Isnin, 21 Ogos 2017

HUBAYA HUBAYA






DENGAR

DENGAR

BACA BACA

Menunggu kerajaan yang memimpin, yang tidak main wayang

TIADA apa yang lebih buruk daripada sebuah kerajaan yang memerintah hanya untuk mengejar populariti dan main politik.

Belum reda lagi cerita pembentukan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) lebih kurang 30 tahun lalu, Putrajaya kini mengintai penubuhan sebuah lagi Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat peristiwa Memali.

Tampaknya ada kesungguhan baru yang luar biasa hari ini untuk menyelongkar semula semua peristiwa yang berlaku sepanjang pentadbiran Dr Mahathir Mohamad selama 22 tahun. Apakah ini ada kaitan dengan kedudukan Dr Mahathir kini yang sudah menjadi musuh politik pemerintah?

Atau apakah ini usaha untuk bertanggungjawab atas apa yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu yang masih terus memerintah Malaysia sehingga kini?

Hanya hal-hal yang berlaku pada zaman Dr Mahathir, tentunya.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi lancang mengungkapkan semalam bahawa keadilan perlu ditegakkan dan orang yang bertanggungjawab mesti dipertanggungjawabkan.

"Saya selaku menteri dalam negeri akan meneliti sendiri semua laporan mengenai peristiwa tersebut," katanya. Beliau menambah dalam menegakkan undang-undang, semua pihak harus mengetepikan perbezaan politik mereka.

"Peristwa Memali telah berlalu lebih dua dekad, namun kita harus ingat mangsa, keluarga, anak-anak yatim yang meninggal dunia dinafikan hak oleh pemerintah ketika itu,” katanya.

Sudah tentu, Tuan Menteri Dalam Negeri!

Sementara kita masih bercakap tentang hal hak, keadilan dan menegakkan undang-undang, bolehkah tuan cadangkan juga sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyemak kegagalan 1Malaysia Development Berhad (1MDB)?

Atau rakyat Malaysia perlu menunggu 30 tahun lagi?  

Kalau direnung-renung, kenyataan Zahid hujung minggu lalu sepatutnya menyedarkan seluruh rakyat Malaysia kenapa mereka mesti mengundi dalam pilihan raya umum nanti.

Kita selama ini diperolok-olokkan oleh para pemimpin yang yakin bahawa negara ini mereka punya untuk diperkotak-katikkan. Untuk mereka mencadangkan penyiasatan hanya jika ia memenuhi tembolok mereka, bukannya kehendak rakyat.

Rakyat Malaysia sudah penat dengan semua tipu muslihat politik ini. Tetapi rasa lesu dan tidak lagi peduli adalah musuh utama kebenaran di hujung kaki penguasa.  

Silakanlah, silakan. Siasatlah kerugian perdagangan mata wang asing BNM dan peristiwa Memali pada 19 November 1985 yang membunuh 18 orang termasuk empat anggota polis dan mencederakan ramai yang lain ketika serbuan polis untuk menangkap guru agama Ibrahim Mahmud yang juga dikenali sebagai Ibrahim Libya.

Tidak payah ada RCI pun tidak mengapa. Buka saja fail, panggil mereka yang terlibat dan siasat sampai ke akar umbi. Atau boleh juga main wayang dan umumkan kepada dunia bahawa perkara itu sedang diteliti.

Kalau hanya itu saja, jelaslah bahawa semua ini hanya mainan politik. Apakah kerajaan akan ambil tindakan berdasarkan kepada laporan RCI kerana sesetengah laporan sebelum ini berlonggok menyimpan debu? Apakah semua yang terlibat sampai ke peringkat mata-mata yang menerima arahan akan dihukum atau hanya orang atasan?

Rakyat Malaysia berkehendakkan sebuah kerajaan yang berkhidmat kepada rakyat, bukannya kerajaan yang mahu jadi popular dengan usaha sia-sia cuba memenuhi nafsu orang lain dan terus berkuasa.

Kalaulah begitu, takut-takut nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.  – 21 Ogos, 2017.






-------------------

Tiada ulasan:

Catat Ulasan