Khamis, 22 November 2018

DARI KAWAH BUKU




KENYATAAN MEDIA DARIPADA DISKOPI DAN KAWAH BUKU
BERTARIKH 21 NOVEMBER 2018
BERHUBUNG ISU PEMBATALAN PROGRAM SEKOLAH MALAM OLEH PIHAK PENTADBIRAN UKM
1.Merujuk kepada kejadian yang berlaku semalam pada hari Selasa, 20hb November 2018 sekitar jam 8.30 malam bertempat di ruang Sudut Pidato, Pusanika UKM, kami daripada kumpulan Diskopi dan Kawah Buku yang merupakan sebuah kolektif warga akademik dan mahasiswa UKM ingin menyatakan rasa kekesalan terhadap tindakan pihak pentadbiran UKM yang telah mengarahkan program Sekolah Malam kami dibatalkan.

2.Apa yang lebih mengesalkan lagi ialah apabila Naib Canselor UKM, Profesor Tan Sri Dato’ Seri Noor Azlan Ghazali mengeluarkan kenyataan beliau di laman facebook Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dengan kenyataan yang bertentangan dengan semangat demokrasi, kebebasan akademik dan autonomi buat mahasiswa untuk menjalankan aktiviti diskusi, forum, perbincangan atau kuliah seperti mana yang dilakukan di dalam program Sekolah Malam kami itu.

3.Di dalam kenyataan beliau, Profesor Tan Sri Dato’ Seri Noor Azlan menyatakan bahawa semua program perlulah melalui proses pendaftaran terlebih dahulu. Buat pengetahuan umum, program Sekolah Malam kami itu dijalankan menggunakan pentas Sudut Pidato UKM dan sedikit ruang di hadapannya untuk peserta mendengar kuliah yang diberikan oleh pembentang. 

Konsep sudut pidato yang kami fahami ialah suatu ruang atau mimbar bebas tanpa perlunya ada karenah birokrasi seperti surat-menyurat atau pendaftaran. Apakah logiknya Sudut Pidato yang dibina untuk menggalakkan mahasiswa menyuarakan pandangan secara bebas memerlukan surat-menyurat dan pendaftaran? 

Pertanyaan kami kepada Profesor Tan Sri Dato’ Seri Noor Azlan – apakah Sudut Pidato UKM ini mewajibkan setiap mahasiswa yang mahu menggunakannya mendaftar dan membuat tempahan terlebih dahulu? Dari jawapan yang telah diberikan oleh Profesor Tan Sri Dato’ Seri Noor Azlan kepada Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee, seakan-akan menunjukkan bahawa penggunaan Sudut Pidato UKM ini memerlukan proses pendaftaran dan tempahan terlebih dahulu. Apakah itu yang sebenarnya yang dimaksudkan oleh Profesor Tan Sri Dato’ Seri Noor Azlan?

4.Berhubung dengan soal keperluan untuk pendaftaran dan tempahan seperti yang diajukan oleh Profesor Tan Sri Dato’ Seri Noor Azlan, sayugia dimaklumkan bahawa program Sekolah Malam kami itu bukanlah kali pertama diadakan. Program Sekolah Malam ini telah pun dijalankan dengan lancar tanpa sebarang masalah pada masa-masa yang lepas. Dua program Sekolah Malam kami sebelum ini telah pun dibuat tanpa perlu kami membuat pendaftaran dan tempahan Sudut Pidato UKM daripada pihak pentadbiran dan ianya telah berlangsung dengan cukup lancar dan baik tanpa gangguan dari pihak keselamatan UKM. 

Dua program Sekolah Malam kami itu telah dijalankan di tempat dan ruang yang sama (Sudut Pidato) pada 16 Oktober 2018 dan 30 Oktober 2018 tapi tiada pula pihak keselamatan UKM datang dan menyuruh kami berhenti dan tiada pula tuntutan kepada kami untuk membuat tempahan dan pendaftaran. 

