Rabu, 21 Februari 2018

PENIPUAN SEDANG DIRANCANG



PENIPUAN SEDANG DIRANCANG

Saya ada  terbaca kenyataan Mahathir Muhamad Pengerusi Pakatan Harapan. Mahathir memberi penerangan kepada  media tentang dasar dan   isi Manifesto Pakatan Harapan untuk PRU14. 

Antara lain - Mengikut Mahathir dalam masa 100 hari Pakatan Harapan berkuasa di Putrajaya - Najib yang telah menjadi bekas Perdana Menteri -  akan ditangkap dan didakwa.
Untuk saya ini satu kenyataan yang amat bahaya. Untuk saya ini satu berita yang menakutkan. Saya faham kenapa  kenyataan ini dibuat. Saya faham kenapa dasar ini dimasukkan  kedalam  manifesto Pakatan Harapan. Tetapi saya merasa takut. Apa yang  saya takuti?

Dari satu segi Manifesto Pakatan yang ini memang mengumbirakan hati rakyat Malaysia. Isi Manifesto PRU14 saperti ini  memang ditunggu-tunngu oleh 30 juta  warga Malaysia. Anak semua bangsa - bangsa semua agama - di Malaysia ini  telah lama tertunggu-tunggu untuk melihat  Najib dan Rosmah didakwa.

Rakyat  satu Malaysia, malah rakyat dunia gian bagai nak rak. Satu dunia  tak sabar hendak melihat Najib dan Rosmah memakai baju lokap. Tetapi awas! 

Secara jujur saya katakan - saya juga menyimpan harapan yang sama. Dalam hati kecil  - saya juga mahu melihat Najib dan Rosmah ditangkap dan didakwa. Tetapi saya merasa gusar. Saya merasa risau. Ada sesuatu yang menakutkan saya.

Saya akui pada ketika ini Pakatan Harapan semakin mantap. Organisasi dan struktur Pakatan semakin tersusun. Kluk Klak di Selangor kini telah selesai tuntas. Tidak ada lagi niat dan cita-cita gelap untuk membuat  kerja sama dengan Parti Islam Pas. 

Parti Islam Pas ini semakin jelas dilihat sebagai musuh rakyat. Menjalin kerjasama secara terang atau gelap akan memudaratkan sokongan rakyat yang telah muak mual loya  dengan   pembelotan Pas.

Pengagihan kerusi bakal calon semakin selesai. Ini  langkah yang bijak- bersedia seawal mungkin. Kritikan disana sini membuktikan bahawa perbincngan sedang berjalan. Bersuara mengeluarkan pandangan dibaca sebagai politik sehat. Ini membuktikan dalam Pakatan Harapan TIDAK wujud  kuasa hegemoni dari mana-mana  parti politik. Ini satu yang amat positif.

Dalam Pakatan Harapan tidak wujud parti besar. Tidak ada kuasa hegemon atau veto. Semua disuarakan untuk dituntaskan secara bersama. 

Justeru dalam keadaan sademikian saya melihat sokongan orang ramai terhadap Pakatan semakin ampoh. Dimana-mana saya pergi bakal pengundi akan bertanya - bila PRU? Penyokong dan orang ramai sudah mula tidak sabar untuk menghumbankan   United Malays National Organisation  ke dalam tong sampah sejarah.

Keadaan sademikian  menakutkan saya. Ini menjadikan jiwa saya tidak tenteram. Sokongan  terhadap Pakatan Rakyat yang semakin mengampoh  menakutkan saya.

Saya takut kerana Najib juga sedang membaca keadaan yang sama. Najib dan kuncu-kuncunya sedang melihat sokongan   terhadap Pakatan semakin merebak.

Contoh awal ialah FELDA. Najib sedar warga FELDA kini telah huru hara.  Warga Felda yang selama ini  menjadi undi simpanan United Malays National Organisation  kini telah pecah terbarai. 

Rancangan telah disusun. Projek Tangkap Isa Samad diatur. Penangkapan ini bertujuan untuk mententeramkan jiwa dan hati   warga Felda yang barah membara kerana hutang yang tidak pernah selesai.

Projek Tangkap Isa ini membenarkan jurukamera menunggu  dari posisi kamera yang amat stratijik. Ini untuk merakam muka dan  baju kuning  penjara  SPRM yang dipakai oleh Isa Samad.

