SOHO LONDON
Sebenarnya aku tidak tahu dari mana asal usul nama Desaru ini. Satelah dua minggu bekerja aku diberi tahu nama ini berasal dari satu kawasan peranginan di Johore. Ketika aku kali akhir berada di Malaysia tahun 1974 aku tak pernah terdengar nama Desaru ini.
Pemilik Desaru ialah Mister Gan anak kelahiran Pulau Pinang. Mister Gan berbadannya gemok gempal. Datang ke London sebagai pelajar ilmu akaun. Terus menjadi warga tetap. Mister Gan berkahwin dengan Minah Saleh seorang ‘misi ‘ – jururawat - yang juga berbadan gempal. Mereka tinggal di wilayah mewah Maide Vale.
Mister Gan dengan BMWnya datang setiap malam – kadang-kadang pagi. Kalau tak datang waktu pagi dia akan menalipon memastikan kami berada dalam restoran sebelum jam 11 pagi. Sekali sekala ada juga Misi Gan datang ke Desaru.
Kami yang bekerja di Desaru selalu melawak bila melihat pasangan Mister Gan dan Misi Gan. Aku juga tertanya-tanya apakah mereka berdua ini tidur atas katil besi atau hanya atas lantai.
‘ Isham... kau tahu.... tiap pagi Gan akan menangis... dia menangis kerana dia dah tak nampak punai dia lagi....’ Soo akan melawak ketika kami membersih restoran sebelum dibuka jam 11.30 pagi.
Tukang masak Desaru ialah Yunus – Abang Yunus – orang Medan. Dari surah yang aku difahamkan Yunus telah direkrut oleh Mister Gan dari Bali. Ketika itu Yunus tukang masak disana. Dalam dapur Yunus dibantu oleh dua anak muda Bangla.
Di dewan makan pelayan yang ‘halal’ hanya Shah dan aku. Shah anak muda British Bangla dua puluhan dan aku pelajar dari Belgium. Kami tak ada masalah imigresen.
Manakala Soo dari Kuantan, Ah Tan dari Perak dan Yap dari Melaka semuanya pekerja gelap. Mereka datang dengan visa pelajar kemudian terus tak pulang ke Malaysia. Kini bekerja gelap tanpa visa kerja.
Chee yang menjadi ‘barman’ seorang lelaki gembira – agak sombong tak mahu bercampur sangat. Mungkin kerana dia merasa bangga kerana ada Jantan Mat Salleh.
Untuk memastikan tukang masak jangan kena curi oleh restoran lain maka Mister Gan telah memberi saham 10% kepada Yunus. Saham ini menjadikan Yunus setia kepada Desaru.
Sistem - beri saham - ini diguna pakai oleh restoran di London. Semua towkay restoran takut tukang masak ‘kena curi’ dengan tarikan gaji yang lebih lumayan. Amat susah untuk mendapat tukang masak yang boleh memasak masakan Melayu di London.
Semua tukang masak di impot dengan visa resmi. Untuk memastikan tidak ditangkap oleh jabatan imigresen. Kalau tukang masak kena tangkap tak ada apa nak dijual.
Pelayan senang dapat. Mat Saleh dan British Bangla pun ada bekerja sebagai pelayan di restoran Malaysia-Indonesia. Malah pelajar Malaysia di musim panas – cuti panjang – ramai mencari kerja macam aku.
Manager Desaru ialah Freedy dari Manila. Dia memiliki status penduduk tetap di London. Anak isterinya ada di London. Bagaimana Freedy di rekrut oleh Mister Gan aku tidak tahu.
‘ Isham jaga. ...jaga ...Freedy ini makan anjing....’ Ini satu lagi lawak dari Soo yang menganggap orang Pilipina suka makan anjing. Bila Freedy mendengar ini dia hanya berkata.
‘ You don’t try... you don’t know...’
Warga kota London tidak mementingkan sangat makan tengah hari. Mereka makan sandwich atau apa yang ada di pejabat. Tengah hari Desaru kosong kalau ada empat atau lima pelanggan ini dianggap ramai.
Warga London merayakan budaya makan malam – dinner. Aku perhatikan ada tiga ombak pelanggan. Pertama : bila restoran dibuka – jam 6.30 hingga jam 8. Pelanggan ini mahu makan awal sebelum ke panggung wayang , teater atau ke panggung bangsawan. Ombak ke dua jam jam 9 – ini pelanggan yang betul-betul datang untuk makan. Ombak akhir jam 11 malam – mereka yang merasa lapar keluar dari pub atau dari panggung. Dapur tutup jam 11.30.
