesenangan mutlak golongan pemimpin... maka rakyat pacal yang hina terus dibebankan dengan peningkatan kos makan minum momokan berjimat...wal hal bini sendiri tidak bisa ditegur...kalau ditegur akan disiku alham... ini lah rupa manusia yang disanjung dinobat sebagai pilihan Allah s.w.t....kah kah kah... bila kah bani melayu akan sedar yang menipu bani melayu, merompak rakyat saban hari, menekan rakyat, menindas rakyat, meragut kebebasan rakyat bukan lah orang amerika... bukan orang yahudi...bukan orang arab...ianya satu kuasa yang dimainkan oleh mereka yang melayu islam... kah kah kah sebagai renungan semua rakyat malaysia...selamat tahun baru 2016..tiada harapan....kita semua akan menjadi semakin miskin...semakin tertekan....semakin roboh imam...semakin rapuh pegangan hidup demi mencari ketenangan hidup duniawi...kah kah kah

    BalasPadam
  2. KLCc MRT LRT Menara berkembar semua sebut MRR2 tak sebut... Ini BoLeh mengurangkan Marah Sammy veLLu.....

    BalasPadam
  3. Esok hari las 2015 .. tadi di radio gwa dengar pihak ngo PPIM kata polis tak senang dengan ngo ini, kerana kes Kota Raya .. polis kata, ngo tersebut patut inpom polis dulu sebelum pi serbu peniaga di Kota Raya tu ..

    Ceritanya spt kata tt "sedih & pelik" .. bermula dgn cina yang meniaga di Kota Raya, katanya tipu pulak pelangan melayu .. pelangan melayu telah dikurung oleh peniaga cina tu.. datang pula ngo melayu buat laporan .. akhirnya pelapor ini kena pasung oleh polis (melayu) ..

    tapi walaupun cerita ini sedih dan pelik, tapi happy ending untuk peniaga cina dan polis (melayu) tadi .. makna nya cina dan melayu memang boleh bekerja sama .. ini gwa sudah lama tau .. seperti najib dgn jhlow lah .. faham ye.

    Dengar cerita peniaga ini telah buat kerja kon (nama sopan untuk menipu) ni dah 30 tahun dah .. tapi ada halimunan yang kaver .. apa pun hepi nu yer untuk mereka semua.

    Lanti 2016 moleh sambung celita .. sapa belani bikin lepot, boleh lepot .. lanti kalau kena masuk lumah pasung jangan malah gwa .. gwa calik makan saja.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hahaha.. kalo polis mahupun pihak berkuasa x kowtim cover mengcover.. insyaAllah x akan berleluasa punya apa2 kes di mana2..

      Jika kowtim baik.. jadi gini la.. x payah la polis dan pihak berkuasa buat penat2 berlakon lagi.

      Padam