Rabu, 25 Disember 2019

ABU CHIN PENG







ABU CHIN PENG

Baru baru ini bumi Malaysia heboh dengan abu Chin Peng.  Chin Peng  salah seorang pemimpin gerakan nasionalis anti fasis Jepun. Dia juga adalah Setiausaha Agong  Parti Komunis Malaya (PKM).  Nama sebenarnya ialah Ong Boon Hua.  Lahir di Setiawan Perak pada tahun 1924.


Chin Peng adalah nama perjuangan Ong Boon Hua. Ini sama  saperti nama Ernesto Geuvera de La Serna  yang menggunakan nama Che ketika bergerila melawan rejim Batista di Cuba. Atau  Josip Broz menggunakan nama Tito ketika memimpin perang gerila anti-fasis melawan Nazi dari Croatia. Atau Kusno Sosrodihardjo menggunakan nama Bung Karno  pejuang nasionalis Indonesia. Atau  Abu Ammar nama untuk Yasser Arafat pemimpin gerila Palestin. Dalam gerakan bawah tanah ramai pejuang nasionalis, anti-fasis dan pejuang anti-imperialis  mengubah nama agar  gerak kerja mereka tidak diciumi musuh. 


Dari  akhbar Parti Komunis Australia  (CPA)  saya terbaca namanya  Lainaz. Mengikut lapora akhbar komunis ini Lainaz ialah  nama bawah tanah  Samad Ismail. Saya terbaca berita ini pada ketika  Pak Samad  Ketua Pengarang kumpulan New Straits Times Press ditangkap   oleh Ghazali Shafie dibawah ISA pada tahun 1977. 

Chin Peng meninggal dunia pada 16 September 2013 di kota Bangkok. Sebelum meninggal dunia Chin Peng telah meminta kebenaran untuk pulang ke tempat tumpah darahnya – di Setiawan Perak. Permintaan telah dinafikan. 

Semua anggota PKM dan gerila PKM  yang berasal usul dan dilahir di Tanah Melayu dibenarkan pulang ke Tanah Melayu. Kecuali Chin Peng. Kebenaran untuk pulang te tanah air tanah tumpah darah  mereka berasaskan Pejanjian Damai Haadyai yang telah ditanda tangani oleh Kerajaan Malaysia dengan Parti Komunis Malaya dan disaksikan oleh Kerjaan Siam pada tahun 1989.

Bila Pakatan Harapan menjadi kerajaan maka abu   Chin Peng dibenarkan dibawa pulang ke Setiawan Perak. Abu mayat Chin Peng ditabur di laut Lumut dan hutan sekitar Setiawan. Ini permintaan terakhir Chin Peng.  

Bila saya terbaca berita abu Chin Peng ini  saya teringat pekara abu mayat yang sama berlaku kepada Svetlana Losiffovna pada tahun 1967. Berhari hari saya baca berita  tentang abu mayat ini   dari akhbar Utusan. 

Svetlana ini anak Stalin pemimpin Parti Komunis Soviet Union.  Svetlana telah memadu kaseh dan berkahwin  dengan Brajesh Singh  seorang komunis warga India yang bertugas di Moscow sebagai penterjemah. Brajesh meninggal dunia di Moscow pada tahun 1966. Permintaan akhir Brajesh ialah abu mayatnya hendalah ditaburkan di Sungai Ganges. 

Pada tahu 1967 Svetlana mendapat kebenaran  pergi di India untuk menaburkan abu mayat suaminya. Selesai menjalankan upacara agama anak gadis Stalin ini  telah meminta suaka politk di Amerika.  Dunia menjadi heboh. Ketika saya membaca berita  abu mayat Brajesh Singh ini saya tidak faham kenapa dunia menjadi heboh. Seterusnya ialah sejarah.

Tulisan kali ini bukan hendak membincangkan tentang abu mayat  Chin Peng atau abu mayat Brajesh. Atau kenapa Chin Peng guna nama Chin Peng dan  tidak dipanggil Mister Ong.

