Rabu, 22 Mei 2019

MERAKAM SEJARAH - KEMENANGAN POLITIK JALAN RAYA


 


                                   MERAKAM SEJARAH           
        KEMENANGAN POLITIK JALAN RAYA

Kejayaan anak semua  bangsa menerajang keluar United Malays National Organisation dan kuncu-kuncunya dari memiliki kuasa  pada PRU14 adalah satu kejayaan hebat. Ramai tidak sedar  secara mendalam makna dan tanda kemenangan 9 Mei 2018.  Mungkin ada yang menganggap ini hanya satu perubahan biasa dalam proses  demokrasi pilihan raya. Tidak.  Tarikh 9 Mei 2018 bukan satu perubahan biasa. 

Apa yang berlaku pada 9 Mei 2018 telah , sedang dan akan  memperngaruhi warga negara-negara Asean. Kejayaan  rakyat Malaysia ini sedang menjadi contoh tauladan  untuk anak semua bangsa dan bangsa semua agama di  Asia , Afrika da Latin Amerika. Kemenangan Pakatan Rakyat dan pertukaran kerajaan pada 10 Mei 2018 menjadi sebutan contoh untuk  warga dunia ketiga. 

Betul kah ini? Kenapa bagini?

Ini kerana belum pernah terjadi perubahan kerajaan dalam Dunia Ketiga melalui pilihan raya.  Perubahan kerajaan di Indonesia berlaku keganasan dan kematian, di Pilipina berlaku keganasan, di  Kenya, di Uganda di Colombia – semua berlaku  pembantaian dan bentrokan.   

Ketika ini kita lihat politik  disebelah rumah kita  - di Siam.  Pilihanraya telah berjalan lebih dari satu bulan tetapi hasil keputusan masih tertangguh. Terkini -  di Amerika Latin politik rampasan kuasa datang kembali melalui jubah baru. Satu demi satu negara mengalami perubahan jubah. Jubah pilihanraya di Latin Amerika kini  didalangi oleh USA. Paling terkini pemaksaan bertukar jubah sedang berlaku di Venuezuela.

Hakikatnya dalam dunia ketiga jika pilihan raya boleh mengubah  apa-apa maka pilihan raya itu  akan diharamkan . Jik kuasa lama kalah maka kuasa baru yang menang   akan diganggu gugat.

Dalam dunia ketiga  wadah pertukaran kerajaan bukan dengan pilihanraya. Dalam dunia ketiga jalan raya  adalah wadah utama. Bukti amat-amat jelas  - di Iran, Indonesia, Pilipina, Mesir atau  Tunisia -  kerjaan baru muncul  hasil dari politik jalan raya. Hasil dari pemberontakan rakyat di jalan raya maka kerajaan  zalim lagi ganas diruntuhkan.

Bermula dari zaman Revolusi Peranchis  ( 1789-1799) politik jalan raya telah diteroka.  Kaum tani dan warga miskin kota di Peranchis  yang bulur kelaparan telah turun ke jalan  raya memberontak. Mereka berhimpun dalam  kota Paris - pusat kuasa kaum feudal. Tanpa jalan raya sistem Raja dan sistem  feudal  tidak akan dapat dihapuskan. Kepala Louis ke 16 mustahil dapat dipenggal tanpa sorakan gegak gempita  dari ribuan kaum tani dan warga miskin  yang sedang mengepong kota Paris. 

Revolusi Bolshevik (1917) yang dipimpin oleh Lenin telah menggunakan politik jalan raya. Istana  Musim Sejuk Czar Nicholas telah dikepong  dan dipecah masuk oleh kaum tani bersama soldadu pada 8 March  1917.  Ini  permulaan tanda-tanda   kemenangan Revolusi Bolshevik.

Tetapi pada Rabu 9 Mei 2018 di Malaysia ada pilihanraya. Rakyat tidak  turun ke jalan raya? Anak semua bangsa telah  turun membuang undi pada hari Rabu itu. 

Bro, sabar dulu. Biar saya terangkan.  Dalam negara Dunia Ketiga teori politik jalan raya masih afdal. Masih boleh digunakan . Malah politik jalan raya masih lagi satu satunya senjata yang wajib digunakan. Dalam dunia  ketiga tanpa politik jalan raya mustahil kerajaan akan berubah.  Mustahil kuasa akan bertukar tangan.

Apa yang belaku   di Malaysia  hari ini  - hari sambutan kemenangan Pakatan Harapan -  adalah hasil dari politik jalan raya.  Politik jalan rayalah  yang memungkinkan kemenangan Pakatan Harapan  pada 9 Mei 2018. Tanpa politik jalan raya mustahil akan berlaku perubahan.  Najib dan Rosamh tidak dapat disingkir tanpa politik jalan raya. Amin.

