Khamis, 2 Julai 2020

KENAPA SAYA SOKONG TRUMP





KENAPA SAYA

SOKONG TRUMP



Ketika  Donald Trump berkempen untuk menjadi Presiden Amerika Sarekat  pada tahun 2016 dahulu saya menulis  secara terbuka bahawa saya menyokong  dan meramalkan Donald Trump akan menang. Pada 8 November 2016   Trump mengalahkan Hillary Clinton. Bilionwan bernama Donald John Trump yang tidak pernah memiliki tugas politik kecuali berniaga masuk ke Rumah Puteh untuk menjadi President Amerika Sarekat ke 45. 

Dari fakta sejarah Trump adalah satu satunya calon Republican yang berjaya medapat  undian durian runtuh dalam masa 28 tahun. Kali akhir Republican menang sademikian ialah ketika Ronald Reagan bertanding dalam tahun 1984. Trump  memenangi 2,600 wilayah  mengundi. Seramai 62 juta warga Amerika telah memberi undi kepada  Trump untuk menjadi Presiden.

Ini empat tahun dahulu.

Empat tahun kemudian ketika  dunia diserang oleh virus Karona  samenjak bulan Januari 2020 dahulu Trump  sekali lagi    berkempen  untuk mempertahankan katilnya di Rumah Puteh.  Kali ini saya masih lagi menjadi penyokong setia Trump. Kalau saya  warga Amerika saya akan berkempen untuk Trump.  Amin

Ramai tidak faham kenapa saya menyokong Donald Trump. Ramai  berpendapat  bahawa saya telah meninggalkan akidah kiri. Ada juga mengatakan bahawa saya telah murtad. Ada yang mengatakan bahawa iman kiri saya telah gocang. Kini Hishamuddin Rais  sedang mengikut ajaran sesat bernabikan Dolar.

Semua anggapan  dan andaian ini salah.  Saya memiliki hujjah tuntas lagi kompak  untuk mempertahankan Donald Trump. Garis dan pandangan saya terhadap kapitalisma, terhadap imperialisma  tidak pernah berganjak. 

Saya akui ramai orang melihat saya  sebagai lalang. Saya  akui memang tepat saya berperangai lalang. Saya lengok berlengok – ubah berubah mengikut tiupan  angin politik terkini. Tetapi akar umbi lalang yang merah dibawah tanah masih kukuh menjalar tidak berganjak mengembang meluas membuka wilayah baru. 

Sesudah  Trump  masuk ke Rumah Puteh pada akhir  tahun 2016 dahulu  media arus perdana Amerika tidak putus-putus menyerang Trump. Media arus perdana Amerika memperlihatkan  bahawa pentabiran Presiden ke 45 ini  sampa larau tanpa hujung panggal. Digambarkan oleh media bagaimana  wujudiah Trump  di Rumah Puteh ini telah menghuru hara politik Amerika.

Satu demi satu ahli kabinet Trump meletak jawatan. Pasokan Trump dalam Rumah Puteh digambarkan  sebagai kelasi dan awak awak kapal  Titanic  yang sedang terbakar.  Pembantu dan penyokong Trump meloncat keluar dan membuka pekong didada media arus perdana.

Media saperti Washington Post dan The New York Times  menjadi media induk yang tidak putus-putus menyerang Trump.  Media cetak yang lain mengikut garis  ‘abang besar ‘ yang memiliki jaringan dan hubungan intim  dengan elit politik dan elit ekonomi.

Bagitu juga stesen TV saperti CBS  (Colombia Broadcasting System),  ABC (American Broadcasting System) ,  NBC (National Broadcasting System)  atau CNN   ( Cable  News Netwok). Hanya  stesen Fox News dilihat sebagai menyokong  garis koservatif dan garis kanan politik parti Republikan dan menyokong Trump . 

Ada sebuah stesen tv bernama   One America News Network (OANN) yang mengambil garis ektrem kanan. Stesen ini menjadi penyokong setia  Trump. Stesen OANN iini akan menangkis dan melawan sesiapa saja yang menyerang  Trump.

Tahun pertama Trump di Rumah Puteh mengikut laporan media Amerika  Presiden Trump telah digambarkan sebagai sosok bangang lagi bebal. Di gambarkan bahawa Trump tidak memiliki keupayaan  fikrah untuk mentadbir Amerika – negara  kuasa ekonomi dan kuasa  tentera terkuat dalam dunia.

Dua orang professor dari Havard dan Yale Medical School telah menulis buku The Dangerous Case of Donald Trump pada tahun 2017. Buku ini mempersoalkan keupayan fikrah  Presiden Amerika. Trump boleh diresmikan ‘ gila’ mengikut padangan ramai pengamal perubatan saikoloji.

