MOGA DS NAJIB HIDUP 100 TAHUN LAGI
Berdasarkan ucapan-ucapan beliau sendiri dalam jelajah merasmikan Mesyuarat Agung UMNO Bahagian kini, Malaysia sangat memerlukan sosok bernama Najib.
Apa salahnya kita mengharapkan beliau panjang umur. Terus mentadbir Malaysia untuk seratus tahun akan datang. Itulah caranya untuk menjadikan UMNO dan Malaysia terus kukuh - mengikut ukuran Najib.
Mengikut laporan, beliau dan isteri menggunakan hormon anti penuaan yang tercanggih dan termahal. Dengan cara ini, tidak mustahil Najib dan isteri kekal menerajui Malaysia bagi tempoh yang lama.
Salah satu pembayaran menggunakan wang berkait 1MDB adalah untuk bil hormon suplemen berkenaan - RM 1.4 juta. Kata laporan itu, dokumen berkait pembayaran bil hormon terdapat dalam laporan SPRM. Sehingga kini, laporan itu tidak dinafikan.
Jika ini berterusan, bayangkan jumlah wang yang perlu dibelanjakan oleh negara kita untuk mengekalkan Najib terus hidup untuk mentadbir kita semua bagi seratus tahun akan datang.
Tapi apa salahnya, asal rakyat bahagia.
Saya seronok jika beliau hidup lama untuk membolehkan Najib melunaskan hutang-hutang negara yang telah dilakukan sebelum ini bila tiba tempoh matang hutang-hutang itu.
Termasuk hutang-hutang 1MDB.
Paling dekat untuk matang, mengikut senarai dalam buku Laporan PAC mengenai 1MDB , ialah pada tahun 2022 sejumlah RM 19 billion termasuk bunga.
Bermakna 6 tahun dari sekarang.
Jika diandaikan PRU 14 adalah pada tahun 2017 dan lima tahun kemudian PRU 15 diadakan, maka Najib kena menguruskan pembayaran hutang 1MDB itu pada tahun PRU 15 diadakan iaitu tahun 2022.
Syabas. Pada waktu itu, umur Najib adalah 69 tahun. Masih muda.
Pada umur beliau 70 tahun iaitu setahun kemudian, beliau kena menguruskan pembayaran hutang 1MDB sebanyak RM 15.7 billion lagi.
Bon pertama dikeluarkan 1MDB berjumlah RM 5 billion pula akan matang pada tahun 2039.
Mengikut laporan PAC lagi, apabila tempoh matang pada tahun 2039 nanti, negara perlu membayar sebanyak RM 13.625 billion iaitu RM 5 billion untuk bayaran pokok dan RM 8.625 billion lagi untuk bayaran keuntungan.
Pada hal, jumlah bersih yang diperolehi oleh 1MDB dari bon ini hanya RM 4.3 billion kerana pelbagai yuran yang dikenakan adalah tertinggi.
Ini kelebihan cara Najib. Jangan bimbang. 2039 adalah dua tahun selepas PRU 18 dengan andaian setiap lima tahun PRU akan diadakan. Parlimen tidak digantung kerana negara didharuratkan seperti dilakukan Marcos. Umur Najib di waktu itu adalah 86 tahun.
Saya tidak pasti saya masih hidup atau tidak, kerana saya seperti mana rakyat Malaysia yang lain, kami tidak mampu membeli hormon anti penuaan semahal digunakan oleh PM kesayangan ramai.
Disamping itu, negara juga perlu menjelaskan tanggungan lain. Antara terbesar, mengikut Laporan PAC, 1MDB terhutang kepada rakan kongsinya IPIC sebanyak USD 1 billion atau RM 4 billion.
Namun kini, IPIC mendakwa Malaysia terhutang kepadanya sebanyak USD 6.5 billion atau RM 26 billion.
Ini kerana, bayaran yang dibuat oleh 1MDB tersalah masuk ke dalam akaun syarikat yang namanya serupa dengan anak syarikat IPIC tetapi entitinya berbeza. Aabar dua serupa.
Hebat. Hanya Malaysia Boleh. Ia kini dalam proses untuk perbicaraan di Mahkamah Arbitarasi London.
Jika 1MDB kalah, melayang lah lagi wang negara kita sejumlah RM 26 billion itu.Sesetengah orang akan berkata: Alhamdulillah.(Kerana wang yang tersalah kirim dah jadi milik mereka).Kalau dibangunkan negara kita dengan dusun moden musang king dengan wang sejumlah itu, bayangkan betapa makmurnya rakyat Malaysia menikmati durian yang enak itu.
Tak dapat makan hormon anti penuaan, dapat makan musang king pun dah satu keberkatan bagi rakyat . Tidak pasti samada keputusan Mahkamah London akan datang selepas atau sebelum PRU terdekat. Memandangkan kewangan Malaysia sangat kukuh, jumlah sebesar itu enteng saja bagi Najib menguruskannya.
Sekalipun pendapatan Petronas merosot 96% dari biasa kerana kejatuhan harga minyak, dengan sumbangan rakyat Malaysia melalui GST dan kenaikan terus menerus bil elektrik, negara akan terus kukuh di bawah Najib.
Jika negara kita ada masalah, banyak lagi aset yang kita boleh jualkan kepada negara asing. Untuk 100 tahun akan datang, kita akan menyaksikan banyak lagi ragam kepimpinan Najib dalam menerajui Malaysia dan UMNO untuk kekal kukuh.
Saya turut berbangga bersama ahli UMNO yang sentiasa setia mengekori walau apa pun dunia kata. Seratus tahun akan datang, sungguh mendebarkan.
Apa lagi untuk orang bernama Zahid dan Hishamuddin.
Husam Musa
25 Ogos 2016
22 Zulkaedah 1437
------------
Ini baru kata bicara orang yang tak di perlukan berada dalam PIS. Bagi saya bijak dah dia ni
BalasPadamTapi saya tak dapat bayangkan orang yang lebih bijak dalam PIS bila berbicara.. mesti lebih tinggi dan lebih bijak tahap gaban kut... saya tunggu aja ni