Khamis, 4 Jun 2020

PASCA KOBID TANAM MAKANAN






PASCA KOBID

UBAH CARA

HIDUP

UBAH NILAI

HIDUP


Putus sumber pencarian kerana PKP, anak muda balik kampung



ANAK muda yang diberhenti kerja ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tiada pilihan selain pulang ke kampung untuk bertani dan berniaga kecil-kecilan.

Seorang daripadanya Nor Azan Fitri memberitahu The Malaysian Insight, beliau membawa keluarga pulang ke kampungnya di Sungai Petani kerana bimbang tidak dapat lagi menanggung kos sara hidup tinggi di Kuala Lumpur.

Bekas pekerja hotel yang ditamatkan kontrak awal April lalu berkata, perkara itu difikirkan masak-masak oleh beliau dan diputuskan selepas berbincang dengan isteri.

“Bagi saya keputusan itu sebenarnya sukar tapi kami tiada pilihan.

“Jika terus tinggal di bandar saya akan terpaksa gunakan simpanan untuk menyara keluarga. Saya perlu bayar sewa rumah dan tampung perbelanjaan yang lain, memandangkan isteri memang tidak bekerja

“Tapi kalau di kampung, kami akan dapat berjimat sikit tidak perlu membayar sewa rumah kerana kami akan tinggal di rumah ibu bapa saya,” kata Nor Azan, 26.

Hotelnya merupakan antara perusahaan yang teruk terjejas akibat Covid-19, apabila PKP berkuatkuasa.

Banyak syarikat lain terpaksa memberhentikan atau meminta pekerja mengambil cuti tanpa gaji.

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia mendedahkan kira-kira 2.4 juta akan hilang pekerjaan berikutan kemelesetan ekonomi kesan daripada pandemik Covid-19 di negara ini.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pula merekodkan peningkatan permohonan bagi program latihan daripada kalangan kakitangan yang kehilangan kerja.

Pekerja lain juga memberitahu The Malaysian Insight, langkah terbaik untuk mengurangkan beban adalah untuk pulang ke kampung walau tiada jaminan pekerjaan di masa hadapan.

Mimi Syuhada Kamarudin, 35, berkata beliau memutuskan untuk pulang ke kampung kerana tidak lagi mampu membayar sewa.

“Saya fikirkan lebih baik saya tinggal di kampung saja boleh berjimat, lagi pun ibu bapa saya juga nakkan saya balik,” katanya

Kini Mimi mengusahakan perniagaan makanan dari rumah bersama ibu saudaranya di Kuala Terengganu untuk menjana pendapatan.

Seorang lagi pekerja, Ariff Mohamed, 32, berkata beliau memutuskan untuk pulang ke kampung dan membantu keluarganya mengusahakan sawah padi selepas kehilangan kerja pada awal Mei lalu.

Pemuda yang berasal dari Jitra Kedah itu berkata beliau memutuskan demikian sebaik saja syarikat tempat kerjanya dalam bidang pemasaran ditutup.

“Boleh dikatakan saya pulang ke kampung dengan hanya membawa pakaian dan barangan penting saja.

“Barangan rumah saya seperti peti ais, sofa, mesin basuh semuanya saya jual sebelum balik kampung selepas permohonan untuk rentas negeri diluluskan,” kata pemuda itu.

Tambah Ariff tidak mempunyai perancangan untuk kembali ke Kuala Lumpur semula biarpun selepas PKPB berakhir.

“Saya akan menetap di kampung saja dan tidak akan pulang ke KL semula. Saya tidak fikir  akan dapat pekerjaaan kerana keadaan ekonomi sekarang.

“Jadi lebih baik saya fokus menjadi pesawah bantu keluarga mengusahakan sawah padi,” katanya.

Seorang lagi, Amirah Zahid, 26, pula kini menjual popiah mini selepas diberhentikan kerja sebagai eksekutif operasi dan pentadbiran pada Mei.

Beliau merancang untuk pulang ke kampung di Terengganu kerana kos sara hidup di bandar menyebabkan beliau terpaksa menggunakan tabungan.

“Saya akan pulang ke kampung sebab utamanya saya tidak mampu hidup di bandar lagi. Saya bercadang untuk kerja di sektor pertanian sebab itu bidang pengajian saya.

“Saya hidup dengan duit simpanan sekarang tapi saya tahu ia tidak akan bertahan jadi saya mula membantu kakak saya untuk mendapatkan wang dengan menjual popiah mini dari rumah,” katanya.

Seorang pembantu khidmat pelanggan di sebuah lounge penerbangan di KLIA pula kini bercuti tanpa gaji sehingga Julai atas arahan majikannya.

Beliau berharap pekerjaannya masih wujud selepas bulan Julai, tapi buat masa ini beliau pulang ke Sarawak untuk menjimatkan apa-apa sahaja dana yang boleh disimpan.

“Tinggal dengan ibu bapa membolehkan saya menyimpan wang dan pada masa sama mendapat bantuan kewangan daripada Perkeso.

“Saya masih perlu membayar sewa bilik tetapi sekurang-kurangnya saya boleh potong perbelanjaan lain dan jimatkan wang dari Mei hingga Julai,” katanya. – 4 Jun, 2020.

TANAM MAKANAN

BUKAN SAWIT

DAN GETAH

PILIHARA 

TERNAKAN 

UNTUK DIMAKAN

KURANGKAN

KEINGINAN

MEMBELI

MENGUMPUL

SAMPAH MODEN

AMIN


Tiada ulasan:

Catat Ulasan