Rabu, 6 Januari 2021

WARGA MISKIN KOTA




 WARGA 

MISKIN KOTA 



Ramai kawan-kawan kurang faham kenapa aku menjalani hidup bersendirian  – kais  seminggu  makan dua hari. Sebenarnya kawan-kawan tidak faham gaya hidup aku ketika ini amat-amat lumayan. Tidak pernah aku  merasai hidup selumayan seperti yang aku alami hari ini. 

Aku mengukur hidup aku bukan  dengan hitungan asing. Aku mengukur hidup aku dengan hitungan   kehidupan aku sendiri. Hidup dulu dan hidup  sekarang.  Tangga patukan aku ialah diri aku sendiri.

Pernah satu kali sepulang aku dari dua puluh tahun  berkelana  aku ingin mencuba nasib. Di satu soire  jamuan makan malam Maulud Rasul Nabi Isa  aku telah bertemu dengan seorang  gadis  Tionghua .  Aku  ingin mencuba nasib dengan gadis manis ayu cun dan bergetah ini. 

Ketika itu jantan aku liar.  Jantan yang  disira oleh air anggur merah menambah liar kejantanan aku.

‘ I love to date you...we could have good time...’ Aku bercakap sambil tangan aku memegang tangan gadis ini.

Gadis ini menarik tangannya  dan memandang tepat pada muka aku. Macam dia tidak  percaya  dengan ajakan aku untuk   keluar bercanda-canda. Ajakan datang secara  terbuka.
Why should I go out with you...’ Jawapan rasional  lagi pragmatik dari gadis ini   tidak memeranjatkan aku.

Aku menggunakan seluruh  pengalaman  mengayat yang telah pernah aku gunakan di Melbourne, di Karachi, di Brussels,  di San Sebastian dan  di London. Kata bual aku ketika mengayat  jarang  gagal. Dialok  aku ini seangkatan dengan dialok  dalam filem buatan Woody Allen.
‘ Darling... I am the lowest of the low... after you dated me... the next guy would  always be better...’ Aku menerangkan akulah jantan terakhir yang paling sengek. Sesudah bercumbu kasih dengan aku semua jantan yang ditemui salepas aku  pasti lebih kacak, lebih elegan dan lebih berada dari aku.

 ‘ Do you have a car? Minah ini bertanya samada aku ada kereta atau tidak.  Bukan sahaja aku tidak memiliki kereta malah memandu kereta pun aku tidak tahu.  Pertanyaan berasakan meterial sedemikian  memerlukan jawapan yang pantas.

‘ But... darling we don’t  need a car...  we don’t have to do it in a car... all we need is a packet of condom...’ Jawapan aku ringkas, jelas, tuntas dan menuju ke tujuan asal. Khalas.

Kalau di London atau di Brussels pasti aku akan mendengar jawapan ‘....not this weekend Isham...maybe next week.... bukan hujung minggu ini....’ Dan seterusnya pasti  satu kesah akan bermula  untuk disimpan dalam ‘biograpi gelap’ aku yang tidak akan terbit.

Tapi malam itu di Petaling Jaya tahun 1996 aku disekolahkan bahawa  Amoi yang aku  minati ini  mencari jantan berkereta bukan  mencari jantan pandai mengkereta. 
Malah aku  pernah terbaca tentang  seorang pemimpin Parti Islam Pas yang arif memahami hubungan  kereta dengan sex. Dilapurkan Si Mamat pemimpin Parti Islam ini telah membelikan kereta untuk dihadiahkan kepada bini muda. Pastilah Audi7 lebih ketat dan sendat  lagi mahal dari sekotak Durex dalam poket aku.  Amin.

Sekarang baru aku faham kenapa Kuala Lumpur selalu jam. Agaknya setiap  Amoi yang hendak  ditiduri memerlukan kereta. Ini ditambah pula dengan Thangachi dan Minah. Maka padatlah  Kuala Lumpur dengan kereta.

