TIPU
INI NAMANYA
PENIPUAN
DIRANCANG
PERTAMBAHAN JUMLAH PENGUNDI POS BAKAL MENGUNTUNGKAN SIAPA?
Semakin kita menghampiri Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pelbagai perkembangan dapat dilihat di hadapan mata, baik di pihak UMNO-BN, Pakatan Harapan serta parti-parti politik yang lain.
Namun pada detik ini, semua mata harus tertumpu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaku agensi bertindak bagi segala urusan berkaitan pilihan raya di Malaysia - terutamanya dalam isu pertambahan mendadak bilangan pengundi pos dan awal.
Secara kasar, kenaikan besar 150% jumlah pengundi pos dan awal, daripada kira-kira 400,000 sewaktu PRU13 menidakkan hak pengundi biasa yang membuang undi dengan harapan pilihan mereka diangkat sebagai pimpinan negara. Kerisauan saya, pembolotan sistem undi pos yang menjurus kepada satu pihak sahaja mampu mengakibatkan parti pemerintah sedia ada menang kerusi parlimen marginal. Ia ternyata pernah berlaku, sepertimana mereka memenangi 30 kerusi parlimen PRU13 dengan undi majoriti rendah. Maka, mungkin sahaja parti pemerintah tersebut dapat mendominasi dua pertiga kerusi parlimen dan menguasai Dewan Rakyat hasil bantuan undi pos yang berat sebelah di PRU14..
Justeru, saya mendesak pengumuman Pengerusi SPR, Tuan Haji Mohd. Hashim Abdullah tentang permohonan pengundi pos dalam negara (yang merangkumi anggota pelbagai agensi dan badan beruniform seperti anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia; Jabatan Penjara; Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia; petugas hospital serta klinik kerajaan; sukarelawan polis; Angkatan Pertahanan Awam Malaysia; Jabatan Imigresen; Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Jabatan Pendaftaran Negara yang bertugas di Pusat Transformasi Bandar) agar disertai dengan prosedur yang lebih ketat dan telus,
Ini adalah selari dengan peraturan SPR sendiri, iaitu Perkara 3(1) hingga (4) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 yang menetapkan bahawa mana-mana warganegara yang mendaftar sebagai pemilih boleh mengundi secara pos, dengan syarat mereka perlu tergolong dalam satu daripada kategori yang ditetapkan SPR.
Bagi pihak Pakatan Harapan, kami mahu diberikan hak untuk memantau dan menjaga peti undi pada hari mengundi pengundi pos. Ini adalah amat penting bagi menjamin sebarang salah laku tidak mengambil tempat - walaupun ia dikendalikan pihak SPR.
Harus diingat, bukan semua anggota keselamatan dan kesihatan yang akan dikerahkan pada hari pengundian. Jika tidak dipantau, ada kemungkinan bahawa penyelewengan undi mampu berlaku, seperti yang dibangkitkan sebelum ini. Peringatan yang jelas harus disampaikan kepada semua warganegara yang layak memohon, yakni justifikasi jelas diperlukan bagi memohon status pengundi pos. Hal ini kerana, menurut statistik Pengundi Biasa dan Pengundi Tidak Hadir 2013 oleh SPR menunjukkan jumlah terkini untuk Pengundi Awal dan Pengundi Tidak Hadir iaitu :
Tentera dan Pasangan = 162,519 orang
Polis dan Pasangan = 112,697 orang
Undi Pos mengikut Parlimen = 142,367 orang
Pengundi Tidak Hadir Luar Negara = 3,243 orang
Saya juga menyeru agar peraturan yang termaktub bagi anggota ATM, PDRM, media dan petugas pilihan raya, agar dikuatkuasa sepenuhnya. Butiran tentang permohonan kertas undi pos yang perlu dikemukakan melalui majikan masing-masing, serta lantikan Pegawai Penyelaras atau Pegawai Yang Bertanggungjawab oleh Ketua Jabatan ATM atau PDRM untuk menyelaraskan permohonan undi pos perlu dipantau bagi mengelakkan ketirisan yang mampu mengambil tempat.
Sekiranya kita imbau kembali kes Mejar Zaidi beberapa tahun lalu, jelas dapat dilihat bahawa undang-undang sedia ada tidak akan melindungi individu yang mempunyai pendapat peribadi ataupun keputusan mengundi yang mungkin tidak selari dengan majikan mereka. Tindakan Mejar Zaidi yang mengemukakan satu kenyataan media berhubung isu dakwat kekal mengakibatkan beliau diputuskan sebagai bersalah kerana melanggar para 13 Perintah Majlis Angkatan Tentera (Permat). Maka ingin saya persoalkan, adakah SPR mampu melindungi penjawat yang ingin menegakkan hak sebagai pengundi - meskipun dihalang pihak atasan?
SPR juga perlu memperjelaskan isu berbangkit seperti yang didengari tahun lepas, melibatkan pendaftaran pengundi di kem tentera Segamat, Paloh dan Hutan Melintang yang masih belum siap. Sekiranya SPR bersikap terbuka tentang data pengundi, sudah pasti kontroversi yang berlaku dapat dielakkan.
SPR perlu sedar, rakyat hari ini semakin bijak dan mahu disalurkan maklumat tepat - termasuk data pengundi dan ketelusan setiap proses menghampiri hari agung PRU14. Keterbukaan SPR dalam urusan pilihan raya umum, berpotensi membuka lembaran baru dalam sejarah demokrasi tanah air.
Walaupun cabaran berliku terpaksa ditempuh, termasuk kelewatan pendaftaran Pakatan Harapan oleh Jabatan Perdaftaran Pertubuhan (ROS), sokongan rakyat Malaysia terhadap ombak politik baru semakin terpancar. Semua bentuk undi, termasuk undi pos sudah tentu akan menentukan masa depan negara - selagi ia tidak dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab.
NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN
DAN PENGARAH PILIHAN RAYA BERSAMA,
KEADILAN
----------------------
maka bermulalah penangkapan yg salah kecil kecil..glandangan..penagih..maka akan penuhlah rumah pasung..why..semua pengundi turrrrrrrr......
BalasPadam