Rabu, 22 April 2020

MERAKAM SEJARAH - IBU PERTIWI TELAH BERSUARA




MERAKAM SEJARAH

IBU PERTIWI

TELAH BERSUARA


Minggu ini saya sambung kembali wacana  Merakam Sejarah virus  Karona. Anak semua bangsa dan bangsa semua agama – umat manusia -  sedang dan masih lagi berhadapan dengan  serangan virus Karona. Ketika saya menulis ini kita  di Malaysia telah selesai memasuki hari ke 34 berkhalwat a.k.a Perentah Kawalan Pergerakan (PKP). Kita hendaknya sedaya upaya  telah mematuhi arahan  Majlis Keselamatan Negara (MKN). 

Virus Karona  sedang mengampoh  dunia. Dan mengancam Ibu Pertiwi. Ibu Pertiwi? Siapa dan apa itu  Ibu Pertiwi ini?

Pertiwi  berasal dari bahasa Sanskrit. Ini nama asal  dewi yang ditugaskan oleh Dewata Mulia Raya untuk menjaga bumi. Pertiwi ialah nama dewi penjaga bumi kita ini.

Dari bahasa  Sanskrit   konsep dewi penjaga bumi  ini  telah di Nusantarakan dan digenderkan untuk menjadi Ibu Pertiwi.  Walau pun   dewi  ini  telah menjadi ibu ianya masih  lagi menjaga bumi kita ini.  Akhirnya dewi penjaga bumi ini  telah di Nusantarakan oleh masa : dari ibu menjadi     tanah air. Kemudian menjadi tanah tempat tumpah  darah anak semua bangsa dan bangsa semua agama di Nusantara. Maka  inilah sejarah asal usul  Ibu Pertiwi.

Dalam bahasa Inggeris Ibu Pertiwi ialah Mother Earth. Ibu Pertiwi ialah Bumi Manusia tempat kelahiran   anak semua bangsa umat manusia.

Saya menulis  Ibu Pertiwi  dengan menggunakan huruf besar. Ini kerana ianya  nama  saperti  Awang atau Kiah. Juga  sebagai tanda hormat saya kepada dewi yang selama  ini menjaga kehidupan kita semua. 

Kenapa saya menulis tentang Ibu Pertiwi. Apakah sangkut pautnya Ibu Pertiwi dengan virus Karona dan Covid-19.  Biar saya pejelaskan.

Saya dalam kesedaran  atau lebih tepat lagi dalam kesedihan kerana   ketika saya menggarap tulisan ini Ibu Pertiwi sedang menitiskan air mata. Ibu Pertiwi sedang melihat  anak semua bangsa di Bumi Manusia ini  dalam kesusahan.  Berani  saya nyatakan disini bahawa   Ibu Pertiwi telah lama menangis.

Ibu Pertiwi bukan hanya menitiskan air mata malah Ibu Pertiwi telah lama bersuara. Pasti ada yang bertanya dan menyoal. Menangis ? Besuara?  Bila? Apa buah butirnya?


Saya sedar diatas bumi ini tidak ramai yang terdengar  esak tangis  Ibu Pertiwi.   Justeru soalan dan pertnyaan ini tidak salah.

Sabenarnya kita   di Bumi Manusia  melihat depan mata kita  tanda tangisan Ibu Pertiwi tapi tidak memahami tanda tanda itu. Hati dan jiwa umat manusia kurun ke 21  telah keras membeku hingga  gagal membaca titisan air mata Ibu Pertiwi. Gagal mendengar suara esakan   Ibu Pertiwi.

Dewi penjaga bumi  telah patuh mengikut arahan Dewata Mulia Raya. Ibu Pertiwi tidak pernah melupakan tugasnya menjaga keselamatan dan kesejahteraan umat manusia. Ibu Pertiwi tidak pernah lalai atau lupa. Yang lalai,  yang lupa dan yang angkuh  ialah umat manusia sendiri.

