Rabu, 27 Januari 2016

MEMBUAT PERSEDIAAN





 

MEMBUAT PERSEDIAAN

Akhir tahun 2015 Parlimen secara tergesa-gesa telah meluluskan satu undang-undang baru - Akta Majlis Keselamatan Negara. Saperti biasa - lazimnya semua undang-undang akan lulus tanpa banyak soal dan jawab. Ini watak Parlimen Malaysia - ini juga watak budaya siasah negara Dunia Ketiga.

Justeru untuk saya sama ada draf rang undang-undang ini dibincangkan atau tidak bukan satu yang penting. Kerana apa sahaja undang-undang yang dimimpikan oleh Najib pasti akan lulus kendati pun Najib mahu Rosmah dinobatkan sebagai Tuan Puteri Lindungan Bulan. Ini hakikat politik Malaysia - ini hakikat politik negara Dunia Ketiga.

Pada Khamis 3 Disember 2015 - Akta Majlis Keselamatasn Negara dibaca kali ke tiga untuk diluluskan. Kemudian dihantar ke Dewan Negara untuk dicap. Maka satu lagi undang-undang diluluskan dengan berselindung memakai ketayap dan jubah Parlimen.

Kita banyak mendengar komen dari para YB dan NGO tentang hukum kanun baru ini. Semua memberi pendapat. Semua ada pandangan.

Ada yang memberi pandangan MKN ini untuk selamatkan Najib. Untuk memberi kuasa mutlak kepada Najib. Untuk mengenepikan Agong. Untuk mengenepikan Parlimen. Ada yang kata ini untuk selamatkan United Malays National Organisation. Ada yang kata ini untuk pastikan Najib dan Rosmah terus berkuasa. Ada yang kata akta ini untuk melarang BERSIH mengadakan rapat rakyat. Ada yang kata ini untuk tutup kes Derma Tok Arab. Ada yang kata Najib sudah jadi ditaktor. Ada yang kata akta ini untuk mengagalkan rancangan Pakatan Harapan dalam PRU 14.

Semua pandangan-pandangan ini adalah betul dan tepat. Ada kebenaran dalam semua pandangan ini.

Manakala kuncu dan ghurkha Najib dan Rosmah berkata hukum baru ini untuk keselamatan Malaysia. Mengikut para ghurkha Najib, hukum ini untuk menentang gerakan ektremis. Mengikut pandangan kuncu-kuncu Najib ianya perlu kerana jika tidak diluluskan maka akan ada bom meletup. Bila bom telah meletup baru rakyat akan sedar betapa perluya hukum ini. Undang-undang ini ditujukan untuk menentang gerakan Isis.

Ini sabenarnya kelentong besar.

Hujah-hujah dari kuncu-kuncu Najib ini sabenarnya lawak seram. Satu dunia tahu Isis ini adalah anak syarikat CIA. Satu dunia tahu bahawa Isis ini bertelor, mengeram dan menetas dari reban CIA. Satu dunia tahu bahawa dibelakang Isis ini ada ajenda yang lebih besar. Malah satu dunia tahu - bom meletup disana sini - sama ada di Paris atau di Jakarta - adakah satu perancangan Salah Bendera untuk mengolah persetujuan.

Bom meletup disana sini adalah projek - Salah Bendera - yang sentiasa disusun oleh Daulah Terpendam.

Bom yang baru meledak di Paris telah dibuktikan sebagai projek Salah Bendera. Kalau kita ingat sejarah - Bom di Bali mengikut kata-kata arwah Gus Dur adalah kerja CIA. Malah ledakan yang baru berlaku di Jakarta dua minggu lalu, mengikut pemerhati politik di Indonesia - sebenarnya ialah pertembungan dan perselisehan dalaman antara pihak polis dan militer Indonesia. Isis dijadikan topeng untuk mengolah persetujaun warga Indonesia.

Justeru, serangan yang dikatakan dilakukan oleh Isis di Jakarta pada Khamis 14 Januari2016 lalu adalah projek Salah Bendera di Jakarta.

Projek Salah Bendera ini bukan satu yang baru. Mahathir mementaskan Teater Sauk Al-Maunah pada 2 Julai 2000. Dengan tujuan untuk menangkap para Reformis pada tahun 2001. Dikatakan kumpulan Al-Maunah berniat melawan Agong. Yang menjadi lawak ialah ‘geng’ ini berjaya melarikan 5 tan senjata dalam masa 15. Senjata ini dimuatkan ke dalam 3 buah Pajero.

