Rabu, 4 Oktober 2017

MAT TAIB DAN MESIN BASUH








MAT TAIB  DAN MESIN BASUH


Maka tersebutlah riwayat Rawana melarikan Sita, oleh tipu Rawana, maka baharulah hasil maksudnya. Rama dan Laksamana diperdayakan kijang emas yang dikejar oleh mereka itu, maka tinggallah Sita seorang dirinya, lalu dilarikan Rawana ke Langkapura Negara. ( Petikan Kitab ketiga Aranjankanda)

Pada 17 September 2017 - satu Malaysia telah membaca berita dan melihat dikaca tv satu   sidang akhbar bersejarah anjuran Presiden Parti United Malays National Organisation. Sidang akhbar ini telah dinobatkan sebagai sidang akhbar POTONG STIM oleh para wartawan.

Sidang akhbar telah diadakan di tingkat 39 Menara Datok Onn Bangunan PWTC Kuala Lumpur. Hampir semua para gedebe United Malays National Organisation hadir. Yang ketara tidak hadir hanyalah Khairy Jamaluddin menantu Pak Lah. Kay Jay - nama manjanya - adalah Ketua Pemuda United Malays National Organisation. Kenapa Kay Jay  tidak hadir - ada satu cerita lain.

Satu Malaysia menjadi ‘gempar’ sebaik sahaja Najib mengumumkan pada hari Sabtu yang dirinya akan mengadakan satu sidang akhbar khas  pada hari Ahad 17 September 2017. Satu Malaysia tertunggu-tunggu apakah isi kandongan sidang akhbar yang dihebohkan sebagai amat amat penting.

Tup tup disidang akhbar itu Najib hanya mengumumkan  Mohd Taib bekas Menteri Besar Selangor rujuk kembali kepada parti United Malays National Organisation. 

Eleh…itu sahaja?

Satu Malaysia mengelehkan  perangai Najib ini. Perangai dan tabiat Najib dilihat semakin lekeh dan tidak senonoh terutama setelah pulang dari menabur  janji  kepada Presiden  Trump. Najib berjanji Malaysia akan membantu memperbaiki ekonomi Amerika. Malaysia akan melabur duit KWSP di Amerika. Malaysia akan membeli semua kapal terbang Amerika - yang sudah siap, yang belum siapa dan yang akan siap. 

Semua ini dilakukan oleh Najib agar FBI dan Jabatan Keadilan Amerika ( DOJ) tidak menangkap Menteri Keewangan Malaysia yang terlibat dalam kes ‘ curi’ duit 1MDB. 

Kelakuan tidak senonoh Najib ini ditafsirkan  akibat dari serangan tidak sopan dan kurang hajar media arus perdana Amerika yang memperlekeh Najib.  Media cetak dan tv Amerika tidak henti-henti menibai Najib. 

Malah satu minggu sesudah Najib pulang ke Malaysia media Amerika masih lagi menyerang Najib. Najib dipakej bersama Trump untuk  diperlekeh sebagai dua sosok kaki putar dan kaki samun.

Di Felda Chemomoi Najib dilihat anggun dan unggul. Di pasar tani  Ulu Belitong   ketrampilan Najib  dilihat berwibawa, tetapi ketika di Rumah Puteh  dihadapan Presiden Trump Si Najib kelihatan kecil menikus.  Najib sedar akan pekara ini.

Justeru, hanya Mutu mengenal Maniam. Hanya Najib sahaja yang mengenal betapa malu dirinya diperlakukan oleh media Amerika. Amin.

Kalau sudah dimalukan di Amerika kenapa pulang ke rumah sendiri kena kencing sekali lagi? Kenapa Presiden Parti Ketunanan Melayu ini berjaya dikencingkan oleh Mat Taib? Sehinggakan satu Malaysia tertanya-tanya siapa Si  Mat Taib ini?

Hebat benarkah Si Mat Taib ini sehinggakan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi terpaksa membatalkan program di Perlis untuk hadir bersama di sidang akhbar Najib.

Jawabnya Mat Taib ini memang hebat.  Tinggi segak. Dari sosok potongan badan amat jelas  Si Mamat yang memakai nama Mat Taib ini memang kacak dan bergaya. Memiliki ketrampilan dan sosok potongan badan yang amat meyakinkan. 

