Mencipta sejarah baharu pada 13 Mei 2017
DUA minggu lalu, saya berkongsi maklumat tentang Kongres Anak Muda Malaysia yang bakal berlangsung di Petaling Jaya pada 13 dan 14 Mei ini. Kongres sebegini dianjurkan untuk pertama kalinya di negara ini dan diharapkan akan menjadi titik pertemuan dan penyatuan kumpulan anak muda di Malaysia.
Tarikh kongres ini sebenarnya mempunyai banyak sejarah. Cakap saja 13 Mei, hampir seluruh rakyat Malaysia akan memperingati detik hitam yang pernah kita hadapi 48 tahun lalu.
Kebanyakan kita hanya mengetahui sejarah ini menerusi pembacaan atau perkongsian cerita mereka yang tua daripada kita. Selain itu, kita juga sering diberitahu mengenai perkara ini ketika masih di bangku sekolah.
Namun, sehingga bila kita mahu memperingati tarikh tersebut dengan satu insiden gelap?
Apakah kita tidak mampu mengubah peringatan tarikh itu daripadainsiden gelap kepada yang cerah? Saya yakin kita mampu. Di dalam dunia ini, apa saja boleh diubah jikalau kita mahu. Bagi saya, kitalah anak muda yang akan membawa perubahan tarikh gelap itu kepada yang cerah.
Pada 13 Mei 2017, anak muda seluruh negara akan berkampung di Petaling Jaya. Kongres Anak Muda Malaysia akan berbahas mengenai isu yang sedang berdepan dengan negara kita.
Dari situ, setelah tamat berbahas selama dua hari, maka akan lahir deklarasi Anak Muda Malaysia yang bakal menjadi "blueprint" ataupun dokumen penting untuk gerakan anak muda yang membentuk Malaysia pada hari esok.
Harapan saya menjelang kongres pada hujung minggu ini adalah membawa suara yang bakal mengerunkan pihak sedang berjuang untuk mendapatkan kuasa. Ya, ia bukanlah semudah itu. Pemimpin politik akan menyatakan mereka lebih mengetahui kerana sudah berada dalam arena politik berdekad lamanya dan memahami segala cara bermain politik dan juga bagaimana mentadbir.
Tetapi kini, kita harus menunjukkan kepada pemain politik ini kita bukan lagi hanya mahu menjadi suara pengkritik saja, tetapi kita kini mahu menjadi suara membawa agenda kepimpinan berserta polisi atau agenda penambahbaikan dalam sistem urus tadbir negara. Jika kita berjaya membawa suara sebegini, maka saya berkeyakinan pemain politik akan mula merendahkan diri untuk mendengar suara anak muda yang sering kali tidak diendahkan.
Dengan cara sebegini ia akan membuka ruang untuk anak muda bersuara dalam kepimpinan negara. Kepimpinan yang saya maksudkan bukannya meminta kerusi Parlimen atau DUN, jawatan GLC atau apa-apa jawatan dalam kerajaan, tetapi suara menggubal polisi dan dasar negara. Kita harus mengubah "mind-set" semua pihak yang selalu merasakan hanya dengan kuasa politik saja mampu mengubah semua perkara.
Jika anak muda di Serbia melalui gerakan OTPOR! berjaya menjadi kuasa penyatuan rakyatnya untuk membawa perubahan dan berjaya membawa suara mereka untuk didengari semua pihak, apakah kita sebagai anak muda Malaysia tidak mampu melakukannya? Saya yakin kita juga mampu.
Dan jika kita berjaya, maka tarikh 13 Mei akan mula dikenali sebagai tarikh sejarah baharu di Malaysia; tarikh cerah untuk Malaysia; tarikh penyatuan anak Malaysia dan bukannya lagi tarikh gelap yang sering menghantui rakyat Malaysia.
Nelson Mandela pernah berkata: "It always seems impossible until it’s done” yang bermaksud semuanya sentiasa nampak mustahil sehinggalah ia dikerjakan. Ya, benar sekali, namun saya ada harapan dan kepercayaan tinggi mengunung terhadap anak muda Malaysia.
Kalau bukan kita, siapa? Jumpa 13 Mei ini di Petaling Jaya.
Jika anda masih belum mendaftar, sila daftar di sini. – 10 Mei, 2017.*
Mandeep merupakan seorang bekas penghuni di rumah pasong Jinjang dan juga merupakan seorang yang berbangsa “dan lain-lain”. Berkicau di @mandeepkarpall
---------------------
titik "puteh" bila lagi?
BalasPadamtahun ni ke tahun depan?
ke
SELASA depaaaaaaaaaaaaaaaan?
jangan "KACHANG PUTEH" suda.........
bokan negara, tapi FEDERASI..................lar
BalasPadamselamat bersidang wahai anak muda.darah kamu merah dan pekat..tuliskan warkah wasiat yang adil dan saksama dgn dakwat itu...semoga ALLAH tunjukan jln mudah bagi kalian.anak muda adalah GERGAJI BUMI....sorong makan...tarik pun makan.selamat bersidang.
BalasPadam