Abu Chin Peng ini pada pendapat saya hanyalah menifestasi. Abu Chin Peng ini ada percikan dari satu  pekara yang lebih besar. Abu Chin Peng hanyalah rintik-rintik. Ada gajah dibelakang nyiru.  Ada cupcai dibelakang lori.

Pertama : manifestasi  abu Chin Peng yang saya maksudkan  muncul dari inti pati   sikap anti komunis.  Kedua  ianya muncul kerana asas percubaan  memesongkan sejarah.  Dan ketiga – persoalan nasional yang masih belum selesai. Saya akan cuba merungkai kan satu persatu. Pada hemat saya tiga pekara ini kait mengait. 

Membincangkan  dan menghebohkan manifestasi  sahaja untuk saya tidak mencukupi. Saya pernah  memberi pencerahan bahawa manusia ini bergerak  dan bercakap dalam tiga asas.

Asas pertama - manusia bercakap tentang orang dan benda. Siapa Siti Nurhaliza. Siapa suami si Polan dan Si Polan. Siapa tidur dengan siapa.  Untuk saya perbualan ditahap ini  menjadikan kita  manusia  paling rendah. Tahap tabloid  Bacaria.

Tahap kedua manusia bercakap bercakap dan berbincang tentang tempat dan babak. Ooo… KLCC cantik.  London menarik. Manchester United menang  dengan Liverpool.  Kalau ada duit nak melawat Korea boleh jumpa K-Pop. Ini  menjadikan kita manusia masih lagi ditahap yang rendah. 

Perbincangan dan perbualan  yang afdal dan bermaruah sewajibnya ialah membincangkan konsep dan  falsafah. Bukan heboh  mengumpat bergosip  tentang  orang, babak atau  tempat.  Justeru tulisan ini membuka  wacana tentang falsafah dan konsep. Maknanya membincangkan apa  dibelakang manifestasi.

Manifestasi senang dibaca. Senang dilihat. Kilat  petir sabung  menyabung - kita nampak kilat dan kita  dengar petir. Tetapi tidak semua boleh menghuraikan bagaimana kilat dan petir berlaku. Kita hanya memahami manifestasi i.e melihat kilat. Maka untuk kita kilat hanya pancaran cahaya. Manakala petir ialah bunyi  sesudah pancaran cahaya kilat.   Semua ini tanda hujan akan turun. Khalas.

Itu sahaja yang difahami. Yang pada hemat saya ini pemahaman tahap ini agak baik . Berbanding dengan  pandangan  pada satu ketika dahulu manifestasi kilat dan petir ini dianggap tuhan marah. Dewa dilangit  marah. Kemarahan dewa dan tuhan ini perlu pengorbanan. Maka akan disemah lembu atau kambing untuk mententeramkan  kemarahan dewa dan tuhan. Ini contoh pemahaman kabur dan  gelap tentang manifestasi kilat dan petir.
Abu Chin Peng juga adalah manifestasi dari pemahaman yang kabur dan gelap. Ianya tidak ada beza dari pemikiran  manusia dahulu kala memahami petir dan kilat.

Pandangan  kabur ini lahir kerana sikap anti komunis , anti sosialis dan anti gerakan kiri. Sebenarnya amat ramai sosok sosok yang anti komunis dan anti kiri ini tidak pun memahami apa itu komunis. Dan apa itu sosialis. Mereka membabi  buta menjadi anti.  Anti mereka tanpa  merungkai sejarah yang tuntas, jauh sekali dengan panduan  pandangan ilmiah yang  masuk akal.

Selalu kita dengar bahawa komunis dan sosialis ini tidak percaya kepada agama.  Sayugia dingatkan bahawa dalam sistem kapitalis yang kita guna pakai hari ini  ramai yang tak percaya kepada agama dan tuhan. Tidak percaya kepada tuhan  dan agama bukan  monopoli  milik kaum komunis.  Atau  kaum sosialis sahaja. Pak Cik Vegan pun ada yang tidak percaya pada agama dan tuhan. Amin.