Dari gambar sidang akhbar 17 September itu kita semua dapat melihat Si Mat Taib ini lebih tinggi dari Najib.  Rosmah Mansor jika ingin berlabon  dengan  Mat Taib wajib mendongak keatas sambil menadah air liur Mat Taib. 

Justeru rakyat Malaysia yang bijak menganjing telah  menobatkan Mat Taib ini  sebagai Mat Taison juara tinju dunia dan juga juara gigit telinga. Sebenar-benarnya Mat Taison kita  lebih hebat dari Mike Tyson Gigit Telinga.

Bayangkan pada 16 Disember 1996 Si Mat Taib ini telah ditahan di lapangan terbang Brisbane Australia kerana didapati membawa wang tunai berjumlah 2.4 juta Australia. Mengikut laporan  Utusan Malaysia pada 20/5/1998 - duit sebanyak ini tersimpan dalam satu beg seberat 19 kilogram. 

Beg duit  seberat ini telah dipikul ke hulu ke hilir oleh Mat Taib. Kalau kita mahu menjaga otot badan kita ke gym untuk bersenam. Tidak dengan Mat Taib. Cara Mat Taib menjaga badan ialah dengan mengangkat beg duit ke mana sahaja dia berjalan.

Mat Taison ini selain dari bekas MB Selangor telah  pernah menjawat Naib Presiden Parti Ketuanan Melayu , pernah menjadi Ketua Penerangan Parti dan pernah menjadi Menteri Wilayah. 
Memang hebat tapi masih belum cukup hebat lagi. 

Sayugia diberitahu bahawa Mat Taib ini adalah salah seorang dari beberapa bengolan yang telah mengambil insuran nyawa sebelum PRU13. 

Kita terbaca kenyataan Tun Musa Hitam, kita terbaca kenyatan Tan Seri Musa Hasan dan kita terbaca kenyataan Bapak Saifol - semuanya mengintai-intai akan kemenangan Anwar Ibrahim  dalam PRU13. Mereka ini secara bijak telah ‘ membeli’ saham Anwar Ibrahim. Mana tahu… kalau kalau…

Tetapi Mat Taib lebih berani lagi. Dia terus  meningglkan parti United Malays National Organisation. Pilihan terbaik  dari seorang yang saban hari bergelumang dengan ratusan kilo beg duit ialah  menjadi ahli  Parti Islam PAS.

Parti Islam PAS ini adalah mesin basuh yang lebih awal dari Mesin Basuh Muar yang berslogankan  - Untuk Muslim Sahaja. 

Fakta membuktikan bahawa  Mesin Basuh Islam ini adalah parti pilihan utama untuk segala jenis polis pencen kaki pau. Pilihan pertama untuk  segala jenis bekas pegawai kerjaan kaki duit bawah meja. Parti PAS ini adalah mesin taubat jalan ke syurga. 

Justeru Mike Taison telah bertaubat dan mengubah jalan hidup. Dia tidak lagi bersenam dengan membawa beg duit ke hulu ke hilir. Kini Mat Taison  ke hulu ke hilir  membawa tasbih sambil  mulutnya kumat kamit menyebut Ya Na Na Ya Na Na. Amin.

Apakah ini sahaja kehebatan Mat Taib yang telah berjaya mengkelentong Najib dan pucuk pimpinan Parti Ketuanan Melayu? Sesipa pun boleh bertaubat. Sesiapa pun boleh pikul duit. Apa hebatnya?

Untuk memahami kehebatan Mat Taison kita semua wajib merujuk kitab Seri Rama. Dalam kitab ini kita bertemu dengan kesah  Rawana  menyambar Sita dari tangan Rama.  Sita yang kecil molek  lagi bergetah telah disambar oleh  Rawana lalu diterbangkan ke Sri Lanka.

Rawana yang licik telah menjadi kijang emas untuk menarik perhatian  Rama. Apabila  Rama asik memburu  kijang  emas maka Si  Rawana telah datang menyambar Sita. Amat licik dan tersusun  taktik dan stratiji Si Rawana ini.