Justeru jangan risau pasti akan berlaku sandiwara-sandiwra Salah Bendera yang baru. Ini bukan satu yang mustahil. Ini lumrah kebiasaan. Lalu timbul persoalan hakiki - apa sabenarnya semua ini? Apa maknanya undang-undang baru ini? Apa kaitan semua ini dengan kumpulan ektremis?

Untuk jawapan kepada persoalan itu - saya berharap para pembaca akan merujuk kembali kepada dua tulisan saya yang lalu tentang ledakan ekonomi yang akan sampai.

Ledakan ekonomi kali ini lebih hebat dari yang pernah berlaku pada September 2008 dahulu. Ledakan kali ini lebih buruk dari apa yang telah berlaku di Amerika pada tahun 1929 - The Great Depression. Zaman meleset yang akan sampai kali ini akan menjerut hampir kesemua umat manusia di muka bumi ini. Semua negara bangsa yang mendaftar di Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu telah kait berkait dengan sistem ekonomi kapitalis. Tidak ada negara lagi yang terkecuali. Korea Utara juga akan terkait sama.

Hakikatnya bila sistem ekonomi kapitalis ini meledak runtuh tidak ada sesiapa akan terkecuali.

Justeru Akta MKN ini berlatar belakangkan ledakan ekonomi yang akan sampai. Wajib diberitahu bahawa bukan hanya Malaysia sahaja yang sedang membuat persediaan undang-undang sademikian. Hampir kesemua Negara Dunia Ketiga memiliki undang-undang sama saperti watak Sosma, ISA, Poca dan MKN.

Mewujudkan undang-undang yang ganas lagi zalim adalah wajah dan watak siasah negara Dunia Ketiga. Pemimpin yang zalim memerlukan undang-undang sademikian untuk memastikan kerajaan yang zalim ini selamat dari didobrak oleh rakyat. Suharto, Marcos dan Mubarak berselirat dengan undang-undang, hukum kanun dan akta. Mubarak dan Suharto hanya berjaya dihumbankan oleh rakyat Mesir dan Indonesia satelah 30 tahun menzalimi rakyat. Ini fakta sejarah.

Pada ketika ini sistem ekonomi kapitalis telah sampai ke penghujung. Kuasa kertas hijau yang dipanggil dolar kini telah hampir tamat. Tapi waspada - kaum imperialis, kaum kapitalis dan kaum pemodal dan elit ekonomi dunia tidak akan mengundur tanpa perlawanan. Justeru undang-undang dan hukum hakam yang diwujudkan ini adalah persediaan untuk berhadapan dengan ledakan ekonomi yang akan sampai.

Untuk memahami ini kita perlu merujuk dan lihat apa yang sedang berlaku di Greece. Kerana Greece ini negara Eropah maka ada laporan media tentang apa yang sedang berlaku. Kalau Greece saperti Libya - negara Dunia Ketiga - kita tidak akan tahu apa yang sedang membara.

Tahun lalu melalui proses pilihan raya parti kiri telah mendapat kuasa di Athens. Tetapi masaalah ekonomi Greece tidak selesai. Kini negara ini sedang mengamalkan jimat cermat - ikat perut - dan potong belanja. Duit pencen dipotong, duit KWSP hilang, harga hospital dinaikkan, gaji bulanan juga dipotong, tidak ada overtime, tidak ada pekerjaan baru, duit kebajikan awam hampir dilupuskan. Sewa rumah dewan bandar raya dinaikkan. Kos barang kegunaan hairan meningkat, harga bahan makanan naik, kos pengangkutan - semuanya naik. Zaman meleset telah sampai.

Akhirnya warga Greece tidak tahan lagi - mereka meledak. Mereka mengamuk membakar bank dan bangunan kerajaan. Pada 4 Febuari yang akan datang ini Greece akan mengadakan hartal. Rakyat semua lapisan sedang bangun memberontak. Berontak untuk apa? Ekonomi Greece yang berkiblatkan sistem kapitalis tidak lagi memiliki keupayaan untuk menyelesaikan masalah. Athens akan terbakar.