Sayangnya - gambar klasik Isa Samad digari masuk ke dalam lokap SPRM telah gagal memandulkan kemarahan warga Felda.  Tup tup meledak berita tanah Felda  di Jalan Semarak lesap terjual. Ini  menambahkan kemarahan warga Felda. Lagu Madah Berhelah nyanyian Ziana Zain pun tidak lagi dapat menghiburkan hati marah  peneroka. 

Ada  54 kerusi Parlimen terikat dengan undi Felda. Justeru jika  warga Felda meninggalkan  Najib maka  dengan serta merta kuasa Najib akan runtuh. Ini bermakna Pakatan akan mengambil alih kerajaan. Ini bermakna Najib akan ditangkap.
Fakta ini  menjadikan saya takut dan gusar. Apakah Pakatan akan menangkap Najib dan Rosmah?  Untuk saya ini bahaya. Bahaya apa?

Pada hemat saya  bahaya besar akan  datang. Bahaya yang saya maksudkan ialah Najib akan menyusun. Najib akan memastikan Pakatan Harapan tidak akan sampai  ke Putrajaya. Najib akan memastikan Rosmah akan terus selamat  dan dapat  memiliki Hermes Birkin edisi  Kulit Anak Buaya Biru 2018.

Ketika ini  - Najib telah menyusun FELDA 2.0. Ini adalah jawapan Najib terhadap Mahathir. Najib sedar bahawa  Mahathir telah berjaya mendapat sokongan warga Felda. Najib juga sedar akan peranan ANAK - Ngo kaum kerabat Felda yang menyokong Pakatan Harapan.

Ngo ANAK telah berjaya mentarbiah dan menghasut jenerasi kedua warga  Felda untuk membenci Najib dan menyokong Pakatan Harapan. 

Najib juga sedar pengaruh Mahathir makin merebak melintasi Felda. Justeru pada Hari Raya Cina tahun ini si Najib telah  menziarah Langkawi. Di Langkawi Najib telah mengumumkan dana sebanyak 1.3 bilion ringgit untuk warga Langkawi. 

Dedak Langkawi ini ditabur untuk memastikan pengaruh Mahathir  lupus atau dapat dikurangkan. Didesas desuskan bahawa Mahathir akan bertanding di Langkawi. Dana 1.3 bilion ringgit ini adalah kereta kebal Najib untuk bertahan.

Pengaruh Mahathir bukan hanya di Langkawi malah di Kedah bekas Ketua Bahagian Kubang Pasu ini amat-amat berpengaruh.  Menteri Besar Kedah  - yang bukan dari Pakatan - telah  terpaksa menerima hakikat bahawa  Mahathir telah berjasa di Kedah. 

‘ Orang Kedah sayang Mahathir…’ adalah kata-kata MB Kedah Ahmad Basah yang  dilapor oeh Malaysian Insight pada  19/2/18. Ini kenyataan merbahaya. Kenyataan saperti inilah   yang menakutkan saya. 

Berita dari warung ke warung makin merebak. Kedah akan jatuh ke tangan Pakatan Harapan. Pengaruh Parti Bersatu cukup ampoh di Kedah. Kemana sahaja kita menapak kita akan terlihat  kibaran bendera merah Bunga Raya BERSATU.  Ini menakutkan. 

Apa yang saya takutkan? Saya tidak takut dengan rancangan Dedak Langkawi. Atau  Najib membuat  FELDA 2.0 sampai  ke FELDA 100 pun. Ini tidak menakutkan. Apa yang menakutkan ialah rancangan gelap yang diatur oleh Najib untuk menyelamatkan diriya dari masuk penjara.

Mustahil Najib tidak sedar bahawa dalam PRU14 kali  ini Pakatan Harapan akan menang.  Sama saperti PRU13 dahulu rakyat akan berbondong-bondong  turun untuk mengundi Pakatan.  Mustahil Najib tidak terhidu pakara ini. Mustahil  Si Najib tidak mendapat laporan risikan tentang sokongan terhadap United Malaysa National Organsiation makin merosot.

