Rabu, 22 Januari 2020

MAKAN MALAM - MALAM ITU





MAKAN MALAM - MALAM ITU

Malam itu – jamuan makan malam itu mungkin sekali imbas – sekali pandang tidak ada apa apa yang menarik. Makan malam disebuah restoran masakan China di wilayah Subang Jaya Seksyen 19. Seberang jalan disebelah restoran ialah  warung-warung kereta sorong dan gerai-gerai kedai makan  yang menayangkan – masakan Tom Yam , Satay dan Mee Rebus.  Wilayah ini - bak kata warga Belgium – rien de spécial - tak ada apa yang  teristemewa.

Kami datang untuk makan malam sebagai merayakan sambuatan Tahun Baru China yang akan sampai pada Sabtu 25  haribulan ini. Sembilan orang kami datang : 3 lelaki China, seorang wanita China bersama suaminya  India dan empat Jantan Melayu. Seorang kawan  Gan Yap Swee – bekas  Setia Usaha Agong Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia (PKPM) gagal datang.

 Petang Ahad yang kami pilih itu   telah dilanggar hujan. Gan - kawan lama kami menarik diri atas  nasehat doctor. Gan  tidak  boleh terkena percikan air hujan kerana kaki kanannya  baru dipotong akibat pembekuan darah dikaki.

Restoran yang dipilih bukan yang teristemewa atau tersohor.  Kami pilih kerana restoran ini dekat dengan rumah kawan kami yang kami panggil Towkay .  Kawan kami ini telah mula   bertongkat justeru untuk memudahkan pertemuan kami  datang ke wilayah yang paling hampir dengan rumah Towkay.

Petang itu restoran ini penuh dengan pelanggan kerana Ahad terakhir sebelum  Tahun Baru China. Saya ternampak ramai juga   orang India   dan Bengali makan semeja dengan  kaum keluarga China dalam restoran ini. Pasti mereka datang untuk sama-sama merayakan kesampaian tahun baru. Ini budaya Malaysia. 

Berapa ramai Melayu? Hanya kami empat orang dalam restoran itu. Amin.

Saya diminta membuat pilihan makanan. Restoran ini adalah restoran ditanggung sendiri.   Lalu saya memesan asam kukus Talapia, Udang kukus, Lala goreng,   Sotong goreng tepung, Kambas goreng telor masin, Kucai goreng dan sayur kegemaran saya – Tiga dalam Satu.  Saya amat yakin – Tiga dalam Satu – adalah masakan asli dari Tanah Melayu. Terong, kacang bendi bersama Sang Petai  digoreng dengan udang kering. 

Saya amat  yakin – Tiga Dalam Satu  - adalah masakan lahir dari Tanah Melayu bukan dari Chez Maxim dari Paris  atau masakan  Wan Li dari Beijing atau kedai makan  Den Glydene Freden di Stockholm. Petai  tidak tumbuh di Belgium atau di Peranchis. Petai hanya tumbuh dibumi tropical Alam Melayu.

Bila  makanan sampai semua terbahak ketawa kerana saperti silap mata saya mengeluarkan sebotol  Sauvignon  dari kerpai buruk saya. Air anggur dari New Zealand ini menjadi ganti yesang  tanda bukti bahawa  kami setia kepada budaya Malaysia. Kami pun berkenduri. Yummy yummy yummy.

Dari fakta sejarah  - kami  semua berkenalan  ketika   ‘berpesta’ di Universiti Malaya (UM). Tentang umur? Kami  semua telah melintasi Enam Siri kecuali Mus yang  datang membantu Towkay Lim.   Empat dari kami  berasal usul dari Kolej Kelima UM.  Empat lagi dari Non Hostelite Organisation (NHO).  Badan NHO ini bertanggung jawab menyusun pelajar yang tidak tinggal dalam kampus. NHO  telah lama menjadi arwah.