Malah ada kumpulan dan persatuan  bomoh dan pakar penyakit  jiwa mencadangkan  Presiden Trump dipereksa oleh  bomoh tabib dan pakar saraf otak untuk memastikan Trump waras. Ini kerana kunci senjata bom nuclear ada dalam beg yang sentiasa dibawa oleh Presiden Amerika ke mana-mana Presiden bergerak.

Presiden Amerika ialah Commander in Chief untuk  tentera darat dan laut. Kestabilan otak Presiden Amerika amat penting untuk keselamatan dunia. Ini hujah pakar sakit jiwa yang menentang Trump.

Lihat bagaimana Trump cuba dipecat dari kerusi Presiden atas tuduhan  mendapat ‘sokongan sulit’ dari Russia untuk menang melawan Hillary Clinton. Babak yang dipanggil Russiagate ini  digunakan  untuk memperlekeh kemenangan Trump.

Tuduhan ini terbukti palsu.

Elit budaya  dari Holywood telah bekerjasama dengan elit liberal dalam usaha  untuk memperlekeh Trump. Ini kerana mereka merasa amat kecewa calon liberal  kesayangan mereka yang bernama Hillary Clinton telah kalah.  Untuk gulungan  demokrat liberal, pendukung  garis kiri merah jambu menganggap  Hillary Clinton adalah Imam yang ditunggu- tunggu.

Tetapi kenapa Hishamuddin Rais menyokong Trump yang membawa garis politik kanan.

Adalah tepat lagi saheh bahawa  Donald Trump membawa garis kanan. Trump   adalah seorang bilionwan – menjadi kayaraya dengan jual beli harta tanah. Betul dan tepat Trump merembat tanah kerajaan dan mendirikan kondo mewah dan gedung perniagaan  untuk kaum kapitalis.

Saya menyokong Trump kerana pada hemat saya Doland Trump adalah seorang revolusineer dari garis kanan.  Trump mengajukan  kepentingan kelas kapitalis dan kepentingan kaum pemodal tanpa berselidung.  Trump adalah kapitalis yang tidak berselindung  memakai baju demokrasi, baju hak asasi manusia, baju alam sekitar untuk mengebom dan membelasah  warga dunia ketiga.

Wajib dirakamkan disini dari data statistik  bahawa Barack Obama – berkulit hitam dari parti Democrat  telah dibuktikan  lebih banyak membunuh mati dan mengebom  mati warga dunia ketiga. Obama telah mengebom Syria,  Iraq , Libya,  Afghanistan, Somalia  atau Yaman. 

Jangan terperanjat apabila saya beritahu bahawa jumlah warga dunia ketiga yang dibom  mati oleh Barack Obama selama 8 tahun menjadi Presiden telah melintasi  lebih  dari jumlah  yang mati dibunuh oleh Bush dua beranak. Ini bukan lebong. Ini data dari Jabatan Pertahanan Amerika.

Lihat bagimana licik kaum kapitalis  dan kaum pemodal memilih budak itam  dari Parti Democrat untuk menjadi budak  suruhan yang menjaga kepentinagn harta kekayaan mereka. Lihat betapa bijaknya Rothschild, Rockefeller, Walton atau Koch  berselidungan dibelakang Presiden berkulit hitam.

Ini perancangan  bijak  yang dikemudikan oleh kaum  Zionis-Anglo-Amerika yang menjadi juragan dan jurumudi politik dan ekonomi bukan sahaja Amerika malah politik dan ekonomi dunia kapitalis.

Justeru, dari pandangan kiri tingkah laku dan perbuatan Trump ini telah, sedang dan akan menajamkan lagi kontradiksi.  Kontradiski adalah kunci semua bentuk pergerakan dalam alam samesta ini. Kontrdikasi adalah penggerak dunia. Dari pandangan kiri yang saintifik  - lagi tajam kontradiksi lagi cepat perubahan berlaku. 

Penajaman kondradiski  amat diperlukan untuk berlakunya satu perubahan dunia. Melalui  kacau bilau yang diakibatkan oleh Trump ini akan membuka peluang yang luas untuk menabur kesedaran kelas. Perangai dan watak Trump ini adalah kitab  atau kuliah terbaik tentang  apa dia Presiden Amerika dan apa sabenarnya dasar dan politik imperialis Amerika.

Bayangkan jika Hillary menjadi Presiden maka kaum feminist akan  berbangga. Jika Hillary mengebom Baghdad  maka akan muncul kumpulan  kaum feminist yang akan mengalu-alukan tindakan Hillary. Ini  sama saperti tindakan Hillary membunuh Muammar Gadaffi pada 20 Oktober 2011.  Hillary yang hanya Setiausaha Negara telah diberi tepokan kerana berjaya  mengebom Libya dan  membunuh Gadaffi.

Kaum liberal  juga akan ternganga mulut kerana gumbira dan kagum melihat seorang perempuan diangkat menjadi Presiden.  Apa sahaja yang dilakukan oleh perempuan yang bernama Hillary ini akan diangap hebat dan menakjubkan walau pun tindakan membunuh dan mengebom negara dunia ketiga.

