Rabu, 24 Ogos 2016

FBI CARI BAGINDA TUANKU




FBI-CARI 

BAGINDA TUANKU

Minggu ini gua jadi kelam kabut. Gua tidak tahu  apa  yang wajib gua lakukan. Hendak ketawa gua rasa  bersalah. Hendak menangis air mata enggan keluar. Atau gua terus jadi marah hingga tercabut uban.Tapi gua risau juga jika kelihatan botak.

Keadaan gua bercelaru saperti ini timbul kerana persoalan siapa dia  yang dipanggil Malaysian Official 1 (MO1) oleh Peguam Negara Amerika belum selesai. MO1 ini terus menjadi buah mulut yang berpanjangan. Gua sendiri tercari-cari dan tertanya-tanya.

Sidang akhbar Puan Loretta Lynch berlangsung pada 21 Julai yang lalu. Telah lebih satu bulan. Tapi siapa kah yang dimaksudkan oleh Peguam Negara Amerika ini sebagai Malaysain Official 1 masih menjadi tanda tanya di Malaysia.

Rakyat satu Malaysia hanya  berhenti bertanya siapa MO1 ini ketika ada pertarungan badminton dari Rio. Sebaik sahaja Chong Wei  selesai bertarung dan meletakan raket ditepi dinding  satu Malaysia terus heboh  bising. Heboh memberi pendapat dan teori siapa dia MO1 itu?

Sekarang sukan Olympik Rio telah tamat. Sebaik sahaja Olympik selesai Malaysia menjadi heboh kembali. Seheboh murai mencari bini. Persoalan siapa  MO1 meledak kembali.

Paling terbaru ialah kenyataan dari Langkawi.  Ini bukan kenyataan dari cucu cicit Mahsuri tapi dari  Tuan Haji Nawawi  yang mengakui dirinya sebagai Yang Berhormat. Hormat macam mana itu gua sendiri kurang arif.

Mengikut laporan portal media yang amat cepat lagi pantas - Tuan Haji YB ini telah menulis dalam Face Book miliknya. Mengikut tuan empunya  surah Tuan Haji YB ini telah menganalisa Perlembagaan Persekutuan. Tuan Haji YB ini berpendapat mengikut kajian yang dilakukan  - terang dan jelas  - MO1 ini ialah Yang Di Pertuan Agong.

Yang Di Pertuan Agong! Ya ampooon. Sultan Kedah yang kini Yang di Pertuan Agong kita semua yang dimaksudkan oleh YB Langkawi ini. Tuanku inilah mengikut  kajian Tuan Haji  YB yang sebenarnya  Malaysian Official 1, bukan Official 2 dan bukan Official 3.

Berita ini meledak. Berita ini membawa gempar. Berita ini amat amat menakutkan. Apa maknanya kenyataan dari Tuan Haji Nawawi ini? Bayangkan  jika saheh Yang Di Pertuan Agong menjadi MO1 - apa akan terjadi.

Maknanya FBI akan masuk ke Istana Negara. Maknanya FBI akan menangkap Raja kita untuk dibawa ke Amerika. Maknanya - dimana  muka kita sebagai rakyat hendak kita sorokan. Maknanya Perkasa dan Jaringan  Melayu akan melaungkan semboyan perang menentang Amerika. Maknanya Jamal Ikan Bakar akan dapat bujet untuk berdemo depan kedutaan Amerika. Maknanya Ali Tinju akan bergaduh dengan Jamal untuk merebut dana Baju Merah. Maknanya Tajuddin Rahman dari  Pasir Salak akan bersilat sekali lagi di Jalan Petaling kali ini memakai cawat merah. 

Penyokong Ali Tinju akan menghantuk-hantuk  kepala sekali lagi di hadapan Sogo. Kali ini  mungkin  menggunkan buah kelapa. Semua Ngo Melayu siap siaga untuk melawan Amerika. Bayangkan - semua ini  muncul hasil dari kenyatan Tuan Haji YB Langkawi.

Apakah kita sudah bersedia untuk berhadapan dengan Amerika?  Soalan macam ini menjadikan gua terus kelam kabut.

Dalam keadaan ini gua menjadi amarah. Gua marah kepada Puan Loretta Lynch. Kenapa tidak bercakap dengan terus terang. Kenapa gunakan Malaysian Official 1? Kenapa tidak tuliskan siapa  nama Malaysian Official 1 ini.

Gua tidak tahu apa sebab musabab pihak Dapartment of Justice America (DOJ) tidak mahu menyebut si Polan bin si Polan sebagai Malaysia Official 1. Adakah saekor gajah sedang diberselindung di belakang Puan Loretta Lynch? Atau adakah ini stratiji Encik Andrew MacCabe Timbalan Pengarah FBI untuk memerangkap Riza Aziz a.k.a Anak Najib dan Jho Low a.k.a China Tembam. Wal lah hu alam.

