20 Oktober 2015
ISU PEROBOHAN PENEMPATAN ORANG ASAL KAMPUNG DATO' ABDUL RAHMAN YASSIN, KLUANG
Perkampungan orang asal Kampung Abdul Rahman Yassin Kluang telah bertapak sejak lebih kurang 45 tahun yang lalu. Ia telah mula diterokai oleh Ajon Bin Bakar.
Namun, merujuk kepada surat yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Orang Asli (JAKOA), nombor rujukan JAKOA/KLG A1.95/526 Jld 3 (72) bertarikh 15 Jun 2012, tanah penempatan tersebut merupakan kawasan milik individu dan tanah Hutan Simpan Renggam.
Sehingga tarikh surat tersebut dikeluarkan, penduduk di kawasan berkenaan berjumlah 23 keluarga (sumber JAKOA Kluang) melibatkan orang asli yang berhijrah dari Rompin dan Kluang sendiri.
Dalam surat tersebut turut menyatakan JAKOA Johor, daerah dan JAKOA Pahang telah bertemu orang asli disitu dan mengarahkan supaya mereka keluar dari kawasan berkenaan.
Pada 15 Oktober 2015, satu notis peringatan terakhir dikeluarkan oleh Pejabat Tanah Kluang agar penduduk orang asal Kampung Abdul Rahman Yassin mengosongkan tanah Kerajaan/rizab parit yang merujuk kepada penempatan mereka tersebut.
Notis tersebut turut merujuk notis awal bertarikh 9 September 2014 dan notis pengosongan bertarikh 3 September 2014.
Menurut notis juga, orang asal Kampung Abdul Rahman Yassin telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara dan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 425 (1)(a) K.T.N yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau tidak lebih dari 1 tahun penjara ATAU kedua-duanya sekali.
Menurut notis, untuk berlaku adil, Pejabat Tanah menyarankan agar penduduk orang asal disitu merobohkan binaan/bangunan mereka sendiri secara serta-merta dari tarikh notis dikeluarkan.
Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan pihak Pejabat Tanah mengambil tindakan merobohkan binaan/bangunan berkenaan pada bila-bila masa tanpa memberikan sebarang amaran lagi.
Menurut laporan akhbar Sinar Harian bertarikh 19 Oktober 2015 memetik kenyataan Pegawai Daerah Kluang - Muhamad Fuad Radzuan sebagai berkata, anggota daripada Pejabat Tanah Kluang, Majlis Perbandaran Kluang dan pasukan polis akan melaksanakan penguatkuasaan dengan merobohkan kediaman mereka yang telah dikosongkan. Tempoh selama 3 hari diberikan (sehingga Rabu ini-esok).
PERSOALAN :
1. Apakah status sebenar dan milik siapakah tanah tersebut?
Menurut surat dikeluarkan JAKOA, tanah tersebut merupakan kawasan milik peribadi dan kawasan Hutan Simpan Renggam. Mengikut surat dari Pejabat Tanah Kluang, tanah tersebut adalah tanah Kerajaan.
2. Apakah faktor sebenar penduduk orang asal diminta keluar dari penempatan tersebut dan rumah ingin dirobohkan?
Apakah rancangan yang ingin dilaksanakan di atas tanah ini?
3. Mengapakah hanya selepas sekian lama (45 tahun), baru sekarang timbul isu penduduk disitu ingin dihalau keluar dan rumah-rumah mereka ingin dirobohkan?
Mengapa ia tidak berlaku sejak dari awal dahulu lagi? Mengapa baru sekarang tergesa-gesa sedangkan kesannya akan merumitkan orang asal disini?
4. Siapakah yang sebenarnya bertanggungjawab mengendalikan hal ini dan siapakah paling berkuasa untuk memberikan kata pemutus sebagai penyelesaian?
Maklumat dari beberapa agensi yang berlainan menyebabkan konflik dan maklumat bercelaru dikalangan penduduk orang asal.
PERMINTAAN :
1. Perbincanagan yang lebih mendalam dan terperinci mestilah dilakukan sehingga mencapai persetujuan kesemua pihak yang telibat khususnya antara pihak berautoriti dan penduduk orang asal disitu dalam mencari jalan keluar terbaik untuk isu ini.
2. Keengganan penduduk orang asal di Kampung Dato' Abdul Rahman Yassin daripada mengosongkan penempatan mereka ini menggambarkan bahawa terdapat keraguan dan kerisauan menyelubungi mereka yang masih belum diselesaikan oleh pihak berautoriti dalam isu ini.
Kenyataan media oleh ;
SHEIKH OMAR ALI
(Pegawai Khas kepada Pengerusi DAP Johor)
-------------