CINTA JO
DAN SALLY
Aku rasa amat tepat lagi sesuai aku mulakan surah awal ini dengan kesah kesah cinta. Jantan cinta dengan betina dan betina cinta jantan. Kesah cinta ini semua orang tahu. Mustahil ada sesiapa yang tak pernah jatuh cinta. Perasaan disayangi dan menyayangi ini adalah keperluan hidup.
Bayangkan betapa indahnya ketika bangun pagi kita tersedar bahawa ada orang yang sayang pada kita. Pagi menjadi bagitu indah walau pun saban malam tidur seorang diri . Ah ! Betapa sedihnya hidup ini - makan nasi goreng kampong di Warung Mek Ngoh di Pantai Dalam saorang diri - tak ada teman yang menyayangi.
Aku rasa Tok Fakir di gunung Bora Bora mahu pun Zen Master ditepi Gunung Fuji perlu kepada kaseh sayang. Situa Rumi menulis shaer cinta sufi berkitab-kitab. Saadi khayal dengan bait-bait cinta yang tidak berkesudahan. Cinta dan kaseh sayang inilah yang menggerakkan dunia ini.
Cinta yang agong ialah cinta yang gagal.
Aku suka berkesah. Aku telah kenal dengan kesah cinta ini seawal ingatan aku. Sebelum tahu membaca dan menulis aku dah kenal dengan surah cinta. Semasa aku membesar berlabon adalah anyaman hidup. Tak berborak, tak bersembang, tidak bersurah, tak berceloteh atau bercerita tentang itu dan ini maknanya kita tidak hidup. Setiap hari kita bersurah. Setiap hari kita bercerita.
Ahli falsafah Peranchis Rene Descartes berkata : Aku berfikir maka aku wujud. Hishamuddin Rais kata : Aku berlabon maka aku wujud.
“ Kau tau tak?... Kau dah dongar? Den dongar dari… Ayah Ulung yang cakap….. Mak Cik Bibah bagi tahu omak den…” Aku dibesarkan oleh ayat-ayat ini.Tak sudah sudah ada saje cerita. Sambung bersambung. Tokok bertambah.
Sekarang bersurah, berlabon, berceloteh atau bersembang telah diganti dengan membawang. Yang muda untuk dilihat cool menggunakan ngopi atau ngeteh. Hanya bunyi lain isinya masih sama – berlabon.
Kesahnya bagini: Ketika itu aku baru masuk sekolah menegah – dalam tingkatan satu. Dari kelas terbawah ini kami selalu melihat abang dan kakak dalam tingkatan tinggi saperti dewa dan dewi. Mereka menjadi rujukan. Mereka menjadi ikutan. Remos rambut mereka, tali pinggang mereka, beg sekolah mereka – semua jadi ikutan. Kalau mampu nak beli basikal macam basikal mereka.
Ketika ini kami semua sudah akil baligh. Dah kenal jantan betina. Tapi belum pernah kena cium atau bercumbu jauh sekali pernah tidur sebantal. Dizaman aku membesar kami tak tahu pun apa itu khalwat. Kami penganut Islam Budaya yang tegar. Kami Melayu bukan Arab.
Cerita ini tentang seorang murid lelaki benama Jo dari tingkatan lima dikesahkan telah jatuh cinta dengan Salbiah seorang murid perempuan dalam tingkatan 4. Kawan-kawan panggil Salbiah - Sally. Jo dan Sally sedang bercinta. Ramai murid murid lain tahu. Cik Gu juga pasti ada yang tahu.
Jo ini ahli sukan sekolah. Seorang pelari jarak dekat yang pantas. Pemain pasokan bola sepak sekolah. Saban tahun si Jo ini akan mendapat hadiah sukan sekolah. Sally pula ‘ budak pekan’ ertinya duduk dalam pekan Kuala Klawang. Budak pekan ini - kerana itu nama menjadi Sally - dilihat ranggi pandai melawa, berfeshen dan bergetah.
