Rabu, 19 Julai 2017

HARAPAN CERAH UNTUK MENANG







HARAPAN CERAH 
KEMENANGAN 1789 - 2017

Pada hari Selasa 14 Julai 1789 warga kota Paris telah mengangkat senjata,  keluar ke jalan raya untuk menggempur Kota Bastille yang terletak dipinggir kota Paris. Kota lama ini telah dijadikan  penjara - memenjarakan  para intelektual, ahli politik dan kaum tani yang telah berani bangun menentang  Raja Louise ke 14.

Pada hari itu Kota Bastille telah dirempoh dan dipecahkan. Tahanan politik dibebaskan. Ini adalah  detik babak sejarah yang paling penting bukan sahaja mengubah Peranchis untuk menjadi sebuah republik malah 14 Julai 1789 telah mengubah dunia. 

Puluhan tahun kaum tani Peranchis telah diinjak-injak oleh kaum feudal yang berkerjasama dengan para agamawan dan gereja. Bertahun-tahun  kaum tani  telah bangun menunjuk perasaan. Kaum tani rakyat biasa telah Bangun menentang kaum feudal dan agamawan. Bepuluh ratus  Pak Tani dibakar hidup-hidup. Tanah dan hasil panen mereka dirampas oleh Raja.

Gereja dan kaum agamawan bersekongkol dan bersubahat dengan kaum feudal untuk menindas kaum tani. Ayat-ayat suci dan fatwa fatwi telah digunakan untuk menghalalkan rampasan tanah. Mana Pak Tani yang berani melawan telah dibakar hidup-hidup sebagai contoh apa yang akan terjadi di neraka. 

Dengan runtuhnya Bastille maka lahirlah konsep, falsafah dan idealoji - kebebasan, kesaksamaan dan persaudaran. Keruntuhan Kota Bastille membawa konsep kebebasan untuk semua umat manusia. Bastille mengajukan konsep kesaksamaan antara kita sesama manusia. Bastille membawa falsafah  persaudaran antara kita semua -  anak semua bangsa - umat manusia.

Di Kuala Lumpur pada Jumaat  14 Julai 2017 - Malaysia telah meledak dengan berita terwujudnya perserikatan baru - PAKATAN HARAPAN.

Ini adalah penggabungan kerjasama parti Bersatu, PKR, DAP dan Amanah. Sama saperti Bastille - tarikh ini juga bersejarah. Tarikh 14 Julai 2017 ini telah melahirkan satu garis politik baru untuk Malaysia. 

Kalau 14 Julai 1789 - warga Peranchis bangun angkat senjata untuk membidani kelahiran dunia baru. Pada 14 Julai 2017 Pakatan Harapan juga telah  membidani kelahiran politik baru pendemokrasian untuk Malaysia.

Penggalangan satu barisan bersatu  yang dikenali sebagai Pakatan Harapan ini satu kerja yang ulit. Ianya sama saperti warga Peranchis bertahun-tahun bangun melawan kaum feudal. Di Malaysia anak semua bangsa juga telah bertahun-tahun bangun melawan kaum pemerentah  suku sakat dan kaum kerabat United Malays National Organisation.

Di Peranchis pada tahun 1789 kaum feudal dan agamawan telah bekerjasama. Di Malaysia pada tahun 2017 - kelas pemerentah telah juga bekerjsama dengan kelas feudal dan kelas agamawan.

Justeru - anak semua bangsa di Tanah Melayu dan Sabah Sarawak wajib memahami bahawa Pakatan Harapan ialah sambungan dari perjuangan Putera-AMCJA, sambungan perjuangan Gerakan Reformasi, sambungan perjuangan parti politik  menuntut keadilan dan perjuangan pelajar anak muda untuk menjatuhkan rejim Najib Rosmah.

Selama  lebih dari 60 tahun anak semua bangsa di Tanah Melayu telah bangun  berjuang untuk mewujudkan kebebasaan, kesaksamaan dan persudaraan.

Sejarah telah menunjukkan kepada generasi hari ini bagaimana perserikatan  Barisan Bersatu Putera-AMCJA ditumpaskan oleh penjajah British pada tahun 1948 dengan pengistiharan Darurat.  Gerakan Reformasi 1998 - 2005 dimandulkan oleh United Malays National Organisation melalui ISA. Manakala kemenangan rakyat dalam  PRU13 dinafikan melalui tipu helah  lembaga dan aparachik negara miliki parti  Ketuanan Melayu.

