MERAKAM
SEJARAH
GELITA 14
BLACK 14
Hari ini 14 April ialah hari GELITA 14 atau juga dikenali sebagai BLACK 14. Selasa hari ini ialah ulang tahun ke 19 Gelita 14. Pada 14 April 1999 Anwar Ibrahim telah dipenjara selama 6 tahun atas tuduhan salah guna kuasa dan meliwat.
Justeru untuk mengingatkan kembali babak politik ini maka saya menangguhkan tulisan rakaman sejarah saya mengenai Covid-19. Ini kerana saya mahu anak semua bangsa bersama-sama memperingati Black 14. Terutama saya mahu generasi muda hari ini memahami babak-babak dan perjalanan sejarah bagaimana kita sampai ke tahap politik hari ini.
Hubaya hubaya. Untuk diri saya Gelita 14 ini amat amat berkait rapat berkurung, terkurung dan di kurung. Pada hari Selasa 10 April 2001 - 19 tahun dahulu saya telah dikurung.
Saya dikurung bukan bertujuan menjaga kesehatan orang ramai saperti kita berkhalwat hari ini. Tetapi saya dikurung untuk menjaga kesehatan United Malays National Organisation yang semakin sakit tenat. Pada ketika itu Malaysia telah diserang oleh satu wabak. Bukan wabak virus karona. Pada tahun 2001 Malaysia sedang diserang oleh wabak anti Mahathir dan wabak anti parti Ketuanan Melayu. Wabak ini sedang merebak dan mengampoh.
Pada petang Selasa 10 April 2001 saya berada di pejabat di Jalan Kamuja Bangsar Utama. Saya telah tidur malam di pejabat walau pun bilik tumpangan saya di Taman Seputeh yang tidak jauh. Saya yang tidak memiliki kenderaan menapak setiap hari dari rumah ke pejabat. Sesekali saya tidur dipejabat.
Berapa minggu sabelum ini Tian Chua, Malik Husin, Pak Din, Nasir Taxi, Kak Yus, Pak Abu, Lat Koya dan saya telah mengadakan beberapa bertemuan. Kumpulan kami bertemu dan berbincang di pejabat Tian Chua di Jalan Kurau Bangsar. Kami menyusun, mengatur dan merancanag untuk mengadakan satu perhimpunan besar besaran di hadapan Pejabat Suhakam di Jalan Raja Laut pada 14 April 2001. Hari Sabtu jam 4.00 petang.
Agendanya ialah : mengahantar surat memo kepada SUHAKAM. Kumpuan kami ini secara tidak resmi adalah kumpulan diluar Parti Keadilan Nasional. Sosok -sosok ini tegas dan bersetia menjadi penyokong Anwar Ibrahim. Pada ketika itu kami percaya dan yakin Anwar Ibrahim sedang dizalimi oleh Mahathir Muhamad. Justeru memo kami kepada Suhakam – lembaga hak asasi manusia di Malaysia.
Kami tidak percaya bahawa Anwar Ibrahim pemula Angkatan Belia Islam Malaysia , sosok yang warak , yang alim, yang berucap dengan bismillah, yang sering menggunakan ayat-ayat Quran telah meliwat Azizan, Sukma dan Munawar . Mustahil Anwar berkelakuan sademikian. Kami tidak percaya. Untuk kami Anwar Ibrahim telah dizalimi. Malah ramai warga Malaysia anak semua bangsa pada ketika itu percaya bahawa Anwar Ibrahim telah dizalimi oleh Mahathir Muhamad. Khalas.
Tapi tulisan ini bukan hal kes liwat Anwar atau kes Anwar di zalimi yang ingin saya rungkai. Saya mahu merungkai babak kurung dan dikurung.
Pada 10 April 2001 dalam jam 4 petang saya telah turun untuk minum di Restoran Maidin dibawah pejabat saya. Dalam restoran ini saya ternampak ramai pelanggan. Saya tak ambil pot. Satelah selesai minum saya kembali ke pejabat.
Pada ketika ini saya sedang menterjemahkan The Good Woman of Setzuan. Ini teater garapan Bertold Brecht (1898-1956). Brecht dramatic tersohor German dari jalur merah. Saya menterjemahkan teater ini kerana saya terlibat dengan arwah Krishen Jit. Dramatis ulung bekas pensyarah Universiti Malaya ini berniat untuk mementaskan teater Brecht ini dalam Bahasa Melayu.
