Selasa, 10 November 2020

SALEH BEN JONED 1941-2020




 SALEH BEN JONED

1941-2020

Tahun 1973/74 aku bercuti  dari belajar  selama setahun. Aku menjadi aktivis pelajar  sepenuh masa. Aku dibenarkan bercuti oleh Universiti Malaya (UM) kerana aku   telah diberi kepercayaan untuk menjadi Setiausaha Agong Persatuan Mahasiswa Universiti Malay (PMUM).

Satu petang di Rumah Pesatuan untuk kali pertama aku berjumpa Saleh  Ben Joned. Dia datang membawa satu tulisan meminta dimasukan ke dalam Mahasiswa Negara – akhar  PMUM.  Aku lupa  apa terjadi dengan tulisan itu.

Sebenarnya aku telah mendengar berita tentang sosok ini. Sosok ini baru sampai dari Australia. Dia  baru masuk ke Universiti Malaya untuk jadi guru di Jabatan  Inggeris. Aku mendengar soh seh soh seh yang Mamat ini suka  memakai  baju hitam dan  berterompah kayu bila datang mengajar.

Pelajar di Jabatan Inggeris menjadi gempar kerana ada Mat Cool yang  counter culture  mengajar sastera Inggeris. Budaya hippie sedang dilihat cool. Memakai kasut kulit dianggap ‘apiah atau pakaian Mat Belia’. Berkaki ayam lebih cool. 

Di UM aku sendiri  tak pernah ada kasut. Aku  memakai selipari Jepun. Kalau ada mesyuarat resmi aku pinjam kasut kawan. 

Petang itu bila kami pertama berkenalan  memang saheh Saleh Ben Joned berbaju hitam. Tapi tak berterompah – dia memakai  selipar Jepun.

Lalu kami bersembang. Saleh  bersurah   tentang Australia, tentang  Tasmania  dan tentang gerakan pelajar di Australia menentang Parang Vietnam. Saleh  menyimpang juga ke gerakan pelajar Malaysia di  Hobart  dan  di Sydney. 

‘ Aku ada terima majalah  dan akhbar   dari  persatuan pelajar Malaysia dari Australia. Dihantar  ke PMUM. Pernah sekali aku baca tulisan  Malchin.’

‘ Apa ? Kau pernah baca?  Ha ha ha… Melayu China India ..itu sama pena aku… ha ha ha…’

Kali kedua kami bertemu di simpang jalan nak masuk ke Rumah Persatuan ditepi Fakulti Pertanian. Aku sedang menapak nak ke Dewan Tunku Chanselor. Saleh memandu kereta sport  MG hijau tak ada atap. Seorang Minah Saleh duduk disebelah. Dia memperlahankan kereta hingga aku dapat  bertanya.

‘ Nak ke mana? ‘

‘ Nak pergi berjubur…..’  Saleh  ketawa. Minah Saleh tersenyum. Pasti Minah ini  tak faham kenapa kami ketawa. Aku ketawa kerana cuaca agak panas untuk berjubur dalam kereta. Petang itu aku senang hati bertemu sosok  yang memberi jawapan jujur.

Kemudian  satu petang aku dengar berita tentang  Saleh telah terkencing di Dewan Bahasa dan Pustaka.  Mengikut surah yang aku  dengar  Saleh ‘meluat’ dengan majlis yang sedang berjalan pada petang itu. Majlis dimana para sasterawan  sedang mengada-ngada.

Dimana  Saleh terkencing dan apa yang Saleh kencing aku tak ambil pot. Kerana aku sendiri pun selalu terkencing merata-rata. Pada aku terkencing  permintaan natural badan. Justeru tak perlu ditahan tahan.

Babak Saleh terkencing ini berlaku tahun 1974. Pada tahun 2020 ini  satelah aku tahu sikit-sikit tentang seni maka ‘Kencing Saleh ‘ ini akan aku tarkrifkan sebagai  ‘performing art’. Bayangkan betapa hebatnya  ‘Kencing Saleh’ hingga ke tahun 2020 masih diperkatakan. Ini lah seni dari seniman tulin namanya.

