SURAH BANJIR
Untuk
minggu ini mari kita lupakan sementara kemana kapal terbang resmi
kerajaan Malaysia - Pesawat 9M-NAA- hilang merayau-rayau. Untuk
sementara waktu ini mari kita gatungkan perbincangan tentang Obama.
Buat sementara waktu kita lupakan apakah arahan Obama kepada 'budak
suruhannya' di Padang Golf Hawaii.
Minggu
ini saya mahu membuka surah banjir. Untuk saya banjir yang melanda
ini telah membuka wacana baru. Surah banjir membuka wacana politik,
sejarah dan budaya. Surah ini wajib dibuka untuk memberi pencerahan.
Surah ini diharapkan dapat memberi pemahamam makna BANJIR tahun
2014.
Musim
tengkujuh – musim hujan – peralihan angin di Laut Cina Selatan
telah berlaku semenjak alam ini wujud. Gerakan angin yang membawa
hujan adalah hukum alam. Semenjak zaman berzaman di Utara Semenajung
Tanah Melayu – wilayah pantai timur – akan diserang angin dan
hujan. Malah masuk sahaja bulan November pantai-pantai Timur
Semenanjung akan bergelora. Nelayan TIDAK ke laut. Laut akan kembali
tenang dalam bulan Febuari atau March.
Malah
umum mengetahui banyak pulau-pulau tempat percutian dan tempat
bercanda-canda di Pantai Timur akan ditutup. Laut bergelora dan
merbahaya. Hujan mencurah turun. Air sungai melimpah naik. Kesah ini
telah diturunkan dari mulut ke mulut – dari jenerasi ke jenerasi.
Ini telah menjadi pengetahuan ilmiah.
Sungai
Pahang, Sungai Perak, Sungai Kelantan – sama saperti Menam Chao
Praya, sama saperti Hwang Ho, sama saperti Sungai Ganges dan Indus,
sama saperti Sungai Nil, sama saperti Sungai Tigris di Iraq –
adalah pusat tamadun manusia. Ini kerana sungai yang membawa air
adalah punca kehidupan. Lembah-lembah yang dilalui oleh sungai-sungai
ini amat subur. Disinilah bermulanya tamadun dan kehidupan.
Justeru
– adalah anggapan bodoh jika ada yang menyangka bahawa warga yang
tinggal tepi tebing-tebing sungai ini ' kurang akal ' kerana memilih
hidup ditepi sungai. Atau anggapan - mereka yang tinggal
dilembah-lembah subur ini hanya mencari 'nahas' kerana pasti akan
dilanggar bencana.
Memang
betul – setiap musim tengkujuh - setiap tahun banjir akan sampai.
Ada tahun yang ringan dan ada yang agak berat. Tetapi TIDAK saberat
tahun 2014 ini.
Ketika
saya membesar saya telah mengikuti warta berita dari Radio Malaya
tentang banjir di Kelantan. Saya selalu mendengar rujukan turun naik
air melalui ukuran 79 anak Tangga Bradley. Ada tahap bahaya jika
air telah melintasi anak tangga ini. Tangga di Sungai Kuala Krai ini
telah dibina pada tahun 1927. Tangga Bradley ini menunjukkan telah
ada kesedaran tentang wujudnya banjir di Kelantan dan cara
berjaga-jaga untuk menanganinya.
Apa
yang berbeza sekarang? Kalau dari tahun 1927 sudah diketahui apa
bezanya dengan banjir hari ini? Kalau dulu ada banjir hari ini juga
ada banjir. Fakta ini betul – dulu banjir – hari ini juga banjir.
Tetapi ada perbezaan yang hakiki.
Untuk
pencerahan tentang fakta banjir hari ini biar saya bersurah tentang
satu fakta yang mungkin TIDAK ada sesiapa selain dari saya yang
mengaju dan memaparkan.
