Ahad, 17 Julai 2016

NAKBA IALAH MALAPETKA










NAKBA

MALAPETAKA


Setiap 15 Mei, warga Palestin akan menyambut Nakba. Tarikh ini bukan disambut dengan pesta-pestaan. Tarikh Nakba ini - 15 Mei 1948 - adalah tarikh entiti yang dipanggil Israel dipacakkan ke atas bumi Arab. Justeru, pada tarikh ini warga Palestin di seluruh dunia akan mengingati kembali hari musibah ini.

Semenjak 15 Mei 1948 warga Palestin berhadapan dengan segala macam kesengsaraan. Tanah mereka dirampas, rumah mereka diroboh. Mereka hilang harta benda, hak demokrasi dan kampung halaman. Rakyat Palestin diserang, dibunuh dan dihalau dari kampung halaman. Sesiapa yang berani melawan akan dipenjara.

Nakba 15 Mei adalah Malapetaka untuk warga Palestin. Nakba 31 Ogos adalah Malapetaka untuk Semenajung Tanah Melayu. Nakba ialah Malapetaka.

Saban tahun semenjak 31 Ogos 1957 Hari Malapetaka telah di rayakan di Tanah Melayu ini. Malapetaka yang menimpa warga Persekutuan Tanah Melayu ini tidak jauh bezanya dari yang sedang dialami oleh Nakba di Palestin.

Untuk memahami kembali sejarah kelahiran Malapetaka ini, biar saya bawa kembali para pembaca kepada pensejarahan kelahiran hari Malapetaka ini. Hendaknya dapatlah kita semua memahami makna Malapetaka ini, yang dieja dengan huruf M besar ini.

Awalnya, Perjanjian Anglo-Dutch 1824 telah memisahkan kepulauan Melayu kepada dua entiti - Semenanjung Tanah Melayu di bawah British dan Batavia di bawah Belanda. Pejanjian Anglo-Thai 1909 telah memisahkan pula lima wilayah Melayu - Pattani, Jala, Setul, Singgora dan Menara. Wilayah ini menjadi tanah jajahan Siam hinga ke hari ini. Pada tahun 1874, melalui Perjanjian Pangkor, kuasa kolonial Britsh telah memasukkan jarumnya untuk menjajah Semenanjung Tanah Melayu.

Perjanjian Pangkor ini akhirnya membolehkan British menguasai seluruh Semenanjung Melayu. Akhirnya Tanah Melayu menjadi tanah jajahan British bawah jagaan England dan bukan lagi East India Company.

Penjajah Barat datang untuk mencari harta kekayaan. Di Tanah Melayu British telah bertemu dengan bijih. British juga membuka ladang getah. Dua punca ekonomi ini menjadi begitu penting sekali untuk perkembangan ekonomi kolonial British.

Setiakawan melawan penjajah

Untuk terus melipat gandakan keuntungan, kaum penjajah British telah membuka bumi Melayu kepada pendatang baru dari Cina dan India. Mereka telah dibawa masuk sebagai tenaga buruh oleh kuasa kolonial British. Dengan kehadiran buruh Cina dan buruh India ini maka lanskap Tanah Melayu berubah untuk selama-lamanya.

Dunia ini bergerak dengan hukum hakam alam. Hukum alam bergerak dan tidak berubah-ubah. Hukum ini menetapkan, di mana ada penindasan, di sana pasti akan ada penentangan. Hukum alam ini mula menapai dan mengampuh di Tanah Melayu. Hasilnya, Kesatuan Melayu Muda (KMM) ditubuh pada tahun 1938. Ini adalah gerakan politik paling awal yang menuntut kemerdekaan Tanah Melayu dari British.

Pada ketika ini Parti Komunis Malaya (PKM) telah wujud di Singapura. PKM pada ketika itu sedang menyusun kaum buruh Cina di kota-kota seperti Singapura, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Penentangan terhadap penjajah British dan kuasa modal penjajah ini telah melahirkan setiakawan diantara KMM dengan PKM. Ikatan setiakawan ini adalah kerjasama antara kaum tani Melayu dengan kaum buruh India dan Cina. Inilah bibit-bibit kelahiran negara bangsa.

Kesampaian Jepun pada tahun 8 Ogos 1941 telah meruntuhkan empayar British. Dalam masa yang sama ikatan setiakawan bangsa-bangsa di Tanah Melayu untuk menuntut kemerdekaan telah diperkukuhkan. Perjungan bersenjata Tentera Rakyat Malaya Menentang Jepun atau Malayan People Anti Japanese Army telah memperkukuhkan lagi setiakawan bangsa-bangsa di Tanah Melayu.

Apabila Jepun kalah perang pada bulan Ogos 1945 sekali lagi pentadbiran ketenteraan British masuk untuk mengambil alih pentabiran Tanah Melayu. Tetapi semuanya telah berubah. Tanah Melayu kini bukan lagi Tanah Melayu sebelum perang Jepun.