Ketika rasa marah kepada DOJ membuak, gua juga merasa kagum dengan Tuan Haji YB. Di Malaysia ini ada 30 juta penduduk. Tetapi tidak seorang pun saperti Tuan Haji YB ini. Beliau menyelesaikan persoalan dengan tuntas lagi ilmiah. Bukan dengan pukul curi. Bukan dengan agak-agak. Beliau membuat kajian ilmiah dan membuktikan bahawa Agong kita ialah Malaysia Official 1. Syabas.

Bayangkan - kenyatan dari FB ini telah menjemput pelbagai jawapan. Ramai yang mengatakan bahwa Tuan Haji YB ini bangang lagi bodoh. Ramai yang mengutuk dan menghina Tuan Haji YB ini. Para royalis dan feudalis semuanya marah kerana nama Yang Di Pertuan Agong dipalitkan dengan kes rompakan 2.6 bilion ringgit.

Paling menakutkan ialah soalan yang mucul dari mulut Mahathir. Bekas Perdana Menteri ini telah bertanya sambil menyoal - jika Agong ini Malaysian Official 1 apakah Riza Aziz itu anak tiri Baginda. Ya Ampooon. Meremang bulu  tengok gua apabila  membaca soalan dari Tun M ini.  Badan gua menggigil takut kerana apa yang sedang berligar dalam kepala  gua ini amat-amat menakutkan gua sendiri.  

Gua tergambar katil besi dan anak gajah. Yang lainnya  demi Zeus gua tak berani nak tulis. Ya Ampooon - dijauhi malaikat empat puluh empat. Riza Aziz bukan anak tiri Agong. Tak mungkin. Mustahil. 

Tup tup Istana membuat kenyataan meminta jangan dibabitkan Istana  dengan kes rompakan yang telah dijalankan oleh Anak Najib dan China Tembam. Maaf. Istana TIDAK menggunakan istilah atau menyebut China Tembam. Ini bahasa gua kerana gua merasa amat marah apabila Agong dipalitkan dengan kes rompakan. Ampon Tuanku.

Kenyataan dari Istana ini tidak diambil pot oleh Tuan Haji YB. Yang Berhormat dari Langkawai ini berkata - apa perlu minta maaf kerana beliau  tidak melakukan apa apa kesalahan. Betul tepat. Kenyatan YB ini muncul dari kajian bukan ciplakan saperti lagu Terang Bulan. Memang  hebat Tuan Haji YB ini. Gua amat yakin dalam urat lidah   Tuan Haji ini ada mengalir darah Pahlawan Bugis. Kerana itu beliau  cekap bersilat lidah. Ampon Tuanku.

Pusing punya putar kita kembali persolaan hakiki kurun ini - siapa dia MO1 ini. 

Kalau di Greece  empat ribu tahun dahulu - apabila warga kota Athens ingin tahu sesuatu mereka akan pergi bertanya kepada Delphi. Tempat  bersemayam Dewa Dewi ini terletak diatas bukit tepi kota Athens.  Delphi yang dianggap pusat dunia ini  akan memberi jawapan kepada apa saja soalan.

Manakala warga Mesir dizaman Firaun jika  dalam kesusahan dan ingin bertanya sesuatu mereka akan pergi berjumpa Abu al-Hual atau Sphinx di Giza. Mengikut surah yang disurahkan semua persoalan dapat dijawab oleh Abu al-Haul ini. 

Bani Melayu juga ada tradisi saperti ini yang diturun temurunkan dari Orang Asal  suku Biduanda. Gua difahamkan jika Bani Melayu ingin mengetahui sesuatu  maka perlu ditilik melalui air dalam  tempurung. Air ini wajib datang dari tujuh perigi. Jampi serapah wajib dibacakan untuk  memanggil segala dewa dan dewi seru sekelian alam. Jika niat suci maka akan muncul bayangan jawapan itu dalam tempurung yang berisi air.

Mamang gua sudah bersedia untuk menilik air dalam tempurung.  Gua ingin menyelesaikan dengan tuntas - siapakah dia MO1 ini.  Untuk melunaskan  ini gua telah dapatkan tempurung kelapa. Gua telah dapatkan manek urai. Gua telah dapat kemenyan batu. Gua telah mengumpul tujuh batang serai gajah. Malah dua ekor ayam dara hitam berkaki hitam juga ada dalam simpanan gua. Semua barang ini - walau pun pelik bunyinya - amat diperlukan untuk membuat kerja ‘menurun dan menilek’. Ini syarat turun temurun ajaran Tok Batin Gunung Sibuntang.

Mencari bomoh dan pawang bukan satu masalah dalam kota kosmopolitan saperti Kuala Lumpur ini. Memang ramai pawang dan  bomoh di Kuala Lumpur. Pergi sahaja ke tempat jual  beli saham Toto Vincent Tan kita pasti akan bertemu dengan Tok Bomoh  yang membuka pejabatnya ditepi kedai milik Vincent Tan. Amin.

Yang paling susah untuk gua mentuntaskan   malam menilek MO1 ini ialah mencari air dari tujuh buah perigi.  Gua gagal. Hingga ke hari ini gua baru bertemu dengan dua perigi.

