Ahad, 25 Oktober 2020

KHALAS





KHALAS

Agong tidak setuju darurat


YANG di-Pertuan Agong tidak bersetuju dengan permohonan kerajaan Muhyiddin Yassin untuk pengisytiharan darurat bagi memerangi pandemik Covid-19, kata Istana Negara.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagaimanapun bertitah mahu ahli politik berhenti segera daripada main politik, sebaliknya menyeru semua pihak agar bersama-sama memainkan peranan masing-masing membantu Malaysia mengharungi masa sukar ini.

“Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia.

“Kendatipun begitu, Seri Paduka Baginda ingin mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politicking yang boleh menggangu kestabilan pemerintahan negara,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Raja-Raja Melayu selesai mengadakan sidang khas di Istana Negara, petang ini.

Dalam kenyataannya, Ahmad Fadil mengesahkan Muhyiddin semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Jumaat lalu telah mempersembahkan permohonan untuk baginda mengeluarkan satu pengisytiharan darurat untuk memerangi Covid-19.

Permohonan itu dibuat untuk Al-Sultan Abdullah mengumumkan Darurat mengikut Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan dan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) di bawah Perkara 150(2B).

“Setelah memperhalusi permohonan dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu dan melihat situasi yang sedang dihadapi oleh negara, Al-Sultan Abdullah merasakan kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan.

“Seri Paduka Baginda amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaanbagi membendung gejala wabak Covid-19 ini dari terus merebak,” kata Ahmad Fadil.

Kementerian Kesihatan hari ini mengumumkan pertambahan 823 kes baharu Covid-19, selepas rekod kes tertinggi 1,228 dalam sehari yang dicatatkan semalam.

Malaysia kini mencatatkan keseluruhan 26,565 kes, sejak wabak itu mula dikesan masuk di negara ini pada hujung Januari 2020.

“Al-Sultan Abdullah amat prihatin terhadap kegelisahan seluruh rakyat ekoran daripada kenaikan mendadak beberapa kluster baharu dan kes positif harian Covid-19 di negara ini,” kata Ahmad Fadil.

Baginda bagaimanapun yakin “semangat perpaduan dan juang yang tinggi” yang ada pada rakyat Malaysia akan jadi kekuatan untuk penularan wabak ini diperangi, katanya.

Jumaat lalu media melaporkan Jemaah Menteri dalam mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh Muhyiddin di Putrajaya bersetuju untuk mencadangkan perintah darurat bagi menangani pandemik Covid-19. – 25 Oktober, 2020.


AMIN



Tiada ulasan:

Catat Ulasan