Kini gerakan nasionalisma telah mengampuh dan laungan kemerdekaan kedengaran di sana sini. Telah wujud Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar ( AWAS). Semua ini adalah gerakan nasionalis kiri yang bangun berjuang untuk menghalau British dari Tanah Melayu.

British secara licik dan terancang telah mewujudkan apa yang dipanggil hingga ke hari ini United Malay National Organisation. Ini adalah organisasi yang ditelur, yang dieram dan dinetaskan oleh penjajah British. Tarikh munculnya gerombolan United Malaya National Organisation pada tahun 1946 agak lewat. Ia muncul sebagai reaksi terhadap gerakan nasionalis Melayu kiri yang mahu menghalau British. Dari segi sejarah, cukup jelas bahawa gerombolan ini diwujudkan untuk menjadi tali barut dan budak suruhan British.


Setiakawan antara bangsa-bangsa yang bangun menentang penjajah British telah melahir setiakawan yang baru. Perlembagaan Rakyat telah dilahirkan pada tahun 1947 oleh AMCJA-PUTERA. Ini adalah kerjasama setiakawan antara All Malayan Council Joint Action dengan organisasi massa Melayu bernama PUTERA.

Semua bangsa dipanggil Melayu

Perlembagaan Rakyat 1947 ini cukup penting dalam sejarah pembentukan negara bangsa. Dalam Perlembagaan Rakyat ini sesiapa sahaja yang lahir di Tanah Melayu akan dinobat sebagai Melayu. Ertinya anak semua bangsa yang lahir di Tanah Melayu adalah Melayu. Ini adalah garis politik kiri yang paling radikal. Garis politik ini dan setiakawan anak semua bangsa telah mengoncang kekuatan kuasa kolonial British.

Untuk menumpaskan agenda kelahiran negara Bangsa Melayu ini, secara licik British melalui gerombolan United Malay National Organisation telah melaungkan slogan "Hidup Melayu". Para pembaca yang budiman, perhatikan betul-betul slogan ini. Slogan ini bukan laungan untuk menghalau British tetapi untuk menunjukan bahawa orang Melayu kurang oksigen.

Gerombolan United Malay National Organisation dengan kerjasama British telah memulakan dan menanamkan garis politik Melayu-Melayu, China-China dan India-India. Maka lahirlah PERIKATAN. Politik perkauman ini amat baik untuk British. Ini adalah dasar pecah dan perintah. Dalam pertubuhan PERIKATAN masih lagi Melayu, Cina dan India. Berbanding dengan AMCAJA-PUTERA, badan ini adalah gabungan anak semua bangsa yang memanggil diri mereka Melayu.

Projek Perlembagaan Rakyat 1947 telah digagalkan British. Akhirnya, pada 20 Jun 1948 pecahlah perang kolonial menentang British. Perang kolonial kali ini telah disertai oleh API, AWAS, Hisbul Musliminin, Malayan Democratic Union, PKM, KMM, PKMM dan ratusan patriot dan nasionalis anak semua bangsa. Mereka mengangkat senjata untuk menghalau British dari Tanah Melayu.

Saya harap hingga ke tahap ini para pembaca telah dapat memahami pejalanan sejarah Tanah Melayu. Saya harap para pembaca telah dapat memahami dari mana munculnya gerombolan United Malay National Organisation, Malayan Chinese Association dan Malayan Indian Congress. Kesemua badan-badan ini adalah boneka British. Dari namanya kita telah tahu bahawa badan-badan ini dibentuk dan ditaja oleh penjajah British.

Mari kita lihat apakah yang telah dibuat oleh United Malaya National Organisation apabila rakyat Tanah Melayu pada thun 1948 bangun mengangkat senjata melawan British. Apa agaknya yang telah dilakukan oleh United Malay National Organisation? Sejarah membuktikan bahawa mereka bukan bangun menentang British tetapi bangun berjuang menentang orang yang menentang British.

Jjika tidak percaya apa yang saya tulis ini, sila bersabar. Pada bulan Ogos ini nanti, media milik United Malay National Organisation akan membuka kisah-kisah bodoh di mana puak-puak gerombolan tanpa segan dan malu akan membuktikan bahawa mereka dengan bangga telah menjadi suruhan British. Mereka akan mendabik dada mengatakan bagaimana mereka berjuang menentang komunis. Walhal, gerila parti komunis ketika itu sedang melawan British.


Ketika Shamsiah Fakeh, Abdullah Sidi, Rashid Maydin, Chin Peng bangun mengangkat senjata, apa yang dilakukan oleh United Malaya National Organisation?

Tidak berkesudahan

Sejarah jelas membuktikan gerombolan United Malay National Organisation telah bersubahat dengan British untuk menumpaskan gerakan bersenjata melawan British ini.

Ketika anak semua bangsa bangun melawan British untuk mencapai kemerdekaan, gerombolan United Malaya National Organisation bangun berjuang melawan orang yang berjuang untuk merdeka.

Justeru, sebagai balasan menjadi budak suruhan yang setia, pada 31 Ogos 1957 penjajah British telah mengagihkan pentabiran Tanah Melayu kepada United Malay National Organisation. Tarikh 31 Ogos inilah yang menjadi Hari Malapetaka untuk Tanah Melayu. Tarikh ini adalah Nakba untuk anak semua bangsa di Tanah Melayu. Semenjak dari tarikh ini kita telah melihat satu demi satu musibah telah menimpa Tanah Melayu.

Saya menobatkan 31 Ogos sebagai Hari Malapetaka untuk menilai kembali pensejarahan Tanah Melayu. Kita tidak perlu berselindung. Nakba di Palestin membolehkan tanah-tanah Palestin dirampas oleh kaum Zionis. Malapetaka di Tanah Melayu memperlihatkan ribuan hektar tanah rizab Melayu hilang dirampas oleh Zionis tempatan.

Pelentong, Chu Badak, Tasek Utara, Berembang, Kerpan hanyalah beberapa nama tanah asal Melayu yang dilupus. Paling akhir tanah Keretapi Api Tanah Melayu di Singapura lupus. Dan yang akan datang ialah tanah Kampung Baru dan Kampung Banda Dalam.

Malapetaka ini tidak berkesudahan. Lihat pula berapa ratus ribu anak semua bangsa menjadi mangsa ditahan tanpa bicara semenjak British mewujudkan akta ISA pada tahun 1948. Paling akhir kita melihat enam warga penyokong BERSIH ditahan tanpa bicara bawah Ordinan Darurat.

Berapa ribu pula warga yang telah gugur dan mati dibunuh dalam tahanan? Pernah saya terdengar suara dari parlimen menyatakan lebih dari satu ribu orang telah gugur semenjak sepuluh tahun dahulu. Nama seperti Altantuya, Beng Hock, Kugan, Francis, Aminulrashid dan Sarbaini akan terus bertokok tambah. Malapetaka ini masih berterusan.

Bulan Ogos kelihatan amat ironi untuk Tanah Melayu kerana 500 tahun lalu, pada 10 Ogos 1511 Portugis telah mendarat di Melaka. Pendaratan Portugis 500 tahun dahulu hanya akan dilihat sebagai satu titik dakwat hitam dalam sejarah Tanah Melayu berbanding dengan Malapetaka 31 Ogos.

Untuk pembaca yang muda biar saya ditunjukan di sini bahawa Nakba di Palestin pada 14 Mei adalah hasil dari perancangan British. Manakala Malapetaka di Tanah Melayu pada 31 Ogos adalah juga hasil perancangan British. Nakba di Palestin berterusan hingga ke hari ini. Malapetaka di Tanah Melayu ini juga tidak akan reda-reda selagi gerombolan United Malay National Organisation tidak dihumbankan ke dalam tong sampah sejarah.(TT)



----------------

6 ulasan:

  1. Pembelot dikatakan wira, wira dikatakan pembelot... utk aku negara kita belum merdeka selagi penjilat british dikuburkan....

    BalasPadam
  2. Pembelot dikatakan wira negara, wira negara pula dikatakan pembelot... untuk aku negara kita belum merdeka lagi selagi penjilat british dikuburkan... akan aku mengibarkan bendera sebenar setelah kita mencapai kemerdekaan yg sebenarnya...

    BalasPadam
  3. lu kutuk2 british dan parti tali barut tp lu pun lari pergi sana juagk kenapa? tu yang gua hairan tu? kenapa kat sana?

    BalasPadam
  4. Sir Henry Gurney adalah veteran Palestine sebelum beliau dihantar oleh kerajaan British sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaya dan mengerakkan pemindahan 600 ribu penduduk cina yang tinggal di pinggir hutan di seluruh Malaya ke Kampung Baru untuk melumpuhkan gerakan Min Yuen. Jika tidak kemungkinan lebih ramai cina tinggal di luar bandar dan berasimilasi dengan kaim peribumi dan melayu

    BalasPadam
  5. Dulu ada kommunis , semua hutan ter-jaga
    Sekarang tak ada kommunis , hutan jadi botak.

    BalasPadam
  6. Kesiyan sungguh kita sesama kita
    Sama TT pun kesiyan juga
    Cerdek pandai tapi membaca
    Dan mengkaji ketidak benaran
    Sejarah di tuLis zionis
    Sejarah itu semua tahu x benar
    Di uLas di kaji ketidak benaran nya
    Kemudian daLam timbunan2
    sejarah-sejarah yg tidak benar itu
    Di huLur Lagi sejarah Lama
    Edusi baru
    Yang juga tidak benar
    Contoh..
    Bukit kepong, merdeka
    Terang buLan, jaLor temberang
    9/11 wtc, new worLd order...
    Hari 9/11 dihuLur berita tipu
    Kita sedang membaca berita itu
    Laknat itu sedang membuat
    SepuLuh Lagi tipu-tipu..
    2000-2010 kita baca 9/11
    yg hampir2 benar
    Tapi mereka buat perang paLsu
    Perang x benar...kita di beri puLa
    Berita Perang PaLsu dan berita
    Hampir Benar

    BalasPadam