Rabu, 18 Disember 2019

MENCARI SITI GRETA DAN ABDUL JOSHUA






MENCARI
SITI GRETA DAN ABDUL JOSHUA

Minggu lalu saya menulis tentang dasar 18BU – Boleh Undi. Ini dasar baru kerajaan Pakatan  Harapan (PH) dimana  warga yang  melintasi umur 18 dibenarkan mengundi. Dasar baru ini juga dikahwinkan  ini  dengan dasar mendaftar secara otomatik.  Ini satu kejayaan Pakatan Harapan  melunaskan  janji   untuk memperluaskan  ruang demokrasi. Syabas.

Dalam masa yang sama saya memberi ingatan akan bahaya umur muda. Ini saya kaitkan dengan hantu ektremis agama dan hantu ektremis   perkuaman yang sentiasa menunggu dibelakang pintu. Ini hakikat realpolitik bumi Tanah Melayu. Kita semua wajib menghadapi realpolitik ini dengan hati yang tabah cekal dan dibantu oleh  fikrah yang rasional dan ilmiah.

Saya telah menulis tentang persoalan nasional yang belum-belum selesai. Manifestasi dari persoalan nasional yang belum selesai ini ialah sikap tidak mahu menerima ‘yang lain’ Dalam konteks Malaysia maknanya Bani Melayu enggan menerima Bani China dan Bani India sebagai rakyat Tanah Melayu. Perasaan ini wujud walau pun cuba digelapkan.

Manifestasi dari  hujah saya ini  sedang  kita dilihat  dari apa yang berlaku dalam pentas politik  sekarang. Lihat bagaimana Parti Islam Pas bersekongkol  dengan  United Malays National Organisation menyebarkan naratif  tentang bagaimana  PH hari ini adalah boneka dari parti China DAP.

Kepada yang rasional dan berfikir akan melihat hujah ini  bangang dan  tidak masuk akal. Tetapi hujah  dan naratif ini tersebar luas. Ada kumpulan yang menerima , ada yang membeli  membeli dan ramai sedia menjadi Tok Peraih untuk terus menjaja kembali  hujah ini. Pada hemat saya ini bahaya. 

Bahaya  besar apabila naratif dan surah ini mula meresapi hati dan sanubari  anak-anak muda yang pada ketika ini dalam  sekolah menengah rendah.   Dalam masa tiga tahun mereka akan turun mengundi.

Dari umur yang bagitu rendah dalam dunia yang suci bersih anak-anak sekolah ini telah dicemari dengan usrah jahat dan penuh prasangka. Usrah bentuk inilah yang  akan melahirkan perasaan benci kepada ‘ yang lain’ 

Sikap prasangka ini jika dipupuk akan mewujudkan kebencian yang maha sangat terhadap ‘ yang lain’ Maka dari ini lahir sikap perkauman.  Memang betul ada unsur-unsur lain yang mewujudkan sikap perkauman tetapi prasangka yang disemai  dizaman kanak-kanak akan sedia bercambah mengembang bila  suhu cuaca yang tepat sampai.

Sejarah telah membuktikan bahawa fahaman fasis  boleh berkembang subur dalam ladang prasangka sademikian. Malah ketika saya menggarap tulisan ini Eropah dan Amerika Utara sedang berhadapan dengan sikap  benci dan tak suka kepada ‘ yang lain’.

Justeru apa yang wajib dilakukan?

Kita secara rasional wajib menerima hakikat bahawa ruang demokrasi yang dibuka oleh Pakatan Harapan ini boleh mengarah ke hulu boleh ke hilir. Boleh membawa mudarat. Boleh membawa kebaikkan. Apa yang penting ialah jurumudi  yang mengendalikan bagaimana ruang demokrasi ini dapat digunakan untuk membawa kebaikan ramai.

Untuk memberi jawapan kepada persolan apa yang wajib kita buat  saya membuka surah BERSIH 2.0. Saya mengumpul pengalaman ketika menyusun  gerakan BERSIH.  Ajenda Bersih ialah pilihan  raya bebas dan adil.  

Mengapa Bersih  mendapat sokongan orang ramai? Mengapa Bersih  berjaya melintasi  semua kelas. Dari Pak Cik Kampong Pantai  Dalam ke Mak Cik Taman Tun ke  Uncle Lee di Bukit Tungku hingga ke Datuk dan Datin  berumah banglo di Bangsar. Semua menyokong Bersih. 

Anak-anak muda dan pelajar turun ke jalan raya untuk bersetia kawan dengan Bersih. Walau  ramai diantara mereka belum lagi mendaftar  atau belum  melintasi umur 21 tahun untuk  boleh mengundi.

Jawabnya : Bersih menjadi tulang belakang. Dalam tulang belakang  semua saraf berkumpul. Saraf buruh, saraf kelas menengah, saraf Towkay , saraf China, Melayu, India  - saraf anak semua bangsa semuanya  menyalur  masuk ke dalam ajenda tulang belakang  : pilihanraya raya adil dan bersih. Bersih dilihat masuk akal dan membawa janji yang menjanjikan kepada Mak Cik, Pak Cik,  Uncle dan  Auntie.

Bersih dilihat cool, pop, chic dan sexy oleh generasi muda.  Turun ke jalan raya dilihat counter culture.  Kuncinya melawan.

Melawan dilihat cool. Justeru anak muda mahu dilihat cool. Bukan hanya  mahu dilihat cool  dengan feshen pakaian. Bukan hanya ditakrif cool melalui  music yang didengar.  Kumpulan pop yang diikuti. Café yang dilanggani. Paling afdal  anak muda mahu dlihat cool dengan bangun melawan. Bersih membawa perlawanan. Sikap melawan adalah hati  nadi anak muda yang sedang mendewasa.

Melawan dan mahu mencuba adalah naluri proses pendewasaan. Tak kenal apa dia api leterik maka ianya perlu diusik. Tak kenal rasa rokok maka dicari untuk dihisap. Ini proses pendewasaan yang natural.

Dunia ini akhirnya milik anak muda. Saya tambah lagi - dunia ini akhirnya akan menjadi milik anak muda yang berani mencuba dan berani bangun melawan.

Justeru saya mengajukan dua sosok  anak muda yang dilihat cool dan sedang  bangun melawan. Semuanya muda semuanya masih dibawah umur ketika mula bergerak aktif menyusun politik jalan raya.

Greta Thunberg lahir  3 Januari 2003  kini berumur 16 tahun dari Stockholm Sweden. Joshua Wong lahir 13 Oktober 1996 kini  berumur 23 tahun dari  kota Hong Kong. Dua sosok ini adalah ikon anak muda diseluruh dunia. Dua sosok ini adalah wakil anak muda zaman  sekarang. Ini sosok paling cool dan paling chic.

Greta pada bulan Ogos 2018 ketika berumur 15 tahun telah menyusun kawan-kawan disekolah untuk keluar berdemo di Parlimen  Sweden. Ajenda yang dibawa oleh Greta ialah : Pemanasan Dunia – Global Warming.  Kini Greta dilihat  sebagai ikon anak muda yang bangun untuk menyedarkan para politikus dunia, untuk menyedarkan kaum industrialis dan umat manusia  bahawa dunia ini  tidak lagi selmat  kerana suhu  cuaca dunia semakian panas.

Joshua Wong  ketika berumur 16 tahun telah menyusun kawan-kawan disekolah  untuk pandai  berpersatuan. Pada  bulan September 2014 ketika berumur 17 tahun anak muda kecil ini telah menyusun Gerakan  Payung – Umbrella Movement di Hong Kong. Ini gerakan menuntut ruang demokrasi dan pilihanraya yang adil. Gerakan ini telah turun ke jalan raya.

Dari Gerakan Payung – Joshua telah memperluas gerakan dan menyusun warga Hong Kong untuk menuntut lebih luas ruang demokrasi.  Joshua telah ditangkap dan dipenjara.  Keluar dari penjara anak muda ini meneruskan perjuangan. 

Pada 25 Mei 2015 dahulu  ketika kerajaan Najib  berkuasa Joshua telah ditahan di Lapangan Terbang Pulau Pinang. Dia dilarang masuk ke  Malaysia. Joshua dijemput ke Malaysia  untuk hadir dibeberapa seminar untuk memberi pencerahan tentang apa yang sedang dan akan berlaku di Hong Kong.

Ketika saya menulis ini warga Hong Kong  telah masuk  ke bulan ke enam  berdemo di jalan raya. Dari Gerakan Payung kini anak anak muda Hong Kong telah  memperluas menuntut ruang demokrasi. Kini mereka mahu bebas dari kuasa Parti Komunis China (PKC). Mereka mahu pilihanraya yang telus. Wakil yang dipilih bukan dilantik oleh PKC. Hakikatnya anak muda Hong Kong  telah bangun  menentang kuasa absulut Parti Komunis China. 

Di Hong Kong yang turun ke jalan raya bukan  ratus, bukan ribu bukan ratus ribu  tapi ratusan ribu hingga ke dua juta. Joshua Wong  bersama rakan-rakan muda bertanggung jawab menyusun ombak demokrasi jalan raya.Joshua dan  ramai anak muda telah beberapa kali ditangkap dan dipenjara. Tapi api pejuangan diteruskan. Ini kegigihan anak muda. Amin.

Akhirnya dalam tulisan ini saya rumuskan dua pekara. Pertama Malaysia wajib melahirkan Siti Greta dan Abdul Joshua.  Kita tidak ada pilihan. Siti Greta wajib dicari. Abdul Joshua wajib ditemui. 

Dari sekarang kita wajib mencari, menggali, menuggal dan menunggu kesampain Siti dan Abdul Generasi awal  yang memiliki pengalaman  wajib bertemu  dengan Siti Greta dan Abdul Joshua. Bila kita bertemu maka sosok wajib dibina, wajib dipasak  dan akhirnya wajib dijulang

Malaysia memerlukan Siti Greta dan Abdul Joshua sebagai ikon 18BU.  Sebelum musuh membina Greta dan Joshua milik  mereka - Pakatan wajib mendahuli semua.  Pakatan wajib berani menjadi pemula bukan pengekor. Jika Pakatan gagal  melahirkan Greta dan Joshua maka  projek 18BU adalah projek yang akan menewaskan Pakatan sendiri.

Pekara kedua: Apakah  ajenda yang akan dibawa  oleh Siti  Greta dan Abdul Joshua. Wajib diwujudkan ajenda tulang belakang saperti ajenda BERSIH 2.0. Justeru pada hemat saya ajendanya tidak lain dan tidak bukan pastilah  ajenda alam sekitar, pemanasan dunia, perubahan iklim.  Siti dan Abdul sahaja yang memahami suara dan nadi jenerasi  muda. Hanya yang muda   akan berjaya membawa pencerahan alam sekitar.

Politikus lama , Aktivis  Otai, Roformis, Pak Lebai  dan Ustad wajib sedar  bahawa bahasa dan pengucapan  - nahu dan lorat anak muda sedang berubah. Tulisan dan bacaan – gaya bahasa dan penyampaian generai Greta dan Joshua amat berlainan dari generasi Baling atau Tasek Utara.  Siti dan Abdul adalah generasi watsapp dan Instagram.

Pendekatan dan method untuk membawa pencerahan masih lagi politik jalan raya. Jalan raya masih lagi menjadi wadah politik anak muda diseluruh dunia.  Ini hakikat. Dari Chile, ke Sudan , ke Lebanon, ke Greece, ke Sweden , ke German,  ke Amerika, ke Iraq, ke Iran , ke Siam – anak muda sedang turun ke jalan raya.  Ini kerana dunia ini akhirnya adalah milik anak muda. 

Anak muda yang cool dan yang counter culture bukan bermimpi untuk ke parlimen tapi merancang untuk mengepong parlimen. Anak muda bukan bermimpi untuk mendapat derajah Datuk atau Datuk Seri. Tapi anak muda berani bangun melawan Datuk dan Datuk Seri. 

Sikap berani melawan ini  telah  dan sedang ditunjukkan oleh   semua Greta dan semua Joshua dalam dunia ini. Abdul dan Siti  dan Kampong Sana dan Kampong Sini tidak mahu ketinggalan. Siti dan Abdul  adalah warga global. Internet adalah bin dan binti mereka. Bapak saudara mereka ialah Lebai Google.  Mak Cik saudara mereka ialah Faceook. Awas.

Ajenda tulang belakang – pemanasan dunia – wajib kita lakukan sekarang.  Siti Greta dan Abdul Joshua wajib kita temui. Kerana dihadapan kita  ada musuh besar sedang menunggu – selain dari ektremis kaum dan ektremis agama.  Para pemodal dan para industrialis sedang memasak  AI untuk  untuk masa depan mereka. .Jangan silap baca AI bukan Anwar Ibrahim tapi Artificaial Intelligence.

Apa bahaya AI? Pecerahan akan sampai. (TT)



Tulisan ini disirkan juga dalam akhbar
SUARA KEADILAN 
sesiapa ingin melangga sila pukul talipon
03-92-21-30-45



--------

Tiada ulasan:

Catat Ulasan