MENGUBAH JALAN HIDUP
Ketika disekolah rendah di Jelebu, Cik Gu saya pernah bersurah tentang apa itu kejayaan. Berjaya dalam kepala Si Cik Gu adalah kejayaan memiliki. Orang yang berjaya akan berjaya memiliki banyak benda i.e harta benda. Memiliki banyak benda hanya akan dapat dicapai dengan bekerja kuat. Si Cik Gu memberikan contoh orang kaya saperti Rockefellar dan Towkay China pemilik kedai di pekan Kuala Klawang sebagai daya tarikan dan bukti.
Falsaafah sademikian telah diperkuatkan lagi oleh ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sekolah dengan harapan ‘memiliki’ akan membebaskan diri mereka dan kaum keluarga dari tahap kehidupan miskin.
Belajar dilihat sebagai cara untuk menerbus masuk ke alam kejayaan. Kejayaan akan hanya dapat dicapai dengan kerja kuat. Dengan tekun bekerja. Dengan rajin berkerja. Dengan tekun belajar.
Pada ketika ini - lima puluh tahun kemudian - saya menyedari bahawa surah Cik Gu itu hanya omong-omong kosong. Saya juga yakin Cik Gu yang mengeluarkan pendapat sademikian juga tidak sedar bahawa apa yang dituturkan kepada murid-murid sekolah rendah adalah hampeh semuanya. Si Cik Gu tidak pernah berfikir sajenak untuk menilai apa dituturkan. Si Cik Gu hanya menjadi burung kakak tua melafazkan apa yang telah pernah didengarinya.
Hari ini saya mencantas buang surah Cik Gu itu. Hari ini saya berani berkata bahawa Si Cik Gu - bukan Cik Gu saya sahaja malah semua Cik Gu adalah penyampai ayat-ayat songsang sesat lagi menyesatkan.
Saya berani berkata sademikian kerana jika bekerja keras membawa kejayaan - jika rajin bekerja akan membawa kejayaan - maka pastilah Penoreh Getah, pastilah Pak Tani, pastilah Nelayan yang akan berjaya. Manakala di India dan di Afrika yang berjaya pasti Orang Perempuan - kerana mereka bekerja kuat - berjalan berjam-jam untuk mencari air.
Bekerja keras untuk mencapai kejayaan ini adalah induk falsafah moden. Sabenarnya dibelakang falsafah ini wujud satu sistem yang lebih besar. Sistem inilah yang mengajukan falsafah ini. Sistem inilah yang melahirkan budaya yang kita gunakan hari ini. Sistem ini juga yang melahirkan gaya hidup kita. Sistem ini ialah sistem kapitalis yang telah wujud lebih dari 200 tahun.
Selama lebih dari 200 tahun sistem kapitalis telah berjaya mengubah dunia. Sistem ini juga telah berjaya membawa keselesaan kepada kehidupan umat manusia. Sistem ini juga telah berjaya membawa penemuan saitifik, penemuan ubat-ubatan dan ilmu pertanian yang mengubah kehidupan manusia.
Pada tahun 2016 - amat jelas bahawa sistem ini sedang nazak dan sedang menuju keruntuhan. Sistem ekonomi kapitalis ini kelihatan tidak boleh lagi dipertahankan. Satelah lebih dari 200 tahun sistem ini telah kotai dan akan runtuh.
Bencana alam - panas yang kita alami sekarang adalah hasil dari sistem ini. Empangan Beris dan Empangan Muda di Kedah semakin kering juga adalah hasil dari sistem ini. Warga di Chuping berkipas dan mandi 7 kali sehari adalah akibat dari sistem ini. Pemanasan global dan alam yang porak peranda ketika ini adalah juga hasil dari sistem ini.
Saya tidak menuduh malapetaka hari ini disebabkan oleh individu, tidak menuduh kelompok, kumpulan, bangsa atau negara. Saya menuduh sistem yang membawa porak peranda. Ini sama saperti tuduhan saya terhadap pilihan raya.
Saya menuduh sistem pilihan raya yang dijalankan oleh SPR bertanggung jawab melakukan penipuan. Individu-individu yang bekerja dengan SPR hanya melakukan apa yang telah diatur dan dirancang oleh satu sistem yang akan memastikan United Malays National Organisation akan terus menang. Justeru yang saya tuduh bertanggung jawab membawa malapetaka kepada bumi manusia ialah sistem ekonomi kapitalis.