Apa yang nak aku surahkan disini bukan hal kereta. Atau tentang sosok macam aku yang tidak memiliki kereta. Atau tentang Jantan  cuba mengayat Betina. Tetapi tentang  orang miskin. Si Miskin yang bukan sahaja tak mampu membeli kereta malah  nak makan pun susah. 

Penulis Amerika Scott Fitzgerald (1896-1940 ) pernah berkata ‘ orang kaya ini lain dari kamu dan aku....’ Lalu dijawab oleh Ernest Hemingway ( 1899-1961) ‘... ..mereka banyak duit...’
Kalau kita tak pernah susah maka kita tak tahu apa itu susah. Kalau kita kaya maka kita tak tahu apa itu miskin. Tak tahu apa itu lapar. 

Aku sendiri ketika merantau menjadi ‘pendatang haram’ di Karachi pernah tidak makan selama tiga hari. Ini ketika poket aku kosong.  Saku yang amat kosong lagi kering.  Ketika ini aku menumpang tidur di bilik pelajar dari Patani : No4 Wus Internasional Hostel University of Karachi. .

Tuan empunya bilik yang aku tumpang ini pun sama tidak berduit macam aku. Maka aku tahu apa rasanya ketika  tidak ada  duit dan tidak ada makanan. Aku masih ingat lagi ketika tak ada makanan untuk terus hidup aku minum air. Aku   masuk ke dapur hostel mencari-cari jika terjumpa roti kering. 

Tempat tidur yang paling kokak dalam dunia ini telah juga  aku  tiduri.  Selama dua minggu aku tidur  dalam lokap polis di Bombay. Tidur  di sebelah tandas yang  tersumbat najis di atas simin berbantalkan tangan. Kemudian aku pindah ke penjara Arthur Road Bombay. Di penjara ini aku menumpang selama tiga bulan.

Dua babak ini menjadi  ukuran  hidup aku. Hari ini aku mampu  makan di warung Brickfield  yang aku anggap amat mewah. Malah  aku kini tidur di atas tilam , ada bantal dan ada kain selimut. Kalau pun  aku tidur di atas tikar mengkuang aku anggap ini masih lagi   nikmat dunia yang aku wajib bersyukur. 

Justeru hari ini aku menganggap hidup aku mewah lagi lumayan. Kerana ianya telah melintasi tangga patukan  aku sendiri. Kemiskinan yang datang  ke meja aku bukan di rancang. Ianya datang secara natural.

Hakikatnya aku tak perlu mengikut jejak langkah George Orwell (1903- 1950).  Dia  sengaja menjadi ‘ clochard atau tramp’ di Paris dan Lodon.  Orwell mencari pengalaman sebagai fakir miskin tanpa  tempat tinggal dalam kota Paris dan London. Orwell  merakamkan  pengalaman ‘jadi papa kedana’ dalam buku  Down and Out in Paris and London.

Di London aku selalu terserempak dengan sosok  yang dipanggil ‘tramp’.  Kalau di Malaysia sosok ini dipanggil gelandangan. Aku enggan menggunakan istilah gelandangan. Perkataan ini  memberi makna sosok sosok ini menggangu perjalanan kita. Mereka  menjadi penghalang. Pergi tersepak pulang terlanggar. Istilah  sopan dari aku ialah warga miskin kota.

Warga miskin kota ini telah menjadi  sebahagian dari  rupa bentuk pemandangan kota. Kota mana pun dalam dunia ini kita akan bertemu dengan ‘tramp’.  Charlie Chaplin seawal  tahun 1915 telah membuat filem bisu  The Tramp. Ini gambaran awal tentang warga miskin kota di London.

Pada awalnya ketika aku menjadi warga kota London aku kurang faham tentang warga miskin kota di London.  Setiap kali aku ke  China Town Gerrad Street  aku pasti akan  ternampak seorang ‘tramp’ mungkin dari Pakistan atau  India. Ini pemandangan yang ‘rare’. Kebiasaan warga miskin kota di London berkulit putih. Sosok berkulit coklat ini menjadi sebahagian dari pemandangan China Town London tahun-tahun 80’an.  Setiap kali aku ke China Town aku akan ternampak sosok ini.

