Rabu, 23 Oktober 2019

KAK BIBAH TAK KAYA KAYA




KAK  BIBAH TAK KAYA KAYA
Minggu lalu saya telah  menerangkan dari mana datangnya kekayaan.  Apa dia punca kekayaan. Dari  kajian terbukti - kekayaan datang hasil dari nilai lebihan masa dan tenaga kerja seorang buruh.   Masa dan tenaga kerja  ialah pelaburan dari seorang buruh yang dikumpul untuk menjadi kekayaan. Punca kekayaan ialah tenaga manusia.

Mat Husin yang memburuh  8 jam  sehari dikilang   biskut milik Towkay Lim. Nilai tenaga dan masa  Mat Husin untuk 8 jam ialah  50 ringgit. Tetapi Towkay Lim hanya membayar  Mat Husin 40 ringgit.  

Lebihan 10 ringgit dari  nilai  tenaga  dan masa memburuh telah  diambil oleh Towkay Lim. Towkay Lim dihalalkan  mengambil 10 ringgit dari tenaga dan masa Mat Husin ini kerana dia melabur membuka kilang. Towkay Lim dikatakan telah mengambil risiko  besar untuk melabor.  Melabur dan risiko adalah  hujah  yang dihamburkan oleh para pendukung sistem ekonomi kapitalis.

Bayangkan kalau ada 40 orang Mat Husin bekerja untuk Towkay Lim. Maka  setiap hari Towkay Lim tanpa membanting tulang akan mendapat 400 ringgit  bersih. Lagi ramai yang bekerja untuk Towkay Lim lagi banyak Towkay Lim dapat duit.  

Diwar warkan  Towkay Lim melabor  memberi kerja untuk yang tak ada kerja. Dia juga mengambil rasiko besar maka  kerana semua  ini Towkay Lim turun temurun anak beranak  berhak mengambil lebihan nilai masa dan tenaga dari  Mat Husin dan buruh yang lain. 

Hasilnya  Towkay Lim – Bani China jadi kaya. Justeru Mat Husin Bani Melayu terus jadi Mat Husin yang dikritik oleh Mahathir. Mat Husin  Bani Melayu dikatakan malas bekerja, dikatakan memilih kerja, dikatakan suka bekerja dengan kerajaan. Suka kerja yang ada pencen. Amin.

Kenapa kita tidak berupaya  melihat Towkay Lim yang  harta  kekayaannya adalah hasil dari titik peloh  lebihan tenaga dan masa  Mat Husin dan buruh buruh yang lain.

Lihat pula bagaimana Alang Dusin  bersama empat  kawan telah turun ke laut jam tiga pagi sebelum air surut. Mereka  merentas  Selat Melaka selama 2 hari tiga malam bergantung pada tangkapan. Jika lumayan  maka mereka bertahan lama. Jika meleset mereka akan pulang awal.

Di Jeti Kuala Muda Kedah Towkay Hong dengan Pajeronya  telah menunggu Alang Dusin.  Semua tangkapan Alang Dusin dipukul harga dan diambil  terus oleh Towkay Hong kecuali anak-anak ikan.  Towkay Hong bukan hanya memukul harga ikan Alang Dusin. Apa  sahaja ikan, sotong dan udang terbaik dari perahu nelayan yang lain  akan juga  dibeli oleh Towkay Hong. 

Towkay Hong akan menjual ikan, sotong, udang dan ketam  ke restoran  makanan laut di Tanjung. Satu kilo Senagin dari Alang Dusin  Towkay Hong  membayar  10 ringgit. Kemudian Towkay Hong menjual dengan harga 18 ringgit.  Towkay Hong mendapat laba 8 ringgit dari setiap kilo Senagin.  Towkay Hong membeli  dari nelayan dengan  harga murah dan menjual dengan harga  yang lebih mahal. 

Apa kelebihan Towkay Hong? Dia  tidak melabor apa -apa. Tidak ada rasiko maut dari taupan dan ombak. Dia hanya datang  dengan Pajero. Opps… sabar dahulu. Dari mana datangnya Pajero ini? Awal dulu Towkay Hong hanya datang dengan Kapcai dan sebuah raga.

Hubaya hubaya . Pajero ini adalah pengumpulan tenaga dan masa dari nelayan-nelayan di Kuala Muda yang terdahulu. Inilah punca Pajero ini – inilah punca kekayaan Towkay Hong. Amin.

Kak Bibah menanam padi satu relong. Ibu tunggal anak tiga ini adalah  pemilik dan pengusaha. Kak Bibah bekerja bersendirian satelah suaminya meninggal dunia dalam satu kemalangan motosikal. Kak Bibah berusaha sendiri. Masa dan tenaga Kak Bibah  untuk Kak Bibah sendiri. 