Pasti ada yang akan meloncat marah dan meminta saya mengajukan secara tuntas sistem apa yang ada dalam fikrah saya.
Sebelum kita mencari alternatif adalah bijak untuk kita memahami apa yang wujud sekarang. Wajib tahu yang lampau - memahami yang wujud sekarang untuk dijadikan panduan dalam usha umat manusia untuk mencari jalan keluar dari keadaan kita sekarang.
Panas yang berterusan ini menyakinkan saya bahawa ada kemungkinan jihad dan amal jariah tulisan saya tentang pemanasan global ini akan membuka mata dan hati para pembaca.
Sistem kapitalis mengajukan budaya pemilikan individu. Kaum kapitalis adalah kaum pemilik. Lagi besar Sang Kapitalis maka lagi banyak yang dimiliki. Rukun iman kaum kapitalis ialah untung. Kiblat kapitalis ialah keuntungan maksima. Maka apa sahaja yang boleh dijual akan dijual jika ada untung. Apa sahaja yang boleh dibeli akan dibeli jika boleh dapat untung. Apa sahaja yang boleh dikorek akan dikorek jika mendatangkan keuntungan. Apa sahaja yang boleh ditebang akan ditebang jika ada untung.
Kita melihat bagaimana alam ini musnah dalam mengejar cita-cita untuk mencari untung. Kuantan menjadi merah berdebu kerana bauksit. Ikan-ikan di Balok mati terapong kerana racun Lynas. Hutan dara di wilayah Bakun pupus kerana laluan air sungai ditahan. Hutan dirampok. Wilayah pertanian ditenggelam air. Semua kerana kiblat mencari untung.
Sistem ekonomi kapitalis ini datang bersama modeniti. Dalam tulisan awal saya telah meyentoh apa itu modeniti. Salah satu dari falsafah modeniti ialah merayakan hak individu. Konsep garis hak individu ini telah membuka jalan luas untuk kapitalisma.
Kapitalisma menyokong hak individu untuk mengumpul sebanyak mungkin harta benda. Budaya kapitalis meraya dan mengagongkan keupayaan individu untuk mengumpul harta. Bagaimana harta dikumpulkan bukan satu persolaan dalam budaya kapitalis - yang penting berjaya mengumpul.
Menghormati hak individu ini bukan satu kesalahan. Hak sademikin wajib kita hormati. Apa yang kita tentang ialah hak individu telah melintasi hak kumpulan atau hak orang ramai. Dalam merayakan hak individu - sistem ekonomi kapitalis telah memusnahkan hak kepentingan orang ramai.
Contoh buktinya cukup jelas. Mari kita lihat kes Empangan Bakun. Seorang cukong bernama Ting Pek Kiing telah diberi hak untuk mendirikan empangan di Sungai Rejang di Sarawak. Sebelum empangan siap kayu balak telah ditebang untuk dijual. Orang Penan penduduk disekeliling lembah sungai diminta pindah. Tanah datuk nenek moyang mereka - tanah adat mereka - ditenggelami air. Semua ini untuk memastikan seorang individu bernama Ting Pek Kiing mendapat untung dan jadi kaya raya. Beratus keluarga Penan hilang tempat tinggal dan mata pencarian.
Kes bakun memperlihatkan bagaimana sistem kapitalis merayakan hak individu dan menenggelami hak orang ramai. Dalam sistem ekonomi kapitalis - hak orang ramai dilihat tidak akan membawa apa-apa keuntunghan maka hak ini boleh ditenggelamkan.
Memang betul sistem kapitalis ini ada membawa perubahan. Hari ini manusia ada kereta. Manusia bergerak pantas. Manusia ada hospital. Manusia memilik ubatan. Manusia ada jentera untuk membolehkan seorang Pak Tani menanam gandum beratus ekar. Manusia memiliki keupayaan untuk melombong apa sahaja logam yang tersimpan dalam perut bumi. Manusia boleh terbang malah telah sampai ke bulan. Semua ini dibawa oleh sistem kapitalis dan modeniti.
