KEMANA DUIT
ITU HILANG?
Saya merujuk kepada kenyataan 1MDB bertarikh 6 Januari 2016 yang jelas
cuba mematahkan soalan-soalan yang saya tanya khusus mengenai
perkara-perkara berikut:
1. Pembiayaan untuk memindahkan dan menaiktaraf pengkalan-pengkalan
tentera udara sebagai sebahagian dari tanggungjawab 1MDB setelah
dianugerahkan tanah kerajaan di Sungai Besi
2. Kesan kepada keselamatan negara akibat dari penjualan pegangan di
dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB) milik 1MDB kepada satu konsortium
yang dianggotai oleh syarikat berkaitan Kerajaan China
Jawapan 1MDB pada 6 Januari 2016 sebenarnya mengesahkan kebimbangan saya
mengenai (2) iaitu keterlibatan syarikat berkaitan Kerajaan China di
dalam projek pemindahan dan naiktaraf pengkalan-pengkalan tentera udara.
Kenyataan 1MDB tempoh hari mengakui bahawa bahawa salah satu pilihan
struktur urusniaga yang sedang dibincangkan ialah pembelian ekuiti di
dalam BMSB. Ini selari dengan pengumuman 1MDB sebelum itu bahawa ia
telah menjual ekuitinya di dalam BMSB sebanyak 60% kepada konsortium
yang dimiliki bersama oleh syarikat berkaitan Kerajaan China itu.
Apabila ini dipadankan dengan pengumuman yang difailkan di Bursa Hong
Kong, ia mengesahkan bahawa struktur urusniaga melalui kaedah penjualan
ekuiti telah dilaksanakan kerana syarikat berkaitan Kerajaan China itu
memfailkan nilai urusniaga ekuiti (bukannya nilai tanah seperti yang
diumumkan oleh 1MDB).
Namun yang lebih merunsingkan, penjualan ekuiti kepada konsortium itu
sebenarnya mendedahkan satu lagi perkara yang lebih besar – kenapa
bebanan kewangan untuk memindahkan dan menaiktaraf pengkalan-pengkalan
tentera masih lagi berbangkit sehingga menjadi sebahagian dari urusniaga
jual beli ekuiti BMSB; sedangkan 1MDB/BMSB telah meminjam RM2.4 bilion
dalam tahun 2014 untuk membiayai kerja-kerja tersebut?
Dokumen 6 mukasurat perjanjian klik di sini MUAT NAIK DOKUMEN
Kandungan Perjanjian
1. Mukasurat 6 mengesahkan bahawa BMSB (anak syarikat milik penuh 1MDB) menerbitkan Sukuk Murabahah bernilai RM2.4 bilion
2. Mukasurat 10, 11, 12 mengesahkan bahawa kontrak-kontrak pemindahan
dan naiktaraf pengkalan-pengkalan tentera udara/polis udara Sendayan,
Ipon, Butterworth, Gong Kedak, Kuantan, Subang (2 kontrak bagi 2
pengkalan berbeza) dan Kajang yang merupakan bayaran balik 1MDB kepada
Kerajaan Persekutuan telah dicagarkan sebagai tukaran kepada tanah-tanah
yang dianugerahkan
3. Mukasurat 13 dan 14 mengesahkan bahawa dana RM2.4 bilion yang
diperolehi 1MDB hasil dari terbitan Sukuk Murabahah ini hanya boleh
digunakan untuk 2 tujuan sahaja; iaitu membiayai pemindahan dan
naiktaraf pengkalan-pengkalan udara di atas dan membiayai aliran
tunainya.
Dalam kenyataannya bertarikh 6 Januari 2016, 1MDB sendiri mengakui
bahawa nilai keseluruhan kontrak pemindahan dan naiktaraf
pengkalan-pengkalan tentera ini adalah RM2.7 bilion dan sehingga kini,
baki pembiayaan yang perlu dikeluarkan 1MDB untuk membayar kontraktor
adalan RM1.9 bilion.
Secara mudahnya, mengambil kira bahawa 1MDB telah menerbitkan Sukuk
Murabahah berjumlah RM2.4 bilion untuk membiayai kerja-kerja itu – maka
persoalan yang paling besar: adakah ini bermakna dari jumlah RM2.4
bilion yang diperolehi itu, hanya RM800 juta yang dibelanjakan bagi
kerja-kerja pemindahan dan naiktaraf pengkalan-pengkalan tentera (iaitu
jumlah projek keseluruhan RM2.7 bilion tolak jumlah baki bayaran RM1.9
bilion)?
Ini
bermakna sejumlah RM1.6 bilion dari Sukuk Murabahah yang sepatutnya
digunakan untuk membiayai kerja-kerja itu TIDAK DIGUNAKAN bagi tujuan
itu. Ke mana dana berjumlah RM1.6 bilion ini dan bagi tujuan apa ia
telah digunakan?
Oleh sebab itulah, maka 1MDB tiada pilihan lain kecuali melibatkan pihak
swasta di dalam urusniaga melibatkan BMSB sedangkan BMSB telah pun
mencagarkan kontrak-kontrak itu sebagai sebahagian dari terbitan Sukuk
Murabahah. Apabila pihak swasta itu pula melibatkan syarikat berkaitan
Kerajaan China, sudah tentu ini menimbulkan pertanyaan sejauh mana
keterlibatan mereka di dalam keputusan-keputusan mengenai pemindahan dan
naiktaraf pengkalan-pengkalan tentera kerana mereka (syarikat China
itu) kini adalah pemilik bersama BMSB yang dipertanggungjawabkan dengan
kerja-kerja tersebut.
1MDB tidak boleh lari dari soalan-soalan ini dan saya akan terus menyelidik supaya perkara ini dibawa ke pengetahuan umum.
RAFIZI RAMLI
----------
Sukuk dukuk bon bon
BalasPadamIngat pakcik makcik faham ke?asalkan getah,sawit masih terpacak stim tengok timbang kati
Tak ada duit beli tembakau jolok brim brom brang