Apa hubungan Rawana ,  Rama dan Sita dengan Mat Taison.

Ha ha. Jangan lupa Si Mat Taison ini telah menyambar Puteri Raja Negeri Selangor pada tahun 1987.  Si Mat Taison ini telah menyambar Tengku Puteri Zahariah binti Sultan Salahduddin Abdul Aziz Shah a.k.a Ku Yah. 
Kalau Rawana telah menerbangkan Sita ke Sri Langka maka Mat Taib ini telah menerbangkan Ku Ya melintasi  Sungai Golok ke  Tak Bai Narathiwat untuk dijadikan isteri. Hebat. Ini memang hebat. 

Babak Mat Taib dengan Puteri Sultan Selangor ini  sama tarafnya dengan riwayat Hang Tuah melarikan Tun Teja dari Pahang ke Melaka. Yang berbeza Hang  Tuah menyambar Tun Teja untuk Sultan Melaka.  Manakala  Mat Taib menyambar Puteri Raja untuk dirinya sendiri.

Kalau Istana Selangor dengan segala kelengkapan DiRaja - dengan pengawal dan dayang -  berjaya ditembusi oleh  Mat Taib. Kalau Sultan  yang bertahtha ditampok kerajaan Selangor berjaya dikelentong oleh Mat Taib maka Si Najib Presiden United Malays National Organisation ini hanyalah Karipap King Kong untuk Mat Taib.

Perlu diberitahu bahawa dalam pembicaran kes duit di Brisbane  si Mat Taib ini telah didapati tidak bersalah. Dia telah mengakui bahawa dia tidak faham notis AMARAN  dilapangan terbang yang tidak membenarkan duit dibawa keluar  masuk. Notis amaran ini bertulis dalam Bhaasa Inggeris. 

Hujah Mat Taib tidak  pandai  berbahasa Inggeris ini amat meyakinkan. Dia hanya budak Kampong Sungai Manggis Kelumpang Hulu Selangor. Belajar di Sekolah Umum dan berjaya menjadi guru sekolah Melayu. Sesudah menjadi guru Mat Taib ini berjaya masuk ke Universiti  Malaya. Ini pun dengan menggunakan kouta Bumiputera.
Justeru sebaik sahaja sidang akhbar pada petang Ahad 17 September selesai Mat Taib  telah menghilangkan diri. Para wartawan tercari-cari. Tup tup diberitakan bahawa Mat Taib ini telah terbang ke London.

Ramai membuat andaian Mat Taib terbang ke London untuk menjengok bank akaunya. Untuk melihat apakah duit yang telah dijanjikan itu telah masuk. Ini sabenarnya satu fitnah.

Mat Taib terbang ke London bukan melarikan diri satelah berjaya mengencingkan Najib. Tujuan Mat Taib  ke Lodon adalah untuk membuktikan satu pekara kepada dunia.  Pekara ini amat-amat penting.

Satelah bertubat dalam Mesin Taubat PAS, Si Mat Taib ini telah juga belajar menggunakan Bahasa Inggeris. Mat Taib terbang ke London untuk membuktikan kepada pemimpin United Malays National Organistion  yang telah dikencingnya  terutama Zahid Hamidi. Kini dia boleh  ke London dan melintasi pegawai imigresen tanpa kekok. Mat Taib kini boleh  menggunakan bahasa Inggeris.
Ketika tulisan ini digarap Mat Taib telah pulang ke Shah Alam. Dia membuat sidang akhbar sendiri tanpa bantuan Najib. Kini Mat Taib bukan sahaja telah jadi Melayu Islam bertaubat. Mat Taib kini fasih berbahasa Inggeris.

Dalam sidang akhbarnya  Mat Taib   berkata  ‘ I just want to remind the Malays, in our anger, not accidently kill the goose that lays the golden eggs,’. 

Diterjemahkan - Wahai Bani  Melayu bertaubatlah kamu dan  jangan pecahkan telor kamu jika kamu terlalu marah. 

Ini tanda-tanda bahawa Mat taib sedang bersedia untuk menggantikan Najib yang telah dikencingnya. END

NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan 
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
03-92-21-10-45

---------------------

Tiada ulasan:

Catat Ulasan