Pada tahun 1974  ekonomi Tanah Melayu masih dalam genggaman  kuasa kolonial Inggeris. Parti    United Malays National Organisation  yang menetas dalam reban kuasa   kolonial Inggeris sedang diserang oleh tentera pembebasan Rakyat Malaya dibawah Parti Komunis Malaya (PKM ) dari sempadan Siam.  Perang Vietnam sedang membara. Asia Tenggara bergolak. Maka Tuan  Inggeris datang membantu membuat  perang saraf anti garis  gerakan pembebasan PKM.

Justeru filem Paper Tiger membuat penggambaran  di Tanah Melayu. Saleh berlakon menjadi pemimpin gerila PKM yang mengganas. Saleh berlakun  dengan David Niven dan Toshiro Mifune dua actor tersohor.

Pada 9 Disember 1974  aku menghilangkan diri. Polis mencari aku. Akhbar Utusan meletakkan muka aku di muka depan akhbar bila aku gagal datang ke Mahkamah di Johor Baru. 

Aku  bergerak dibawah tanah. Pindah dari satu tempat ke satu tempat.  Salah satu tempat aku menumpang sebelum aku mencelah ke sempadan Siam ialah di rumah  Usman Awang a.k.a Tongkat Waran. Rumah Tongkat di daerah kelas menengah Melayu di Kampong Tunku.

Aku masih ingat lagi satu petang  Tongkat baru pulang dari Dewan. Ini bulan Jun 1975. Bulan ini aku ingat kerana ianya  sebulan   sebelum hari jadi  Tongkat sampai. Ketika ini Tongkat bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka.  

‘ Tadi Saleh datang ke Dewan… dia jumpa abang…’ Tongkat membahasakan dirinya abang. Saleh ini memang  rapat dengan Usman Awang. Dua sosok ini  teribat dalam dunia tulisan  dan sastera.

‘Ada apa dengan Saleh…. dia nak  hantar tulisan ke..’ Aku bertanya kerana Tongkat menjaga majalah Dewan Sastera.

‘ Dia nak jual buku… dia kata dia dah pokai…dia  nak  minta Dewan beli buku-buku dia….’

‘ Buku apa? Banyak buku dia…’

‘ Banyaklaaa… buku library yang dia pinjam tak pulang …buku buku yang dia curi….’  Selamba  Tongkat  melawak sambil memandang muka aku. Kami ketawa kerana kami memang kenal siapa dia Saleh Ben Joned.

Tahun 1976 aku berkelana di Australia. Disatu hujung minggu aku hadir disatu program pelajar bersama ahli akademik di Universiti Sydney. Aku bukan ahli akedemia. Aku datang untuk mendengar perbincangan.  Selesai program kami ada minum-minum. Tetiba seorang  Minah cun, lampai dan bergetah datang  memperkenalkan diri.

‘ You… Isham? Heard about you….’  Dia menghulur tangan aku perhatikan didadanya terselit  tanda nama Kay Saleh…’

‘ I’m Kay… Kay Saleh.. from Sydney Uni…’

 Minah ini  aku pernah dengar namanya. Dia ahli sosioloji.  Ini betul betul Minah Saleh. Minah yang dipelok oleh Saleh. Minah ini   bernama  Kay .  Kay masih bangga memakai nama Saleh didada walau pun dari apa yang aku dengar mereka telah lama berpisah sebagai suami isteri.

Tahun 1990  aku telah menjadi warga kota London.  Tetiba aku mendapat panggilan talipon dari Saleh. Ketika itu aku menjadi pelayan di  Restoran Garuda   150  Shaftesbury Avenue.

Kami bertemu di The Cambridge Pub – tiga minit menapak dari tempat aku bekerja.  Aku cukup senang hati dapat bertemu Saleh. Aku bertanya tentang Si Polan dan si Polan dalam UM.  Dia bersurah yang dia dah berhentii dari UM. Pindah  ke stesen Tv buat itu dan buat ini.  Di TV3 Salleh menjadi penyunting skrip.Dia juga ada kolum As I Please di akhbar The New Straits Times ST. 

‘ Aku datang London ini nak bincang dengan penerbit…Skoob Books … opis dia disini … kau kenal Ike Ong ……’ Aku mengeleng kepala.