Pada satu ketika dahulu warga dibumi tropikal selalu diserang oleh demam kura atau malaria. Melalui modeniti dan kajian sains manusia telah berjaya menemui kimia - DDT - yang boleh membunuh nyamuk tiruk si pembawa demam kura. Lalu kimia ini disembur. Nyamuk tiruk mati. Demam kura berkurangan.
Sayangnya deman malaria hanya bekurangan untuk sementara waktu sahaja. Rupa-rupanya nyamuk tiruk kini menjadi kebal - tidak lagi tewas ditangan semburan kimia DDT. Nyamuk tiruk kembali menyerang dan kimia DDT yang ditinggikan bahan campuran kini telah menjadi racun pada tumbuhan dan rumput rampai.
Jelas alam yang cuba ditundukkan oleh manusia mungkin berjaya untuk sementara waktu. Tetapi akhirnya umat manusia akan membayar dengan harga yang mahal. Rupa-rupanya apa sahaja yang telah diusik oleh manusia puluhan tahun dahulu - hari ini alam datang kembali meminta bayaran.
Sistem ekonomi kapitalis merayakan individu. Dengan sikap individu yang dirayakan oleh modeniti manusia telah sedaya upaya berjuang untuk menundukkan alam. Falasafah kapitalis menggalakkan individu membuat rekaan baru, membuat pelbagai betuk injin dan teknoloji untuk menundukkan alam dan mendatangkan keuntungan. Teknoloji dan penemuan baru yang tidak membawa untung ditinggalkan bagitu saja.
Jelas kepada kita bahawa menundukkan alam ialah projek modeniti yang ulung. Justeru manusia moden adalah individu yang berjaya menundukkan alam. Alam ditundukkan untuk keselesaan. Keselesaan ini datang. Tapi sayangnya keselesaan hanya untuk sementara waktu. Sementara dalam sejarah perjalanan tamadun manusia bukan satu dua hari atau satu dua bulan. Sementara dalam istilah modeniti melebihi seratus dua ratus tahun. Mungkin seribu tahun.
Justeru, kepanasan yang kita alamai sekarang ialah bukti bahawa alam telah bangun marah. Keselesaan sementara telah lenyap. Alam yang marah datang menuntut pembayaran atas kemusnahan yang telah kita semua lakukan selama 200 tahun ini. Yakinlah panas terik ini akan berterusan. Dan amat menakutkan jika saya katakan ini hanya permulaan babak pertama. (TT)
NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanmggan akhbar minngun ini
sila pukul talipon
03-92-21-30-45
--------
Benar apa yg tuan tulis..ini lah harga yg perlu dibayar akibat kerakusan & ketamakkan manusia yg tidak memperdulikan alam...sesungguhnya semua manusia sekarang ini terpaksa menanggung keperitan yg berterusan..rasailah..nikmatilah..semua yg tuan surahkan adalah benar...
BalasPadamCapitalism = "ENSLAVE" fellow humans & "RAPE" the planet & be praised for your "EXCELLENT" business sense!
BalasPadamI AM TRYING TO PLANT MORE TREES BUT THE "GOMEN" IS CUTTING THEN DOWN, TO MAKE WIDER ROADS, CREATING/ WORSENING THE "HEAT ISLAND" EFFECT....
Maka syurga petai duniya musnah buat TT
BalasPadamTunggulah syurga yang satu Lagi...
MaLah haji hadi akan sadar
Sotong2 yg ADA pun nanti semua
Spesis peLik banyak muncuL
And Luv biLyun2 biLyun onLy
Hidop Kapitalisme, Hak Rakyat dirampas...1MDB, Parti dan cukong, Telco, Bauksit, Balak dan IPP dah jadi sarang kapitalis...Tahap air dan doa pon dah dikapitaliskan...belom lagi bacaan tajwid berlagu dan hapal Quran 30 juzuk...siap ceramah, selawat ya hanana, solat hajat dan ruqyah dah jadi sumber kapitalis...jadi apo laie yang belom dikapitaliskan kat Malaysia ni? Filem porno Riza Ajis Pak Lebai bila nak buat bahan kempen...kahkahkah!
BalasPadamkawasan tadahan di sekitar empangan Beris dah kena gondol dek tangan mengganas.org kampong hanya boleh tengok ja..
BalasPadam