Sejarah membuktikan kekuatan kudrat politik  jalan raya. Justeru mari kita lihat babak-babak sejarah itu. Dalam tahun 2008 – sebelum pilihanraya PRU12 – Hindraf telah turun ke jalan raya.  Gerakan kaum India ini telah dipukul teruk. Secara ganas Hindraf telah diserang. 

Sesudah Hindraf  Orang Asal telah juga turun ke jalan raya. Lebih dari 2,000 Orang Asal telah berhimpun di Putrajaya.  Majlis Peguam juga telah melancar politik jalan raya. Peguam telah berdemo di Putrajaya.  Dari tiga demo ini - demo Hindraf adalah yang paling ampoh, ganas dan paling mujarab. Sejarah merakamkan bahawa Hindraf bertanggung jawab  membawa kemenangan dalam PRU12. 

 Sebelum PRU13   Bersih telah menganjurkan Bersih 3  pada 28 April 2012. Ini diikuti oleh a Himpunan Kebangkitan Rakyat . Seramai 400,000 anak semua bangsa telah berhimpun di Stadium Merdeka pada 1.12 2013.  Hasilnya  dalam PRU13 untuk kali pertamanya  United Malays National Organisation dan Barisan Nasional telah dinafikan kuasa  dua par tiga majoriti dalam parlimen. Amin.

Sebelum PRU14 wujud  - Kita Lawan – satu  gerakan anak muda lahir.  Setiap minggu anak muda berhimpun di Dataran Kita Lawan ditepi Dataran Merdeka. Puncaknya anak muda berarak ke KLCC. Sebelum Bersih 4 sekali lagi anak muda bersama pelajar dan mahasiswa  telah turun ke jalan raya. Kali ini  dengan tema Tangkap MO1. Akhirnya  Bersih 5 muncul sebelum PRU14. 

Sejarah pasti akan merakamkan sebelum membuang undi  dalam PRU14 Anak Muda Mencari Jho Low (AMCJL) telah turun ke jalan raya. Gerakan AMCJL adalah pukulan akhir sebelum membuang undi yang membawa kemenangan kepada Pakatan Harapan.

Justeru apa yang telah berlaku  ialah kita di Malaysia   telah menggunakan – politik jaan raya - sebagai senjata mengolah persetujuan  orang ramai untuk menjatuhkan Najib dan Rosmah.  Malaysia telah membawa taktik jalan raya yang baru.   Orang ramai turun ke jalan raya berkali-kali. Anak semua bangsa menjadi  kumpulan anai-anai  – terus menghakiskan keyakinan rakyat terhadap United Malays National Organisation. Setiap kali ke jalan raya keyakinan orang ramai terhadap kerajaan terhakis. Lagi ganas jawapan Najib lagi afdal politik jalan raya.

Di jalan raya pidato panas telah didengar. Agitasi dan propaganda telah dilihat.  Suasana kekitaan –  setia kawan – tolong menolong - dalam himpunan beribu-ribu orang – telah melahirkan keberanian. Semua menjadi pendemo. Semua bersuara menunjuk perasaan. Ketika berdemo semua  melupuskan fikrah songsang tentang Melayu, China atau India. Bersama tangan diacung untuk satu tujuan – menjatuhkan Najib dan United Malays National Organisation.  Mendobrak kezaliman dan kemungkaran.

Ketika berdemo semangat telah dibakar. Semangat setiakawan telah menjalar.  Solidariti anak semua bangsa telah menjadi kukuh. Serangan gas pemedih mata keatas   para demonstran  tidak mematah semangat. Malah menaikkan tekad untuk menang. Maka semua ini  akhirnya akan diterjemahkan ke dalam peti undi. Inilah yang berlaku di Malaysia. Berbanggalah – kerana kita telah meneroka taktik poitik jalan raya yang baru.   .

Berbanggalah  juga – ketika Jepun melanggar Tanah Melayu pada 8 Ogos 1941 – Parti Komunis Malaya (PKM) telah melancar perang gerila. Inilah perang gerila pertama dalam hutan tropical. Perang gerila Anti Jepun ini terus menjadi bahan kajian ilmuan hingga ke hari ini.  Ada yang mengkaji untuk mengguna pakai. Ada yang mengkaji –  Amerika dalam era perang Vietnam –  mengakaji perang gerila di Malaya untuk mengalahkan gerila Vietcong.  PKM menjadi pemula.

