Khamis, 10 Disember 2020

GABUNGAN BARU -SATU CADANGAN

 


 GABUNGAN BARU

SATU CADANGAN

DARI PEJUANG


Mari kita tubuh gabungan besar yang inklusif

Perkembangan politik negara sejak bulan Februari lepas memperlihatkan perlunya satu pendekatan baru untuk merungkai segala permasalahan terkait politik kepartian.

2. Apabila Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan yang membawa kepada tertubuhnya Perikatan Nasional (PN) yang didukung oleh Muafakat Nasional (MN) serta Barisan Nasional (BN), satu kecelaruan politik bermula.

3. Ini kerana naratif yang diguna oleh PN untuk menjatuhkan Kerajaan PH ialah kerana ia ditunjangi oleh parti DAP yang bagi mereka rasis serta menjadi dalang yang menentukan pergerakan dan keputusan yang dibuat oleh pemimpin Melayu di dalam PH.

4. Selain itu, PN juga tidak mahu PH terus menerajui negara kerana tidak boleh menerima kemungkinan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

5. Dalam lain perkataan, Langkah Sheraton itu dianggap sebagai pemula kepada Kerajaan Melayu/Islam.

6. Langkah Sheraton yang dilakukan adalah langkah yang sumbang kerana ia berlandaskan kepada sangkaan buruk terhadap Kerajaan PH serta bertentangan dengan dasar-dasar demokrasi di mana jika  Anwar mempunyai sokongan majoriti, dia perlu diterima sebagai Perdana Menteri.

7. Jika pihak PN tidak mahu menerimanya, maka mereka perlu bukti di Parlimen bahawa dia tidak mendapat sokongan majoriti.

8. Itulah asas yang sepatutnya kita lalui. Sebaliknya,  Muhyiddin Yassin dan PN memilih untuk menjadi Perdana Menteri dan menubuh Kerajaan dengan tipu-helah.
 
9. Sehingga hari ini, Muhyiddin dan PN masih tidak mahu melalui proses undi percaya atau tidak percaya di Parlimen untuk membuktikan keabsahan (legitimacy) Perdana Menteri serta Kerajaan pimpinannya.

10. Kecelaruan itu berpanjangan seperti yang kita lihat setelah selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di mana berlaku pertikaian siapa yang lebih berhak menjadi Ketua Menteri, samada dari PN atau BN.

11. Belum lagi kering tandatangan penerimaan jawatan Ketua Menteri Sabah, berlaku pula undi percaya terhadap Menteri Besar Perak. Sebagai yang kita ketahui, undi itu gagal dan secara langsung,  Ahmad Faizal Azumu hilang kelayakan. Langkah ini didalangi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno.

12. Yang menarik ialah Ahmad Faizal dijatuhkan oleh gabungan pengundian ADUN Umno dan PH, termasuk dari DAP dan PKR, dua parti yang menjadi punca Langkah Sheraton untuk menyekat peluang  Anwar menjadi Perdana Menteri.

13. Kecelaruan ini berterusan apabila sekarang Umno bersedia bekerjasama dengan DAP dan lain-lain parti dari PH untuk menubuh Kerajaan Perak yang baharu.
 
14. Di sebelah lain, DAP pula, yang sebelum ini menolak sebarang kerjasama dengan Umno yang dipimpin oleh kleptokrat serta dilabel sebagai pendukung ketuanan Melayu, bersedia bekerjasama.

15. Perlu juga dinyatakan bahawa sebelum pertembungan politik di Perak, kredibiliti PH,  Anwar, serta beberapa parti dan Ahli Parlimen bebas tercalar teruk apabila tidak bersama-sama dengan 13 Ahli Parlimen bukan Kerajaan yang bangun untuk meminta undi belah bahagi diadakan selepas bacaan kali kedua belanjawan.

16. Tindakan mereka begitu menghampakan penyokong-penyokong dan rakyat yang tidak berpuas hati dengan Kerajaan PN dan kepimpinan Muhyiddin.

17. Mereka juga sebelum ini telah merasa tertipu dengan PH apabila Ketua Pembangkang Anwar mendakwa ia mempunyai bilangan yang cukup untuk menjatuhkan  Muhyiddin. Tetapi sehingga sekarang masih tidak mampu memperlihatkan bukti kepada dakwaannya.

18. Ramai juga di kalangan penyokong PH yang agak keliru kerana terlihat tanda-tanda bahawa Anwar dan pemimpin PH yang lain sanggup bekerjasama dengan kleptokrat-kleptokrat Umno untuk menubuh kerajaan.

19. Ini berbeza dengan penggabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (yang asal) dengan PH pada tahun 2017. Ia berlandaskan kepada matlamat dan objektif yang jelas – untuk menjatuhkan Kerajaan BN dan Umno yang mendukung kleptokrat, mengamal rasuah, salah guna kuasa, membelakangkan amalan-amalan demokrasi dan memusuhi hak-hak asasi manusia yang dijamin oleh Perlembagaan.
 
20. Hari ini, kita sekali lagi berhadapan dengan keadaan di mana kleptokrat-kleptokrat kembali berkuasa dan menjadi kuasa menentukan hala tuju politik Negara. Kerana itu, kita dapat lihat kes-kes digugurkan terhadap seorang demi seorang kleptokrat.

21. Ini bermakna kita kembali kepada keadaan asal atau “back to square one”. Penentangan kita kepada kleptokrat-kleptokrat itu gagal menerusi Langkah Sheraton dan sekarang PH yang mahu berkuasa kembali bersedia bekerjasama dengan kleptokrat tersebut.

22. Berlatarbelakangkan kesemua ini, pihak kami merasa sudah sampai masa kita berusaha membawa rakyat keluar dari kecelaruan akibat dari gabungan dan perikatan antara parti-parti yang di wujud semata-mata untuk mendapat kuasa tetapi berselindung di belakang slogan agama, bangsa dan tanahair.

23. Kita perlu menubuh satu gabungan baru yang berpegang kepada perjuangan kita iaitu untuk menyekat kleptokrat dan sekutu-sekutu baru mereka yang bersedia melakukan rasuah untuk berkuasa.

24. Gabungan ini tidak terhad kepada kerjasama antara parti tetapi juga dengan Ahli-Ahli Parlimen serta ADUN yang tidak dapat menerima perlakuan pimpinan parti mereka yang bersedia menggadai prinsip perjuangan untuk mendapat kuasa.

25. Inilah usaha yang mahu kita perjuangkan dan kita yakin, setiap pemimpin politik yang berpegang kepada prinsip akan bersama menghalang kleptokrat-kleptokrat dari menerajui Negara dan juga pemimpin politik yang mengamal rasuah.


MARZUKI YAHYA
TIMBALAN PRESIDEN (PENAJA)
 PARTI PEJUANG  TANAHAIR ( PEJUANG)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan