Rabu, 1 Januari 2020

KOMUNIS DAN ABU CHIN PENG







KOMUNIS DAN ABU CHIN PENG 

Minggu lalu saya telah menulis  tentang abu mayat  Chin Peng. Dalam tulisan itu  saya menerangkan bahawa  abu  Chin Peng hanyalah manifestasi  dari pekara induk yang lebih besar.  Ada gajah dibelakang tempayan. Tapi telinga tak nampak. Mata tak dengar.  Kaki tak sepak. Mulut tak bingar.

Pada hemat  saya ada tiga pekara iduk yang melahirkan hebh-heboh tentang abu mayat Chin Peng. Pertama - sikap anti komunis. Kedua  - percubaan untuk mengubah dan memesong sejarah. Ketiga - pekara yang selalu saya timbulkan ia itu – persoalan nasional  yang  masih belum belum selesai.

Pada pandangan saya tiga pekara induk ini  kait mengait. Agak susah untuk dipisahkan antara satu dengan lain. Walau apa pun saya akan cuba merungkai satu persatu. Saya rasa masanya telah sampai untuk satu pencerahan tuntas dihamburkan kepada khalayak , kepada pembaca dan anak semua bangsa untuk menjadi makanan minda. 

Saya menolak kata-kata yang selalu kita dengar : Sejarah ditulis oleh pemenang.  Untuk saya sejarah ditulis oleh orang yang  menulis sejarah. Sejarah umat manusia ini belum bagitu lama berbanding dengan  umur bumi yang telah melintasi 4 bilion tahun. Bumi wujud lebih awal dari kita umat manusia. Justeru jangan terlalu angkuh. Amin.

Sistem kenegaraan, sistem kerajaan termasuk yang super  moden  hari ini masih muda lagi.   Negara bangsa yang wujud hari ini belum melintasi  400 tahun.  Malah konsep Malaysia belum mencecah 100 tahun.

Idea tentang demokrasi, kebebasan idividu, hak asasi, sistem ekonomi kapitalis, sistem ekonomi sosialis  semua masih muda. Perjalanan sejarah umat manusia masih baru. Contoh terbaik  di Saudi Arabia – hari ini  wanita  masih   belum boleh memandu kereta dengan bebas. Pada satu ketika dahulu  di negara  Arab ini bayi  peremuan ditanam hidup-hidup.  

Justeru sistem ekonomi kapitalis pun baru.  Idea sistem ekonomi sosialis pun baru. Pertempuran antara sistem ekonomi kapitalis dengan sistem ekonomi sosialis belum selesai. Sama ada disedari atau tidak  - hakikatnya  pertempuran  dan perlawanan antara  dua sistem ekonomi ini sedang  berjalan.  

Buku –  The End Of History and The Last Man (1992) – tulisan Francis Fukuyama itu hanyalah  rumusan awal. Malah wajib disunting kembali kerana  buku ini terlalu cepat terpancut membuat keputusan  tentang kemenangan kapitalisma. Walhal perjalanan sejarah umat manusia masih  belum selesai. 

Sistem ekonomi kapitalis bermula  dengan Revolusi Industri pada kurun ke 16.  Bermula dengan penemuan tenaga bakar arang batu dan wap  dalam lingkungkan tahun  1760. Sistem kapitalis – pasaran bebas -  yang kita ketahui  hari ini  bermula tidak lebih dari 200 tahun dahulu.

Sayugia diberi tahu bahawa pemikiran sosialis dan komunis  muncul untuk menjawab sistem ekonomi kapitalis.  Wajib juga saya beri tahu bahawa teori dan pandangan  Karl Marx (1818 -1883)  dalam Das Kapital ditulis pada tahun 1867. Kesatuan kaum buruh  - First  International - yang mengajukan sistem ekonomi sosialis  bermula    pada  28 September  1864.  Manifesto Komunis muncul pada 21 Febuarai 1848.  Semuanya baru.

