Rabu, 15 November 2017

SEKALI LAGI - KEPALA BAPAK KAU








SEKALI  LAGI - KEPALA BAPAK KAU

Najib terus dikepong. Najib terus diasak. Najib terus terpinggir. Suara menuntut Najib dinyahkan semakin nyaring. Gerakan nyah Najib  semakin merebak. Gerakan ini sedang berjalan didalam negara dan juga diluar negara. 
Sentimen nyah Najib ini telah berjaya menjalar masuk ke lubang telinga ahli parti United Malays National Organisation. Ini  jelas sedang berlaku.

Secara senyap-senyap ahli parti  telah mula ‘ berbisik-bisik’ sesama sendiri. Sohseh sohseh tung tang tung tang telah mula kedengaran. Najib ini dikatakan lebih banyak membawa bala dari membawa laba. Najib ini  akan menjadi beban penolak undi dalam PRU14 nanti.

Bukan sahaja undi bukan Melayu yang menolak Najib. Kes Najib yang bertapok-tapok ini telah juga menghakiskan banyak undi Melayu. Ini dibuktikan dengan  tertubuhnya Parti Bersatu. 

Kalau Parti Keadilan Nasional wujud pada tahun 1999 bermula dengan bencikan Mahathir kerana membuang Anwar. Parti Besatu pula lahir pada tahun 2017 kerana bencikan Najib yang mencuri duit. 

Ahli-ahli parti United Malays National Organisation  dalam gelak hilai berseloroh  tentang betapa beratnya memikul beban Rosmah dimata pengundi. Kini ditambah pula dengan beban memikul  seorang pencuri. 
Tetiba sebuah  laman pro Parti Ketuanan Melayu  telah  menulis berita dalam Bahasa Inggeris - Kepala Bapak Building Gateway Home On Koh Samui Island.  Apakah makna tulisan  - Kepala Bapak Membuat Rumah Untuk Lari di Pulau Koh Samui? Apakah Kepala Bapak telah bersedia hendak lari. Kenapa lari ke Siam tidak ke Shanghai?

Sayangnya  berita ini belum sempat dipungut oleh Malaysian Insider atau MalaysiaKini telah  menjadi 404 - hilang lesap. Bila dicari tajuk berita ini Lebai Google akan menjawab - Sorry the page you were looking for  in this blog does not exist. Khalas. Apakah dedak telah bertukar tangan walah hu alam. 

Sesiapa pun yang diserang bertalu-talu saperti ini akan berjiwa kacau. Jiwa kacau akan melahirkan sakit jiwa. Sakit jiwa ini telah dimanifestasikan dengan jeritan - Kepala Bapak Kau.

Sebenarnya sesiapa pun boleh menjeritkan - Kepala Bapak Kau. Malah jeritan ini bukan satu yang baru atau satu yang unik. Ianya juga bukan jeritan sakral. Tetapi apabila Najib menjeritkan Kepala Bapak Kau ianya membawa makna lain.

Malah tempat Si Najib menjeritkan Kepala Bapak Kau ini juga wajib difahami dan diteliti.

Hakikatnya  Kepala Bapak Kau ini adalah jeritan orang sakit jiwa. Ini tanda-tanda sakit jiwa yang maha sangat. Jika  seseorang tidak sakit jiwa - dia  tidak  akan menjerit. Sosok yang dilamun kebahagian  akan terseyum lebar hingga ke telinga.

Saya tidak perlu mengulangi kembali kenyatan Jabatan Keadilan Amerika (DOJ) atau kenyataan Peguam Negara Switzerland.  Atau berkesah tentang kes Scorpene Najib yang telah bermula di mahkamah Paris. Atau kes jenayah 1MDB di mahkamah Los Angles. Atau kes tertangkap, tertuduh dan terpenjara beberapa orang pegawai bank di Singapura. Semua ini telah beberapa kali kali saya tulis.

Semua ini pasti menyesakkan nafas Najib. Semua ini pasti menjadikan jiwa kacau. Dalam keadaan sademikian saya yang tidak berijazah dalam bidang kedoktoran tidak dapat membantu apa-apa. 