Tapi  awas sampai  kiamat  - tujuh puluh kali kerajaan membuat  Dasar Ekonomi Baru atau  membuat dasar Wawasan hingga ke tahun  2010000 - Kak Bibah tidak akan kaya kaya.

Ini kerana  Kak Bibah tidak saperti Towkay Lim atau Towkay Hong  yang berjaya mengumpul lebihan tenaga dan masa orang lain. Malah Kak Bibah sama saperti Alang Dusin dan Mat Husin tidak mungkin dapat  menetapkan  nilai lebihan tenaga dan masa milik mereka.

Bila ajenda  siapa menetapkan nilai masa dan lebihan tenaga ini ditimbulkan maka akan muncul jawapan:  kuasa pengeluaran dan permintaan. Atau untuk lebih cool dan cun dikatakan semua ini adalah ‘market forces – kuasa pasaran.’

Bila bab kuasa pasaran timbul maka Kak Bibah, Mat Husin dan Alang Dusin  menjadi kabur kerana tidak faham apa itu pengeluaran dan permintaan dan apa itu market forces. Apa yang mereka tahu ialah mereka terus jadi hamba manakala Towkay Lim dan Towkay Hong  berjenerasi menjadi  kaya.

Pekara bagaimana Bani China jadi kaya dan kenapa Bani Melayu corot ekonomi tidak diperjelaskan dengan tuntas. Anak semua bangsa didodoikan  dengan dongengn bahawa Bani Melayu malas, memilih kerja  dan dan dan. Ini cerita hampeh. 

Justeru tugas  saya disini  ialah membawa  satu jalur penjelasan  dan pencerahan  untuk membuktikan bahawa ada satu  lagi cara untuk  kita semua melihat dan memahami kenapa Bani Melayu  corot ekonomi.

Tukul dan paku yang saya gunakan untuk  membawa pencerahan  ialah tukul dan paku Marxis. Untuk saya inilah tukul dan paku yang paling tepat yang dapat  memberi saya pemahaman kenapa Bani Melayu  corot dan akan  terus menerus corot ekonomi. 

Tukul dan paku Marxis ini tidak diajarkan disekoah sekolah.  Tidak diajarkan  di university dan kolej atau di institusi pengajian ilmu. Malah tukul dan paku Marxis ini dilarang dipelajari.

Sesiapa yang membaca  dan menggunakan tukul dan paku Marxis ini akan ditangkap dan dipenjara. Memiliki  buku dan ilmu yang bersangkutan dengan tukul dan paku Marxis pada satu ketika dahulu juga akan di tangkap  dipenjara  dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Malah memiliki buku yang ada bau-bau tukul dan paku Marxis boleh digunakan sebagai salah satu bahan bukti untuk menghalalkan ditahan  dibawah ISA. 

Ini bukan kesah penglibur lara dari  Hishamuddin Rais. Ini fakta sejarah.

Ketika saya di Universiti Malaya pada  tahun 1971 – ada jenis jenis buku jika mahu dibaca maka wajib mendapat kebenaran  dari Kementerian Dalam Negeri. Kebanyakan buku-buku ini bersangkut dengan ilmu tukul dan paku  Marxis  tentang ekonomi dan politik.

Hasil dari dasar anti ilmu dan anti Marxis maka  pandangan kita , analisa para ilmuan kita tidak pernah tuntas  dalam hal ekonomi. Analisa kita tentang kenapa Bani melyu  corot ekonomi bercelaru. Ini kerana satu alat bertukang untuk memahami ekonomi tidak kita guna pakai. Malah ilmuan kita tidak tahu menahu bahawa wujudnya satu lagi  sistem ekonomi selain dari sistem ekonomi kapitalis.

Pusing pusing yang di sebut hanya nama Adam Smith. Bila disebut Marxism akan muncul komunis, Yahudi dan kapir laknat tak sembahyang dan tak percaya pada Tuhan. Apa sangkut paut tuhan dalam sistem ekonomi kapitalis ini  walllah hu alam bissawab.

Maka wajib saya beri tahu disini bahawa Das Kapital garapan Karl Marx (1818-1883) ialah buku tentang ekonomi, tentang kaji masyarakat dan tentang politik. Tukul dan paku Marxis  ini adalah pandangan paling saintifik  tentang alam dunia kita ini. Tentang wujudiah umat manusia. Tentang kenapa kita menjadi kita. Dan kenapa dia TIDAK menjadi kita. 

