JENAYAH DAN
KEKAYAAN
Minggu lalu saya telah memetik tulisan Mario Puzo dalam bukunya The Godfather (1969). Mario Puzo telah menulis: Behind every great fortune lies a great crime. Every great fortune begins with a crime..’ Di sebalik harta kekayaan ada jenayah besar. Setiap kekayaan bermula dengan jenayah….”
Minggu ini saya meterjemahkan makna disebalik kata-kata Mario Puzo ini dalam kerangka politik Malaysia dan politik dunia. Saya lakukan ini kerana saya amat yakin Kak Bibah, Mat Husin dan Alang Dusin tidak melakukan apa-apa jenayah justeru mereka tidak kaya-kaya.
Apabila saya menyebut jenayah maka anak semua bangsa di Malaysia ini akan teringat kepada Botak Chin (1951-1981) atau Bentung Kali (1961-1993). Dua watak ini menjadi mitos jenayah untuk disebut-sebut dan disurahkan turun temurun kepada cucu cicit.
Bentong Kali dan Botak Chin menjadi watak romantik untuk kita semua. Ini sama saperti pasangan penjenayah Amerika yang dikenali sebagai Bonnie dan Clyde - Bonnie Parker (1910-1934) dan Clyde Burrow (1909 - 1934) atau Al-Capone (1899-1947).
Boleh difahami kenapa watak-watak ini diingati. Mereka dilihat ganas. Dalam masa yang sama dilihat cool. Media pula memainkan peranan menyebarkan lejen watak-watak ini. Kesah dan drama Botak Chin dan Bentong Kali ditambah pula dengan ‘aji-no-moto’ dari labon kedai-kedai kopi. Ini menjadikan watak ini amat romantik.
Tetapi jenayah dalam tulisan saya ini bukan jenis jenayah yang bersangkut dengan keganasan. Yang keganasan itu dapat dilihat dan mudah difahami. Mayat tergelempang mudah ditafsir. Darah melimpah senang dibaca. Jenayah yang akan saya surah disini adalah keganasan dalam sistem ekonomi kapitalis yang halus lagi licik dimana mayat bergelempang gagal dibaca sebagai jenayah.
Bulan lalu anak semua bangsa di Malaysia terbaca berita saorang towkay China memberi rasuah dua juta ringgit kepada Tengku Adanan Mansor untuk merembat tanah kerajaan di wilayah Kuala Lumpur.
Chai Kin Kong dari Bani China ini diberi taraf Tan Seri. Yakinlah jika Pakatan Harapan tidak mengambil alih kuasa dari gerombolan United Malays National Organisation kita tidak akan terbaca dan sedar tentang penjarahan dan jenayah Towkay China ini.
Hakikatnya disebalik derajat Tan Seri si Towkay ini telah merompak tanah-tanah milik kerajaan. Rompakan ini tidak dibaca ganas saperti apa yang telah dilakukan oleh Bentong Kali atau Botak Chin.
Hakikatnya jenayah towkay China ini telah membawa mudarat malah mudarat dan kemusnahan yang dibawa oleh Tan Seri ini sejuta kali lebih ganas dari mayat bergelempangan mangsa Botak Chin atau Bentong Kali.
Tanpa melakukan jenayah rasuah saya yakin Chai Kin Kong tidak akan dianugerah Tan Seri. Taraf kehidupan Chai Kin Kong dengan Kak Bibah , Mat Husin dan Alang Dusin pasti sama.
Ini hanya satu jenayah yang menjadi punca membawa kekayaan yang kita ketahui. Kita tidak tahu bagaimana dan apa jenayah Lim Goh Tong hingga berjaya menjarah Bukit Genting. Kita juga tidak tahu apa jenayah yang telah dilakukan oleh towkay China hingga tergadai tanah KTM di Sentul. Atau apa jenayah dibelakang tanah Lapangan Terbang TUDM di Sungai Besi.
Kita masih tidak tahu berapa banyak tanah wilayah Kuala Lumpur telah dijarah. Kita tidak tahu berapa juta hektar hutan dara telah dirompak oleh towkay balak. Kita tidak tahu bagaimana tanah rizab Melayu melalui jenayah rasuah telah bertukar tangan. Tanah Bani Melayu menjadi milik Bani China.
Kampong Abdulah Hukum dan Kampong Pantai Dalam hanyalah dua contoh yang kita ketahui. Bukan sahaja kampong ini telah menjadi harta Bani China malah nama asal usul Bani Melayu pun telah diubah. Jika ini bukan jenayah maka Hishamuddin Rais bukan dari Suku Biduanda.
