CEKAU DUIT
POLITIK UNDI
Saya masih ingat lagi pada tahun 1969 saya berada dalam tingkatan enam di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Cik Gu Kertas Am saya Mister Muzzafar Tate - dalam suasana ketegangan pasca Mei13 telah berkata ‘ politics is a rich man’s game…’ – politik ini untuk mainan orang kaya kaya.
Muzaffar Tate bekas soldadu Inggeris adalah juga seorang sejarahwan. Telah menulis buku sejarah Tanah Melayu. Arwah ini juga telah memperkenalkan saya kepada petikan kata-kata Mao Zedong yang pertama saya dengar – Power grows out of the barel of the gun – kuasa datang dari laras senapang.
Satelah berkelana dan mengumpul pengalaman kini saya memahami dengan jelas makna kata-kata yang telah disampaikan oleh Muzffar Tate kepada saya pada tahun 1969. Malah pada tahun 2020 ini saya berani menambah petikan kata kata Mao : Kuasa datang dari laras senapang juga kuasa datang dari ringgit dan dollar. Amin.
Budaya dan sistem politik undi atau electoral politics ini memang memerlukan belanja yang banyak. Ada pelbagai tangga dan tahap yang wajib dinaiki dan dilintasi sebelum nama dinaikkan menjadi calon. Calon Adun atau calon Yang Berhomat ahli parlimen ini bukan datang bergolek. Ada harga yang wajib dibayar.
Saya ada kenalan yang pada satu ketika dahulu aktif dalam parti United Malay National Organisation. Kenalan ini bercita-cita untuk menjadi Timbalan Ketua Bahagian. Menurut congak kenalan saya ini jika dia menang dan ada kedudukan dalam Bahagian maka berkemungkinan nama dia boleh dicalonkan sebagai Adun atau ahli parlimen. Ada pangat dalam parti bermakna untuk pilihan raya yang akan datang nama menjadi cerah.
Ketika berkempen untuk jawataan Timblan Ketua Bahagian kenalan saya ini telah memberitahu saya bahawa dia telah menggunakan lebih dari 80,000 ringgit untuk berkempen. Ini pada tahun 1996. Wow. Untuk pendatang baru dalam politik Malaysia saya merasakan ini jumlah yang lumayan.
‘ Orang macam kau ni… jalan kaki .. takda kereta…tak ada siapa nak ikut… ada Mercedes barulah ramai akan ikut..’ Ini kuliah politik dan tunjuk ajar politik yang keluar dari mulut kenalan saya.
Saya juga mendapat pencerahan poilitik dari kawan saya Zahid Hamidi. Dia telah pernah menjadi Menteri.
Dia berkata kepada saya…. ‘ politik ini macam gula dengan semut. Mana ada gula semut akan datang ….’ . Metapora gula dan semut diguna untuk politik undi. Siapa gula dan siapa semut.
Pada hemat saya dua dua pandangan ini dari kawan saya ini amat tepat. Ianya memberi gambar yang jelas tentang sistem dan budaya politik undi yang kita amalkan di Malaysia.
Lalu timbul persoalan hakiki – dari mana nak dicekau duit untuk bertanding dalam pilihan raya?
Dalam struktur dan budaya politik undi modal amat penting. Untuk ini mari kita melihat sejarah modal dan politik. Politik memerlukan modal. Ini fakta. Dari surah yang saya dengar dan dari maklumat yang saya baca ketika para nasionalis kita ketika berjuang menetang penjajah Inggeris modal juga diperlukan.
Saya mendengar surah tentang bagaimana para nasionalis kita - Boestaman, Hasnul Hadi, Shamsiah Fakeh, Burhanuddin Helmi ketika masuk berceramah memberi pencerahan tentang MERDEKA. Mereka berbasikal atau menumpang kereta dari kampong ke pekan dari kota ke desa untuk menaikkan semangat juang. Dimana mereka sampai mereka telah disambut. Para nasionalis kita telah dapat sokongan orang ramai. Makan dan tempat tidur sentiasa ada. Saya juga mendengar bagaimana Kakak dan Mak Cik bukan saja memberi pitih dan riyal malah ada yang telah memberikan cincin , rantai dan anting-anting emas sebagai derma kepada pejuang nasionalis - demi Tanah Melayu merdeka.
Saya juga pernah mendengar surah bagaimana abang , ibu dan kakak telah bergadai bergolok untuk menderma kepada Tunku Abdul Rahman agar cukup dana terbang ke London. Tunku ke London untuk berunding dengan kuasa kolonial Inggeris. Amin
Malah saya sendiri melihat dan mengalami pekara yang sama ketika bergerak berceramah dizaman Reformasi. Saya melihat sendiri bagaimana anak -anak muda yang ditugaskan membawa uncang kosong pulang dengan uncang berisi dengan ringgit derma. Malah saya pernah mendengar surah bagaimana ada abang yang telah memberi jam tangan sebagi derma untuk gerakan Reformasi.
Kali pertama saya mendengar ceramah Reformasi ialah di Simpang Pelangai Jelebu Negeri Sembilan. Malam itu kali pertama saya mendengar Mat Ezam berucap dengan sengau Anwar Ibrahim. Saya juga mendengar Dr Chen Mah Hin dari DAP. Lepas ceramah saya tak sangka-sangka dijemput sama untuk menikmati jamuan dari tuan rumah. Koleksi derma malam itu melintasi 300 ringgit. Cukup untuk duit minyak Mat Ezam pulang ke Kuala Lumpur.