Ayah Sally pegawai PWD ( Public Works Department) sebelum di Melayukan untuk menjadi JKR (Jabatan Kerja Raya). Di Kuala Klawang semua orang kenal dengan Mat Din Pwd . Keluarga Sally tinggal di rumah kerajaan dipinggir pekan. Sally ini ada seorang abang - aku panggil Alin yang juga pemain bola yang baik saperti ayahnya. Alin mungkin sebaya dengan Jo tapi bukan dari sekolah yang sama. Emak Sally dan Alin dikenali sebagai Cik Tijah. Berpinggang ramping, berambut rambut keriting macam lagu Nona Singapura nyanyian R. Azmi. Maklumlah orang pekan. Keluarga ini bukan orang Jelebu. Mat Din PWD dihantar untuk bertugas ke Jelebu.
Ada beberapa kali aku terserempak dengan keluarga empat beranak ini. Sebagai orang pekan diwaktu petang aku lihat mereka berjalan-jalan di taman bunga disebelah padang bola Kuala Klawang. Mereka aku lihat keluarga yang bahagia. Untuk aku bahagia ialah - rumah ada api leterik dan ada air paip. Rumah dekat sekolah. Tak macam aku atau Jo – mandi air perigi dan pakai lampu pelita. Saban pagi wajib berbasikal 3 batu untuk sampai ke sekolah.
Beberapa kali aku juga ternampak Si Jo ini bermain bola dengan Alin. Aku juga pernah ternampak Mat Din PWD menjadi pengadil bola sepak dimana Jo dan Alin dalam satu pasukan. Aku ternampak Sally dan ibunya duduk dikerusi batu ditepi pandang sebagai penonton.
Pada hemat aku pada petang di padang bola itu Cik Tijah sedang memerhatikan suaminya, anaknya dan bakal menantu sedang beraksi di padang bola. Sang Suami menjadi pengadil, anak menjadi penjaga gol dan bakal menantu menjadi penyerang. Puluhan mata penonton sedang memerhati. Pastilah ibu ini amat berbagga. Pada aku inilah contoh keluarga bahagia.
Salepas perlawanan bola petang itu ada beberapa kali aku ternampak Sally mengheret basikal Jo diiringgi oleh Jo ditepi padang bola tak jauh dari rumah Sally. Dalam hati aku berangan-angan jika aku bercinta aku berharap kekasih aku akan sama mengheret basikal aku. Aduh! Indahnya hidup ini.
Tetiba satu pagi dalam kelas aku terdengar ‘ …kau tahu tak ayah Alin kahwin lagi…. ‘ Zul membuka berita.
‘Din Pwd kahwin lagi satu…’
Disurahkan ayah Alin telah berkahwin dengan saorang perempun dari Sungai Buluh. Ini Sungai Buluh Simpang Durian Jelebu bukan Sungai Buluh Selangor. Aku pun tidak dapat penjelasan Din Pwd kahwin anak dara atau kahwin janda.
‘ Jauhlah Sungai Buluh tu…’ Aku memberi pandangan.
‘ Allaaaa… Din Pwd ada motosikal… sejam sampailah…’ Zul memberi penjelasan.
Zul kawan sakelas – juga budak pekan. Zul anak pegawai pejabat daerah Jelebu. Zul jiran kepada Din Pwd. Rumah Zul hanya beberapa pintu jaraknya dari rumah Sally.
Waktu berjalan. Masa bergerak. Aku terus berbasikal ke sekolah. Dari tingkatan satu aku masuk ke tingkatan dua kemudian ke tingkatan tiga. Jo dan Sally sudah meninggalakan sekolah. Jo mungkin sedang mencari kerja. Pasukan bola sekolah berganti baru. Zul menjadi kapten pasokan bola sekolah.
Pada satu pagi sebelum loceng pagi berbunyi aku dengar Zul membawa berita. “ Kau tau tak… malam tadi… ‘ Zul bercerita seolah-olah hendak membuka surah hantu dengan saspen. Aku memasang telinga. Aku memang suka mendengar surah terutama cerita hantu. Seram menakutkan kecut telor dalam seluar tapi seronok.