Pelik – amat pelik. Towkay yang memberi rasuah bebas. Yang menerima rasuah didakwa. Sabenarnya punca jenayah ini bermula dari si pemberi yang memiliki niat untuk melanggar undang-undang. Biasanya sosok-sosok saperti Lim Goh Tong atau Ting Pek Khing atau Chai Kin Kong yang mahu menjadi kaya bukan sosok saperti Kak Bibah atau Mat Husin yang terus menjadi mangsa.
Mario Puzo dalam The Godfather tepat sekali apabila berkata : dibelakang kekayaan ialah jenayah. Kekayaan ini bermula dengan jenayah. Amin.
Jika masih ada pembaca yang percaya bahawa jika kita kuat bekerja, jika kita rajin bekerja , jika kita jimat cermat maka kita akan jadi kaya raya. Jika masih ada pembaca yang percaya kepada ayat-ayat hampeh ini maka taraf fikrah pembaca itu sama dengan fikrah Lokman Adam.
Ketika saya dalam tingkatan enam (1969) ada mata pelajaran wajib yang dipanggil General Paper – Kertas Am. Tujuan mata pelajaran ini adalah untuk membuka minda pelajar tentang itu dan ini yang bersangkutan dengan kehidupan.
Setiap minggu kelas akan membuka perbincagan untuk mengasah fikrah. Saya masih ingat lagi salah satu dari tajuk yang dibuka untuk perbincangan ialah : Kenapa Negara Barat Maju. Guru yang mengendalikan perbincangan in ialah Desmond Tate – bekas soldadu Inggeris yang menjadi guru impot.
Maka timbul pelbagai pandangan kenapa Britain, Amerika atau German menjadi negara maju dan kaya raya. Ada kawan sadarjah berhujah bahawa warga Eropah rajin bekerja . Ada yang berhujah warga Eropah terpaksa bekerja kuat kerana iklim yang ganas. Salju yang tebal menjadikan mereka rajin. Mereka dikatakan berdisplin , pandai beratur dan suka membaca.
Bayangkan – guru kami Desmod Tate - yang saya yakin pada ketika itu – tahun 1969 - tahu apa yang sebenarnya berlaku kerana dia bekas soldadu Inggeris. Tetapi dia telah membiarkan kami merayau- rayau dengah hujah-hujah bangang lagi bodoh yang tidak membawa pencerahan.
Pada tahun 1971 saya terserempak dengan jawapan sabenar kenapa Eropah maju. Ini apabila secara gelap saya dapat membaca tulisan Karl Marx – Theories of Surplus-Value – teori lebihan nilai tenaga dan masa - yang menjadi punca kekayaan. Bukan rezeki, bukan kerja kuat, bukan musim sejuk, bukan salji tapi ekploitasi dari lebihan nilai tenaga dan masa kerja orang lain – inilah punca kekayaan. Amin.
Saya mula sedar bahawa Eropah maju dan kaya kerana mereka menjarah dunia. Semua negara Eropah: Sepanyol, Belanda, Portugis, Itali, Inggeris dan German memiliki tanah jajahan. Lebihan nilai tenaga kerja dan masa dari anak tanah jajahanlah yang menjadikan Eropah kaya.
Kota London menjadi kota London ialah hasil kuasa pemodal Inggeris menjarah 52 buah negara di Asia, Afrika dan Amerika Latin. Kini negara kini masih berpayung dibawah bendera British Commonwealth. Semua lebihan nilai tenaga dan masa kaum buruh dan kaum tani dinegara tanah jajahan dikumpulkan untuk menjadi harta Baginda Queen – Ratu terkaya dalam dunia. Lebihan nilai masa dan tenaga ini jugalah yang dan menjadi harta kekayan kaum pemodal Inggeris yang menjadi modal pelaburan untuk menjarah dunia.
Jangan sesekali kita terpegun dengan kakayan multinasional milik Orang Puteh. Syarikat Jardin Metterson Holding pada satu ketika dahulu cukup angkuh dan memiliki harta berselirat di Asia Tenggara. Tuan empunya syarikat ini William Jardin (1784-1848) membuat kekayaan atas kesengsaran warga Tanah Besar China. Jardin memulakan perniagan candu lama sabelum kemuncul Pablo Escobar (1949-1993) dari Madellin Colombia.
Ini hakikat. Ini fakta. Fakta dan hakikat ini disorokan dari pengetahuan kita. Sama saperti pada tahun 1969 guru saya - bekas soldadu Inggeris - senyap membisu tidak memberikan pencerahan secara jujur kenapa Inggeris kaya dan kita miskin.