Sayang sekali - baru gua sedar dan faham kenapa  semua ubat dan jampi serapah Tok Bomoh hari ini sudah tidak mujarab lagi - tidak boleh dipakai. Tok Bomoh  hari ini menggunakan air paip. Jampi dan serapah telah bercampur dengan klorin.
Kesah punya kesah kita masih belum  dapat  gua menyelesaikan masaalah induk. Persolaan hakiki kurun ini  masih belum ada jawapan.

Tun Mahathir telah berkata bahawa hanya orang bangang sahaja yang tidak tahu siapa dia Malaysia Official 1 ini. Bila gua terbaca kenyatan Tun ini berdesing juga telinga gua kerana Tun pun sama saperti Puan Loretta Lynch tidak menyebut  nama  tepat  Si Malaon ini.

YB Rahman Dahlan dari Kota Belud pun sama macam Tun Mahathir. YB Kota Belud ini telah berkata bahawa : siapa dia Malaysian Official 1 amat jelas. Dalam jelas jelas ini   tidak juga diberi nama siapa sabenarnya si Malaon ini.

Tapi gua rasa semua ini akan selesai dengan tuntas  pada hari Sabtu 27 haribulan Ogos ini. Gua diberitahu bahawa satu Gerakan Anak Muda akan mengadakan perhimpunan  besar. Diwar warkan  10,000 anak muda, pelajar  dan mahasiswa akan turun ke Dataran Merdeka pada  jam 2 petang dihari tersebut. Tujuan perhimpuan  ini ialah untuk menangkap Malaysia Offcial 1. Aduh ini hebat.

Untuk saat ini gua tidak berani menuduh secara melulu. Gua takut dianggap tulah kepada Sultan. Gua tidak mahu derhaka terhadap Agong. Gua gentar akan didkawa sekali lagi di bawah Akta Hasutan 1948 kalau gua katakan bahawa  Malaysian Official  1 ialah…..

Tapi gua akan hadir pada petang sabtu 27 haribulan ini. Gua nak lihat muka Malaysian Offcial 1 yang akan ditangkap oleh mahasiswa. Kalau jaki nak tahu siapa dia Najib opps… silap siapa dia Malaysian Official 1 mari bersama ke Dataran Merdeka.(TT)

NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanmggan akhbar minngun ini
sila pukul talipon
03-92-21-30-45



--------------

2 ulasan:

  1. Kahkahkah .. TT toksah panik la .. sampai luruh uban lak. Tak lama lagi maskot binatang negara kita nak tukar dari rimau ke kucing. Kucing kata omputih ada 9 nyawa. Kita ado sembilang Sultang .. kalau Agong ni kono tangkap kek FBI, lantak dio la. Kito ado lagi lapang Sultang .. ya ampoon .. apo kito nak takut. Kah kah kah sembilang nyawo.

    BalasPadam
  2. Haisss tt, kau takde segan silu membogelkan perasaan kelam kabut pikiran kau pada semua pembaca berkaitan siapa makhluk mo1 ini, maka terpaksalah aku ke depan mengaku yang aku pun serupa jugak rasa kelam kabut dan risau teramat sangat bila tersebar sepantas kilat pendedahan mo1 itu adalah agong.
    Bila mula-mula isu doj orangramai mencongak mo1 ialah najib, aku selamba je. Kalau najib ditangkap fbi pun, dia cuma presiden umno dan bn. Ya, najib pm, tapi dia cuma pm pada 48% rakyat negara sedangkan 52% dah katakan tak nak pada najib. Itu dulu. Sekarang mungkin dah melonjak jadi 60-70% sejak mahathir laki bini anak beranak di kedah keluar umno tak nak najib, anina keluar umno tak nak najib, khairuddin keluar tak nak najib, muhidin di johor keluar umno tak nak najib, anak afdal di sabah keluar tak nak najib, malah jangan lupa saifudin abdullah di pahang pun masa tu kalangan 48% tapi lepas tu dah keluar umno tak nak najib, maknanya merata-rata dah tak nak najib, tak hairan jika dah cecah 70% tak nak najib.
    Maka jika najib ditangkap diheret dikurung dihukum dijatuh atau diguling dari jawatan pm, itu bukanlah sesuatu kejahatan menggemparkan yang perlu dihalang. Memang 70% rakyat malaysia nak najib beredar. Berambus. Jadi aku selamba je la.
    Tapi bila ada pulak mengatakan mo1 yang akan ditangkap dipenjara adalah agong, aku kelam kabut! Cepat-cepat aku ke belakang rumah selongkar bilik stor bilik tidur kepuk padi reban ayam. Tujuan: cari keris la. Parang panjang. Asah baik-baik guna 7 biji limau purut beralas 7 helai pucuk sireh berasapkan 7 ulas kemenyan.
    Mesti beb. Ini nak melawan orang amerika, bukan calang-calang musuh, semua tinggi semua besar berat 200kg. Perlu. Ini nak pertahankan agong. Raja kita semua. Raja seluruh rakyat malaysia. Raja semua melayu dan semua islam. Kalau takde agong menangis tak berhenti aku sebab tahun-tahun akan datang kita semua tak dapek lagi rayo!

    BalasPadam