Kalau kena migraine saya tahu jawabnya ialah Panadol. Kalau diserang sakit jiwa saya hanya mendengar khabar bahawa  Prozac boleh membantu. Berapa botol Prozac wajib ditelan hanya Guru Nanak  sahaja yang maha mengetahui. 

Kemudian muncul lagi babak terkini. Babak ini amat amat menarik. Ini babak baru. Bukan babak akhir atau babak penutup. Maksud saya ini babak Najib melawat Vietnam untuk Persidangan APEC yang baru berlangsung pada 10-11 November 2017.

Apa yang menarik media dunia ialah kehadiran Presiden Trump di Vietnam. Presiden Trump yang sedang dipertikaikan kewarasannya terus menjadi sasaran untuk digudam oleh media.

Dalam Parlimen apabila Najib ditanya tentang ‘ kejayaan lawatan’ ke Rumah Puteh.  Si Najib dengan bangganya mengatakan bahawa ketika melawat Rumah Puteh, dia telah  bermain golf dengn Trump. 

Ini betul-betul labon Mat Temberang. Sebenarnya Najib main golf  dengan Trump sebelum Trump menjadi Presiden. Ketika itu Trump akan main golf dengan sesiapa sahaja termasuk dengan Lokman Adam jika Lokman Adam boleh membawa peluang perniagaan.

Kerana itu TIDAK ada gambar Najib main Golf dengan Trump ditularkan. Jika ada  pasti  gambar resmi akan dikeluarkan oleh Rumah Puteh. 

Di Amerika ketika ini jika Trump terkentut pun pasti akan jadi berita. Bayangkan jika Trump  main Golf dengan Najib - satu padang golf itu akan dipenuhi oleh media Amerika. Van  Stesen TV, Media Helikopter dan drone pasti sibuk cuba membuat ‘breaking news’.  Ini berita paling ‘hot’ di Amerika - Presiden Amerika bermain golf dengan Pencuri.  

Najib melebong. Melebong, berbohong dan membuat temberang adalah juga ciri dan pola-pola  serangan sakit jiwa. 

Pada Jumaat 10 November sebelum PersidangAn Apec bermula harian The Guardian London telah membuat berita mengenai lawatan Trump ke Asia. Tajuk : Trump’s tricky talks: Five world leaders meeting to watch at Apec summit.

Salah seorang dari lima pemimpin itu  ialah Najib. Dalam kes Najib media dunia  telah diberi ingatan untuk memerhati bagaimana Trump akan cuba mengelak dari dilihat terlalu ramah dengan Najib. 

Media dunia telah diberi tahu lebih awal tentang bagaimana Najib akan cuba  ‘masuk frame’  untuk dilihat  mesra dengan Trump. Najib akan cuba masuk frame dengan tujuan agar media dunia memelihat bahawa kes curi duit  1MDB  tidak menggangu hubungan dirinya dengan Trump.

Pada hemat saya, laporan  The Guardian ini adalah bukti  ajenda nyah Najib dari luar negara. Jika tidak yakin apa yang saya tulis ini sila rujuk kepada The Guardian London. Saya bukan penjaja  tohmah atau fitnah. 

Saya menimbulkan berita dari The Guardian ini  kerana ada satu klip dari TV Vietnam telah menular. Ini gambar jamuan makan malam diakhir persidangan APEC. Tetamu negara semuanya telah  siap siaga duduk bersembang.  Tetiba masuk  dua maloan terkedek-kedek. Siapakah lagi kalau tidak Rosmah dan Najib yang datang lambat.

Presiden Jokowi, Putin dan Xi Jin Ping sedang bersembang.  Najib melintasi sebelah belakang Trump hampir tersentuh tangan Sang Presiden. Tapi sayangnya Si Trump ini TIDAK AMBIL POT - Tidak menoleh malah saperi biasa Trump berpelok tubuh. Ini betul-betul bahasa badan yang kurang hajar.

Satelah melihat klip ini saya terfikir betulkah   Si Trump ini kaki golf Najib. Jika rakan golf sekurang-kurang berilah senyuman. Si Trump langsung tidak peduli. 

Saya agak Si Trump tidak berani dilihat  mesra dengan Najib  kerana takut ditibai  oleh media Amerika. Tetapi berilah senyuman kepada Si Rosmah yang memakai baju merah renda-renda dengan disalut oleh anting-anting intan belian.

