Isnin, 16 Mei 2016

YANG AKHIR DARI AKU



NOTA:
jika aku dipenjara
ini tulisan akhir 



SURAT AKU KEPADA KAU

Kawan ku baik hati,

Aku menulis surat ini pada hari Sabtu 14 Mei 2016 Biasanya aku munulis pada hari Senin. Kali ini aku cepatkan. Ini  kerana pada Senin ini aku akan dihadapkan ke Mahkamah Rayuan Jenayah 3 di Putra Jaya. Awal pagi jam 9:00 Senin 16 Mei 2016  bersamaan Hari Guru aku diwajibkan berada disana.

Di pagi Senin itu akan aku dengari  keputusasn rayuan aku. Di pagi Senin itu akan aku dengar sama ada aku dipenjara, didenda atau dibebaskan. Tiga hakim besar akan membuat keputusan.

Pasti kau akan tertanya-tanya - apa sabenarnya telah terjadi?
Sebenarnya kesahnya bagini , biar aku surahkan dalam surat ini. Aku mahu kamu tahu kesah sebenar. Aku mahu juga  agar anak cucu cicit kita nanti akan dapat membaca dan mengetahui apa sabenarnya yang telah berlaku. 

Kau ingat tidak kitab  Salalisah Raja Raja Melayu? Kau ingat tidak kitab Sejarah Melayu? 

Saperti pada bulan Mei 1612  Tun Seri Lanang  telah menuliskan kembali   Salalatus Salatin - kitab Sejarah Melayu atas pemintaan Yang Di Pertuan Di Hilir Raja Abdullah  untuk rujukan anak cucu cicit yang akan datang.

Aku juga mahu menulis pada 14 Mei 2016  ini tapi bukan  arahan Raja. Aku menulis kerana tugas sejarah  agar  cucu cicit kita  dapat membaca apa yang aku rakamkan ini. Aku mahu surat aku  kepada kau akan menjadi bahan rujukan sejarah.

Aku mahu anak cucu cicit kita tahu apa yang telah berlaku pada aku. Apa maknanya pekara yang telah berlaku ini. Apa yang sedang  berlaku dan yang akan berlaku. Aku ingin memberi kefahaman bahawa apa yang terjadi pada diri aku hanyalah gambar latar dalam satu babak di tanah air kita.

Aku ini hanyalah  pecahan cermin  yang memberi gambaran  dalam satu babak yang lebih besar.

Apakah tepat bila aku katakan babak yang lebih besar? Atau lebih tepat lagi jika  aku katakan ini adalah trajedi besar yang sedang kita alami.

Kawan ku yang baik hati,

Kau ingat tidak PRU12? Kau ingat tidak PRU13? Apakah kau telah lupa pada hari hari dimana kita dibasahi peluh dan air mata.

Pada hemat aku PRU12 pada tahun 2008 adalah tarikh dan masa kita  mengetuk pintu. Kita ketuk  pintu negara. Kita menjengokkan muka. Kita berjaya mendengarkan suara kita  kepada anak semua bangsa. Mereka menyahut ketukan pintu kita. Tapi PRU12 hanyalah  ketukkan pintu.

Memang betul pintu terbuka, tetapi pintu terbuka tidak luas. Cukup untuk kita semua memberanikan hati untuk melangkah tangga. Celah pintu yang terbuka itu akan memberahikan kita semua. Kita menjengok muka ke dalam. Kita mula berahi ingin melihat apa  lagi yang ada dalam rumah.

Aduh!

Apakah kau masih ingat bagaimana kita bergumbira. Apakah kau masih ingat senyum kita meleret sampai ke telinga. Apakah kau masih ingat segala letih dan lesu hilang bagitu saja dimakan oleh kegumbiraan kita bersama.

Lima tahun kemudian sampai PRU13. Pada awalnya aku berpendapat pintu yang telah kita diketuk akan terbuka luas. Rumah sedang menunggu kita masuk. Kitalah tuan rumah yang baru. Ini yang aku harapkan. 

Tapi harapan hanya khayalan. Satu ilusi.Satu mimpi. Aku kembali sedar. Aku sedar bagaiman musuh kita telah melakukan pelbagai rupa bentuk rancangan. Ada  rancangan yang jujur terbuka. Ada yang gelap gulita. Ada yang penuh dengan syak wasangka. Ada yang jelas dan terang  penipuan berganda-ganda.

