Isnin, 26 Oktober 2020

PILIHAN RAYA DAN KOBID






PILIHAN RAYA 

DAN KOBID

 

Rakyat Amerika Sarekat akan memilih siapa yang akan menjadi  penghuni Rumah Puteh  dalam masa tak sampai dua minggu lagi.  Selasa 3 November 2020  akan datang lebih dari 300++ juta warga Amerika akan  keluar mengundi. 

Ketika  tulisan ini diketik lebih dari 30 juta warga Amerika telah menjalankan undi awal minggu lalu. Di Amerika undi awal dibenarkan dengan sebab musabab yang munasabah di 33  wilayah. Undi awal dan pos  juga dilakukan oleh  warga Amerika  yang berada diluar negara. Pada tahun 2016  36.6 peratus adalah pengundi awal.

Kali ini undi awal mungkin bertambah. Mengundi pada Selasa  3 November mungkin akan kurang. Ramai pengundi mungkin enggan untuk beratur  panjang risau jangkitan Kobid. Justeru mengundi awal atau melalui pos menjadi pilihan.

Donald Trump Presiden ke 45 Amerika sedang diduga  - apakah   sosok 74 tahun ini boleh bertahan di Rumah Puteh.  Berjayakah  Joe Biden  77 tahun  Naib Presiden  kepada Obama naik  taraf setakok untuk menjadi Presiden ke 46. Semua ditentukan dalam masa dua minggu ini.

Saya telah menulis tentang siapa penyokong Trumps yang sanggup  mengangkat senjata  untuk memastikan Trump terus  tinggal di Rumah Puteh.  Kali ini saya hendak membuktikan bahawa  Biden juga mempunyai penyokong yang juga sanggup mengangkat  senjata untuk memastikan  Trump keluar dari Rumah Puteh. 

Biden  dari Parti Democrat saperti Hillary Clinton disokong oleh media arus perdana. Tuan tuan pemilik media dan juga para wartawan  yang kenali sebgai ‘presstitute’ menyokong Biden.  Satu kumpulan elit politik  dan elit ekonomi Amerika juga memberi sokongan kuat.  Warga Amerika yang berfahaman  sekular, liberal  dan  demokrat adalah pengundi setia parti  Biden – Democratic Party.  Mereka merasa  selama 4 tahun ini keselesaan hidup mereka terganggu.  

Ada kumpulan kaum kapitalis multinasioal   terganggu dalam projek membuat  kekayaan. Bukan kerana Trump  membawa garis kiri  a la garis sosialis Bernie Senders. Jauh sekali.  Trump menuduh kapitalis jenis mereka  tidak patriotic kerana menjualkan kepentingan Amerika  kepada China Merah.  Atau membuka kilang dan melabur diluar negara.

Media liberal arus perdana diserang oleh Trump secara terbuka. Media ini dituduh  berbohong kepada rakyat.  Secara terbuka  Trump menuduh saluran tv berita CNN (Cables News Network ) sebagai – suara bohong. Lembaga daulah saperti CIA – (Central Intelligence Agency) dan FBI (Federal Bureau of Investigation ) tidak terlepas dari serangan  Trump. Selama  ini lembaga-lembaga ini  hidup nyaman ‘selesa’  membuat porak peranda didalam dan diluar Amerika kerana  tidak ada Presiden  yang berani berkata benar  atau mengkritik  terutama terhadap FBI atau CIA.

Jika ada Presiden  yang berani bersuara saperti J.F Kennedy maka sosok itu akan ‘di jimatkan ‘. Saya memungut  ‘jimat’ kata-kata  dari Akuan Bersumpah Azilah ketika   dia  menerima arahan dari Najib untuk  menembak Altantuya .

Memang ada rancangan untuk ‘menjimatkan’  Trump.  Melalui mahkamah. Melalui media. Melalui skandal sex.  Mahkamah gagal. Serangan media menjadi basi.  Skandal sex Trumps yang diheboh-hebohkan  kelihatan tidak ke mana mana. Kelihatan Trump agak kebal. 
Kaum  intelektual, ahli akedemia dan para budayawan  melihat Trump sebagai badut yang memperkecilkan fikrah mereka. Mereka yang selama  ini bangga dengan keintelektualan diri  kini diperlekeh oleh Trump. Mereka  ketawa dilawakkan oleh Trump  untuk dilihat  lebih kangkong dari professor kangkong.

Awas dan waspada Biden juga memiliki penyokong dari  massa rakyat. Mereka  juga   bersedia mengangkat senjata  untuk memastikan Trump keluar dari Rumah Puteh.  Massa rakyat ini terdiri dari dua kumpulan.

Pertama - kumpulan kulit hitam yang kini sedang  turun ke jalan raya berdemo   membantah keganasan polis. Kumpulan  kulit hitam ini sedang berkumpul dibawah  payung Black Lives Matter (BLM) 

Kedua – Antifa  - kumpulan  membawa garis kiri yang radikal. Nama Antifa  ini adalah singkatan dari   Antifaschistische Aktion (1932–1933)  berasal dari German. Dari segi sejarah  ini  satu gerakan bawah tanah rakyat German yang menentang  fahaman Nazi Hitler.

Di Amerika Antifa banyak dianggotai oleh anak muda berkulit puteh  yang menentang puak kanan – kaum fasis – fahaman rasis, fahaman anti LGBT dan kumpulan  extremis kanan rasis saperti  Ku Klax Klan - Ketuanan Kulit Puteh.  Antifa di Amerika ini bergerak secara bebas tidak memiliki struktur  kepimpinan. Yang menyatukan  anak anak muda ini ialah ideloji anti garis politik kanan dan anti kapitalis.

Semenjak Trump berkuasa Antifa semakin aktif. Dalam masa yang sama Antifa telah dituduh oleh Trump sebagai salah satu kumpulan yang akan memusnahkan Amerika. Trump mahu Antifa disenaraikan sebagai kumpulan  pengganas dalam negara sama saperti Al-Qeada – kumpulan pengganas dari luar.  FBI  tidak pula mengumumaan organisasi atau kumpulan apa yang telah disenaraikan.

Idealogi kiri anti fasis Antifa ini membolehkan  anak anak muda berkulit puteh ini menggalang united front – barisan bersatu – dengan kumpulan kulit hitam BLM .

Justeru kita lihat kerjasama BLM dan Antifa  semakin melonjak sesudah  kematian  George Floyd – jantan hitam. George Floyd telah ditekan leher hingga tak bernafas oleh  polis pada  25 Mei 2010 di Minneapolis.  Isu George Floyd  ini menjadi belereng yang membakar api kemarahan  yang terpendam terhadap Trump. 

Maka kita melihat semenjak bulan Mei yang lalu dari kota ke kota warga Amerika kulit hitam telah turun  mengganas , merampok dan membakar Gedung gendung perniagaan.  

Tunjuk perasaan anti rasisma  BLM iini merebak secara global. Demo  genre BLM  berjalan  United Kingdom,  ke Paris , ke Berlin dan ke Melbourne.

Dimana ada demo BLM  -  majoriti yang turun menyokong adalah  warga   berkulit hitam. Dalam masa yang sama  kita akan terlihat satu kumpulan anak muda berkulit puteh berdemo sama. Mereka ini berkemungkinan dari Antifa.  Malah bendera dan slogan Antifa dilihat jelas disetiap demo BLM.

Mengikut data akhbar Washington Post  pada tahun 2016 – seramai lebih dari 250 warga kulit hitam telah mati dibunuh polis. Statistik  Washington Post terkini pada 20 Oktober 2020  menunjukkan seramai   1003 warga Amerika anak semua bangsa telah mati ditembak polis.

Hakikatnya Amerika dalam ketegangan. Pertempuran kulit hitam dengan kulit puteh sedang berjalan . Pertembungan  idealoji anti rasisma  sedang menular. Gerakan kiri anti kapitalisma  semakin merebak.

Suasana tengang ini ditambah tengang oleh Covid-19. Ketika tulisan ini  ditulis Jumaat 23 Oktober 2020  data  Badan Kesihatan Bangsa Bersatu (WHO) menunjukkan seramai 8,184,788  warga Amerika telah diserang Kobid. Seramai 219,497 telah tewas. Angka masih belum kendur.

Pandemik ini bukan sahaja membunuh  warga Amerika malah sedang menghancurkan sistem ekonomi Amerika. Negara kapitalis terunggul terkuat terulung dalam dunia  sedang nazak.
Data pada 14 Mei 2020 dari akhbar The Guardian London melaporkan  36 juta warga Amerika menganggur.  Seramai 3 juta  baru mendaftar   untuk memohon bantuan kebajikkan kerana  hilang kerja. 

Inilah suasana  latar  belakang politik  dalaman Amerika ketika pemilihan Presiden tahun 2020.  Saya menggunakan  konsep politik dalaman kerana  belum mengambil kira suasana politik luaran  dimana  politik , ekonomi dan tentera Amerika terlibat secara langsung. Atau keterlibatan kuasa imperial Amerika  secara tidak langsung. 

Ketegangan Amerika dengan China Merah.  Sikap Trump terhadap Iran. Sokongan teguh Trump terhadap Israel.  Dasar luar saperti ini mungkin dilihat tidak menonjol untuk pengundi. Tetapi untuk kaum pemodal antarabangsa dasar luar Amerika amat penting. 

Dasar luar ini akan menjemput sokongan atau penolakan kaum pemodal yang rukun imannya ialah keuntungan maksima. 

Donald Trump sedang kuat berkempen  melaungan rukun iman baru untuk pengundi Amerika. Slogannya ialah - America First – Make America Great Again - Dahulukan Amerika Jadikan Amerika Jaguh sekali lagi.

Suhu politik  hangat yang sedang   membakar Amerika sedang  menjemput perang saudara.  Trump telah bersuara bahawa akan berlaku penipuan dalam undi pos. Malah Trump bila ditanya oleh media adakah dia akan  ‘concede’ atau ‘mengaku kalah’ jika undi membuktikan Biden menang. Trump tidak mahu menjawab.

Parti Republican dan Parti Democrat kini sedang menyusun satu pasokan peguam yang terbaik di Amerika. Kedua dua parti politik sedang   bersedia dengan hujah hukam hakam dalam suasana politk  yang tidak menentu. 

Malah desas desus kedengaran jika Biden menang dan Trump berdegil tidak mahu mengaku kalah maka soldadu Amerika akan datang ke Rumah Puteh.

Jeng jeng jeng. Pada Selasa 20 Oktober 2020 yang lalu akhbar The Guardian London telah melaporkan seramai 110,000 warga Amerika di Carlifornia telah membeli senjata – pistol dan senapang. Seramai 47,000  adalah pembeli kali pertama.

Semenjak bulan March tahun ini  mengikut statistik FBI seramai 5 juta pembeli baru  warga di Amerika telah membeli senjata. 
Mengikut laporan The Guardian pemangkin kegilaan ini ialah suasana politik yang tidak menentu,  ekonomi semakin  punah dan pandemic Cobid-19. Suasana ini sedang  dialami bukan hanya di Amerika malah  di United Kingdom, di Peranchis, di Australia  suasana sama sedang  berlaku. 

Selasa 3 November 2020 masih belum jelas. Ketika tulisan ini diketik Biden mengatasi Trump 17%. Pada tahun 2016 dahulu Hillary Clinton juga  mengatasi Trump 16%.   Tapi Trump menang. Bolehkan Trump melakukan ini sekali lagi.

Dalam politik Amerika ada October Surprise – Terperanjat Oktober .  Apa dia yang memeranjatkan pengundi Amerika pada bulan Oktober ini? Tunggu minggu hadapan. (TT)




Tiada ulasan:

Catat Ulasan