Atau mungkin Trump tidak suka melihat sosok pendek dan gemok. Ini kerana sesudah jamuan makan malam ini  berlangsung BBC London telah melaporkan tweet Trump  yang telah mengutuk  sosok ‘ short and fat’. 

Kurang hajar betul Presiden Trump ini. Mentang-mentang isterinya Melania cantik, langsing dan bergetah - sampai hati dia mengutuk suami..oppss maaf ….isteri Najib yang ‘short and fat’. 

Apakah Trump bengang marah kerana Najib dan Rosmah lewat sampai ke majlis.  Atau ini ditujukan kepada Kim Jong-un? Apa yang saheh laporan BBC ini telah dinafikan oleh si Trump.

Jeritan sakit jiwa - Kepala Bapak Kau ini telah juga meledak dalam Parlimen pada minggu lalu. Semuanya macam  telah dirancang. Macam wujud satu konspirasi.

Pada minggu lalu dalam Parlimen Menteri Kesehatan Dr. S. Subramaniam telah memberi laporan  kesehatan negara. Menteri ini bukan memberi laporan demam dengi, atau laporan kepilau, atau penyakit barah. Tidak. Tidak. Tidak.

Menteri Kesehatan Malaysia Dr. S. Subramaniam telah memberi laporan  statistik pesakit jiwa dalam Malaysia. Menurut laporan Menteri ini 29.2 peratus penduduk Malaysia yang berumur 16 tahun keatas ada  mengalami  sakit jiwa. Peratus ini telah ditemui melalui  Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan tahun 2015.

Ini juga bukan fitnah Hishamuddin Rais. Jika tidak yakin sila rujuk kepada Hansard Parlimen November 2017.

Kenyataan Menteri Kesehatan ini telah disambut oleh YB Zuraidah dari Parlimen Ampang  yang memperakui data ini. Malah  mengikut YB Ampang ini statistik ini pasti bertambah. Tanda terkini tentang serangan sakit jiwa ini ialah jeritan Kepala Bapak Kau. Para Yb dalam Parlimen terbarai ketawa. Kesehan   pada Najib dan Penasehatnya - dua-dua poteng Parlimen. 

Sila ambil perhatian Menteri Kesehatan ini bukan Pro Pakatan Harapan. Menteri ini dari parti Malaysian Indian Congress. Justeru persoalan sakit jiwa minggu lalu bukan dirancang oleh Pakatan Harapan. 

Mungkin persoalan Sakit Jiwa dalam Parlimen minggu lalu  telah dirancang secara sulit oleh Pegawai Kerajaan atau ‘orang dalam’  yang ternampak peluang untuk menambahkan lagi sakit jiwa kepada Najib. Walha hu allam bisawab.

Apa yang jelas data dari Parlimen ini membuktikan bahawa sakit jiwa ini bukan satu yang asing di Malaysia.  Kes Najib menjeritkan - Kepala Bakap Kau ini- bukan satu yang ganjil.

Jika  Mat Felda atau Minah Kilang yang menjeritkan - Kepala Ayah kau - kita boleh tersenyum atau ambil sikap  tidak  peduli. Tetapi apabila Najib menjerit - Kepala Bapak  Kau - ini bermakna kita dalam bahaya.  

Bahaya apa? Tunggu minggu depan. (TT)



NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan 
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
03-92-21-10-45


----------------------

3 ulasan:

  1. Bahaya org gila xder LAW

    BalasPadam
  2. kah kah kah berita tak sahih 100%, najibun al rasuahi dikatakan seringkali kencing dlm seluar....adakah kerana dia sudah gila aka sewel atau pistonnya sudah rosak lagi kerana gila aka sewel kerana setiap malam beradu dgn mak badak yg gila berangan seslim zena zen.

    BalasPadam
  3. Orang gila kalau melakukan jenayah polis tak tangkap dan mahkamah pun tak jatuh hukum. Orang gila kalau berbuat jenayah berat sekalipun tak kena dakwa...cuma di hantar ke Hospital Bahagia dan dapat sijil.

















    BalasPadam