BENCI ORANG ASING
Saya sambung kembali perbincangan kita tentang xenophobia . Perkataan Greek ini bermakna tidak suka pada orang asing. Tak suka yang lain – the other - yang bukan orang kita. Takut pada orang asing. Perasaan takut ini bertukar menjadi benci terhadap orang asing. Benci ini akhirnya menjadi fahaman anti-orang asing.
Di Malaysia benci kepada orang asing ini bukan satu pekara yang baru. Sikap ini sedia terpendam. Hakikatnya sikap ini telah lama wujud tapi terpedam.
Saya membuka perbincangan sikap tidak suka orang asing ini kerana sikap ini sedang terjulur keluar. Sikap ini terjulur apabila kapal pelarian warga Rohingya cuba mendarat di Langkawi. Media melaporkan pada 16 April 2020 yang lalu tentera laut Malaysia dengan bantuan tentera udara di Langkawi telah berjaya menghalang kemasukan sebuah kapal Rohingya dengan 200 penumpang. Umum diberitahu bahawa Langkawi bukan kali pertama menjadi sasaran kapal pelarian Rohingya datang berlabuh.
Rohingya ialah warga Myamar yang kini dihalau keluar dari Rakhine bumi tanah tumpah darah mereka. Dari data tahun 2016 ada lebih dari 1 juta Rohingya tinggal di Myamar. Lebih DARI 1.3 juta menjadi orang pelarian di Bangladesh. Seramai 190,000 di Saudi Arabia dan 150,000 di Malaysia. Data tahun 2018 menunjukkan kini hanya 400,000 yang masih tinggal di Rakhine.
Rohingya beragama Islam. Manakala Myamar adalah negara majoriti Buddhist. Sekali lalu dilihat pertembungan ini seolah-olah pertembongan tamadun Islam dengan Buddhist – Clash Of Civilisation – mengikut istilah garapan Samuel Huntington
Kes kesampaian kapal Rohingya ini membuka keluping kudis di Malaysia. Keluping kudis tak suka kepada orang asing. Keluping kudis ini bernanah kerana dibantu oleh suasana perang anti virus Karona. Imej warga Rohingya berkulit hitam kurus kering mata hitam puteh terbelik menakutkan warga Malaysia. Imej orang pelarian tak cukup makan ini menimbul persoalan apakah warga Rohingya – orang asing ini - ada membawa virus Karona.
Virus Karona membawa persoalan.
Sikap benci orang asing ini terbuka mendadak ke persada arus perdana Malaysia. Kapal Rohingya telah berjaya melanggar pecah tembok xenophobia yang selama ini terpendam. Sikap xenophobia kini melimpah terbuka.
Justeru saya akan cuba mencari punca dan memahami asal usul, dari mana dan kenapa sikap xenophobia ini sampai. Apakah betul sikap benci pendatang asing ini bersangkut paut dengan virus Karona.
Wajib dihitam putehkan dan digaris merahkan bahawa sikap benci orang asing ini bukan satu sikap yang hanya dimiliki oleh Bani Melayu. Sikap ini adalah sikap global, sikap sejagat yang dimiliki oleh anak semua bangsa-bangsa dalam dunia ini.
Sikap xenophobia ini ditakrif sebagai garis fahaman idealoji politik kanan. Dalam politik dunia hari ini pandangan kanan dan ekstrim kanan sedang membiak, menular dan mengampoh. Media dunia tidak putus-putus melaporkan tentang fahaman kanan yang sedang rebak menular.
Dunia pada ketika ini sedang berhadapan dan mengenali tiga tokoh – tiga protoganis dunia yang sedang menularkan sikap fahaman kanan ini.
Di India kita ada Perdana Menteri Narendra Modi dari Bharatiya Janata Party (BJP). Dari Brazil kita ada Presiden Jair Bolsonaro dari Social Liberal Party (PSL). Di Amerika Serekat kita ada Presiden Donald Trump dari Parti Republican (GOP). Tiga watak ini adalah pemegang, pemilik , penganjur dan pemuka politik fahaman kanan.
Tiga pemimpin ini dijadikan contoh kerana mereka pemimpin negara yang besar. Bancian 2019 menunjukkan Brazil memiliki 209 juta penduduk, Amerika dengan 328 juta dan India dengan 1.353 bilion penduduk. Negara-negara besar ini sedang mengampoh dunia dengan fahaman garis politik kanan.
