Rabu, 30 Mac 2016

MANA KHAIRY JAMALUDDIN






KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN PERLU MENJAWAB PENYALURAN DANA KERAJAAN RM19 JUTA KEPADA SEBUAH NGO YANG DIPENGERUSIKAN OLEH TIMBALAN MENTERI KBS




Hari ini kita dikejutkan dengan laporan tentang penyaluran dana kerajaan RM19 juta kepada Yayasan Gerakan Afirmatif Baharu (NAAM), yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Belia & Sukan (KBS), M.Saravanan. Pendedahan ini dibuat oleh Ahli Parlimen Batu Gajah, YB V.Sivakumar dalam jawapan bertulis kepadanya oleh Kementerian Belia & Sukan ketika sidang Parlimen yang sedang berlangsung sekarang. 

Tak sampai 10 hari yang lalu kita menyaksikan penangkapanseorang pegawai KBS yang didakwa terlibat dalam sindiket menyeleweng RM100 juta dari KBS sejak 2010 dan sekarang pula timbul satu lagi isu baru penyaluran dana kerajaan kepada sebuah NGO dan lebih memeranjatkan ialah NGO tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Menteri KBS serta orang yang berpengaruh dalam parti MIC.
     
Ini bukan kali pertama laporan seperti ini diutarakan tentang NGO tersebut. Pada 13 Jun 2015, bekas Pengarah Strategik MIC, A.K.Ramalingam sendiri pernah membuat laporan Polis dan SPRM tentang NGO berkenaan yang menerima dana yang sebesar itu dari Kerajaan Persekutuan. 

Datuk M.Saravanan berkata tidak ada percanggahan kepentingan dan tidak salah bagi dirinya menjadi pengerusi yayasan ini. Boleh kita bayangkan jika sebuah NGO yang dipengerusikan oleh seorang ahli politik dari parti Pembangkang yang menerima sejumlah dana besar dari Kerajaan Negeri, adakah UMNO/Barisan Nasional akan berdiam diri?

Ketika penubuhan Yayasan NAAM pada November 2013, sasaran NGO itu adalah untuk memperkasa ekonomi lebih 100,000 belia dan beliawanis India di seluruh negara dalam tempoh empat tahun akan datang. Walaubagaimanapun, Menteri KBS menjawab bahawa setakat ini hanya seramai 129 belia India berjaya memulakan projek pertanian dalam projek NGO tersebut.  

Angkatan Muda Keadilan Malaysia menegaskan bahawa MIC telah pun mendapat nama buruk sebelum ini melalui Skim Maika Holdings yang masih menghantui semua dan sekarang pula dengan satu lagi skandal kewangan jika ianya benar. 

Oleh itu, Angkatan Muda Keadilan Malaysia menuntut Kementerian Belia dan Sukan mengambil tanggungjawab sepenuhnya oleh kerana imej KBS kini sudah tercemar walaupun Timbalan Menteri, M.Saravanan berkata dana berkenaan disalurkan melalui Jabatan Perdana Menteri dan bukannya Kementerian Belia dan Sukan. Kami mendesak agar siasatan menyeluruh dilakukan bagi mengenalpasti dalang di sebalik skandal ini kerana ia melibatkan wang rakyat Malaysia. 

Jestin Raj Savarimuthu
Ahli Majlis Pimpinan Pusat 
Angkatan Muda Keadilan Malaysia





----------------

2 ulasan:

  1. Ini bukan rasuah?tak ada konflik kepentingan? Tunggu awang dan utusan komen geng dia.kalau pembangkang dah berasap diserang siap repot sprm lagi

    BalasPadam
  2. Malaysia ada belia india sahaje? Belia cina,melayu,iban,kadazan dll tak perlu bantuan kewangan?belia mic saje yg sokong BN?jadi belia2 lain boleh pilih pembangkang pulak.jangan jadi bodoh terutama melayu iban dan kadazan.

    BalasPadam