Kawan ku yang baik hati,

Apakah kau ingat lagi sebelum PRU13 aku telah mengeluarkan sebuah buku - Tipu Pilihanraya Turun Jalan Raya. Aku menulis untuk memberi pencerahan. Pencerahan pada kau, pada anak anak kau, pada kaum kerabat kau dan pada orang kampong kau. Aku melihat ada perancangan teratur untuk memastikan mereka yang berkuasa akan terus berkuasa. Aparacik  dan jentera negara telah diarah untuk memastikan semua berjalan lancar apabila sandiwara PRU13 dipentaskan.

Kawan ku yang baik hati,

Apakah kau fikir apa yang aku tulis ini satu hasutan?

Apabila PRU13 berjalan aku melihat penipuan demi penipuan berlaku. Apakah kau masih lupa tentang dakwat kekal yang tidak kekal. Apakah kau masih lupa orang asing yang menyamar sebagai warga. Apakah kau sudah lupa tentang wang yang mencurah masuk membeli kesetiaan.

Pada hemat aku di PRU13 seharusnya kita masuk dan menjadi tuan rumah. Tapi kita ditipu. Semua lembaga daulah telah bekerja untuk menipu kita. Untuk mengagalkan kita dari memasuki rumah itu.

Kau bayangkan - kita mendapat 52% undi popular. Tetapi kita tidak dapat melangkah masuk ke rumah itu. Kita yang mendapat sokongan majoriti terus tercegat berdiri diatas tangga. Ketika inilah aku sampai.

Lalu aku katakan 3 pekara: Pertama jangan terima keputusan PRU13. Kedua - dimana dibuktikan penipuan terang-terang berlaku - wajib diadakan pemilihan semula.Ketiga - kita wajib beramai-ramai membantah hal ini.

Tiga pekara ini aku lafazkan secara terbuka pada ratusan warga  pada malam 13 Mei 2013 - di Dewan China Kuala Lumpur. Warga datang mendengar apa yang aku ucapan kerana mereka juga merasa tidak puas hati dengan penipuan yang terang terang berlaku dalam PRU13.

Kawan ku yang baik hati,

Tetiba aku ditahan. Lalu aku dihadapkan ke muka hakim. Aku dituduh dibawah Akta Hasutan 1948. Tiga pekara yang aku ucapkan  telah menjadi buah butir pembicaraan dalam mahkamah.

Nah!

Kau bayangkan beberapa bulan salepas aku dibicarakan badan NGO BERSIH 2.0 telah mengadakan Tribunal Rakyat. Ramai bijak dan pandai dari luar negara - si Polan dan si Polan yang arif dalam hal pilihan raya telah dijemput datang dari seluruh dunia. Saksi dari seluruh negara telah juga dipanggil.

Apa yang ditemui oleh Tribunal ini?

Memang terbukti wujud penipuan dalam PRU13. Memang ada rasuah berlaku dalam PRU13. PRU13 tidak dijalankan dengan  bebas dan adil. 

Aduh kawan ku!

Apa yang ditemui oleh Tribunal Rakyat lebih jelas   dan lebih ilmiah dari ucapan aku pada malam 13 Mei 2013 di Dewan China. Tapi inti pati ucapan aku dan penemuan Tribunal adalah sama. Ada penipuan dalam PRU13.

Lalu aku bertanya -kenapa aku yang bercakap benar ditahan dan dibicarakan?

Disini ingin juga aku beri tahu bahawa yang didakwa bukan aku seorang. Ada lima lagi kawan-kawan yang juga ditahan dan dibicarakan. YB Tian Chua, Tamrin Ghaffar, Adam Adli, Safuan Anang dan Haris Ibrahim.

Haris Ibrahim telah dijatuhkan hukum 8 bulan penjara. Adam Adli  dan Safuan Anang dua anak muda ini sedang merayu. Yb Tian kes akan bermula pada 17 Mei ini.  Kes Tamrin masih belum dibuka. 
Nah inilah yang telah berlaku. Inilah surah yang aku rakamkan kepada anak cucu cicit kita. Biar mereka  membaca dan mengetahui  babak-babak akhir sebelum aku ke penjara.

Pada awalnya aku hanya didenda 5 ribu ringgit. Tapi Pendakwa/Kerajaan tidak puas hati. Kes aku didengari pula di Mahkamah Tinggi. Disinilah aku didapati bersalah. Denda aku dipulangkan. Dan aku dijatuhkan hukum penjara 9 bulan. Pagi Senin ini adalah keputusan akhir.