Fakta
yang ingin saya nyatakan disini ialah PEMBALAKAN. Apa 'spesialnya '
pencerahan pembalakan ini?
Memang
betul dahulu ada pembalakan di Kelatan dan Pahang, Kedah dan di
Perak. Tetapi pembalakan pada tahun 60an,70an dan 80'an 'tersusun dan
terkawal'. Tidak wujud apa yang dipanggil pembalakan haram.
PEMBALAKAN HARAM ini tidak wujud di Tanah Melayu. Konsep pembalakan
haram ini muncul di Sabah dan Sarawak. Hanya semenjak 20 tahun
kebelakangan ini budaya 'pembalakan haram' telah merebak ke
Semenanjung.
Apakah
pada ditahun-tahun 60'an dan 70'an Jabatan Perhutanan cukup hebat?
Pegawainya bekerja dengan rapi? Tidak ada kong kalikong? Apa
teknoloji yang wujud ketika itu?
Mustahil
30 tahun dahulu Jabatan Hutan HEBAT berbanding dengan sokongan
peralatan teknoloji hari ini. Justeru timbul persoalan bagaimana
hutan dan pembalakan terkawal? Apa teknolojinya?
Jawabnya
: Parti Komunis Malaya (PKM). Dalam hutan dan dipanggir hutan Pahang,
Kedah, Kelantan dan Perak ada tempat-tempat dan wilayah dimana kader
PKM bergerak. Organisasi politik PKM bergerak bersama dengan pasukan
gerila. Dalam hutan belantara ini PKM mendirikan perkampongan untuk
menyusun kader politik dan angkatan bersenjata. Umum mengetahui
sejarah bagaimana Orang Asal juga ramai yang menjadi kader dan
penyokong PKM.
Ini
bermakna di Tanah Melayu pada ketika itu – wujud dua kuasa. Satu
kuasa dari Kuala Lumpur dan satu lagi kuasa yang beroperasi dari
sempadan Siam/Tanah Melayu. Kuasa lahir dari laras senapang.
Kerajaan
Perikatan memiliki soldadu, manakala PKM juga memiliki gerila
bersenjata. Dua kuasa politik yang memiliki senjata ini sedang
bertembung. PKM sedang memperluas pengaruh. PKM menjalankan kerja
politik dikampong pendalaman sebelum masuk ke pekan dan kota. PKM
menyusun kaum tani.
Sebagai
taktik untuk mempertahan wilayah yang mereka kuasai - gerila-gerila
PKM juga memasang bom jerangkap diserata pelusuk hutan. Hanya kader
PKM sahaja yang tahu dimana bom ini dipasang. Justeru masuk hutan
untuk mencuri balak dengan membabi buta akan membawa maut. Ini
fakta sejarah.
Justeru
mustahil ada Cukong atau Pak Lebai Berketayap yang berani masuk
mencuri-curi balak. Penyamun Tarbus sedar akan bahaya bom
jerangkap. Malah, syarikat pembalak yang mendapat lesen dari
kerajaan untuk membalak juga tahu bahawa dalam hutan ini ada lagi
satu pasukan pengawalan.
Para
pembalak tahu mereka TIDAK boleh melakukan sebaragan dalam hutan.
Kerana itu kita TIDAK pernah mendengar atau membaca berita ada anak
dara Orang Asal dirogol pembalak saperti yang berlaku di Sabah atau
Sarawak. Para pekerja balak tahu bahawa kader PKM dalam hutan ini
TIDAK makan rasuah dan tidak patah oleh rayuan China Doll. Kader PKM
memerhatikan sikap dan tingkah laku pembalak.
Kesah
pembalak bertemu dengan gerila ini selalu dilapor media arus perdana
pada tahun 70'an. Malah ada juga berita yang melaporkan bahawa PKM
mengutip cukai dari pembalak.