Menyusun berjuang, rebah terbarai, menyusun kembali, ditumpaskan lagi, diususn kembali - tanpa henti-henti. Sama saperti meledakkan Kota Bastille - perjuangan ini berjangka panjang memerlukan pengorbanan sebelum tercapainya harapan untuk mewujudkankan  dunia baru.

Sebelum wujudnya secara resmi  Pakatan Harapan, sebelum dimashurkan logo Pakatan Harapan, sebelum 14 Julai 2017 - suasana politik bangun melawan kelihtan telah berjaya dimandulkan oleh Najib Rosmah.

Secara bijak, secara terancang dengan menggunakan perangkap politik dan  taburan dedak, Najib telah berjaya menarik keluar  Parti Islam Pas dari barisan bersatu Pakatan Rakyat.  Parti Islam Pas yang dikepali oleh  Hadi kini kelihatan sampa larau - terumbang ambing tidak  tahu hendak pergi atau hendak datang. Hendak ke hulu atau ke hilir. Hendak terkentut atau hendak sendawa. 

Menjadikan Parti Islam Pas tak tentu hala ini - kentut salah sendawa pun salah -  adalah kejayaan besar Najib Rosmah. Ini kejayaan kedua Najib Rosmah satelah berjaya menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak paada tahun 2009.

Kejayan agong Najib Rosmah paling afdal dan berjaya ialah apabila  Hadi Awang  melantik dirinya sendiri sebagai penasehat kepada Najib dan  gerombolan Parti Ketuanan  Melayu. 

Perbuatan, kelakuan dan perangai Hadi ini samalah saperti apa yang dilakukan oleh kaum paderi dan pemilik gereja di Peranchis sabelum  leher Louis ke 14 dan isterinya Marie Antoinette dipenggal dalam Revolusi Peranchis.

Para agamawan walau pun berkiblat  menuju ke Syurga tetapi hakikatnya   akidah mereka masih lagi kepada AudiQ7, Vellfire dan Mini Cooper. Fatwa fatwi dan ayat suci itu hanya jampi serapah untuk menipu dan mengkaburi mata Mak Cik dan   Pak Cik Felda.

Pakatan Harapan tanpa Parti Islam Pas mempersenangkan lagi perjuangan anak semua bangsa untuk menjatuhkan Najib Rosmah. Jika parti Islam Pas turut bersama Pakatan Harapan pastilah amat susah dan amat berat   perjalanan politik harapan baru ini. 

Dari pengalaman dalam Pakatan Rakyat - bukan sahaja Presiden Pas tidak datang bermesyuarat tetapi apabila keputusan telah diambil Parti Islam ini akan melakukan kerja politik yang bertentang dengan keputusan yang telah diambil secara konsensus. 

Dari zaman Revolusis Peranchis hingga ke hari ini - tugas dan kerja para agamawan masih belum berubah. Kalau dahulu fatwa fatwi dikeluarkan dari dalam gereja hari ini fatwa fatwi muncul melalui watapps dan twitter. Karutnya masih karut.

Menggalang perserikatan barisan bersatu ini bukan mudah. Satu kerja politik yang ulit. Yakinlah bahawa dalam politik Malaysia keulitan ini bertapok tapok. Bertimbun tambah. Terlalu banyak ranjau yang wajib ditumpulkan.

Dengan wujudnya parti politik berasaskan bangsa dan kaum, dengan wujudnya parti politik yang berasaskan agama dan mazhab menjadikan kerja politik di Malaysia ini ulit dan sulit.

Justeru mari kita melihat sejarah. Wujudnya Angkatan Perpaduan Ummah 1990, wujudnya  Gagasan Rakyat 1990, Pakatan Rakyat dan kini Pakatan Harapan adalah satu pencapaian yang maha agong. 

Di Malaysia malah dimana-mana pun dalam alam ini  untuk mencari kesepakatan fikrah bukan satu tugas yang enteng.  Lihat sahaja babak babak  politik sebelum lahirnya Pakatan Harapan.

Sesudah wafatnya Pakatan Rakyat - kita melihat bagaimana suasana politik bangun melawan Najib Rosmah mengendur. Kita melihat dan merasakan bahawa Najib Rosmah akan kekal hingga dunia kiamat. Apabila Parti Islam Pas berjaya dipengaruhi oleh Najib Rosmah ramai yang melihat keadaan ini saperti kita semua tersangkut dalam gua tanpa jalan keluar.

Tetiba pada 20 Julai 2016 keluar berita dari New York Times tentang kes 1MDB. Tetiba kita semua mula mengenal Jho Low.  Tetiba Mak Cik dan Pak  Cik Felda telah pandai menyebut nama Leonardo DiCaprio. Tetiba kita diberitahu bahawa Rosmah pernah berlaki sebelum  Najib dan anaknya  dengan laki pertama bernama bernama Reza. Semua ini adalah rempah rampai  yang menjadi adunan Pakatan Harapan.