Malah kelmarin 18/2/18 akhbar China Press telah melaporkan bagaimana  Timbalan Pengerusi  MCA Wee Ka Siong telah meramalkan United Malays National Organisation akan kalah dalam PRU14  nanti. 
Ini bukan ramalan kecik anak. Ini  ramalan dari parti cukong MCA -  parti kawan setia Najib. Ramalan ini dibuat mungkin dengan niat jujur agar Najib bersedia meneriam hakikat untuk mengundur diri. Atau ramalan ini cara MCA membeli insuran nyawa untuk selamat apabila Pakatan berkuasa sesudah PRU14.

Semua jarum kompas politik sedang  menunjukan bahawa Pakatan Harapan  akan menang dalam PRU14 ini.  Kerana kompas politik ini semakin jelas maka  saya semakin takut.

Saya bukan takut untuk menang. Dasar saya ialah berani berjuang berani menang. Apa yang amat amat saya takuti ialah racangan gelap Najib. Mustahil Najib tidak bersedia.

Pada 11/2/18 - MalaysiaKini telah melaporkan kenyataan  Najib tentang penipuan dalam PRU14. Najib menafikan kemungkinan akan berlaku tipu dalam PRU14. Mengikut Najib pilihanraya dibuat dengan ‘ ketat oleh  SPR.’  Dari lojik Najib - kerana ketat maka penipuan TIDAK wujud. Apa yang ketat lagi sendat tidak pula dibutirkan oleh Najib.
Ini lawak seram. Saya ketawa apabila terbaca lawak ini. Dalam masa yang sama saya merasa takut. Saya ketawa kerana umum tahu bahawa SPR ini ialah alat  jentera Najib. Pengerusi SPR dilantik oleh Najib. SPR bukan dibawah kawalan Parlimen tapi dibawah kawalan Najib.

Saya merasa takut kerana Najib berkata - TIDAK ADA PENIPUAN. Ini kenyatan yang amat amat menakutkan. Ini kenyatan yang amat merbahaya. 

Najib kata TIDAK ada penipuan dalam  PRU14. Ini bermakna semua bentuk penipuan sedang diatur dan sedang disusun. Ini hakikat. Jika tidak ada penipuan apa perlunya Najib membuat kenyataan  tentang penipuan.  Garam yang masin tidak perlu diiklankan  masin. Kecuali telah ditambah racun atau gula.

Kalau tidak ada penipuan dalam PRU14 kenapa Najib perlu membuat kenyataan  - tidak ada penipuan? Kenapa Najib perlu menafikan?
Di Malaysia - cara membaca media cukup senang. Apa yang dinafikan oleh politikus maka pekara itu wujud. Politikus akan menuduh wartawan salah lapor atau salah dengar.

Dalam PRU13 Pakatan Rakyat telah menang. Pakatan Rakyat mendapat 52% undi rakyat. Tapi kerana penipuan SPR maka Pakatan Rakyat telah dinafikan kuasa untuk mengambil alih  kerajaan.

Kali ini sekali lagi pekara yang sama akan berlaku. Dalam PRU14 Pakatan Harapan akan menang. Kalah kerana ditipu.

Ketika saya menulis ini satu atau dua kes Persempadan Semula  sedang berjalan. Satu demi satu kes bantahan orang ramai terhadap persempadan semula ini telah dibatalkan oleh mahkamah. Akhirnya persempadan semula akan berlaku.

Persempadan semula ini adalah penipuan terbuka. Ini satu penipuan yang dijalankan seolah-oleh mengikut hukum dan hakam. Sabenarnya semuanya karut lagi marut. Di belakang persempadanan semula ini adalah projek  untuk memastikan Najib dan United Malays National Organisation akan menang. Ini namanya penipuan halal.

Persempadan semula ini dijalankan untuk mengabui mata orang ramai.  Orang ramai  terpengaruh dengan proses mahkamah. Terpangaruh dengan proses bantahan.  Orang ramai boleh membantah. Orang ramai boleh menulis ketidak puasan hati mereka.

Tapi semua ini adalah hampeh. Semua telah diatur. Semua secara licik telah dirancang. Semua telah disusun dengan rapi. Semua dilakukan untuk memastikan Najib akan selamat.

Persempadan Semula ini penipuan terbuka dan halal yang akan menafikan Pakatan Harapan dari  kemenangan.  Apakah ada lagi yang rancangan gelap yang lebih menakutkan? Tunggu minggu hadapan. (tt)

NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan 
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
03-92-21-10-45












----------------------

Tiada ulasan:

Catat Ulasan