Wajib juga saya memberi tahu kepada yang mahu tahu  bahawa dalam gerakan  komunis dan sosialis  antarabangasa wujud sosok  Bani   Melayu yang memainkan peranan yang penting. Nama sosok ini ialah Sutan Ibrahim  Gelar Datuk Sutan Malaka.  Sama saperti Che atau Chin Peng  atau Tito nama perjuangan sosok ini  ini ialah Tan  Malaka (1897-1949) 

Tan Malaka  ini sama saperti  Mikhail Alexandrovich Bakunin (1814-1876) pemula , pemikir dan pengerak  politik anarkis dari Rusia. Mereka  berdua ini datang dari keluarga  kelas bangsawan. Mereka meninggalkan kelas atasan mereka  untuk besama kaum buruh dan tani. Amin

Tan Malaka aktif dalam gerakan kaum buruh antarabangasa – Third International -  yang mula wujud pada tahun 1919.  Dalam gerakan kiri antarabangsa Tan Malaka memberi pandangan kiri dari kaca mata anak negara  tanah jajahan  Nusantara. Malah mengikut fakta sejarah di Congress  Third International di Culcutta  satu  sosok wakil Parti Komunis Malaya  (PKM) turut hadir. Sosok ini ialah Musa Ahmad yang juga  menjadi Pengerusi Parti Komuis Malaya.

Jangan buat buat tidak tahu. Jangan buat buat tak faham. Jangan buat buat lupa. Pengerusi Parti Komunis Malaya ialah Musa Ahmad anak Melayu lulusan  sekolah agama Al-Mashor Pulau Pinang.  Khalas.

Apa yang ingin saya paparkan disini ialah Bani Melayu wujud bersama gerakan kiri, gerakan sosialis  dan gerakan komunis antarabangsa.  Malah  politik kiri , politik komunis dan politik sosialis  bukan satu yang asing dalam sejarah politik Bani Melayu.

Anak segala bangsa hari ini wajib diberitahu bahawa perjuangan kemerdekaan dan slogan MERDEKA muncul dari fikrah dan hati sanubari  gerakan  Melayu  kiri Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang ditubuhakn pada tahun 1938. United Malays National  Organisation (UMNO) hanya ditubuhkan pada 1946 dengan slogan Hidup Melayu. 

Parti Hidup Melayu - United Malays National  Organisation tidak menyokong garis merdeka KMM kerana Bani Melayu belum pandai membuat jarum. Bani Melayu tidak pandai membuat jarum ini bukan penglipus lara  hasil tulisan  Hishamuddin Rais  tapi petikan kata-kata dari ucapan Datuk Onn Jaafar pengasas dan   Presiden pertama parti  United Malays National  Organisation. Amin

Perlu juga saya rakamkan disini bahawa ahli  dan penganut fahaman kiri  sosialis dan komunis yang terbesar dalam dunia diluar  blok Soviet Union wujud  di bumi   Melayu dibawah payung  Parti Komunis Indonesia (PKI) .

Apa yang ingin saya paparkan disini ialah  idealoji komunis, idea kiri dan idea sosialis itu bukan satu yang asing dalam budaya fikrah Bani Melayu. Jika  fahamam  kiri bukan asing kenapa bila saja disebut komunis,  sosialis atau kiri maka  ramai akan terkejut meronta-ronta seolah-olah dirasuk polong. Ada yang muntah tercirit-cirit dan terus meroyan tak habis-habis.

Perlu disedari bahawa sikap anti komunis ini bukan hanya berlaku di Tanah Melayu. Dimana sahaja wujud sistem  ekonomi kapitalis maka akan diwujudkan sikap anti komunis, anti sosialis dan anti kiri. Kenapa?

Jawabya cukup senang :– sistem ekonomi sosialis adalah jawapan kepada sistem ekonomi kapitalis. Apa yang berlaku dalam  dunia hari ini adalah manifestasi  pertempuran dua idelaloji – kapitalis dan sosialis.  

Di Amerika kita terbaca nama Bernie  Senders. Di United Kingdom kita terbaca nama Jeremy Corbyn. Kita mendengar nama Syariza di Greece. Kita terbaca nama Pandemos di Sepanyol. Malah disemua negara Eropah Parti Komunis atau lebih pop dengan nama CP masih wujud.   Kini gerakan kiri telah bercantum  dan bersegama dengan gerakan hijau – gerakan alam sekitar - saperti di Belanda dan di German.

Apa makna semua ini? Semua ini adalah manifestasi saheh yang membuktikan bahawa  pertempuran idealoji kapitalis dengan idealoji sosialis masih berjalan. Saban hari pertempuan  ini semakin hebat.