Kadang-kadang bila aku pulang dari sekolah aku di -Riding House Street menuju ke  Soho aku akan terserempak  dengan beberapa warga miskin kota.  Aku ternampak satu dua  orang sedang duduk  bersandar di tembok bangunan atau di lorong kecil. Majoriti lelaki dan sesekali  aku ternampak perempuan. Mereka biasanya memegang botol yang terbungkus dalam surat khabar atau plastik hitam. Ini botol alkohol teman hidup mereka.

Di hadapan tempat mereka duduk bersandar akan ada kotak kosong dengan beberapa keping duit sen. Ini sebagai tanda mereka meminta derma.

Buku  George Orwell - Down and Out in Paris and London  diterbitkan pada 9 Januari 1933. Buku ini  menyambung kembali babak yang digambarkan oleh Charlie Chaplin. Bayangkan   seawal tahun tiga puluhan  lagi warga miskin kota telah wujud di dua kota paling kosmopolitan dalam dunia – Paris dan London.

Pengalaman menjadi warga miskin kota ini  digambarkan  oleh Orwell dengan jelas. Orwell   tidur di tepi bangunan atau di bangku dalam taman. Kemudian minta sedekah sambil  menyusur ke pintu belakang restoran dengan harapan  terjumpa  makanan.

Bila Margaret Thatcher (1925-2013) menjadi Perdana Menteri (1979-1990) dan dasar ekonomi United Kingdom mula beralih dari ekonomi berkebajikan kepada  ekonomi pasaran. Dalam masa yang tidak lama  jumlah warga miskin kota di London meledak naik.   Hampir di setiap pintu masuk ke stesen kereta api bawah tanah di pusat kota akan ditemui peminta sedekah. 

Miskin baru adalah manifestasi  hasil dasar ekonomi Thatcherite. Dasar ekonomi pasaran yang diajukan  mahu  menjimatkan belanjawan negara justeru mengurangkan dana sokongan kebajikan kepada warga miskin. Pemotongan dana keselamatan sosial  amat jelas membantu kemunculan warga miskin kota.
Magaret Thatcher akan terus dingati sebagai ‘ The Milk Snatcher – pencopet  susu ‘.  Pada tahun 1971 Thatcher   telah membatalkan minuman susu percuma kepada pelajar  disekolah-sekolah. Ketika itu dia Menteri Pelajaran dalam kerajaan Konservatif  Edward Heath.  

Dalam negara berkebajikan seperti United Kingdom banyak bantuan dana dari daulah kepada  mereka yang tidak mampu. Warga tanpa kerja mendapat bantuan  keewangan mingguan untuk sara hidup minima. Sewa rumah, dana penjagaan anak dan bantuan keluarga adalah sebahagian dari  dasar negara berkebajikan. Ini telah diserang  musnah oleh Margaret Thather yang membawa fahaman  ekonomi neo liberal yang berpaksikan pasaran.

Jaring , raga dan tangguk daulah untuk menampung kesampaian warga miskin kota terbarai. Maka tugas kebajikan  terpulang ke beberapa badan amal.  


The Salvation Army  dari Gereja yang ditubuhkan di London pada tahun 1865 kini datang membantu warga miskin kota dengan menyediakan makan percuma dan tempat menginap sementara. Kumpulan Hindu Hare Rama Hare Krishna juga memberi makanan percuma kepada warga miskin kota.