Kawan ku yang baik hati,

Kau tak perlu bersedih. Kau tak perlu susah hati. Sedih dan susah hati bukan jawapan yang betul bila berhadapan dengan apa yang sedang kita  hadapi. Aku tahu kau akan bersimpati. Aku tahu kau akan bersetia kawan dengan aku. Aku ucapkan terima kaseh.

Kita tidak perlu bersedih. Apa yang wajib kita lakukan ialah memperkuatan semangat. Sabenarnya aku berpendapat dalam negara kita ini orang jahat tidak ramai. Orang baik baik amat ramai. Sayangnya orang  yang baik baik ini tidak mahu berbuat sesuatu. Jika orang baik mula bersuara aku rasa orang jahat ini akan lari lintang pukang.

Kawan ku yang baik hati,

Ini surat akhir dari aku. Jika aku dipenjara Senin ini  maka aku tidak akan menulis selama 9 bulan. Aku bercuti menulis. Jika aku didenda maka aku akan membayar denda. Jika aku dibebaskan maka aku akan menjadi sosok bebas.

Peguam aku Datuk Ambiga Sreenevasan dan Syahredzan Johan. Ambiga cukup yakin aku tidak ada kes. Malah aku tidak sepatutnya di dakwa. Kalau berlandaskan undang-undang dan hukum. Senin ini aku bebas. Lalu aku beritahu Ambiga bahawa kita ini duduk di Malaysia. Kami sesama terbarai ketawa.

Yakinlah apa yang aku lakuan ini adalah sebahagian dari  janji aku. Aku sebenarnya telah berikat janji dengan arwah emak aku dan arwah abah aku. Ketika aku berkelana di kota London mereka telah datang menemui aku. Lalu mereka bertanya apa sebenarnya yang aku buat. Lalu aku bersurah panjang. Sang Emak faham.Justeru dia melarang aku pulang ke kampong.

Dihadapan mereka di Bromley-by-Bow  aku lafazkan janji untuk bercakap benar. Lalu aku berjanji  untuk menjadi warga yang baik sebaik mungkin yang aku terdaya.

Hingga ke hari ini -aku setia dan teguh dengan janji aku ini.

Jika bercakap benar aku dianggap penjenayah maka aku rasa kita semua dalam bahaya ertinya negara sedang  dipimpin oleh penjenayah. Jika berkata jujur menjadi kesalahan maka bahaya kita berganda-ganda.

Kawan ku yang baik hati,

Jika bercakap benar dibayar dengan penjara maka penjaralah harganya. Jika bercakap benar ke tali gantung maka perjuangan ini wajib disambung. Amin. Wassalam.(TT)


----------

9 ulasan:

  1. Honesty and truth kills.

    BalasPadam
  2. Sekiranya pakcik hisham nie sharizat lembu...pakcik hisham suci dari dosa tapi pakcik jadi lembu jantan liar yg menentang arus....pakcik tak peduli kn kondo....salute utk pakcik


    PS: aku minat tulisan org tua nie dh byk juga komen aku dia siarkan. 9 bulan....rasa tggu pompuan nk beranak hahaha....sunyi le pas nie,

    BalasPadam
  3. Tiada dilupakan perjuangan si Penghasut TT
    Bercakap benar harus diteguhkan.
    Kesetiakawanan tetap diingati sampai bila2
    Take a well deserved rest Tuan TT.
    You are paying the price for all of us.

    BalasPadam
  4. Alhamdulillah Syukur pd Allah Hisham kau tak kena penjara...Alhamdulillah, dpt lagi baca crita kau...sukar nk jumpa makhluk Allah bagi kat umat Melayu ni...Moga hidup mendpt rahmat Allah sentiasa

    BalasPadam
  5. Bro TT, politik adalah salah satu cabang ekonomi.kegagalan ekonomi dalam politik adalah tidak sama dengan kejayaan mempolitikkan sentimen agama dan bangsa.Orang yang menerima hukuman dipenjara akan mati kebuluran kerana ekonomi yang gagal.

    BalasPadam
  6. saudara kita harris ibrahim
    di mana sekarang...
    saLam untuk~nya
    sesiapa saja yg mnemuinya

    BalasPadam
  7. mamamiaaa TT
    kah kah kah

    BalasPadam
  8. Bro Isham menulis memang dari hati. tersentuh hingga ke lubuk paling dalam..

    BalasPadam
  9. bang sham. apasal aku rasa tulisan kau kalini macam bukan kau yang tulis? corak bahasa tu macam tak sama dengan yang biasa aku baca. apakah masa ni kau sedang dalam ketakutan? kahkahkah.. .

    BalasPadam