‘Ada apa?...”
‘Ada apa?... Malam tadi Jo kena tangkap…?
‘Mata-mata ke?’
Zul ketawa. ‘ Bukan Polis … Jo di tangkap oleh Din Pwd…’ Zul ketawa lagi.
‘ Jo sedang buat apa dengan Sally….dalam bilik ke…’ Aku gatal ingin tahu.
‘Jo bukan dengan Sally… Jo dengan emak Sally..’ Zul memberi kata putus. Ketawa. Kemudian memandang tepat pada muka aku.
Aku yang mendengar tercengang. Emak dengan boyfriend anak. Kesah macam ini tak pernah aku dengar. Betul ke cerita Zul ini.
‘Bukan itu saja…Din Pwd telah melaung laungkan dan membangunkan jiran tetangga dan memberi tahu bahawa isterinya sedang bergomol dengan jantan…’
‘ Hoi…sapa nak tengok bini aku…betina sundal ini dengan budak jantan ni…’ Zul mengulangi dialok Din Pwd.
Aku hampir tak percaya apa yang disurahkan oleh Zul. Mustahil Cik Tijah jatuh cinta dengan Jo. Apa akan terjadi pada Sally.
Sehari kemudian kesah Din Pwd dan Jo heboh. Kuala Klawang pekan kecil. Kesah macam ini merebak macam jerami terbakar. Pasti ada tokok tambah dicampur rempah rampai garam masala bersama aji no moto untuk menyedapkan cerita.
Dari dalam bilik menjadi atas katil. Dari berbaju kini menjadi berbogel.
Dikesahkan bahawa Din Pwd telah lama memerhatikan Jo yang kerap datang ke rumah untuk bertemu Sally. Dari intipan Sang Suami rupa rupanya Sang Isteri telah memasang hati pada anak muda. Maka Din Pwd buat perangkap. Dia menghilang ke rumah bini muda. Sabenarnya dia menunggu Jo berbasikal datang ke rumahnya.
Pada pagi ketika Zul membuka cerita disekolah kepada aku sabenarnya Jo telah menghilangkan diri. Entah ikut jalan mana Jo meninggalkan Jelebu. Ikut Simpang Pertang ke arah Kuala Pilah atau ikut pekan Kuala Klawang ke arah Seremban. Di kampong tak ada siapa yang tahu kemana Jo menghilangkan diri.
Dua puluh tahun aku berkelana apabila aku pulang dari merantau aku teringat kesah Jo dan Sally. Kuala Klawang masih Kuala Klawang. Rumah kerajaan dimana Din Pwd dan Zul tinggal telah dirobohkan. Sekolah aku - Sekolah Menengah Undang Jelebu - masih wujud. Kini jalan ke sekolah aku dinamakan Jalan Ghurkha. Aku difahamkan Zul kawan saderjah aku akhirnya kena ‘komat Jolobu ‘ berkahwin dengan anak gadis Jelebu.
Kampong Jo tidak jauh dari kampong aku. Sampai hari ini aku tak mendengar khabar berita dimana Jo menghilang. Mungkin tak ada siapa lagi di Jelebu yang ingat dengan Din Pwd , dengan Sally atau dengan Cik Tijah. Ini kesah benar dari zaman berlalu - hanya nama-nama yang terlibat telah aku tukar.
Aku merakamkan kembali kesah benar in kerana aku masih memasang niat untuk mengheret basikal bersama kekasih saperti aku ternampak Sally mengheret basikal Jo disatu masa yang lama dulu. Amin. (TT)
DISIARKAN DALAM LAMAN
MALAYSIA NOW
Bro Isham,
BalasPadamIs this short video clip about Kisah Cinta Sesama Jenis Lebai?
Is PLU = People Like Ustaz?
Is LGBT = LEBAI-GBT?
https://twitter.com/melayu_baru/status/1307533784586153988?s=20