Ini
bermakna kewujudkan PKM dalam hutan Perak, Kedah, Pahang dan Kelatan
telah memilihara ekosistem bumi tropikal pada ketika itu. PKM telah
menyelamatkan hutan balak dari dirompak. Ini khidmat positif PKM
berlaku secara TIDAK dirancang. Banjir dizaman ini tidak segila
tahun 2014.
Dua
puluh tahun dahulu Perjanjian Damai Haadyai telah ditanda tangai
antara PKM dengan Kerajaan Persekutuan. Ini bermakana PKM tidak lagi
berada dalam hutan. Gerila PKM keluar. Semua bom jerangkap yang telah
dipasang wajib dimusnahkan. Ini termaktub dalam Perjanjian Damai
Haadyai.
Pejanjian
Damai ini telah diharapkan akan membuka ruang ekonomi kepada kawasan
pendalaman di Kelantan. Memang tepat dan betul ada peluang ekonomi.
Peluang ekonomi yang paling senang ialah merembat hutan balak. Umum
mengetahui tentang berita tuduh menuduh antara Parti Pas dengan
parti United Malays National Organisation berkenaan Hutan Balak.
Parti
Islam ini selalu dituduh oleh Parti Ketuanan Melayu sebagai kumpulan
jahat yang telah menjual hutan balak Kelantan kepada Towkay Cina dari
Singapura. Tuduhan ini kita baca dalam media arus perdana. Kita juga
diberitahu - malah ditunjukkan gambar bagaimana Hutan Lojing dan
bukit bukau di Kelantan telah boleng sesudah balak di rompak.
Berita
pembalakan ini menjadi buah mulut dalam banjir 2014 ini. Justeru,
Menteri Besar Kelantan telah menafikan tentang peranan pembalakan.
Malah Nik Abduh seorang Ahli Parlimen PAS telah menyalahkan rakyat
Malaysia yang menimbulkan kemarahan Allah kerana TIDAK menyokong
hudud.
Sebenarnya cakap-cakap tentang hudud dan 'online' dengan
Allah ini adalah cakap para politikus. Ini cakap-cakap dalam usaha
untuk megkalihkan peranan manusia dalam banjir yang baru berlaku.
Hudud akan dijadikan alat untuk menutup surah Balak dan penyelewengan
pentabiran Pas di Kelantan dari diketahui umum.
Memang
betul hukum alam akan membawa banjir. Peredaran musim akan membawa
tengkujuh. Dalam masa yang sama adalah juga betul dan tepat bahawa
peranan manusia juga memburukkan lagi banjir ini. Dalam kes banjir
yang baru berlaku ini tidak dapat tidak peranan pembalakan adala
salah satu dari puncanya.
Manusia
kini menjadi angkuh. Manusia menjadi tamak. Manusia semakin gila
mengumpul harta. Ada yang berselindung disebalik kaum, bangsa dan
raja. Ada juga yang berselindung dibelakang ketayap dan agama.
Hakikatnya manusia sedang membantai alam dan menggali bumi untuk
mengumpul harta kekayaan.
Alam
telah lama menangis sedih. Bumi telah lama sakit. Bukit dan hutan
telah lama gering. Hanya kita mansia yang angkuh dan sombong tidak
melihat ini. Tanda-tanda sudah jelas terpampang.
Sila
pergi berdiri ke tebing ke Sungai Kelantan, sila pergi ke tebing
Sungai Pahang – perhatikan betul betul. Buka mata dan buka hati.
Lihat tangisan darah dari sungai ini. Air sungai ini sedang berdarah.
Air sungai ini sedang mengalirkan darah bumi. Warna coklat, warna
hitam , warna lumpur adalah darah bumi. Sungai kita sedang menangis.
Apakah ada hati yang melihat. ( TT)
NOTA
tulisan ini telah disiarkan dalam
SUARA KEADILAN
sesiapa yang ingin melanggan akhbar minguan ini
sila pukul talipon:
03-92-21-30-45
-------------