Pada 9 Mei 2018 -  sekali lagi kita memberi contoh kepada dunia tentang cara dan taktik politik jalan raya  yang meraiah kemenangan tanpa kekacuan dan bentrokan. Kita juga menjadi pemula. Amin

Apakah masih ada lagi yang  tidak yakin dengan garis politik jalan raya?

Sila tanya Mahathir Muhamad. Inilah  sosok yang paling lantang bersuara menolak demo. Mahathir  benci dan paling tidak suka kepada politik jalan raya. Malah Mahathir telah memesongkan sejarah dengan menuduh bahawa   demonstrasi jalanan ini  bukan budaya kita. Walhal ketika itu  Si Mahathir ini adalah Presiden United Malays National  Organisation. Parti Ketuanan Melayu ini  lahir dari  politik jalan raya menentang Malayan Union (1946) .  Mahathir sanggup memesongkan sejarah partinya sendiri kerana dia sedar perubahan kerajaan dalam dunia ketiga hanya dapat dituntaskan melalui tunjuk perasaan di jalan raya.

Tetapi  akhirnya pada jam 5.47 petang hari Sabtu 29 Ogos 2015  – sosok yang anti jalan raya  ini telah turun ke jalan raya berdemo. Tidak cukup dengan hari Sabtu – esoknnya pada petang 30 Ogos sekali lagi Mahathir turun untuk bersama anak semua bangsa dalam Bersih 4.  Terbukti garis politik jalan raya menang. Amin
Apakah ada yang tidak  yakin dengan teori ini?

Jika kurang yakin sila pergi bertanya  dan bincang dengan gerombolan Lokman Adam dan kuncu-kuncunya. Mereka  sedang bertungkus lumus  mengajar penyokong Najib untuk mengamalkan politik  jalan raya. Malah dari laporan media kita diberitahu bagaimana penyokong Najib – Mat Lengit dan Mat Kalah telah diajar cara dan taktik turun ke jalan raya.

Mat Lengit dan Mat Kalah – bersama saki baki penyokong United Malays National Organisation kini telah mula mengamalkan  politik jalan raya. Gerakan  menentang  Perjanjian Antarabangsa Menghapus Penindasan Bangsa-Bangsa adalah permualaan mereka. Kemudian  Mat Lengit dan Mat Kalah ini telah menyusun  demo untuk menentang  Perjanjian Rom. Sayangnya demo ini telah digagalkan oleh hujan. Bukan hujan air kimia atau hujan peluru pemedih mata. Tapi digagalkan oleh hujan petang bumi tropical. Kah kah kah.

Mat Lengit dan Mat Kalah ini  sedar bahawa hanya politik jalan raya yang akan berjaya meruntuhakan  kerajaan Pakatan Harapan. Kini musuh Pakatan Harapan tahu, sedar dan sedang menggunakan taktik dan senjata yang pernah kita gunakan. Mereka juga sedang menggunakan taktik jalan raya untuk menghakiskan keyakinan orang ramai  terhadap kerajaan Pakatan Harapan.

Apakah musuh Pakatan Harapan yang menggunakan senjata Pakatan Harapan akan berjaya menjatuhkan kerajaan Pakatan.  Apakah kemenangan Pakatan ini akan terus diganggu gugat. Semua bergantung. Bergantung pada apa? Tunggu minggu hadapan. (TT)



Tulisan ini juga
disiar dalam Suara Keadilan
--------------

4 ulasan:

  1. Ya. Benar . Kemenangan pakatan sdg diganggu gugat oleh tgn2 ghaib pegawai2 kerajaan berpangkat yang masih ingat umno masih berkuasa. Jikalau anda masih membiarkan mereka, mereka mampu mensabotaj sgala perancangan agenda rakyat.

    BalasPadam
  2. politik jalan raya paling berjaya...perhimpunan ummah menentang icerd, lancar, sopan. takde kecoh2 . patut dijadikan contoh utk semua rakyat

    BalasPadam
  3. Org yg bertamadun akan mengundi dlm pilihanraya utk ubah kerajaan. Kau lain la tt, kau sakai, sakai tak daftar pemilih sebab mentaliti kau negara dunia ketiga. Tugas kau hanya buat kucar kacir rosakkan kerajaan yg memerintah. Lepas tu kau claim jadi org penting bantu kemenangan pru14. Lepas tu kau meroyan pasal org itu songel org ini songel. Kau tu sebenarnya mat songel, suka komplen macam2 padahal kau tak mengundi pun.

    BalasPadam
  4. Sembang la ko tt. Bapak segala bapak kepada pilihan jalanraya sekarang ini adalah september 98. Kenapa ko tak keluar fakta sejarah yang ini.

    BalasPadam