Ada lagi negara yang dipimpin oleh garis politik kanan. Austria, Belgium, Cyprus dan Hungary. Manakala disetiap negara Eropah wujud parti garis kanan dan ekstrem kanan. Di Peranchis ada National Front, di Slovakia dengan Kotleba - Our Slovakia Party dan di Greece Golden Dawn parti ekstreme militant kanan. Di German kini berkembang ideloji kanan penyambung pandangan Hitler melalui parti AID – Party Alternatif German. Di Itali ada Lega Nord parti haluan kanan yang extreme.
Hakikatnya disetiap negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen atau sistem demokrasi undi mengundi kita akan bertemu dengan parti politik yang memperjuangkan fahaman kanan.
Ciri-ciri yang memuculkan garis kanan ini adalah sama. Pertama semangat wataniah, semangat orang asal yang menjurus kepada nasionalisma. Semangat nasionalisma ini dipasak pula oleh sikap mahukan kestabilan negara, mengagungkan kuasa polis dan tentera. Dalam masa yang sama garis kanan ini amat meluat dan benci kepada elit politik yang selama ini memiliki kuasa dan mengaut harta kekayaan.
Semangat orang asal atau wataniah ini amat jelas dalam slogan – Amerika First dan Make America Great Again. Slogan ini berjaya memenangkan Trump. Garis wataniah ini tidak dapat lari dari sikap utamakan rakyat asal – Sarawak untuk Sarawakian atau Malaysia untuk Malaysian.
Manifestasi pandangan dunia fahaman kanan yang paling jelas ialah tidak suka kepada pedatang asing dan imigran. Anti imigran, dan anti pelarian perang - tidak suka kepada orang bukan waris kita ini sedang berlaku dihadapan mata kita.
Di Malaysia iaya bermula dengan kapal Rohingya. Ini diikuti oleh kes kluster Kobid di Pasar Borong Selayang. Ditakdirkan pasar ini juga wilayah Rohingya. Kemudian diikuti dengan kluster di Selangor Mansion – juga wilayah imigran. Kemudian berita melaporkan kluster baru di kem tahanan pendatang haram. Semua serangan Karona menjurus kepada pendatang. Pendatang haram dan halal dibaca sebagai sarang Karona.
Kemudian laporan dari Singapura yang amat memeranjatkan. Singapura dari wilayah selamat zon hijau tetiba menjadi wilayah zon merah. Lebih dari 2000 didapati positif. Kluster baru ini datang dari perumahan pendatang buruh asing.
Semenjak Perentah Kawalan Pergerakan diumumkan kita semua merasa gerun terhadap musuh yang tidak dapat dilihat. Virus Karona ini telah menimbulkan rasa takut bila kita berhadapan dengan sosok yang tidak kita kenali. Malah dengan kenalan baik pun kita merasa was was kerana kita tidak tahu Si Polan mana yang telah berjumpa kawan kita ini.
Kita merasa sangsi. Kita was was apakah sosok tercegat berdiri dihadapan kita ini pembawa virus. Perasaan takut ini melonjak tinggi apabila kita berhadapan dengan warga asing yang bukan bercorak Melayu. Yang bukan bercorak Malaysia. Kita merasa takut. Kita bertambah takut apabila melihat sosok hitam kurus mungkin Mat Bangla, mungkin Mat Rohingya atau mungkin Mat Myamar. Mungkin sosok ini duduk di Kawasan Kawalan Pergerakan Darurat (PKPD) di Selayang, di Selangor Mansion , di Pasar Pudu atau di Chow Kit. Kita menjadi gerun.
Apakah betul orang-orang asing ini pembawa virus?
Jawabanya betul lagi saheh. Orang asing ini terbukti menjadi penyalur, penular dan pengembang Karona. Masalah orang asing membawa virus ini bukan hanya meledak di Selayang, di Pudu, di Selangor Mansion atau di Singapura. Pekara yang sama juga berlaku di German. Berlaku di Greece dan di Eropah.
Virus ini menyerang pendatang yang halal dan yang haram. Ianya terjadi adalah satu pekara yang amat lojik. Ianya berlaku dan terbukti berlaku secara saintifik.
