Sabtu, 22 Oktober 2016

ANAK MUDA TURUN KE HALAN RAYA





Bajet Najib ‘Bajet Gula-gula Pilihanraya’, Isu Kos Sara Hidup Anak Muda Dipinggirkan

Saya merasa kecewa terhadap Bajet 2017 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Malaysia sebentar tadi yang gagal mengemukakan Pelan & Penyelesaian bagi mengatasi isu Ekonomi dan Kos Sara Hidup anak muda Malaysia yang kian meningkat ini.

Apa yang lagi mengecewakan adalah, dalam keadaan isu anak muda diabaikan, Bajet 2017 yang dikemukakan ini kelihatan lebih menyerupai satu langkah terdesak demi menjaga kepentingan politik UMNO BN menjelang pilihanraya yang bakal berlangsung tahun depan.

Sedangkan golongan graduan dan anak-anak muda di Malaysia kini sedang menghadapi kekangan dan kesusahan bagi memiliki rumah sendiri, adalah amat nyata bahawa Kerajaan UMNO BN gagal memahami rintihan dan suara anak muda  dan penawaran pengecualian cukai dalam projek pembinaan bangunan ini membuktikan bahawa Kerajaan UMNO BN lebih mementingkan kepentingan dan kemenangan pilihanraya daripada menyelesaikan isu kritikal rakyat khususnya generasi muda.

Di samping gagal mengatasi isu ekonomi anak muda, Bajet 2017 tidak mengambil sebarang inisiatif dalam memperbaiki kelemahan dalam skim bantuan anak muda yang ditawarkan sebelum ini seperti Skim Perumahan Belia yang ditawarkan dalam Bajet 2016 yang gagal dan hanya mencapai kadar permohonan serendah 12% sahaja.

Selain itu, Kerajaan UMNO BN juga membentangkan bajet defisit selama 20 tahun berturut-turut dan gagal menepati sasaran pengurangan kurang dari 3.1%. Selain terpaksa menghadapi bebanan hidup dengan hutang PTPTN & hutang ansuran kereta, anak-anak muda juga terpaksa menanggung hutang negara yang diakibatkan oleh kepinangan dan kelemahan tadbir Kerajaan Barisan Nasional. Menjelang akhir tahun 2015, hutang negara telah mencecah RM630.5 billion (54.5% daripada KDNK) dan menghampiri had siling 55%.

Dengan jumlah penduduk Malaysia 31.7juta, setiap anak muda di Malaysia kini terpaksa menanggung hutang negara purata RM19,889. Kegagalan Kerajaan UMNO BN menangani peningkatan hutang negara pada akhirnya mesti akan meninggalkan padah dan membebankan kehidupan anak muda Malaysia. Merumuskan Bajet 2017 yang gagal mengambil sebarang inisiatif bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan serta hutang negara, Bajet 2017 merupakan satu bajet yang mengecewakan golongan anak muda serta belia di Malaysia.

YB Lee Chean Chung
Ketua Penerangan 
Angkatan Muda KEADILAN Malaysia
ADUN Semambu
012-9540498






---------------

Tiada ulasan:

Catat Ulasan