Rabu, 2 Januari 2019

MELAYU ITU APA?




 



MELAYU ITU APA


Sekali imbas tajuk tulis saya ini kelihatan mengada-ngada. Atau dilihat bahawa saya cuba menimbulkan pekara yang bukan-bukan. Tetapi hakikatnya - Melayu itu apa? Pertanyaan ini  adalah sebahagian dari induk persoalan nasional yang belum selesai-selesai. 

Mahathir Muhamad anak lelaki Iskandar Kutty. Zahid Hamidi pendatang dari  Jawa. Azeez Tabung Haji dilaporkan berbahasa Tamil bersama keluarga dirumah. Khairy Jamaluddin berkulit gelap legam. Melayu cerah berkulit sawo matang.

Kita selalu mendengar ayat-ayat ini. Semua ayat-ayat ini adalah manifestasi dari pertanyaan Melayu itu siapa?  Pertanyaan ini muncul hasil dari persoalan nasional  yang belum selesai-selesai.
Wajib diberi tahu bahawa dalam dunia ini hanya M-E-L-A-Y-U  yang diberi difinasi - apa dan siapa  itu Melayu - melalui  Perlembagaan. Bangsa-bangsa lain dalam dunia wujud melalui etnik dan keturunan bangsa. Ertinya ada Melayu yang wujud berasaskan perlembagaan bukan melalui bangsa atau etnik. Amin. 

Artikel 160 Perlembagaan Malaysia mentakrifkan pelbagai istilah yang digunakan dalam Perlembagaan Malaysia. Menurut Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia, orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu dan lahir sebelum hari merdeka sama ada di Persekutuan atau Singapaura, atau pada hari merdeka telah bermastautin di Persekutuan atau Singapura.

Tetiba Perlembagaan Persekutuan telah mengikat Melayu  dengan agama yang datangnya dari Saudi Arabia. Pelik tetapi benar.

Pentakrifan ini berlaku ketika Anak Melayu masih ramai belum bersekolah jauh sekali sampai ke Universiti. Ini berlaku ketika belum wujud secara ampoh pemikir jati diri dan intelektual Melayu. Ini berlaku atas paksaan Inggeris. 

Latar belakang wujudnya konsep Melayu yang dikahwinkan dengan agama Arab ini kerana  Inggeris  mahu mengundur dari Tanah Melayu. Kuasa kolonial Inggeris sesudah Perang Dunia keDua telah jatuh muflis. 

Keadaan ini bertambah buruk apabila kuasa kolonial Inggeris  telah dipukul terok oleh perjuangan senjata  anak semua bangsa di bawah pimpinan Parti Komunis Malaya. 

Garis politik kanan ini diterima kerana wujudnya  pembelotan dari parti United Malays National Organisation. Parti ini adalah  kumpulan parti Melayu berhaluan kanan yang dieram dan menetas dalam kerandut  Inggeris. 
Sebelum Inggeris mengundur  pada tahun 1957, saya masih ingat lagi bagaimana arwah emak saya seorang guru telah memperlekehkan apa yang dikenali sebagai  DKK dan DKA.  DKK ialah darah keturunn Keling dan DKA ialah darah keturunan Arab. 

Sila ke Arkib Negara dan rujuk kembali DKK dan DKA yang dilaporkan oleh Utusan Melayu pada tahun 1955-1956. Sayangnya wacana DKK dan DKA ini hanya sampai  ke tahap sebut menyebut sahaja.  Utusan Melayu - satu satunya lembaga pengurus fikrah Melayu telah gagal mengupas apa itu negara bangsa dengan fikrah intelektual yang tuntas. 

Melorohnya masuk Orang China dan India  menjadi rakyat Tanah Melayu gagal dibincangkan  secara menyeluruh. Elit dan kaum feudal Melayu telah belot dan bersekongkol dengan Inggeris. Tanpa mengambil pandangan meyeluruh Orang Melayu.

Sayugia, dari segi sejarah wajib diberitahu secara hitam puteh  disini bahawa wujud satu lagi garis Melayu yang terbuka, maju dan progresif. Fikrah dan pandangan ini datang dari  Melayu Kiri yang diwakili oleh  sosok-sosok saperti Shamsiah Fakeh, Samad Ismail, Musa Ahmad , Rashid Mydin, Boestaman, Abdulah Sidi dan Pak Sako. 