Desaru akan ditutup satelah pelanggan akhir pulang. Aku pulang dengan bas malam yang aku ambil di Trafalgar Square.
Aku masih teringat dua Minah Saleh masuk ke Desaru. Restoran kosong – waktu tengah hari. Ketika itu aku dan Soo bertugas. Aku membawa dua menu. Tanpa aku memberi arahan Minah ini telah mengambil duduk.
Jantan aku mengombak deras untuk membaca dua Minah ini. Memang cun dan bergetah. Langsing dan tidak macam isteri Mister Gan.
‘ Layanlaaa... ini peluang...’ Aku tak faham apa maksud Soo. Peluang yang mana satu. jantan aku mengombak lagi. Mungkin jika aku layan dengan baik aku dapat tip yang lumayan. Atau dia jatuh hati dengan jantan Melayu asli.
Pelayan di London hidup dengan duit tip. Ini budaya Inggeris. Mungkin ketika Inggeris menjajah dunia budaya ini lahir. Kaum kolonial kesian melihat anak bumiputera tanah jajahan yang membanting tulang. Lalu memberi tip – duit tanda terima kasih atas layanan.
Sebenarnya gaji pelayan dalam restoran di Soho tidak mahal – 60 pound seminggu. Yang menjadikan kami lumayan ialah tip dari pelanggan. Tip ini dua kali ganda melebihkan dari gaji yang dibayar oleh Mister Gan.
Tanpa membaca menu dua Minah Salleh ini terus memesan makan. Dan sebotol air anggur. Pada hemat aku – tanpa membaca menu - ini pastilah pelanggan ‘regular’ yang sering makan di Desaru.
Sesudah makan Minah ini mengelurkan dompet dan membayar dengan kumpulan duit siling dan meninggalkan 3 pound juga duit siling atas meja. Wow lumayan. Aku memungut duit-duit itu.
‘ Selalu datang ... jiran kita... kau nak tengok buret dia... pergi masuk kabin no 7 sebelah Madam Jo Jo...’ Soo memberi penerangan.
‘ Ha ha.. patutlaa bayar duit siling...tak apa...’ Aku ketawa. Malah aku merasa bangga kerana telah melayan penari bogel ‘peep show’ Soho. Aku anggap tip yang mereka beri ini adalah hasil rezeki suci dari tarian bogel mereka.
Lepas satu bulan di Desaru aku telah fasih dengan Soho. Made Jo Jo – kelab purtan. Ronnie Scott’s kelab Jazz. French House sebuah pub untuk para intelektual London. Soho Brassarie tempat yuppie bertemu kekasih. Compton pub tempat minum jantan gembira. Raymond Reveu Bar - teater dan kelab bogel. Groucho Club - kelab privat untuk warga media kota London.
Manakala bilik bilik kecil – tempat mengintai buret Minah Salleh – ada berselirat di Soho. Lima pintu dari Desaru ialah kedai kuih Patisserie Valarie. Sebelah Desaru ialah studio video milik Richard Brandon towkay syarikat penerbangan Virgin.
Bulan September 1988 aku masuk ke Polytechnic of Central London (PCL ) di Riding House Street. Sekolah aku tidak jauh dari pusat membeli belah Oxford Street. Juga tidak jauh dari Desaru. Kalau menapak mungkin 15 minit. Aku sudah fasih dengan jalan rentas merentas mengikut lorong belakang.
Sekolah aku tidak ada kampus. Semuanya dalam bangunan. PCL (1839 ) ini adalah salah satu polytechnic terawal dalam dunia. Didirikan untuk memberi bantuan teknikal kepada universiti yang menjurus kepada keilmuan akademik.
PCL memiliki sejarah. Pada akhir bulan Febuari 1896 seramai 54 pejalan kaki di Regent Street telah masuk ke dewan untuk menonton filem pertama dalam dunia garapan Auguste Lumiere dan Louis Lumiere – Lumiere Brothers dari Peranchis. Penonton membayar 1 siling untuk menonton 40 saat filem pertama dalam dunia. Dewan ini milik PCL yang akhirnya mendirikan sekolah filem di mana aku belajar.
Pada satu petang Sabtu. Desaru belum dibuka. Aku duduk sedang berlabun dengan Shah di meja depan dapur. Masuk seorang lelaki empat puluhan yang tidak berapa berapa tinggi. Kulit macam kulit Arab.
‘ Sir.. sorry... not open yet...’ Aku melaung dari jauh.
‘ Where is Freedy...’ Lelaki itu bersuara.
Freedy muncul dari bar. Mereka berbincang. Kemudian lelaki itu berundur. Freedy mengamit aku datang ke bar.
‘ When you see him next time.... show some rerspect ok.. ‘ Freedy memberi ingatan kepada aku. Aku menjadi hairan. Aku tak faham apa salah yang telah aku lakukan.
‘ Who is fuck is that guy...’ Aku bertanya kepada Shah.
‘ That guy...Freedy Malta... Soho gengster... small timelaaaa not big...’ Shah menunjukkan jari kelengkengnya yang kecil ke muka aku.
Kemudian Soo bersurah kepada aku tentang sejarah Desaru. Satu malam Mister Gan telah menang lebih dari 40 ribu pound dari meja Casino. Duit itu dijadikan modal untuk membuka Desaru. Gan dengan bijak telah mengajak Freedy Malta untuk berkongsi sama.
Baru aku faham kenapa Freedy Pilipina mahu aku menunjukkan hormat kepada Freedy Malta. Sosok berbadan pendek ini memiliki saham di Desaru.
Bila kampus aku di buka aku tidak lagi bekerja sepenuh masa. Aku menjadi pelayan hujung minggu. Aku bekerja petang Jumaat, Sabtu dan Ahad.
Masuk saja ke PCL aku membuat lagi ramai kenalan baru. Aku tidak lagi rapat dengan kawan-kawan pelajar Malaysia. Din Wahab dan pelajar sekolah feshen telah pulang. Yunus Ali telah pulang.
Malaysia telah lama aku tinggal. Yang benar yang hakiki dan yang depan mata aku ialah London.
Penulis, dramatis dan penyair Inggeris Samuel Johnson (1709-1784) pernah berkata : sosok yang letih dengan London dah letih dengan hidup.
Aku belum letih dengan London. Aku baru menanggalkan kelongsong berudu untuk meloncat dan mengambur dalam kota London.
Pada tahun 1955 kali pertama aku sampai ke pekan Kuala Klawang. Ini ketika arwah Emak aku berpindah dari Sekolah Tapak Kuala Pilah ke sekolah Umum Kuala Klawang B.
Aku ingat lagi petang itu arwah Abah aku telah membawa aku menapak ke pekan Kuala Klawang untuk membeli minyak api. Lampu leterik di quaters rumah guru belum dipasang. Malam pertama di rumah itu kami masih menggunakan lampu pelita.
Aku ternampak deretan kedai atap zinc. Aku jangka inilah pekan Kuala Klawang. Silap. Aku tersilap. Deretan rumah kedai ini ialah rumah orang China di pinggir pekan di sebelah Rumah Pasong.
Bila aku masuk ke dalam pekan Kuala Klawang aku merasakan pekan aku ini adalah pusat bumi. Kuala Klawang yang ada lampu dalam kaca dan air dalam besi. Ini adalah ingatan aku yang tidak akan padam-padam.
Pada tahun 1987 – bila aku bertemu Soho aku menilai kembali pandangan itu. Aku berupaya membezakan Kuala Klawang tahun 1955 dengan London 1987.
Ketika menilai aku sedar Sakai Biduanda itu boleh dikeluarkan dari kampungnya dan di bawa ke London. Tapi kampungnya tidak akan dapat dikeluarkan dari Sakai Biduanda itu.
Bila aku terkial-kial cuba membuka botol air anggur untuk pelanggan Freedy akan cepat datang membantu.
‘ Which kampung you come....’ Freedy selalu menggunakan ayat ini untuk memerli aku.
Musim panas berjalan. hari berganti hari. Aku makin selesa dengan Soo, Yap, Ah Tan dan Shah.
Aku masih ingat lagi hari itu hari Sabtu. Aku bekerja malam di Desaru. Hujung minggu Desaru akan penuh dengan pelanggan. Kadang-kadang terpaksa menolak pelanggan.
Tertiba aku dapat panggilan talipon dari Jomo. Jomo ini aku telah kenal ketika dia masih lagi pelajar di Amerika. Ketika bercuti musim panas tahun 1973 dia pernah datang ke Rumah Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM). Ketika itu aku Setiausaha Agung PMUM Jomo memperkenalkan PEMAU – Pesatuan Pelajar Malaysia Amerika Utara kepada PMUM. Kami bertukar pandangan dan ingin bekerja sama.
Bila aku menghilang ke luar negara aku dengar Jomo telah pulang dari Amerika dan menjadi pensyarah ekonomi di Universiti Malaya. Jomo dan kawan-kawan telah menerbitkan majalah bulanan Nadi Insan. Majalah ini pernah aku baca ketika aku di Pakistan.
Ketika Jomo menalipon aku dia sedang bercuti dari mengajar. Dia berkampung di Universiti Cambridge. Jomo meminta datang ke North London.
Aku sampai di alamat yang dinyatakan oleh Jomo. Jomo kenalkan aku dengan Udo - lelaki 40’an berasal dari German. Udo bekerja di pejabat Amnesty Internasional (AI ). Tempat kami bertemu bukan di pejabat AI tapi di rumah Udo.
‘ Yunus kena tangkap..ramai kena tangkap...’ Jomo membuka kata.
Aku yang sudah jadi Mat Soho tak tahu satu habuk apa yang sedang berlaku di Malaysia. Aku membuka mata dan mendengar.
‘ How many .. total arrested.... ‘ Udo bertanya.
‘ Not sure....’ Kata Jomo.
Petang itu aku di faham seminggu lalu pada 27 Oktober 1987 telah berlaku tangkapan ISA. Mahathir Muhamad Perdana Menteri ketika itu telah melancar penangkapan beramai-ramai melalui Operasi Lalang. Kawan aku Yunus Ali ditangkap sama.Jomo menyebut beberapa nama. Nama pemuda Pas. Nama Pemuda Umno. Nama pelik saperti Mat Sabu, Muhfuz Omar yang aku tak pernah dengar. Nama-nama yang semuanya tidak aku kenal kecuali Lim Kit Sing.
Aku tak tahu apa yang wajib aku lakukan. Berita ini memeranjatkan. Aku terperanjat kerana kawan aku Yunus Ali ditangkap.
Ketika aku di rumah Udo dalam kepala aku hanya satu ingatan : aku wajib sampai ke Desaru. Aku bekerja malam ini. Jam 6 makanan untuk pekerja di sediakan dari dapur. Jam 6.30 petang Desaru dibuka.
Jam dinding rumah Udo telah melintasi jam 7 petang. Aku minta diri. Udo dan Jomo menghantar aku ke stesen keretapi bawah tanah. Kami berjanji akan bertemu lagi. Aku bergegas menuju Soho menuju Desaru.
Hampir jam 8 aku sampai. Pelanggan telah ramai. Kerana aku tidak muncul Mister Gan telah memanggil Richard kawannya seorang akountan untuk membantu.
Soo, Yap dan Shah hairan kenapa aku lambat sampai. Aku tidak menerangkan kepada mereka. Aku bergegas menukar pakaian dan terus bekerja.
Aku sedar warga Malaysia yang bekerja di Desaru tidak tahu menahu apa yang sedang belaku di Malaysia. Malah mereka tidak akan mahu tahu. Mereka tidak akan faham untuk bersimpati dengan aku.
Sesudah Desaru ditutup aku mengambil bas malam N8 untuk pulang ke 44 Newmill House Bromley-by-Bow.
Dalam kepala aku teringat - aku berkelana meninggalkan tanah air untuk melarikan diri dari ditangkap di bawah ISA. Yunus juga datang menemui aku di Melbourne Australia juga untuk melarikan diri dari ISA.
Kini aku di London. Kini aku di Soho. Aku merasa selamat. Dalam masa yang sama aku merasa aku perlu menarik kaki aku yang hampir terbenam di Soho. Aku perlu kembali menyambung perjalanan asal.
Sebelum tidur aku berjanji esok pagi aku wajib membuat beberapa panggilan talipon. (TT)
DISIARKAN DALAM LAMAN
MALAYSIANOW.COM
Terima kasih TT, catatan hidup TT aku anggap terapi di kala para politikus negara semakin menggila.
BalasPadam