Parti politik saperti PAS tidak akan lupa mengeluarkan uncang derma dimana sahaja parti ini berceramah. Malah budaya ini telah menjadi budaya politik untuk parti Amanah, Bersatu dan PKR. Amin.
Untuk saya derma dari orang ramai satu budaya sehat. Budaya menderma ini boleh ditafsirkan sebagai mengamalkan perang rakyat. Perang rakyat atau peoples war adalah konsep kaum kiri yang muncul ketika gerakan nasionalis mengangkat senjata melawan kuasa kolonial. Ini pengalaman disemua negara bekas tanah jajahan.
Tapi yang mahu saya rungkai ini bukan konsep perang rakyat ketika berjuang menentang Inggeris tetapi konsep dan budaya politik undi yang kontemperori. Politik sesudah Inggeris memberikan kuasa kepada United Malays National Organisation.
Dari sejarah yang kita sesama baca United Malays National Organisation mendapat sokongan politik dari Inggeris. Tanpa sokongan Inggeris parti ini telah berkubur lama. Atas nasehat Inggeris parti Ketuanan Melayu ini juga berkerjasama dengan Malayan Chinese Association (MCA) dan Malayan Indian Congress (MIC) dan memangil diri mereka Perikatan. Kerjasama ini penting untuk Inggeris terus menguasai ekonomi Tanah Melayu. Jika tidak Tanah Melayu akan menjadi Republik Tanah Melayu sarentak dan seirama dengan Republik Indonesia Bung Karno.
Ketika Inggeris berkuasa bukan sahaja Inggeris telah membawa masuk ramai pendatang China hinggakan semua kota dan pekan menjadi milik China. Pekan dan kota adalah pusat ekonomi berbanding dengan ladang dan sawah dikampong. Pusat ekonomi maknanya pusat duit dan tempat duit berligar untuk dicekau.
Hubaya. Hubaya. Wajib diberitahu bahawa MCA kawan sekawah United Malays National Organisation ini ialah Persatuan Bani China. Lebih tepat lagi persatuan ahli dan syarikat perniagaan Bani China. Orang meniaga yang berpusat dibandar justeru memiliki modal.
Jelas dari sinilah modal asal United Malays National Organisation. Modal towkay China telah membantu United Malays National Organisation mengambil alih kuasa dari Inggeris. Fakta ini diakui oleh para veteran dari United Malays National.
Seawal Pilihan Raya 1955 United Malays National Organisation telah menerima dana dari ahli perniagaan Bani China. Ini fakta bukan penglipur lara dari Hishamuddin Rais.
Tetiba datang Mei13. Bani Melayu marah kepada Bani China kerana mereka melihat Bani China memiliki kekayaan satelah 12 tahun Inggeris meninggalkan Tanah Melayu. Bani Melayu merasa agihan ekonomi berat sebelah. Mereka menjadi Red Indian dalam negara sendiri. Mereka melihat China dipekan disusukan Melayu di kampong mati kelaparan.
Dalam parti United Malays Natonal Organisation telah timbul kesedaran betapa bahayanya kedudukan parti mereka yang didanai oleh Towkay China. Kemarahan Bani Melayu ini akan menghakiskan kuasa parti United Malays National Organisation. Jalur pandangan muncul melihat Towkay Bani China sedang menimbulkan masalah dan kemarahan Bani Melayu.
Mei13 membuka kesedaran awal kepada Bani Melayu tetang kuasa dan dana politik. Amin.
Kesedaran ini menimbulkan apa yang kita dikenali sebagai Dasar Ekonomi Baru (DEB). Dasar ini jelas mahu melembutkan kemarahan Bani Melayu terhadap harta kekayaan Bani China. Dalam masa yang sama DEB ini juga jalan untuk membebaskan United Malays National Organisation dari diperangkap oleh ahli perniagaan China yang selama ini membantu membantu parti ini dalam kerja politik kempen pilihan raya. Amin.
Dari segi teori dengan wujudnya DEB maka Bani Melayu akan jadi kaya. Bila wujud Melayu kaya maka United Malays National Organisation tidak perlu bergantung dana dengan MCA atau Towkay Bani China. Dari segi teori difahami bahawa dengan kuasa politik Bani Melayu akan dapat mengaut kembali kuasa ekonomi.
Dengan kuasa ekonomi kuasa politik menjadi lebih kukuh.
Biar saya jelaskan disini beberapa konsep yang wajib kita fahami dalam memahami politik undi. Mengundi ialah memberi kuasa membuat keputusan kepada sosok yang kita undi dan kita pilh. Kuasa ini ialah kuasa membuat undang-undang.
Kuasa ini akan dari segi teorinya diguna pakai untuk kesejahteraan ramai. Suara ramai – suara undi – kitalah yang menjalankan negara ini.
Undi kita adalah untuk negara kita. Negara kita adalah hak kita. Justeru politik undi amat penting untuk kesejahteraaa ramai. Amin
Ini konsep dan falsafah molek lagi cun dari budaya politk undi. Jika molek cun dan bergetah kenapa negara kita kini berhadapan dengan kes 1MDB dan kes Hot Burger? Sila tunggu pencerahan minggu hadapan. (TT)