Kaum Kiri Melayu berkumpul dibawah payung Putera. Mereka telah menerima  konsep sesiapa sahaja yang ingin bermastautin di Tanah Melayu akan dianggap Melayu. Persetujuan ini telah dihitam puteh dalam Perlembagaan Rakyat 1947. 

Putera - adalah gabungan enam parti politik Melayu Kiri. Dalam Perlembagan Rakyat 1947 difinasi siapa itu  Melayu tidak dikahwin  dengan Islam. Khalas.

Putera telah bekerja sama dengan badan politik bukan Melayu untuk memerdekakan Tanah Melayu dari kuasa kolonial. Hasilnya wujud barisan   bersatu - united front - dengan AMCJA  ( All Malaya Council of Joint Action atau Barisan Bertindak SeMalaya). 

United Front garis kiri ini  telah disabotaj dan dimusnahkan oleh Inggeris  yang berkerjasama dengan garis kanan Melayu yang diwakili oleh United Malays National Organisation melalui Darurat.

Perentah Darurat telah diistihar pada 20 Jun 1948. Hampir kesemua pemimpin Putera ditangkap oleh Inggeris. Yang sempat selamat lari telah masuk ke hutan untuk memulakan  perjuangan  bersenjata melawan Inggeris.

Latar belakang sejarah yang saya rakamkan ini wajib diketahui oleh generasi sekarang. Ianya  penting. Ini  bertujuan untuk membuktikan bahawa difinasi Melayu yang wujud hari ini bukan satu yang multak. Bukan satu yang monolitik. 

Terbukti - dari segi sejarah tidak wujud  hanya satu pandangan - siapa itu Melayu. Amat jelas difinasi Melayu yang wujud dalam Perlembagan hari ini berlatar belakangkan kepentingan Inggeris dan pembelotan United Malays National Organisation.

Bangsa Melayu tidak ada sangkut paut dengan agama Arab. Adalah salah apabila mentakrifkan Melayu maka kita  anggap  semua Melayu itu juga beragama Islam. Ini tidak betul  dari segi fakta. Melayu ialah kumpulan bangsa, satu kumpulan etnik  atau satu ras yang wujud di Kepulauan Melayu. 

Di Pilipina ada Melayu beragama Christian. Di Bali majoriti Melayu  beragama Hindu. Di Sumatera ada Melayu beragama Christian dan  Buddhist. Masih ramai Melayu yang  percaya kepada hantu dan polong, batu,  hutan dan banir kayu. Malah ramai juga Melayu yag tidak percaya kepada apa sahaja bentuk agama.

Jangan silap tafsir Melaka dibuka oleh Parameswara anak raja Hindu. Ini bukan bermakan Parameswara dari India.Dia Melayu yang bragama Hindu. Hindu Prince yang ditulis dalam buku sejarah bukan bermakna dari India. Parameswara dari Majapahit i.e Jawa


Wajib  juga saya beritahu bahawa 700 tahun dahulu mengikut Baru Bersurat dari Terengganu Bani Melayu ini telah ada tuhan sendiri - Dewata Mulia Raya.

Justeru mengkahwinkan apa itu Melayu dengan  agama Arab hanya berlaku di Malaysia. Ini konsep kanan. Ini konsep kolonial Inggeris. Lahir dari kepentingan Inggeris. Konsep yang tidak ilmiah. Konsep yang tidak  berjejak dibumi nyata. Konsep yang cuba memadamkam sejarah bangsa. 

Hari ini konsep kanan siapa Melayu  masih diteruskan oleh  kaum kerabat  saki baki parti politik yang  pernah dieram oleh Inggeris. Konsep kanan ini secara lumayan telah digunakan sebagai senjata politik.

Konsep - kita Melayu maka kita Islam ini - menjadi modal yang telah membonsaikan fikrah Melayu itu sendiri. Bonsai yang maha sangat ini telah dibuktikan  dengan gagalnya Melayu di Malaysia menerima hakikat bahawa ada Melayu  di Alam Melayu ini yang beragama Christian, Hindu , Buddisht atau tidak beragama.

Jadi siapa Melayu? Dalam keadaan kebonsaian Melayu ini biar saya terangkan disini dengan sajelas mungkin.   Yang bonsai pun saya rasa akan faham apa yang saya tulis ini.