Esoknya kami ke Russel Square untuk berjumpa Ike yang bercadang hendak menerbitkan buku Saleh. Aku tak pernah  membaca kolum Saleh jadi aku tak tahu apa isi tulisan. Aku tak campur perbincangan. Aku hanya  menemani Saleh.  Pulang dari  Russel Square kami naik kereta api bawah tanah  ke  Oxford Street.

Ketika sampai ke Oxford Street pejabat telah tutup. Stesen agak lengang. Menjadi kebiasaan warga kota London  membaca Evening Standard akhbar petang ketika menunggu atau dalam keretapi. Sesudah membaca akhbar akan dibuang atau di tinggalkan ditempat duduk. 

‘ Ehhh…  tak perlu ambik laa…’ Aku memberi ingatan bila Saleh menyelok  tong sampah  dalam stesen untuk mengambil akhbar Evening Standard yang telah dibuang. 

‘ Wow… kau dah jadi bourgeoise…’  Saleh memperli aku. Aku tak ada jawapan.

‘Aku nak baca bila opera … aku dengar Pavrotti  ada bagi free konsert  di Convent Garden… aku nak dengar  arias dia…’

Kemudian Saleh memberi aku kuliah  tentang Three Penny Opera  garapan seniman Marxist Bertolt Brecht.    Petang itu aku hanya mendengar saperti Jebat  dan Lekir yang mendengar  syarahan dari Adiputra tentang ilmu silat. Sosok dihadapan aku yang penuh dengan ilmu pengetahuan.

Malah konsep  - teater jalanan – yang aku mulakan di Tasik Utara (1974)  sebagai agit-prop – agitasi propaganda – aku mula mendengar dari surah Saleh yang telah melihat  street teater  dipentaskan oleh pelajar anti perang  Vietnam di German.

Akhirnya , satelah dua puluh tahun berkelana aku pulang ke Malaysia. Aku perbaharui  hubungan dengan Saleh.   Buku yang dirancang  di London telah diterbitkan. Dia  merancang untuk  menerbitkan buku puisi dan merancang teater Mat Solo. 

Satu hari Saleh mengajak aku bertadang ke rumahnya di Subang Jaya. Saleh mahu menunjukkan pada aku satu keping pantun tulisan  tangan  Shahnon Ahmad  yang  dihadiahkan kepada  Saleh. 

Ini pantun erotic Melayu. Menurut Saleh pantun ini ditulis  Shahnon sebelum dia  menjadi ahli Parti Islam. Sebelum Shahnon menjadi ahli kumpulan Arkam.  Menurut Saleh inilah lah contoh sosok   Melayu lama yang jujur, penuh erotika dan berhati mulia.  Istilah  Melayu lama di munculkan oleh Saleh   sebagai perlawanan  menentang konsep Melayu Baru yang sedang diheboh-hebohkan pada ketika itu.

Saleh Ben Joned memang ulat buku. Buku buku dalam bilik Saleh melimpah keluar luar bilik.  Aku  melihat betapa ramainya buku koleksi Saleh. Lalu aku teringat apa kata Tongkat satu ketika dulu tentang Saleh yang mahu menjual bukunya.  Aku minta pinjam satu buku. Aku ambil buku Bakunin on Anarchism.

Pada 10 April 2001 aku ditangkap dibawah  Akta Keselamatan Negara ( ISA). Aku dihantar ke kem Kamunting untuk ditahan. Ketika ini aku  masih berhadapan dengan dua kes terlibat dalam perhimpunan haram. Kes ini masih berjalan.  Dua atau tiga bulan sekali aku akan dibawa ke Kuala Lumpur untuk menyambung perbicaraan di mahkamah lama sebelah  Masjid Jamek.

Selalunya ramai kawan-kawan akan  datang ke mahkamah Ketika aku dibicarakan tanda   bersetiakawan. Kami tak boleh bercakap. Hanya melambai lambai , toleh menoleh dan jika nasib baik  boleh bersalaman.  

Aku ingat lagi pada bulan puasa  November 2002  aku dibawa ke  Kuala Lumpur untuk dibicarakan.  Sesampai ke mahkamah aku ternampak  ramai kawan telah sedia duduk dalam mahkamah. Aku ternampak Saleh Ben Joned duduk di kerusi paling atas paling belakang- disudut. Dia memakai baju puteh lengan penjang puteh.