Justeru kaum  pemodal dan kaum  kapitalis  secara tersusun dan teratur  telah menabur  ketakutan kepada anak semua bangsa tentang bahaya komunis dan sosialis. Anak semua bangsa wajib ditakutkan degan hantu komunis. Dengan hantu sosialis. Hinggakan DAP di Malaysia ini dianggap komunis. Menganggap  DAP ini parti kiri dan beridealojikan komunis samalah saperti menerima Vincent Tan sebagai Imam Besar Masjid Negara. Kah kah kah.

Di Tanah Melayu sikap anti komunis ini ditanam secara tersusun oleh kuasa kolonial Inggeris. Perang saraf yang mereka lakukan bertujuan memfitnah  idealoji komunis dan sosialis. Semua dilakukan kerana ekonomi.

Kuasa kolonial Inggeris memuggah harta kekayaan dari Tanah Melayu. Bijih timah, getah, kayu kayan semuannya dirembat dan dibawa pulang ke London.  Buruh didatangkan dari China dan India. Bila wujud buruh maka berlakukan hukum sosial  yang telah ditunjukkan oleh Karl Marx.

Menurut padangan Karl Marx kaum buruh dan kaum pemodal memiliki kepentingan yang berasingkan dan berlawanan. Maka dari sini  wujudnya kontradiksi. Ini  adalah pandangan dan pegangan hukum sosial kaum kiri. Kotradiksi dari dua puak yang bertentangan  akan memuculkan perlawanan.

Malah semua perang  dalam dunia ini berlatar belakangkan perlawanan merebut  ekonomi.  Merebut punca punca ekonomi saperti tanah pertanian , bahan galian atau bahan bakar petroleum.  Selagi wujud sistem ekonomi kapitalis umat manusia akan terus berhadapan dengan perang. Ini hukum social kaum kiri dan kaum komunis.

Perang muncul kerana   kontradiksi kumpulan  yang berlawan kepentingan. Kaum tani melawan tuan tanah. Hamba abdi melawan kaum feudal. Kaum feudal dilawan oleh kaum kapitalis. Dan kaum kapitalis dilawan oleh kaum buruh dan kaum tani. Kaum tani dan buruh disusun oleh gerakan kiri dan komunis. In hukum sosial perjalanan tamadun  umat  manusia. Hukum ini tidak pernah berubah dan tidak akan berubah.

Di Tanah Melayau kuasa kolonial Inggeris terpaksa menentang kaum buruh. Dalam sejarah  Tanah Melayu yang terkhusus - kaum buruh di era penjajahan datang dari  Bani China. Bani Melayu ketika itu masih bertani
Perang saraf dan propaganda British dengan licik menggambarkan bahawa gerakan anti kolonial ini adalah gerakan Bani China. Hanya Bani China yang  jadi komunis. Maka tertanam  hingga ke hari ini  pekara karut marut yang mentakrifkan  bahawa China itu komunis dan komunis itu China.

Dari sinilah lahir sikap anti sosialis dan anti komunis. Propaganda anti kiri ini masih tebal hingga  ke hari ini. Justeru abu mayat Chin Peng adalah manifestasinya. Hakikatnya dalam gerakan kiri, dalam PKM dan dalam gerakan sosialis  di Tanah  Melayu wujud  pemuka pemuka yang bukan dari Bani China. 

Anak semua bangsa ditindas oleh penjajah. Dengan hukum sosial pemimpin kaum tertindas  muncul   dari Bani Melayu telah wujud. Tetapi nama nama mereka  sengaja diketepikan.  Sengaja dipadamkan. Siapa mereka ini ? Tunggu minggu hadapan. Selamat menyambut tahun 2020. (TT)








--------

1 ulasan:

  1. Orang pandai bijak dah kureng,
    Yang ada Prof Kangkung,
    Jadi TT lah kena ajar mereka sejarah,
    Kah kah kah
    Fakta kejadian semuanya dipesongkan oleh pemerintahan British UMNO,
    Jadi dalang ada untung,
    Baginda Queen bagi sedekah pulus,
    Sampai sekarang Bani Melayu masih mengharap bantuan Baginda Queen,
    Sebenarnya dasar pecah perintah British masih diteruskan,
    Sebab itu rakyat dimomok sebagai melayu cina india,
    Kalau rakyat bersatu sebagai warga Malaysia,
    Habislah periuk Kekayaan bangsawan penjajah
    Rakyat akan menuntut macam macam
    Sekarang rakyat dilagakan dengan kaum agama
    Pemerintahan Baginda Queen bijak
    Kah kah kah
    Selamat Merdeka

    BalasPadam