Hasilnya - kontradiksi kebencian kepada kaum elit dan kaum kapitalis terbantut. Orang ramai akan menaruh harapan kepada politik liberal. Revolusi akan tertangguh.

Doland Trump tidak berselidung. Dia benci kepada pendatang haram. Dia mahu menghalau pendatang haram keluar dari Amerika. Dia mahu  ‘ America Great Again’. Dia mahu kilang Amerika membuat barangan bukan di China atau di Vietam tapi di  Atlanta atau di Kansas. 

Trump tidak berlapik dalam niat dan cita-cita untuk menjadikan  kaum kapitalis Amerika kaya raya. Trump menolak perjanjian udara bersih alam sekitar. Ini  pada pandangan Trump akan merugikan kaum pemodal. Trump juga mahu menggali dan menebok hutan dara dan tanah simpanan Amerika untuk merembat minyak dan bahan galian.

Ini sifat kapitalis yang sabenar.    Ini watak kapitalisma – mencari keuntungan maksima.  Biasanya kapitalisma  akan  berselindung memakai pelbagai jubah. Jika  merompak hutan untuk mendirikan kondo mewah maka akan dihebohkan dengan niat  – membangun  bersama  rakyat. JIka balak mahu dirompak akan  dikatakan berkongsi kekayaan. Jika kilang toxic hendak dibuka maka akan didodoikan dengan slogan pekerjaan untuk  semua.

Tetapi Trump tidak berselindung – kapitalis melabur kerana hendak untung. Trump menunjukan sifat  semula jadi dan watak kapitalisma. Wujudiah Trump di Rumah Puteh adalah kuliah terbaik tentang apa itu kapitalisma, apa itu imperialisma dan apa itu rasisma. Amin.

Untuk memahami siapa Trump mari kita buat bandingan dengan  apa yang berlaku di Malaysia. Tanpa Najib dan Rosmah, tanpa watak Rosmah yang gila harta, tanpa Najib yang gila dinar dan dollar  maka mustahil  United Malays  National Organisation boleh disingkir.   Rompakan ganas duit 1MDB tanpa topeng yang dipakai oleh Najib telah menyedarkan rakyat Malaysia. Bayangkan jika Najib ini alim, Rosmah warak dan setiap kali Najib berucap akan  terhampur ayat ayat suci. Maka kontradiksi antara rakyat akan tumpul. Kemarahan rakyat tidak merebak. Perubahan akan  lambat sampai.

Kaum pemodal  dan para kapitalis  Amerika  merasa cuak dengan Donald Trump. Bukan kerana Trump tidak membawa untung kepada mereka. Mereka takut kerana Trump sedang mengelodak  dan mengacau kaum buruh , kaum miskin berkulit puteh di Amerika.  Trump menjanjikn pekerjaan kepada mereka.  Trump menaikkan semangat  mereka. Walhal kaum kapitalis Amerika tak ambil pot tentang anak watan Amerika. Untuk kaum kapitalis rukun utama ialah untung. Kalau niaga untung di Vietnam maka mereka berpindah ke Vietnam bukan membuka kilang di Alabama.  Pekara ini mengerunkan  pemodal Amerika.


Jangan sesekali salah baca – Parti Democrat dan parti Republican adalah parti yang menyokong sistem ekonomi kapitalis.   Dua parti ini adalah Pepsi Cola dan Coca Cola. Susah hendak dibezakan.   Dua dua milik kaum kapitalis. Dua dua memilihara kepentingan kaum pemodal. Dua dua parti ini mendapat dana berkempen dari kaum pemodal.

Saya berharap Trump akan menang lagi. Amerika perlu dihuru harakan lagi. Dunia perlu berhadapan dengan Trump selama 4 tahun lagi. Kapitalisma Trump yang revolusineer akan mencorak dunia.

Jika menang maka Trump akan berhadapan dengan China Merah. Negara China Merah ini sedang mengganas  untuk menggantikan Amerika. Untuk warga negara dunia ketiga  perlawanan Amerika dan China Merah ini akan menajamkan lagi kontradiksi. 

Jangan silap baca ini bukan pertempuran  antara sistem kapitalis dengn sistem sosialis. Pertempuran Amerika Sarekat dengan China Merah adalah perebutan punca ekonomi. Dua negara ini mengamalkan sistem ekonomi kapitalis.  Amerika kuasa imperialis lama. China Merah kuasa imperialis baru muncul.  China Merah dan Amerika adalah  Pepsi dan Coke. Amin. (TT)



2 ulasan:

  1. why are you always stupid as you look

    BalasPadam
  2. Oit! Sakai! Bila nak sambung siri merakam sejarah langkah sheraton? Nak juga tau peranan kau dlm langkah kudeta tu.

    BalasPadam