Tukul dan paku Marxis ialah pengumpulan pengalaman keilmuan umat manusia. Satu kajian saintifik tentang kita semua – anak semua bangsa.  Malah dalam tukul dan paku Marxs ini dihuraikan  juga pandangan  tentang apa itu Bani. Dan secara generik  sosiolojis  cuba dirungkai kenapa Bani Melayu benci Bani China.

Paling afdal kita akan faham kenapa Kak Bibah tak kaya kaya  macam Towkay Lim dan Towkay Hong.

Saya berani mengatakan bahawa tukul dan paku Marxis ini tepat, betul dan saintifik kerana teori dan pandangan kaum Marxis ini  bukan hanya untuk memahami Kak Bibah dan Alang Dusin dan Mat Husin. Ianya  boleh digunakan untuk alam sejagat.

Kak Bibah  ialah  Moroko dibumi Arab . Alang Dusin ialah Uganda di Afrika.  Manakala Mat Husin ialah Chile di Amerika Latin. Mereka adalah negara miskin.  Towkay Lim  ialah  German. Towkay Hong ialah   United Kingdom.

Kenapa Moroko, Uganda dan Chile terus miskin sama saperti yang dialami oleh Kak Bibah, Alang Dusin dan Mat Husin.  

Jawabnya senang sahaja.  Kemiskinan adalah hasil sistem ekonomi sistem kapitalis. Sistem ini memiliki hukum dan syarat.  Untuk idividu, untuk kumpulan  dan  untuk negara. Sistem ekonomi kapitalis ini tidak berubah rukun imannya : mendapat keuntungan maksima – mencari laba. Keuntungan kaum kapitalis global ialah hasil dari lebihan nilai kerja dan masa  umat manusia.

Semua  yang hidup dalam sistem ekonomi kapitalis ini akan memiliki  pengalaman, budaya dan gaya hidup yang sama. Tenaga dan masa mereka dieksploit untuk dikumpul dan dijadikan keuntungan.  

Warga Chile memburuh di lombong tembaga  akan dibayar dengan upah yang murah dari nilai harga tembaga. Pekebun buah limau di Moroko akan dibeli panen mereka oleh  negara Kesatuan Eropah dengan harga murah.  Upah pemetik kopi di Uganda sehari  lebih murah dari harga secawan cuppicino  atau secawan kopi di Sharaton Hotel New York.

Hubaya hubaya – sistem ekonomi kapitalis ini  bergerak secara global. Dimana sahaja sistem ini digunakan pakai maka akan wujud Kak Bibah, Alang Dusin dan Mat Husin.

Moroko, Chile dan Uganda adalah negara  dunia ketiga. Negara ini di ekspolit oleh  negara  maju  saperti German, Canada, Peranchis  atau Britain. Negara-negara  maju ini tidak ada bezanya dari peranan yang dimainkan oleh Towkay Hong atau Towkay Lim. 

Negara maju mengumpulkan nilai lebih masa dan tenaga bukan dari  saorang Kak Bibah atau seorang Alang Dusin  tetapi mengumpulkan nilai lebihan nilai  tenaga dan masa 42 juta warga Uganda, 35 juta  warga  Moroko atau 18 Juta warga Chile.

Kak Bibah, Alang Dusin dan Mat Husin  miskin bukan kerana dia  dari Bani Melayu atau malas. tetapi kerana sistem ekonomi kapitalis  yang bergerak dengan hukum dan syaratnya. Towkay Lim dan Towkay Hong kaya bukan kerana  mereka dari   Bani China - rajin bekerja  tetapi kerana hukum dan syarat ekonomi kapitalis menyebelahi mereka.

Sila cari dan baca kembali buku The Godfather (1969) garapan Mario Puzo. Ada tertulis : Behind every great fortune lies a great crime. Every great fortune begins  with a crime..’  Di sebalik harta kekayan ada  jenayah besar. Setiap kekayaan bermula dengan jenayah….’ Apa jenayah ini ? Tunggu minggu hadapan. (TT)



TULISN INI DISIARKAN JUGA
DALAM SUARA KEADILAN
SESIAPA INGIN MELANGGAN
SILA PUKUL TALIPON:
 03-92-21-30-45







-------------

1 ulasan:

  1. Nko ingak oghe melayu baco ko ni sham.... Melayu malas membaco sham! Yang MELAYU TAHU ADALAH TONGGANG TONGGEK TONGGANG TONGGEK PASTU GI SEMBAH BENDA EMPAT SEGI YANG WARNA ITAM. Sib baik aku dah ikut pendeta saifudin ibrahim a.k.a abraham moses

    BalasPadam