Hingga ke hari ini anak semua bangsa dilarang dari mengetahui hakikat sabenar dari mana harta kekayan datang. Paku , tukul dan teori Marxis untuk membaca dunia terus dilarang hasilnya kita terus tak faham bagaimana Lim Goh Tong, Vincent Tan, Ananda, Daim, Syed Mokhtar, Francis Yeoh atau Halim Saat jadi kaya. Kita terus mengejek Kak Bibah, Mat Husin dan Alang Dusin sebagai pemalas dan tidak rajin bekerja. Justeru mereka terus tidak kaya-kaya.
Kekayaan bermula dengan jenayah. Sistem ekonomi kapitalis yang kita anuti ini asasnya ialah jenayah. Sistem kapitalis ini diperkenalkan kepada Alam Melayu oleh kuasa penjajah.
Jika masih tidak yakin mari kita fahami sejarah dunia kapitalis yang terbesar dalam dunia – Amerika Sarekat. Kepala segala kapitalis. Negara yang dipanggil Amerika Sarekat ini bermula dengan jenayah, hidup dengan jenayah dari permulaan hingga ke saat ini.
Orang Puteh sampai ke benua Amerika bermula dari Jamestown Virginia pda tahun 1602. Orang Puteh ini merampas tanah-tanah subur tempat kerbau Bison merumput. Kerbau ini dibunuh, tanah rumput dijarah dan tuan pemilik dibunuh. Ini permulaan sejarah Amerika Sarekat. Jika ini bukan jenayah maka Ratu Elizebeth masih lagi anak dara.
Tidak cukup dengan ini dari tahun 1650 hingga ke 1900 lebih dari 10 juta Orang Hitam dari Afrika telah ditangkap, dijual utuk dijadikan hamba abdi di Amerika. Orang Hitam dari Senegal, Gambia, Ghana, Ivory Coast dijadikan hamba bekerja di ladang tebu dan ladang kapas di Amerika.
Ini bukan lebihan nilai tenaga dan masa buruh. Ini buruh paksa dimana semua tenaga dan masa buruh ini dimiliki oleh tuannya. Dari sinilah bermulanya harta kekayaan negara yang dipanggil Amerika Sarekat. Jika ini bukan jenayah maka tempoyak bukan berasal dari durian.
Tetapi pada satu ketika dahulu Ah Chong, Mutu, Maniam dan Goh Tong datang ke Tanah Melayu sahelai sepinggang. Apakah mereka semuanya menyamun untuk jadi kaya? Sabar. Sila tunggu pencerahan minggu hadapan. (TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARAKAN DALAM
SUARA KEADILAN
AKHBAR DWI MINGGUAN
DISIARAKAN DALAM
SUARA KEADILAN
AKHBAR DWI MINGGUAN
----------
Nak kaya, kena jadi KuNan atau Wak Jaid komidi. Wak Jahid bukan jual komidi, dia jual temberang. Wak Jahid pejuang bangsa Melayu ni, rupa-rupanya pejuang bangla. Entah berapa juta Bangla dia dah jual ketika jadi Menteri Dalam Negeri dulu. Lama dah Wak Jahid ni jadi jutawan. Ketika dia jadi pemuda umno, dia dah ada rm230 juta dalam akaun. Tak tahu, dari mana puncanya sebab masa tu belum ada Bangla lagi sebgai bahan dagangan.
BalasPadamIsham Rais juga yg tak kaya-kaya berbanding sahabat lamanya, Bang Non yg sama-sama berdemo memperjuangkan orang yg mati kebuluran di Baling tahun 1973 dulu. Bang Non yg dulu berselipar jepang and beg sandang dah duduk dalam istana Segambut. Tak lama lagi bila jadi PM8, mungkin jadi bilyawan pulak. Isham Rais juga yg masih menyewa bilik di Bangsar, share dgn Tak-tak dan Tuk-Tuk. Huhuhu.....
kah kah kah kah.....apa yg peliknya tulisan kau ni...biase je....ujung-ujung komunis jugak yg betul....
BalasPadamTT
BalasPadamHang punya sembang, babi pun boleh terbang... Semua tokey2 yang hang sebut tu semua kroni madey... Nape hang tak kutuk madey terus ja.. Kan senang... Nape nak sabotaj anwar naik jadi PM....semua tokey2 ni takut dengan policy yg akan anwar bawa....madey daim tu pun sama... Takut anwar kacau kroni dan anak beranak dia