Persoalannya ialah kenapa dua program Sekolah Malam yang lepas dibenarkan tapi program Sekolah Malam pada 20hb November diminta untuk dibatalkan? Adakah kerana kuliah yang ingin diberikan itu menyebut nama Tun Mahathir dan Datuk Seri Anwar atau kerana sosok yang dipanggil untuk memberi kuliah di Sekolah Malam itu Hishamuddin Rais atau kerana ia akan membincangkan tentang reformasi struktural? 

Atau apakah tindakan mengarahkan pihak keselamatan UKM untuk menghentikan Sekolah Malam itu dibuat atas faktor untuk membodek dan mengipas-ngipas politikus tertentu?

5.Profesor Tan Sri Dato’ Seri Noor Azlan juga menyatakan bahawa terdapat pihak lain yang mendaftar untuk menggunakan lokasi yang sama. Kenyataan Profesor Tan Sri Dato’ Seri Noor Azlan ini benar kerana memang terdapat kelompak mahasiswa yang beraktiviti di ruang tingkat 5 itu. Tapi sekali lagi ingin kami tegaskan bahawasanya dua program Sekolah Malam kami yang lepas juga kelompok mahasiswa yang sama turut menjalankan aktiviti mereka di situ dan ini tidak mengganggu perjalanan aktiviti kumpulan masing-masing. 

Malahan ruang di tingkat 5 itu dikongsi bersama-sama di mana kami beraktiviti di ruang Sudut Pidato dan mereka beraktiviti di ruang sebelah yang lebih besar. Kami ada bukti video yang menunjukkan dalam program-program Sekolah Malam yang lepas ruang di tingkat 5 Sudut Pidato itu kami kongsi dengan aman bersama pihak mahasiswa yang lain. 

Tapi kenapa kali ini kami diminta untuk menghentikan Sekolah Malam kami sedangkan pada program Sekolah Malam yang sebelumnya, tiada masalah pun untuk kami berkongsi ruang sebelah-menyebelah dengan kumpulan mahasiswa yang lain itu?

6. Sayugia dimaklumkan di sini, kami sebenarnya telah pun menawarkan kepada pihak keselamatan untuk membuat Sekolah Malam kami itu di tingkat yang lain. Pusanika adalah bangunan yang cukup luas dan besar dan punya banyak tingkat. Terdapat lebih kurang 6-7 tingkat tetapi dari insiden yang berlaku semalam kami telah difahamkan oleh pihak keselamatan UKM bahawasanya kami tidak dibenarkan untuk menjalankan kuliah Sekolah Malam kami itu di mana-mana premis dalam Pusanika itu walau pun kami telah menawarkan untuk membuat Sekolah Malam kami itu di tingkat atas yang kami percaya kosong dan tiada tempahan dari kumpulan mahasiswa lain. 

7.Kalau benarlah seperti mana yang dikatakan oleh Profesor Tan Sri Dato’ Seri Noor Azlan bahawa Sekolah Malam kami itu tidak dihalang, maka sepatutnyalah kami dibenarkan untuk meneruskan program Sekolah Malam kami itu di tingkat-tingkat lain atau ruang lain yang kosong. 

Mustahil Pusanika yang besar, luas dan punya lebih kurang 6-7 tingkat itu, setiap inci ruang di setiap tingkat telah ditempah oleh kumpulan mahasiswa yang lain. 

8.Kami akan tetap meneruskan juga program Sekolah Malam kami itu di ruang Sudut Pidato yang merupakan sebuah tempat khusus yang disediakan oleh pihak UKM sendiri untuk mahasiswa beraktiviti dan menyuarakan pandangan mereka di pentas tersebut dengan bebas tanpa perlu terikat dengan proses tempahan dan pendaftaran. 

Kalau sekiranya Sudut Pidato itu memerlukan tempahan atau pendaftaran maka mungkin lebih sesuai nama Sudut Pidato itu ditukar kepada Sudut Pitempah atau Sudut Pidaftar.


Sekian. Terima Kasih.

Disediakan oleh Sekretariat Sekolah Malam anjuran Diskopi dan Kawah Buku. 




-------------------

Tiada ulasan:

Catat Ulasan