Walau pun rempah rampai ini wujud tetapi  suasana politk melawan masih lagi belum kompak dan jitu. Besih4 berjaya memanggil  500,000 warga untuk turun ke jalan raya menuntut Najib Rosmah berundur. Tapi  ‘ambience politik’ masih  belum lagi menjanjikan apa apa kemungkinan.

Sesudah Bersih4 - suasana berubah sadikit. Ketika warga berdemo di jalan raya dalam Besih4 Mahathir Muhamad yang satu ketika dahulu amat amat benci dengan politk jalan raya tetiba telah turun ke jalan raya untuk menjatuhkan Najib Rosmah.

Ini perkembangan politik baru. Mahathir Muhamad yang menentang politik jalan raya kini telah menerima hakikat bahawa  jalan raya juga adalah garis politik yang tepat dan betul.

Para aktivis Ngo dan politik mula berbincang. Tetapi masih tidak ada kesatuan fikrah  untuk menerima dan mengalu-alukan secara spontan dan terbuka tidakkan positif Mahathir   turun ke jalan raya. Suara sinis kedengaran disana sini. Mahathir masih dianggap musuh ketat untuk sebahagian  para aktivis Ngo dan pekerja politik.

Tetiba pada petang Jumaat 4 March  2016 muncul Deklarasi Rakyat. Ini satu dokument yang amat penting. Ini adalah permulaan persegamaan para Ngo, pemimpin parti politik dari semua garis dan mazhab. Deklarasi Rakyat adalah penggalangan   fikrah dengan hanya  satu tujuan yang tuntas - menjatuhkan Najib Rosmah dari tampok kuasa.

Deklarasi Rakyat berjaya mengumpul 1.2 juta tanda tangan wargh Malaysia yang sehati sejiwa bersetuju dengan cita-cita dan niat untuk menjatuhkan Najib Rosmah.

Sayangnya Deklarasi Rakyat tidak sampai ke kemuncak dimana dicita-cita para penanda tangan deklarasi ini akan turun ke jalan raya untuk menyampaikan niat bantahan mereka kepada Yang DiPertuan Agong.

Suara lekeh dan suara sumbang dan suara dendam dan suara bebal politik pada ketika itu telah membantutkan satu gerakan ampoh untuk menjatuhkan Najib Rosmah.

Ramai yang tidak tahu dan tidak sedar bahawa dalam salah satu mesyuarat Deklarasi Rakyat Mahathir sendiri  secara terbuka telah menyatakan yang dia sendiri bersedia untuk memandu lori membawa 1.2 juta tanda tangan ini untuk disampaikan kepada Agong. 

Para aktivis dari Ngo dan parti politik walau pun ada yang  merasa kecewa kerana  Deklarasi Rakyat tidak sampai ke kemuncak - tapi mereka tidak berhenti untuk mencari kesepakatan fikrah.

Sayugia diingatkan bahawa sebelum  Presiden Mubarak diturunkan dari tahtha, sebelum Zainal Abidin lari ke Mekah, sebelum Suharto ditangkap dan didakwa dan sebelum Marcos cabut lari ke Hawaii -  rakyat di Mesir, di Tunisia, di Indonesia dan di Pilipina telah bertahun-tahun  turun ke jalan raya berjuang dan berkorban.

Sebelum Bastille diledakan pada 14 Julai 1789 ribuan kaum tani Peranchis telah bangun berjuang dan berkorban. Sebelum leher  Louis ke  14 dan Marie Antoinette dipenggal banyak pembelotan berlaku.

Justeru sebelum Najib dan Rosmah dihambat keluar dan sebelum Najib dan Rosmah ditangkap dan didakwa - sebelum  Pakatan Harapan berjaya ke Putrajaya - perjuangan dan pengorban akan diteruskan. END


NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan 
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
03-92-21-10-45



-----------------

3 ulasan:

  1. tak mungkin
    sebab
    penduduk tanah MALAXIA semua tarak "TELOQ"

    BalasPadam
  2. Betul la pencerahan ni.

    Cita2 menjatuhkan BN ibarat mengigau team Rimau layak ke world cup.

    BalasPadam
  3. mimpi berahi ke..jgn lupa spr..jgn lupa warga2 felda yg suka makan dedak..jgn lupa undi2 pos, undi2 dari alam barzah, jgn lupa buraq yg membawa pertolongan kpd hadi hahaha...

    BalasPadam