Ibu Pertiwi dari awal lagi telah bersuara memberi ingata.  Ibu Pertiwi  bersuara di Congo pada tahun 1976 melalui Ebola. Kemudian pada tahun 1998  Ibu Pertiwi bersuara di Bukit Pelandok Port Dickson. Pada tahun 2002  suara Ibu Pertiwi boleh didengar di Guandong China.  Pada tahun 2012 Mers muncul  di Saudi Arabia.  Seawal tahun 1918 lagi Ibu Pertiwi telah besuara. Hanya umat manusia  lalai terlupa apa itu Spanish Flu.

Pada awal  tahun 2020 muncul virus Karona  yang kini dinamakan Covid-19.   Lalu dihebohkan dari mana asal usul Sang Karona ini.  Rumahnya dimana?  Dalam negara mana Sang Karona mengeram dan menetas. 

Aduh! Soalan soalan  bentuk ini ini terus muncul. Tidak putus-putus soalan ini muncul dalam portal  media baru. Semuanya menimbulkan sensasi agar mata  manusia moden  terperangkap  untuk melayari berita yang hanya lima para dengan 400 patah perkatan. Selainya ialah iklan Bujang Bertemu Janda atau iklan Memanjangkan Punai.

President Trump  yang sikapnya  anti – China  Merah  telah memanggil Sang Karona ini The Chinese Virus. Ada  juga kumpulan media yang  memanggil namanya Wuhan Virus -  tempat awal virus ini muncul. 

Ada juga a media arus perdana yang memanggil virus ini Virus CCP. CCP ini ialah singkatan dari  Chinese Communist Party.  Ini tanda kemarahan kumpulan ini  terhadap Parti Komunis China yang  telah membenam   berita serangan awal virus ini hampir satu bulan. 

Malah telah ada beberapa  kumpulan termasuk angotta ahli  Dewan Senate Amerika telah  menyaman Parti Komunis China. Untuk kumpulan  ini mereka menggangap CCP bertanggung jawab membiarkan Sang Karona merebak dan mengancam dunia. Jalur fikrah ini menyalahkan China Merah.

Untuk saya asal usul Sang Karona ini tidak penting buat ketika ini. saya ulangi – buat ketika ini. Membincagkan asal usul virus ini akan membuang masa. Kita wajib berunited front memerangi   Sang Karona. Jangan buang masa dan tenaga fikrah yang melambatkan kemenangan kita.  Jumlah warga yang gugur terus bertambah.


Pada fikrah saya - ketika babi luka datang menyondol  adalah  tidak masuk akal untuk kita bertengkar dan mencari siapa yang bertanggung jawab melukakan Sang Babi. Langkah tepat ialah menangkap Sang Babi kemudian dihantar terus ke Bali untuk dijadikan Babi Guling Ibu Oka. Khalas.

Apa yang penting untuk saya ialah  Ibu Pertiwi telah memberi tahu  dengan jelas kepada umat manusia  bahawa  alam maya ini  bukan  wilayah monopoli umat manusia sahaja. Duduk sama di bumi ini adalah   unggas, ikan, anjing,  beruang, bunga , pokok  dan seribu satu macam mahklok halus yang hanya diketahui oleh Ibu Pertiwi. Bumi ini telah disusun  dengan peraturan oleh Dewi Bumi. Hukum alam  ini semuannya dirancang  untuk menjadikan Bumi Manusia ini  indah lumayan.

Awal sejarah  umat manusia hidup aman damai bersama alam. Untuk saya ini satu masa yang tidak lama dahulu. Masih segar dalam ingatan.  Saya  dari  suku Biduanda  yang berasal usul dari Orang Asli sedar  tujuh keturunan dahulu datuk nenek moyang saya  hidup aman damai bersama alam. Pada ketika itu antara  manusia dengan alam tidak ada bezanya. 

Ada satu pekara yang sampai  hari ini masih kekal dalam ingatan saya. Ianya ialah amaran Tok Batin dan amaran kolektif Orang Asli  tentang busung. Busung dianggap bahaya.