Saya meMelayukan The Good Woman of Sezuan untuk menjadi Perempuan Baik Dari Kampong Baru. Pada petang itu saya telah mengulang baca dan membuat pembetulan akhir. Selesai ulang baca saya menghantar terjemahan teater ini kepada Krishen Jit.
Ketika itu saya menggunakan email jemapoh@hotmail.com. Saya memasukan skrip teater ke dalam email dan terus menekan send. Pada ketika ini pintu pejabat saya di ketuk kuat. Mata saya memandang pintu. Kemudian mata saya beralih memerhati Perempuan Baik Dari Kampong Baru meninggalkan Bangsar Utama menuju ke alam maya.
Saya membuka pintu. Masuk mata-mata berpangat. Dua mata-mata biasa. Dan seorang memakai pakai biasa. Empat orang mata-mata tercongok dalam bilik saya.
‘ Hishamuddin Rais… kamu ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri….’ Ucapan dari mata-mata yang berpangat. Saya lihat iras mata mata berpangkat ini macam muka China.
Saya telah pernah mendengar ucapan ‘ … Hishamuddin Rais .. kamu ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri…’
Pada petang 10 April 2001 ini hanya ulangan. Tiga hari sesudah saya pulang dari berkelana selama 20 tahun dahulu saya juga telah dtahan dibawa Akta Keselamatan Dalam Negeri. Ini pada tahun 1994.
Mata-mata mengeluarkan gari. Ini juga bukan kali pertama saya digari.
‘ Boleh saya padamkan komputer saya…’ Saya meminta.
Pada ketika ini bayaran internet bukan tetap saperti hari ini. Penggunaan internet mengikut masa sama saperti kita membuat panggilan talipon. Jika internet tidak saya padamkan saya khuatir bil talipon saya akan bertimbun.
Permintaan saya tidak dipedulikan. Saya digari. Dibawa keluar. Betul betul tepi tangga sebuah kereta Proton Hijau menunggu. Saya terus dibawa masuk. Tidak ada siapa yang melihat kerana dari anak tangga akhir saya terus ditekan masuk ke dalam kereta. Duduk diapit oleh dua mata-mata.
Saya dibawa ke Rumah Pasong Sentul. Saya dibogelkan. Ini juga bukan kali pertama saya dibogelkan. Mata-mata yang mengambil butir badan saya kelihatan hairan. Saya memakai seluar pendek. Saya tidak memakai seluar dalam dan hanya berselipar Jepun.
Sabenarnya samenjak saya meninggalkan Eropah saya tidak lagi memakai seluar dalam dan stokin. Seluar dalam dan stokin mengingatkan saya pada musim sejuk yang amat saya benci. Seluar pendek dan selipar Jepun untuk saya adalah nikmat cuaca panas. Amin.
Dari rumah pasong Sentul saya dibawa ke luar dan dimasukan ke dalam sebuah van puteh . Van kecil ini tidak bertingkap. Saya terperosok saorang diri dalam van ini. Saya tidak nampak siapa pemandu.
Van ini bergerak meninggalkan rumah pasong . Saya cuba mengagak ke mana saya akan dibawa. Saya gagal. Kerana van ini awalnya berjalan saperti dalam bandar. Kemudian berjalan laju saperti di lebuh raya. Kemudian perlahan melintasi ‘ bum’ saperti dalam taman perumahan. Kemudian laju kembali. Akhirnya satelah hampir 40 minit van berhenti.
Saya dibawa keluar dan dimasukan ke dalam bilik. Seorang mata-mata duduk dimeja menunggu saya. Sekali lagi saya dibogelkan. Tinggi , warna rambut, berat badan dan parut dibadan dinotakan.
Saya menanda tangani harta pesaka - seluar pendek, baju kameja, tali pinggang dan dompet saya yang ada dalam saku saya. Saya diberi pakaian seluar dan baju biru. Sebuah baldi merah yang didalamnya ada satu selimut, berus gigi yang telah dipendekkan dan sahelai towel Good Morning.