Tidak percaya kepada pekara karut marut lagi tak masuk akal  bukan satu jenayah. Ianya  tanda satu tahap kemajuan pencapaian  fikrah  manusia. Tidak percaya bahawa kilat dan petir itu tanda tuhan marah adalah bukti bahawa fikrah manusia berevolusi untuk terus maju berfikir degan ilmiah.
Propaganda anti komunis   telah  lama menyerap masuk ke Tanah Melayu. Sikap anti komunis ini  memiliki sejarahnya.  Sikap anti-komunis  dan anti sosalis   di Tanah Melayu berkait rapat dengan sejarah Inggers menjajah Tanah Melayu.

Untuk ketika ini kita lupakan dahulu hujah Pak Cik Kang Kong , Mak Cik Kang Kong dan Pak Cik Pencen yang mengatakan bahawa Tanah Melayu ini tidak pernah dijajah.  Anggaplah kenyataan Tanah Melayu tidak dijajah sebagai  komidi lawak berdiri titik tanda  ucapan selamat jalan 2019.  Dan selamat datang 2020. Amin.

Kuasa colonial Inggeris datang untuk mengambil harta kekayan Tanah Melayu. Portugis dan Belanda datang untuk rempah rampai.  Ini permulaan sistem ekonomi kapitalis  yang dipanggail Merchant Capitalism. Kapitalisma awal ini baru bermula apabila Ferrinngi menyerang Melaka pada 15 Ogos 1511. 

Juragan dan saudagar dari negara atas angin datang mencari bahan untuk dibawa pulang ke negara asal.  Di Melaka mereka mengambil rempah rampai. Di Tanah Besar China mereka mengambil tembikar, sutera dan teh. Barang-barang ini dibawa pulang untuk dijual. Juragan dan saudagar ini meraih keuntungan dari menjaja barangan yang tidak wujud dinegara atas angin.. 

Ini sejarah   yang saya rasa senang difahami. Dari sinilah bermula  penjajahan. Feringgi melanggar Melaka, Belanda melanggar Melaka – semuanya untuk berniaga. Perniagaan adalah  pemulaan sistem kapitalisma. 

Dari Kapitalis Saudagar ini muncul kapitalis moden. Wajib waspada kapitalisma moden ini bukan muncul dalam setahun atau dua tahun.  Sebelum sistem ekonomi kapitalis  wujud sistem feudal telah sedia ada berates tahun. Sebelum sistem feudal ini wujud telah ada sistem hamba abdi.  

Biar saya beritahu disini –  sistem ini berubah  atau beralih bukan dengan hati terbuka. Ada berlaku perlawanan. Ada berlaku pertempuran. Ada yang mati dan ada yang dipancung kepala.  Setaip sistem ini ada pemuka dan ada penyokong.

Saya melakar pekara ini untuk memberi pencerahan bahawa setiap sistem itu akan ada penentang. Ini hukum alam. Dalam padangan kaum Marxis hukum alam ini  dipanggil kontradiksi.  Kontradiksi ini wujud. Sama ada kamu mahu atau tidak. Sama ada kamu beragama atau tidak kontradiksi tetap wujud. Hukum  kontrdiksi ini sentiasa bergerak. Alam dan dunia kita bergerak  mengikut hukum kontradiksi. Khalas.

Apa sangkut paut semua ini dengan abu mayat Chin Peng?

Semuanya kait mengait  bersangkut paut dalam usaha  untuk memberi pencerahan. Saya tidak mahu para pembaca hanya memahami manifestsi tanpa memahami sebab musabab yang melahirkan manifestasi itu. Dalam konteks yang luas  abu mayat Ching Peng ini juga adalah rintik debu manifestasi dari sistem ekonomi kapitalis.

Umum dan sejarah  tahu bahawa Chin Peng adalah salah seorang dari protoganis utama di Tanah Melayu yang bangun untuk melawan penjajah Inggeris.  Chin Peng memimpin PKM untuk menentang Inggeris. PKM berjuang untuk menetang kapitalisma

Ada apa dengan penjajah Inggeris? Ada apa dengan kapitalisma? Tunggu minggu hadapan. Ucapan Selamat menyambut Hari Krismas. END



Tulisan ini juga disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan akhbar ini
sila pukul talipon
03 -92-21-30-45

-----------

Tiada ulasan:

Catat Ulasan