Apa yang sedang berlaku di Greece sedang menular ke Itali, ke Sepanyol dan ke Portugal. Rakyat dinegara-negara ini sedang memberontak dan mengamok. Wilayah Selatan Eropah sedang terbakar.

Justeru disinilah segala bentuk hukum dan akta yang telah diluluskan akan memainkan peranan. Akta dan hukum yang diwujudkan atas nama melawan Isis sebenarnya bertujuan untuk menundukkan rakyat warga negara. Tidak ada sangkut paut dengan Isis.

Pada satu ketika dahulu ISA diwujudkan untuk melawan Parti Komunis Malaya. Ini hujah yang dituturkan oleh Razak Hussein ketika membentangkan akta zalim ini. Cara dan pendekatan yang sama telah digunakan oleh Najib. Kali ini untuk menentang Isis. Peranan Isis semakin jelas.

Ketika Perang Dingin berlaku - pertempuran idealoji sedang berjalan diantara kapitalis Amerika dengan sosialis Rusia. Pada zaman ini ‘komunis dan sosialis’ dicap sebagai musuh. Apa saje undang-undang zalim yang akan diluluskan semuanya dikatakan untuk melawan dan membendung gerakan komunis. Hari ini komunis telah digantikan oleh Isis.

Dibelakang semua ini ialah kuasa imperialis Amerika. Dibelakang semua ini adalah elit politik dan elit ekonomi global. Mereka sedar dan mereka tahu bahawa hari hari akhir untuk dolar telah sampai. Dengan maklumat yang tuntas. Dengan kajian yang rapi para globalis ini sedang merancang untuk berhadapan dengan ledakan ekonomi yang akan sampai.

Apa yang sedang berlaku di Athens sedang menjadi perhatian jentera dan para pemikir kaum globalis ini. Perancangan rapi sedang dijalankan. Empire Amerika sedang membuat pesediaan. Tanah-tanah jajahan Amerika sedang dikawal dan diikat - justeru TPPA. Semuanya persedian untuk memastikan apabila sistem ekonomi kapitalis ini runtuh - kuasa tidak akan terlepas dari tangan mereka.

Apa yang kita lihat sedang berlaku di Malaysia sedang juga berlaku di Asia , Afrika dan Amerika Latin. Hukum-hukum dan akta baru telah disediakan. Semua diluluskan atas nama menentang ektremis Isis.

Di Amerika juga persediaan sedang dibuat. Amerika - kuasa imperial - Empire Pax Americana - tidak akan terselamat. Justeru - apa agaknya yang akan Amerika sediakan untuk rakyat Amerika? Tunggu minggu hadapan. (TT)




NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanmggan akhbar minngun ini
sila pukul talipon
03-92-21-40-45

 
-------------

2 ulasan:

  1. terima kasih bro atas cerita ni.seblum greece, ada cyprus yg muflis.bank negaranya takda duit.tppa ibarat disejarahkan semula anak kelantan tok pa.peranan yg hampir sama dgn mata2 melayu yg mbunuh tok janggut.ketika ini duit derma sudah dipulangkan kpd saudi. dulu kata ramai dermawan , kini dermawan tinggal satu akuan je.ketika najib turun takhta dgn digantikan dgn zahid komidi yg mjd puppet, seperti mana mahatir mempuppetkan pak la dan najib, ketika itu hutang 1mdb sudah berapa juta?bank tak kisah mcm ne najib bayar, samada dgn darah rakyat atau peluh rakyat janji hutang beres..jesteru pm zahid akan memastikan najib dan mahatir tidak didakwa dipenjarakan.pada ketika itu bisnes ayam dan sotong wali presideng sudah dipasarkan ni new york walaupun jakim tiada disana atau barangkali jakim akan buat office dinew york bagi mhalalkan bacon dan air anggur..hasil tangan mahatir yg busuk dan penuh nanah..hidup umno baru..alang2 rm jatuh, kita tukar saja rm ke dolar..asal dulu pun dolar gak..pm mana yg tukar ke rm pun tak tau la..kena buka buku sejarah kedah di kerala..

    BalasPadam
  2. Rakyat mesir dan indonesia mula celik selepas dizalimi selama 30 thn. Rakyat malaysia dah lebih 50 thn dizalimi, masih lena dibuai pujuk rayu adun dan ahli parlimen bn, masih terpedaya dgn sekampit beras dan sehelai kain batik. What the fish!

    BalasPadam