Mata saya ditutup. Saya merasa tangan saya dipegang. Saya dibawa keluar. Saya ikut berjalan. Kaki saya meraba-raba takut jatuh. Kami sampai ke satu bangunan. Saya dengar suara lelaki Melayu. Saya dengar pintu besi dibuka. Saya dibawa masuk. Mata saya dibuka. Saya melihat pintu bilik dimana saya akan dikurung. Amin.
Pada 10/4/2001 – Sembilan belas tahun n dahulu - saya dikurung dalam disebuah bilik 4 kaki lebar dan 12 kaki panjang. Satu pangkin batu tempat tidur. Dihujung ada jamban cangkung dan pili air.
Saya dikurung saorang diri dalam bilik kecil. Fikiran saya merayau-rayau. Saya teringat pada rutin saya. Saya teringat pada gaya hidup saya. Saya teringat pada rokok keretek. Saya teringat pada dunia luar yang baru saya tinggalkan. Kemudian saya menyedarkan diri bahawa saya sedang dikurung.
Hari ini 14 April 2020 ialah hari ulang tahun ke 19 Black 14 dan hari ulang tahun saya dikurung. Pada hari ini juga saya sekali lagi sedang dikurung di Le Chateau. Kali ini bukan kerana Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Akta ini telah dihapuskan. Kali ini saya berkurung atas perentah Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Berkurung 19 tahun dahulu dan berkurung hari ini amat jauh bezanya. Dalam bilik kecil dimana saya dikurung saya tidak memiliki apa-apa kecuali ingatan dan akal fikiran. Malah hendak bercukur saya wajib menghulurkan muka saya ke lubang pintu seluas muka saya. Bagitu juga untuk memotong kuku. Saya hulurkan tangan. Makanan dan minuman dihulurkan melalui lubang ini. Amin.
Dalam bilik kecil ini fikrah saya merayau. Siapa lagi agaknya yang kena kurung. Apakah Tian Chua dikurung? Apakah Malik Husin dikurung? Apakah Pak Abu dan Pak Din dikurung sama? Fikrah saya mencari cari. Mustahil saya akan mendpat jawapan kerana saya dikurung bersaorangan.
Hari ini saya berkurung kerana Perentah Kawalan Pergerakan (PKP) atas arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN). PKP amat berbeza dari ISA. MKN amat berbeza dari KDN – Kementerian Dalam Negeri yang memberi arahan agar saya dikurung dibawah ISA.
KDN melaui ISA mengurung saya agar falsafah dan hasutan pengaruh saya tidak tersebar luas. Saya dikurung supaya wabak anti Mahathir yang cuba saya sebarkan tidak akan menjangkiti anak anak muda. Saya menghasut anak anak muda untuk bangun keluar berdemo ke jalan raya menyokong Anwar Ibrahim. Mengurung saya bermakna menjauhkan diri saya dari berupaya mempengaruhi orang lain untuk bangun melawan. Ini untuk menyelamatkan Mahathir dan United Malays National Organisation. Khalas.
Hari ini MKN melalui PKP mengurung saya agar saya selamat dari jangkitan Covid-19. Saya bersetuju untuk dikurung bukan saperti 19 tahuan dahulu. Kini satu Malaysia and 180 buah negara sedang berkurung untuk menyelamatkan diri dari Covid-19.
Dikurung oleh MKN amat lumayan. Saya boleh memasak. Saya boleh memesan makanan. Saya boleh membawa Ezi dan Tak Tak – anjing piliharan saya - berjalan di Kawasan kubur Kwantung di belakang blok flet Le Chateau. Saya membaca. Saya menulis. Saya melihat komputer. Kunci flet saya ada pada saya. Saya membuka internet. Saya boleh menonton filem Koboi atau melihat filem porno dari YouTube. Semua terpulang kepada cita rasasaya. Tepuk tangan tanya seluar.
Saya berhubung melalui talipon dengan ramai kawan – dalam dan luar negara - bertanya khabar kerana mereka juga berkurung. Malah saya sering memukul talipon bertanya khabar pada Tian Chua.
Aduh! Berkurung ahri ini bukan berkurung 19 tahun dahulu. Berkurung kali ini saya tahu dimana saya berada. Sembilan belas tahun dahulu hingga ke hari ini saya masih tidak tahu dimana tempatnya saya dikurung. Justeru saya merakam pengalaman dikurung itu dalam teater Bilik Sulit. Amin. (TT)