Towkay  Lim bekas guru ilmu alam ialah ahli Majlis ke 16 ketika saya saya menjadi Setiausaha Agong  Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) dan Adi Timbalan saya. Baskaran suami King  - anggota pengarang  Mahasiswa Negara – akhbar resmi  PMUM.  Suami isteri ini bekerja dengan universiti. Haris warga asal kelahiran Bukit Bintang anggota Kelab Sosialis.    Chee Kok Tiang  dan Ong Hin  - dua  kaki bising ahli sukan Kolej Kelima. Chee saperti Haris seorang ahli perniagaan. Ong setelah lulus dari UM meyambung belajar di Amerika untuk menjadi  bomoh. Kini Bomoh Ong membuka klinik di Raub.  Manakala Adi  bekas tahanan ISA adalah  bekas Ketua  Pengurus Iklan syarikat Utusan.

Ditakdirkan – kami semua dipertemukan dalam UM.   Kami adalah generasi pasca Mei 13. Kami juga adalah generasi  pasca Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU 1971) .  Akta ini cuba memadamkan  semangat kejujuran dan pejuangan anak muda mahasiswa sesudah Mei13. Tugas  AUKU1971  gagal  meleset. Amin.

Pada tahun 1971 – babak gelap lagi hitam Mei 13 – baru  selesai.  Babak pergaduhan Bani Melayu dengan  Bani China dan Bani India.  Satelah bergaduh berbunuh maka pada 16 Mei 1969 darurat diistihar.  Parlimen digantung. Majlis Keselamatan Negara (MAGERAN ) mengambil alih kuasa. Pada minggu pertama saya di UM bulan  March 1971  – Parlimen  dibuka kembali satelah digantung selama dua tahun. 

Sila bertanya : apakah pada ketika ini – pada tahun 1971 -  suasana dan ambience perkauman keras  mendadak? Apakah pada ketika ini hubungan kaum menjadi tegang? Apakah ketika ini  anak-anak muda pelajar diuniversiti  tidak bercampur sesama sendiri. Apakah ketika ini anak muda Bani Melayu merasa tergugat apabila melihat  salib di gereja di hadapan bangunan KWSP Petaling Jaya? Apakah pada ketika ini kami pelajar Melayu di UM merasa gentar  dan tercirit-cirit apabila melihat  mahasiswa  dan mahasiswi China membakar tanglong?

Tidak. Tidak. Tidak. Jawabnya tidak. Kami di UM terus berpesta merayakan kemudaan kami. Anak semua  bangsa - bangsa semua agama yang muda merayakan kemudaan mereka. Kami sederap sebaris sama saperti  anak muda pelajar di Hong Kong, Jakarta, Paris, London, San Francisco , New York, Tokyo , Melbourne atau  New Delhi.  Budaya muda ialah berpesta.

Ketika di kampus  – kami  bertemu bekenal , bercinta., jatuh cinta, bertemu kekasih, ditiggal kekasih, gagal dapat kekasih. Kami tidak memilih bangsa atau agama. Jika serasi maka kami menjadi pasangan. Amin

Bashkaran  bertemu King  jatuh cinta berumah tangga dan mendapat dua anak lelaki.. Haris bertemu Anges  dan berumah tangga.  Adi berkawin diluar kampus.  Hanya Hishamuddin Rais yang setia untuk terus menjadi peneraju Kelab Gagalis dan berpesta merayakan Hari Gagalis pada  14 Febuari setiap tahun.

OOOH.. bagaimana mana dengan belajar jika asik berpesta dan jatuh cinta? Belajar? Wajib diberiathu disini kami yang masuk ke UM bukan kecik anak. Kami dipilih ke universiti bukan kerana kami Melayu. Bukan kerana kami Bumiputera.  Atau kerana ayah kami Ketua Bahagian United Malays National Organisation. Tidak. Tidak. Tidak. Pepereksan kami dinilai  dinegara kapir luar negara. Mustahil ada soalan bocor. Justeru dalam pestaan-pestaan  kami masih menyerlah berjaya  mencari ilmu.

“ Ingat tak tiga gadis cun  bergetah  masuk Fifth Kolej tahun 1972? “  Adi ketawa sambil bertanya.
‘ Yes yes… mana satu.. ada Mahani.. ada Faridah dan ada Shahrizat..’ Saya membuka nostalgia.

‘ Ingat tak siapa tiap pagi datang dengan motosikal ambil Sharizat ..’ Adi menyoal sambil bubuh miyak untuk merancak perbualan.