Di North Rhine-Westphalia German 150 dari 200 buruh asing di dapati positif Cobid 19 .Di Baden-Wurttemberg seramai 200 buruh asing juga didapati posiif. Buruh asing German datang dari Rumania dan Bulgaria. Di Pulau Lesbos dan Athen ratusan pendatang haram dan orang pelarian didapati positif. Mereka ini pendatang haram dari Afrika dan Timur Tengah.
Selayang, Selangor Mansion, Pudu, Singapura, German, Athens – semuanya memiliki watak yang sama. Buruh asing ini duduk berasak-asak. Sebuah flet kalau di Brickfeild mungkin diduduki antara 15 ke 20 orang. Mereka hidup berhimpit himpit. Flet hanya tempat tidur. Malah bilik ini boleh mengisi ramai kerana – ada bekerja siang ada kerja malam. Mereka tidur bertukar ganti.
Pendatang asing ini duduk dalam wilayah miskin. Atau dalam kem refugee yang sempit tanpa asas kehidupan saperti tandas dan bilik mandi.
Hakikatnya pendatang haram pendatang halal dan buruh asing ini menjadi kluster Covid 19 bukan kerana mereka orang luar atau kerana mereka kurus hitam dari Rakhine. Virus tidak kenal Melayu China atau Bangla. Pendatang asing diserang Karona kerana cara hidup mereka amat subur untuk merebakkan dan menularkan pelbagai bentuk virus dan penyakit.
Apa yang jelas Karona telah membuka mata kita untuk kita berhadapan dengan satu pekara yang selama ini tidak diberi perhatian rapi. Kita bincangkan sambil lewa.
Hakikatnya kebencian terhadap yang lain – the other – yang bukan Melayu - yang bukan orang kita telah sedia ada. Virus Karona hanya aji no moto dan garam masala untuk menambah sedap kebencian yang sedia wujud.
Adalah fakta yang amat jelas semenjak pandemic diumumkan oleh Badan Kesehatan Dunia (WHO) sikap benci terhadap pendatang asing ini makin melonjak.
Parti politik garis kanan telah mengambil kesempatan. Langkah penutupan sempadan amat dialu-alukan. Menghalang pendatang haram berlabuh atau nyuludup masuk menjadi ajenda besar. Polis, tentera darat dan laut bersiap sedia mengawal sempadan dari ditembusi oleh pendatang haram yan berpotensi membawa virus Karona.
Virus Karona ini telah membuka pekong xenophobia. Ini bukan satu yang tidak baik. Untuk saya yang selalu menimbulkan persolan nasional saya mengalu-alukan terbukanya ajenda pendatang haram ini. Ini bukan kerana saya dari mazhab kanan. Tetapi saya mahu ajenda pendatang ini dibuka luas, dibincang dan dijadikan perbualan harian negara..
Saya mahu anak semua bangsa terusik dengan ajenda pendatang.
Kita tidak boleh lagi berdolak dalik mengatakan bahawa kita mengucapkan ah lan was ah lan kepada sesiapa yang ingin datang ke negara kita.. Kita tidak perlu bepura pura suka warga Afrika tetapi mereka jangan duduk dikawsan perumahan kita. Kita suka Bangla tetapi dengan satu syarat mereka tidak dibenarkan merayau-rayau berkain sarong berpegang tangan di kawsan perumahan yang kita duduk. Jika mereka duduk di Selayang atau Chow Kit atau Pudu tak ada masaah. Tapi jangan di Bangsar atau Taman Tun atau di Bukit Tungku.
Saya mencadangkan kita menjadi matador. Kita hadapi lembu asing ini – kita pegang tanduk dan kita patahkan lehernya. Kita wajib memperkasa diri dan jujur saperti Haji Hadi yang berhujah menolak warga Rohingya masuk ke Malaysia. Menurut Hadi ada diantara Si Rohingya ini yang cuba masuk untuk cari makan.
Kiita wajib memiliki hujah dan pandangan dunia yang cerah dan tuntas. Pandangan dunia yang telah digobek lumat apabila menghadapi pendatang halal dan haram. Bahaya pendatang dalam era pasca Kobid. Apa hujahnya? Tunggu minggu hadapan. (TT)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan