OMBAK KANAN - ANTI PENDATANG
Saya menggarap tulisan ini pada pagi Senin 2 September 2019. Kelmarin Ahad 1 September parti AFD – Alternative fur Deutschland telah menonjolkan kejayaan cemerlang di dua wilayah - Saxsony dan Brendenburg di German. Parti AFD berjaya mengatasi parti Christian Democrat dan Sosial Demokrat – parti Angela Merkel. Dua parti ini walau pun merosot sokongan tapi tidak kalah dan masih berjaya bergabung berkongsi kuasa untuk meneraju German.
Ketika saya menggarap tulisan ini Parlimen United Kingdom sedang digantung oleh Boris Johnson yang baru mengambil alih kerusi Perdana Menteri dari Teresa May. United Kingdom sedang berhadapan dengan persoalan Brexit – politik kanan mahu Britain tinggalkan Eropah. Atau masuk sekali lagi menjadi angggota Kesatuan Negara Eropah (EEC). Pungutan suara telah membuat keputusan untuk keluar dari EEC. Tapi masih ada suara tak puas hati dengan keputusan meninggalkan Kesatuan Eropah.
Ketika saya menulis ini Doland Trump sedang merayau berkempen. Trump memasang niat untuk bertanding sekali lagi. Untuk mengolah persetujuan para penyokong dan bakal pengundi Presiden Trump terus mengancam pendatang haram yang menerbus masuk ke Amerika.
Trump mahu mendirikan tembok sempadan di Mexico untuk menghalang kemasukkan pendatang haram dari Amerika Latin masuk ke Amerika Serekat.
Presiden Trump juga sedang menyerang melalui twiter empat ahli Congress yang bukan berkulit puteh. Trump meminta ahli Congress ini agar pulang ke negara asal usul mereka nenek moyang mereka.
Yang dituduh sebagai pendatang oleh Trump ialah Alexandria Ocasio-Cortez, Ayanna Pressley, Ilhan Omar dan Rashida Tlaib. Kesemua mereka ahli Congress dari Parti Democrat. Kesemuanya warga Amerika – lahir dan dibesarkan di Amerika kecuali Ilhan Omar lahir di Somalia.
Tanpa pergi jauh ke luar negara pada Senin 2 September 2019 portal Malaysia Insight melaporkan berita tentang seorang pendatang India bernama Zakir Naik masih diharamkan berceramah di Melaka.
Tanpa pergi jauh dalam portal yang sama pada tarikh yang sama saya terbaca berita pembatalan persatuan China Dong Zong di Johor oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPP).
Apa makna semua ini ? Pada hemat saya semua ini adalah manifestasi ombak kanan. Dunia kita hari ini sedang diampoh oleh ombak kanan.
Apa dia ombak kanan?
Untuk memahami ombak kanan kita wajib juga mengetahui apa itu ombak kiri.
Garis kiri dan garis kanan adalah istilah politik. Kita wajib memahami sejarah, ciri dan pola-pola garis politik kanan dan garis politik kiri.
Dari fakta sejarah - konsep politik kiri dan kanan muncul hasil dari Revolusi Peranchis ( 1789). Satelah kepala Louise ke 16 dipenggal dan monarki dihapuskan maka wujud Parlimen Rakyat di Peranchis. Dalam parlimen ini ahli parlimen yang anti-raja dan pro rakyat duduk disebelah kiri. Ahli parlimen yang masih menyokong kaum feudal, tuan tanah dan kelas agama duduk disebelah kanan. Maka dari sini bermula konsep politik kiri dan politik kanan. Amin
Pola utama politik kiri ialah fikrah yang menyokong kebebasan, kesaksamaan dan persaudaraan umat manusia. Memiliki pandangan cerah yang progresif untuk membawa perubahan kepada orang ramai. Merayakan perubahan dan kepelbagaian. Kaum kiri mengambil sikap internatiolisma terhadap anak semua bangsa dan bangsa semua agama.
Manakala ciri utama politik kanan ialah menyokong kuasa, berhairaki, berkelas, tunduk pada kuasa, sikap feudal, konservatif, kolot, jumud, bebal dan tidak mahu berubah dan tidak miliki budaya pemikiran kritikal.
Paling jelas kaum kanan ialah reaksionari – reaction. Kaum kanan hanya sanggup menentang, bertindak balas , menyuarakan bantahan dan bertindak bebal. Kaum kanan dan pemilik fikrah kanan tidak ada keupayaan untuk menjadi pemula fikrah atau pemula tindakan. Atau memulakan sesuatu ajenda baru. Sosok kanan amat senang hati menjadi Pak Turut.
Hakikatnya garis politik kiri berjuang untuk kesejahteraan dan kebajikkan ramai – untuk majoriti. Manakala garis politik kanan ialah untuk kesejahteraan dan kebajikkan elit politik, kaum pemodal dengan bantuan kaum agamawan.
Amat jelas pada hari ini garis politik kanan makin melonjak naik. Makin ampoh. Buktinya di Amerika ada Donald Trump menjadi Presiden. Buktinya Britain menolak Kesatuan Eropah dengan garis politik Parti Konservatif.
Greece kembali ke garis kanan dengan tewasnya garis kiri Parti Syriza. Itali jelas dengan kerajaan berhaluan kanan. Malah di Itali parti anti kaum pendatang berkempen secara terbuka.
Parti politik berhaluan kanan makin popular di Austria, Switzerland da Hungary. Di Belanda parti kanan makin mendapat tempat. Malah garis kanan ini memiliki perwakilan dalam Parlimen Eropah dan parlimen masing-masing negeri di Eropah saperti di Poland dan Czech Republik.
