PEMBAWA
KEBENARAN
Selamat Datang
ke MalaysiaNow
Terdapat satu kisah berulang kali diceritakan dalam sejarah Islam tentang seorang pemuda di Tanah Arab lebih 1,400 tahun lalu. Beliau terkenal sebagai seorang yang amanah dan sentiasa bercakap benar, sehingga menerima gelaran Al-Amin.
Suatu hari, di hadapan orang ramai, beliau bertanya apakah mereka akan mempercayainya jika mengatakan terdapat pasukan musuh di sebalik bukit bersiap-sedia menyerang mereka. Mereka menjawab sudah tentu akan percaya kerana pemuda itu tidak pernah berbohong.
Pemuda itu ialah Nabi Muhammad. Walaupun dengan reputasi baik dan dihormati dalam kalangan masyarakat seperti ditunjukkan dalam episod ini, baginda menjadi musuh utama di tanah airnya selepas mula berdakwah kepada masyarakat yang tidak mahu mendengarnya.
Pengajaran daripada episod ini jelas: apabila berdepan tanggapan sosial dan kepentingan kelompok, kebenaran tidak lagi menjadi keutamaan, walaupun dalam kalangan mereka yang mengenalinya sebagai seorang yang tidak pernah berbohong.
Orang hanya percaya kepada apa yang sesuai dengan mereka, yang paling mudah untuk dipercayai tanpa mengira kredibiliti sumbernya.
Hari ini, masyarakat dihidangkan dengan pelbagai pujuk rayu untuk memenangi hati mereka: sama ada jenama pencuci pakaian yang paling baik, ataupun sekolah untuk anak mereka, atau jenama kereta yang sesuai, atau individu yang paling boleh dipercayai untuk menerajui pentadbiran negara dan seterusnya dipertanggungjawabkan dengan wang cukai kita.
Setiap pujuk rayu dibuat dengan andaian individu, institusi, syarikat, jenama atau parti politik itu boleh dipercayai.
Tetapi kecanggihan teknologi yang didominasi internet, media sosial dan penggunaan data, menyaksikan pemahaman masyarakat mengenai amanah dan kebenaran kini mengalami perubahan besar.
Sekarang kita sudah boleh mempercayai entiti tanpa nama dan tanpa wajah untuk menguruskan wang kita (sistem perbankan tanpa talian), untuk menaiki kereta peribadi orang kita tidak dikenali (Grab), malah bermalam di rumah orang asing (Airbnb).
Kita juga membenarkan syarikat antarabangsa dan laman sesawang “mencurigakan” mempunyai akses kepada data peribadi apabila sewenang-wenang menerima “cookies” secara membuta tuli setiap kali diminta.
Begitu juga, kini terdapat kencenderungan mempercayai mereka yang memujuk kita dengan kepercayaan dan nilai melalui slogan dan “soundbites”, tidak kiralah jika kelakuan mereka langsung tidak meyakinkan.
Kita menonton, memberikan tanda suka dan berkongsi klip video terhadap orang yang berbicara mengenai agama dan nilai hidup yang berkaitan, begitu juga ahli politik yang cuba memikat orang ramai dengan janji kehidupan lebih baik.
Selalunya, kita tidak tahu dan tidak peduli siapa mereka. Dan entah mengapa, kita rela mereka mengarahkan kita dalam pemikiran dan kepercayaan.
Begitu juga dalam penerimaan kita terhadap media yang menjadi tempat kita bergantung untuk maklumat dan perkembangan semasa. Sekali lagi, kita memilih untuk menganggap sebahagian media sebagai pembawa kebenaran, tetapi menolak yang lain sebagai berita palsu.
Jadi, adakah kebenaran itu penting?
Bagaimana pula kebenaran dianggap penting sedangkan yang menyenangkan hati kita adalah perkara tidak benar? Itulah realitinya, sama ada dalam politik dan pemberitaan, mahupun pemasaran dan perniagaan.
Dan sebab itu jugalah orang seperti Donald Trump diangkat sebagai pemimpin tertinggi Amerika Syarikat, walaupun terkenal dengan sikap tidak pedulinya terhadap kebenaran.
Begitu besar jurang antara kebenaran dan amanah, sehinggakan orang tidak teragak-agak mempercayainya, semata-mata kerana apa yang disampaikannya adalah apa yang mereka mahu dengar.
Bagaimana pula wartawan memainkan peranan dalam situasi sedemikian?
Kebenaran dan amanah adalah tunggak kepada kerja-kerja pemberitaan.
Prinsip-prinsip inilah yang membezakan wartawan dengan apa yang sekarang disebut sebagai penulis kandungan atau “content writer”.
Dan sebagai wartawan, yang mengutamakan realiti daripada imaginasi, kebenaran dan amanah mestilah selari.
Sementara penulis kandungan mengaku mencari kebenaran, hakikatnya mereka hanya mahu mendapatkan keyakinan pembaca.
MalaysiaNow dilancarkan dalam keadaan yang mencabar ini, apabila kebolehpercayaan terhadap sesuatu terputus daripada kebenaran.
Kami mahu membina keyakinan terhadap kandungan kami, tanpa cuba berhujah bahawa ia mewakili kebenaran. Sama ada orang mahu menerima sesuatu itu sebagai benar, itu di luar kawalan kami. Apa yang dapat kami berikan, ialah sesuatu yang diperlukan dalam mencapai kebenaran.
MalaysiaNow bukanlah sebuah lagi portal “berita terkini”. Kami juga bukanlah golongan wartawan yang merasakan kekuatan kewartawanan adalah kebolehan dalam menyampaikan sesuatu berita dengan pantas.
Apa yang kami harap dan dapat lakukan adalah memberi pencerahan mengenai sesuatu berita kepada rakyat Malaysia, supaya isu-isu kritikal yang mempengaruhi kehidupan mereka diperhalusi dan diperdebatkan tanpa dikaburkan politik kepartian yang terlalu banyak mencorakkan negara kita pada hari ini.
Ini adalah hasrat kami yang rendah hati, disokong pasukan wartawan dan penulis yang berdedikasi dan dilatih hampir sepenuhnya di platform media dalam talian. Kami harap anda akan menjadi sebahagian daripada usaha baru ini.
Jangan hanya terima apa yang kami tulis sebagai kebenaran tanpa mempersoalkannya. Tetapi yakinlah pendekatan kami adalah berdasarkan kebenaran.
Dan sekiranya tiba masa kami harus melaporkan ada segrombolan musuh sedang bersiap untuk melancarkan serangan, kami harap pembaca akan mempercayai kami, kerana kami tidak pernah berbohong.