Aku merasa amat gumbira di mahkamah  kali ini.  Aku merasa aku telah bebas.  Ini kerana kawan lama Saleh Ben Joned  ada datang sama. 

Selesai bicara warden penjara memasang gari.  Aku akan dibawa ke dalam van untuk dibawa pulang ke Bilik Sulit. Ini tempat rahsia yang hingga ke hari ini aku belum 100 pasti dimana letaknya.

Polis mahkamah  mengarahkan semua bangun dan keluar dari mahkamah. Aku mengamit Saleh. Dia bangun. Tangan aku  bergari. Saleh dari tingkat atas  cuba turun ke bawah untuk berjabat salam dengan  aku. Polis menepis takut ada sesutu yang akan masuk diseludup ke dalam  tangan aku.

Banyangkan aku di tingkat bawah Saleh dari tingkat atas  menunduk menghulur tangan. Tetiba dari poket baju Saleh terjatuh sekotak rokok.   Saleh pun dengan cepat mengambil rokok dan memasuk ke dalam saku.  Aku ketawa  bukan kerana rokok itu untuk aku. Aku ketawa kerana  dalam bulan puasa pun  Saleh masih ada rokok. Ini tanda sosok Melayu yang tidak pernah digula-gulakan oleh Tok Arab. 

Tahun 2003 aku dibebaskan.  Aku berhubung kembali dengan Saleh. Dia sedang masih merancang untuk menerbitakn buku puisi. Sekali lagi Saleh memperkenalkan aku dengan seorang  penerbit. Dulu Ike Ong dari Russels Square kali ini  John Lee dari Petaling Jaya. Kami menjalin persahabatan.

Pada pagi Khamis 29 Oktober 2020  yang lalu aku terima pesanan ringkas dari Adman Saleh.  Adman memberi tahu bahawa Saleh telah meninggal dunia. Adman ialah pengarah filem Bintang Malam (1991) yang Saleh menjadi pelakon. 

Aku menghantar  pesanan ringkas kepada semua kenalan. Kemudian aku menalipon Adman.  Aku menalipon John Lee. Kami merancang untuk menziarah jenazah.  Aku  siap sedia menunggu.

Tetiba Adman menalipon memberi tahu bahawa  hanya keluarga terdekat yang dibenarkan datang melawat jenazah. Ini peraturan  Covid-19.  Kemudian aku menalipon John Lee dan memberi  tahu maklumat yang sama.

Sosok  lelaki berbaju hitam berterompah kayu telah meninggalkan kita. Buku-buku dan tulisan Saleh masih segar dibaca. Hanya aku harap  pantun tulisan  tangan Shahnon Ahmad  masih ada tersimpan. Tanda bukti Melayu sebelum mengada-ngada nak  jadi Arab. 

Buku Bakunin on Anarchism milik Saleh yang aku pinjam masih belum aku pulangkan. Entah dimana aku letakan.  Amin (TT)


3 ulasan:

  1. Rasanya carahidup saleh ada pengaruh atas Tt. Ataupun kbetulan gaya hdup korang mmg ada persamaan. Gaya berterompah bagai yang dianggap cool. Masa kat australia tu nape Tt tak try kay saleh.. Tu peluang baek lagipun masa tu kawan tu dah janda kan.. Jangan dibuat main janda neh sekali kene nak dua kali. Mase kay tu dtg hulur tangan bersalam dia de kenyit mata kat Tt tak hurmm...

    BalasPadam
  2. Kemuncak hippis gwa rasa tahun 1969 ..era Woodstock ..1973/74 TT kulu kilir makai selipar jopon, gwa rasa ini budaya UM sebab gwa 1981 ponah praktikal dgn budak UM dtg praktikal makai selipar boikek tali supayo nmpk mcm kasut ..kahkahkah. Gwa studen ITM 1979 ..tapi kito somuo pakai kasut ..di Klang kasut muleh dapek RM7 sopasang ..maso tu ado 3 stail kasut ..1.Ala Bay City Rollers tumit 4 inci bontok kapal, 2.Ala John Trovaltar dan 3.Ala Clint Eastwood ..

    BalasPadam
  3. TT pakai selipar Jepun atau selipar Malaya sekarang ni?

    BalasPadam