‘Swee Eng yang cute tu…Acai yang dapat…’Chee memberi penjelasan.

“ Mahani kahwin dengan John  Zainal Carrie… cerai kemudian Mahani kahwin dengan politikus besar dari Perlis…’ Adi memberi kuliah sejarah sexualiti Kolej Kelima.

Kami semua terbarai ketawa. Hanya Mus yang tidak tahu buah butir tentang apa  yang sedang kami bualkan. Kami berlapan kembali melayari detik-detik enak ketika kami mendewasa dalam satu suasana yang amat menjanjikan. Dunia dan alam yang kini sudah jauh hilang.

Malaysia  - Tanah Melayu dizaman kami mengikuti kuliah - terletak diatas landasan budaya yang tepat.  Kami belajar ke universiti agar Malaysia tidak menjadi  negara buta huruf. Justeru untuk tidak  menjadi negara buta huruf kami  semua buta warna.

Tidak ada India dalam Bashkaran  atau Anges. Tidak ada China Bukit untuk Lim,  Ong , King dan Chee. Kita tak siapa pernah mempersoalkan bahawa Pardi ayahanda Haris ialah Jawa pendatang. Kami tidak pernah bertanya  apa warna kad pengenalan Adi Satria   anak wakil konsol  Indonesia  di Pulau Pinang   Tidak ada siapa yang berani mempertikaikan susur galur  salasilah Jakun Biduanda   Hishamuddin Rais.

Lim, King, Chee dan Ong tidak pernah meminati Dong Zong. Di Kolej Kelima Don Zong tidak wujud dan tidak dibenarkan wujud.  Chee dan Ong dibesar di Sungai Petani dengan    keselesaan becampur gaul dengan pelajar Melayu dari Sultan Abdual Hamid Kolej.  Bhaskaran tidak memasuki  Persatuan Tamil di Universiti Malaya. Basi menjadi  anggota Kelab Sosialis.  Lim dan Bhaskaran  bertemu di High Scool Muar dimana ayahanda Bashkaran menjadi guru bahasa Inggeris.

Kami anak kelahiran Tanah Melayu. Kami  tahu nikmat petai. Kami  tahu apa itu Talapia Kukus ala Nyonya. Dalam masa yang sama kami juga adalah warga dunia. Kamu juga tahu  nikmat Sauvignon dan Mouton Cadet. Kami juga warga dunia.  Kami merayakan budaya sejagat. Tetapi asas budaya jati diri kami lahir dari  bumi Tanah Melayu. 

Para tamu dalam restoran China pada malam itu  pasti tidak sedar  disatu sudut ada sembilan sosok  yang sedang cuba menghidupkan kembali detik-detik yang hilang. Ambiance yang terlungkup. Suasana budaya yang hancur. Setia kawan yang tidak dimungkinkan lagi wujud. Masa yang terhilang.

Penulis Perachis  Marcel Proust ( 1871-1922) telah menulis nobel A la reserche du temps perdu – atau Mencari Masa Yang  Terhilang.  Tapi masa dan zaman   yang hilang garapan Proust ini telah menjadi tulang belakang rujukan budaya Peranchis.

Adi, Haris , Mus dan Isham  adalah Melayu tapi mereka bukan Arab.  Mereka penganut Islam Budaya.  Lim, King, Chee dan Ong adalah China tapi bukan China  Dong Zong.  Budaya mereka adalah budaya China Malaysia. Bhaskaran ialah India  tapi   bukan dari  budaya  Bharattiya Janata Party. 

Pada petang itu sembilan sosok ini sama saperti Marcel Proust merayakan kembali  zaman yang hilang. Mengingat kembali budaya setiakwan yang telah dimusnahkan.   Sembilan sosok ini menunjukkan  bahawa kami anak semua bangsa  dari semua agama bersetia merayakan  kehidupan diatas muka bumi.

Akhirnya sebelum kami ditangkap  dan didakwa oleh Jakim kerana minum air anggur  dalam restoran China ditanggung sendiri biar saya ucapan Gong He Fa Chai untuk anak semua bangsa.  Opps…apakah ucapaan saya ini juga akan diharamkan. (TT)


----------------

Tiada ulasan:

Catat Ulasan