Apa itu busung? Sampai hari ini ianya hanya dianggap sebagai mitos Orang Asli. Busung  dalam ilmu perubatan moden agak jauh berbeza dari naratif busung Orang Asli.   Tetapi ingatan saya tebal  tentang wilayah dan tempat-tempat  yang dilarang masuk kerana ada busung. Justeru ada bukit, ada lembah ada kawasan yang dianggap berbusung. Wilayah ini akan ditiggalkan oleh Orang Asli.

Hari ketika Karona menyerang  busung berligar sekali lagi  dalam kepala saya. Apakah busung ini virus. Kerana dari surah yang saya terima sesiapa  mati terkena busung maka kuburnya akan ditinggalkan. Kubur  berbusung bahaya untuk didekakti.  Naratif busung ini turun dari mulut ke mulut. Pada hemat saya ini adalah  naratif dari Ibu Pertiwi untuk menjaga bumi kita ini.

Manusia  moden hari ini telah melupakan naratif busung Orang Asli. Kajian ilmiah moden mentakrif busung sebagai ascites . Busung yang saya surahkan ini bukan busung hasil kajian ilmu moden.  Pada hemat saya naratif busung  Orang Asli  datang dari Ibu Pertiwi dalam usaha   menjaga hutan rimba dari dirobek dan dijarah balaknya.  Wujudnya naratif busung diwilayah itu maka hutan  itu selamat. Bukit itu selamat. 

Disini kita kembali kepada persoalan asal usul Sang Karona atau Sang Ebola atau Virus Hiv. Hakikatnya makhluk halus  dan busung busung ini  telah sedia wujud bersama kita. Semenjak kun fa ya kun – semenjak big bang -  makhluk halus ini telah wujud Bersama  umat mansuai bersama alam.   

Kenapa muncul sekarang?

Bila soalan ini ditanyakan maka kita  umat manusia wajib  melihat diri kita sendiri.    Makhluk halus virus ini selama jutaan tahun ini terperosok dalam hutan belantara, dalam padang pasir, dalam gunung glasier, dalam perut bumi – tanpa diusik tanpa disentuh.  Ibu  Pertiwi mengetahui hal ini.

Sang Ebola muncul di Congo bukan secara tidak sengaja, Bagitu juga Mers, Sars dan  Nipah.  Kemuculan virus , busung dan makhluk halus ini  semuanya  hasil kerja tangan  umat manusia. Umat manusialah yang bertanggung jawab memanggil  keluar makhlok-makhlok halus ini.

Harus kita sedari bahawa perangai, budaya dan sikap yang  kita miliki pada tahun 2020 ini baru berumur 260 tahun.  Budaya, perangai gaya hidup dan nilai yang kita miliki hari ini semuanya  hasil dari sosial kostruk. Atau dibina oleh alam social  sekeliling.

Justeru sosial konstruk  dan budaya yang kita  amalkan hari ini bermula  dengan  Revolusi Industri ( 1760-1840).  Dalam masa kurang lebih 100 tahun gaya hidup moden  telah menjemput datang  virus  Spanish Flu. Jangan silap faham namanya Spanish Flu tapi dari kajian 2018 telah dibuktikan aianya berasal dari Kansas Amerika.  Soldadu Amerika membawa virus ini ke Eropah ketika Perang Dunia Pertama.

Sang Karona yang sedang menyerang umat manusia hari ini akan sampai ke tahap mana? 

Saya bukan terdidik dalam ilmu bomoh dan tabib moden.  Justeru saya tidak dapat memberi pandangan ilmiah yang bersangkutan dengan perubatan. Apa yang saya percaya Sang Karona ini  ialah suara Ibu Pertiwi.   Saya sedang  mendengar esak tangisan  umat manusia yang sedang terkurung berkhalwat. Saya juga telah lama melihat Ibu Pertiwi sugul bersedih.  Jika umat manusia menangis dan Ibu Pertiwi menangis sama  - apa akan berlaku kepada busung dan makhluk halus ini. Tunggu minggu hadapan. (TT)








Tiada ulasan:

Catat Ulasan