Apakah ini bermakna parti pekauman , parti Nazi, parti anti-pendatang semakin mendapat tempat. Kenapa ini berlaku? Bagaimana ini terjadi? Apa kena mengena semua ini dengan kita?
Bila ajenda pendatang muncul maka ianya akan berkait rapat dengan kita di Malaysia. Tulisan ini akan cuba merungkai sejarah untuk menambah pencerahan. Tulisan ini adalah penerusan tema yang sama dari tulisan-tulisan awal saya yang kini telah dibukukan untuk menjadi Persolaan Nasional – Surah-surah Terlarang.
Politik kanan bukan satu yang asing. Politik konservati juga bukan satu yang baru. Tetapi kali ini ianya mengampoh dan merebak luas. Pandangan kanan ini sedang membakar dunia dengan bantuan teknoloji baru. Internet untuk semua benda sedang mewabakkan pelbagai bentuk pandangan – termasuk yang kanan.
Kita sekarang dalam era pasca moden. Kita telah melintasi moden. Salah satu ciri-ciri pasca moden ialah sistem ekonomi kapitalis telah berjaya menakloki seluruh pelusuk dunia. Kalau mengikut pandangan Francis Fukuyama dalam bukunya The End of History (1989) – kapitalis telah berjaya mengalahkan pandangan kiri kaum sosialis.
Manifestasi yang mudah dilihat ialah tidak ada lagi wilayah dalam alam kita ini yang tidak dilawati oleh Kentuki dan Mek Dogal. Malah dari surah dan labon kawan-kawan Islam yang pernah sampai ke Mekah – dalam kota Mekah yang dikatakan suci ini juga berselerak Mek Dogal.
Justeru salah satu lagi ciri pasca moden ialah berkembangnya garis kanan yang berkemudikan ajenda anti pendatang. Dimana-mana - di Eropah dan Amerika – ajenda imigran – ajenda anti pendatang ini sedang menjadi pemangkin utama wacana dan kempen politik.
Imigran dan pendatang haram adalah ciri politik pasca moden yang paling jelas. Kaum pendatang ini adalah hasil dari sistem ekonomi kapitalis. Pedatang, imigran – yang halal dan yang haram adalah sebahagian dari ciri-ciri ekonomi kapitalis.
Contoh yang paling afdal untuk memahami apa yang saya lakar ialah kes Tanah Melayu. Mustahil kes ini gagal kita fahami.
Pada satu ketika dahulu sebelum Inggeris sampai wilayah kita ini hanya diduduki oleh bani berketurunan Melayu Nusantara. Alam ini adalah alam Nusantara. Kepulauan ini ialah Kepulaun Melayu. Lautnya ialah Laut Sunda. Selatnya ialah Selat Melaka. Semenanjungnya ialah Tanah Melayu. Gentingnya islah Si Genting Kera.
Bani China dan Bani India didatangkan ke Tanah Melayu dari Tanah Besar China dan India. Bani China dan India ini diperlukan oleh kaum pemodal Inggeris untuk menjarah harta kekayaan Tanah Melayu. Tanah Melayu kaya dengan bijeh dan galian. Sistem kapitalis yang diperkenalkan oleh penjajah Inggeris membawa masuk Bani India dan Bani China sebagai buruh. Ini fakta sejarah.
Generasi hari ini wajib sedar dan diberi tahu bahawa kekayaan Tanah Melayu inilah yang menjadi induk kekuatan kuasa ekonomi kolonial Inggeris. Sesudah tamat Perang Dunia Kedua – Britain hamper jatuh muflis kerana perang. Britain diselamatkan oleh Tanah Melayu. Hampir 60% suntikan ekonomi Britain datang dari hasil bijeh dan getah Tanah Melayu.
Sesudah Perang Dunia Kedua - negara Eropah juga membawa masuk pendatang. Eropah yang hancur akibat perang dunia ke dua perlu dibangunkan kembali. Di Belgium warga dari Moroko datang memburuh. Di German Barat - yang ketika itu terpecah dua - buruh dari Turki telah dibawa masuk.
Di Peranchis – warga Algeria meloroh masuk ke Peranchis kerana sebelum 1962 Aljeria pada ketika itu ditakrif sebagai wilayah Peranchis. Britain membawa masuk pendatang dari India, Pakistan dan Carribean.
Kemasukan buruh ini merancakkan zaman industri moden dengan pengeluaran barang-barang consumer. Kalau dipermulaan zaman industri buruh diperlukan di ladang dan di lombong saperti di Tanah Melayu. Bila industri berkembang buruh diperlukan untuk bekerja di kilang dan di pabrik.
Pada awal moden - buruh pendatang yang pada satu ketika dahulu di ahlan wa sahlan – dijemput dan dipilihara. Kini dibaca sebagai pembawa masaalah. Ketika zaman moden bermula pendatang asing dilihat, cun, cantik dan lumayan. Kita dizaman pasca moden apa yang satu ketika cun, cantik dan lumayan kini telah menjadi beban negara.
Aoa hubungan semua ini dengan Zakir Naik dan Dong Zong. Zakir mentafsirkan dirinya sebagai pendatang baru. Manakala Dong Zong pendatang lama. Kedua-dua dilihat pembawa masalah ke Tanah Melayu.
Apa masaalah yang mereka bawa? Tunggu minggu hadapan. (TT)
Tulisan ini disiarkan juga
dalam Suara Keadilan
sesiapa ingin melanggan SK
sila pukul talipon
03 92 21 30 45
------------