Jarak Shanghai dari Peking ialah 2,652 km. Dari Taiwan ke Peking jaraknya 1,851 km. Dari Yenan ke Peking jaraknya 4,355 km. Semua ini adalah bumi China. Jarak beribu-ribu baru jauhnya tidak pernah menjadi persoalan. Bahasa dan budaya yang berbeza-beza juga tidak  pernah dipersoalkan. Semua China.

Jarak New Delhi dengan  Mumbai ialah 1,404.5 km. Dari Delhi ke Tamil Nadu jaraknya ialah 2,470.5km. Dari Delhi ke Calcuta ialah 1,470km. Bahasa, pakaian, budaya  yang berbeza-beza tidak dipersoalkan. Semua India.

Jarak Kuala Lumpur ke Medan ialah 674 batu. Jarak Tanjung ke Medan hanya 274 km. Dari Melaka ke Dumai hanya 107Km. Dari Kuala Lumpur ke Jakarta hanya 733 batu atau 1188 km.

Tetapi kita terdengar Zahid Hamidi adalah  pendatang Jawa. Ustaz Badrul Amin pendatang dari Banjar. Shafie Afdal pendatang dari  Pilipina. Takiyuddin pendatang dari Patani.

Kita tak pernah mendengar ayat  yang mengatakan  Mao bukan dari China dia pendatang haram dari Hunan - 1,611 km dari Peking.  Atau   Mahatma Ghandi bukan India- pendatang dari Afrika Selatan.

Kenapa agaknya Zahid Hamidi , Badrul Amin atau Shafie Afdal  dipersoalkan dari mana asal usul mereka.

Ini buktikanya persoalan nasional belum selesai. Hakikatnya Zahid atau Shafie adalah Melayu. Semua lahir dalam  bumi dan Alam Melayu. Mereka bukan pendatang.  Sama saperti Mao Zedong bukan pendatang dari Hunan yang memiliki bahasa yang asing di Peking. Atau Ghandi juga bukan pendatang ke Delhi dari Afrika Selatan.

Apa yang saya tuliskan disini wajib masuk ke dalam kepala, ke dalam akal dan fikrah orang China dan India.  Ini kerana mereklah yang selalu menimbulkan pekara ‘ Melayu pendatang ‘ .

Tujuan Orang China dan India menimbulkan ‘ Melayu juga pendatang’  tersirat niat jahat. Mereka ingin menunjukkan bahawa semua kita ini pendatang. Tidak ada siapa yang awal wujud di Tanah Melayu. Tanah Melayu ini bumi kosong. Tanah Melayu ini bukan asal usul Bumi Melayu.

Mengikut hujah ini Tanah Melayu  ini adalah wilayah pendatang.

Sikap ini sikap  salah. Ini sikap jahat dari pendatang baru. Sikap ini wajib dilawan. Sejarah membuktikan bahawa bumi Melayu ini hanya dipisah-pisahkan  pada tahun 1824 melalui perjanjian Anglo-Dutch Treaty. Empat wilayah Melayu - Petani, Yala, Setul dan Naratiwat menjadi hak Siam melalui Anglo-Siamese Treaty 1906.

Jangan silap - pendatang ke Bumi Melayu ialah orang China dan India. Mao Zedong bukan pendatang Hunan  ke Peking. Ghandi bukan pendatang dari Mumbai ke Delhi.

Pendatang ke bumi Melayu ini adalah sosok-sosok yang sebutan besi , air, nasi , babi dan padi  bukan timbul dari bumi ini.

Langsat , durian , petai dan rambutan tidak ada sebutan dalam bahasa asal mereka.  Mereka memiliki kata-kata yang amat berbeza dari kata-kata asal usul Melayu. Maka mereka inilah pendatang.

Apa yang dapat saya rumuskan disini ialah pertanyaan siapa Melayu itu memerlukan jawapan. Persoalan nasional  wajib difahami. Penyelesaian masalah persoalan nasional akan terungkai kerana jawapan tidak dapat dipisah dari soalan. (tt)



NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan 
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
03-92-21-10-45

------------------

2 ulasan:

  1. Bagus tapi masalah TT dan geng haluan kiri dan kanan, kalau tidak hitam, semestinya putih.

    BalasPadam
  2. Berpuluh2 tahun aku Cari jawapan ni...terima kasih Isham.

    BalasPadam