Aku masih ingat lagi satu malam di musim sejuk tahun 1987 ketika aku pulang  dari  sekolah aku telah  sama  beratur  di Charing Cross Road untuk mengambil secawan sup panas  dari Salvation Army.  Badan amal Kristian ini memberi makan kepada sesiapa saja yang beratur.  Aku ingin merasa sup panas seperti  yang pernah dirasakan oleh George Orwell satu masa dulu. Amin

Pada tahun 1988  ekonomi United Kingdom jatuh merundum. Jumlah warga miskin  kota di London bertambah. Muka-muka baru muncul. Kini anak-anak muda kelihatan  mula tidur di kaki lima.
Aku hanya menjadi pemerhati. Tapi aku  yakin setiap sosok yang aku lihat terbungkus tidur di tepi kabin talipon dengan  saekor anjing kesayangan pasti memiliki  kesah hidup yang tersendiri.  Ada kehilangan kerja, putus rumah tangga,  putus cinta, masalah dadah dan alkohol  atau ditolak oleh keluarga dan dan dan. 

Ketika aku belajar di Riding House Street aku juga bekerja sebagai pelayan di Restoran Garuda di 150 Shaftesbury Avenue London.  Sekolah filem aku tak jauh dari Soho – wilayah lampu merah London.  Soho juga   tak jauh dari restoran  Garuda. Daerah ini semuanya dalam wilayah West End – tempat bercanda-canda. Wilayah panggung, wilayah restoran, wilayah  jantan cari betina atau jantan cari jantan.  Wilayah raba peha buka  dompet. 


Garuda – restoran masakan Melayu Minang ini dianggp  restoran ‘chic’ dalam kota London.  Tuan empunya ialah Pak Brahim.  Dulu Pak Brahim  betugas di stesen radio BBC di Bush House – bahagian Bahasa Indonesia.  Yang menjalankan restoran ini ialah empat orang anak lelaki Pak Brahim – Karl, Uyung, Joni dan Hadi. Uyung  menjadi tukang masak. Sebahgian besar hidup aku di London adalah bersama Garuda dan anak-anak Pak Brahim. 

Pada bulan September 1991  kota London heboh.  Heboh kerana  warga miskin kota  akan mengeluarkan akhbar The Big Issue. Ini akhbar tentang warga miskin kota. Akhbar ini dijalankan secara profesional – keluaran seminggu sekali.  Isinya adalah tulisan kontemperori yang bersangkutan dengan   apa yang menjadi perbualan nasional dan global pada minggu atau bulan itu.

Bezanya penjual akhbar ini adalah warga miskin kota. Mereka mendapat  setengah dari apa yang mereka jual. Penjualan ini bertujuan membantu warga  miskin kota dari terus terjerumus tenggelam ke dalam lubuk  kemiskinan. Jadi penjual Big Issue juga akan mengembalikan nilai harga diri  mereka. Amin


Ketika Big Issue  heboh diperkatakan di London aku kembali teringat kepada tulisan George Orwell  ketika  dia papa kedana di Paris.  Orwell telah bekerja sebagai tukang cuci dan tukang basuh pinggan mangkuk di sebuah restoran di Paris. Orwell melihat bagaimana  tukang basuh pun akan melihat hina  terhadap  warga miskin kota yang memungut lebihan makanan. 

Aku di kota London yang bekerja sebagai pelayan pada tahun 80’an juga   melihat perkara yang sama. Di hadapan  Garuda ada sebatang pokok. Di bawah pokok terletak tong sampah Majlis Bandaran London.  Selalu aku ternampak warga miskin kota datang membuka tong  dengan harapan akan  bertemu dengan lebihan makan dari restoran.

Satu malam sebelum Garuda  ditutup aku telah membawa sampah untuk dimasukan ke dalam  tong sampah. Aku bersua dengan John. Anak muda dua puluhan berbadan agak gempal. John sedang  mencari makanan. 

‘ Just wait here... I get you some egg fried rice...’ Aku masuk dan mengambil   nasi goreng  lebihan dari makanan  pekerja.  

‘ Thanks mate..’   John mengambil dan terus beredar.

Malam esoknya  aku nampak John sekali lagi. Kali ini dia melintas depan  Garuda  agak awal sabelum  Garuda ditutup.

‘ You shoud come  after 11...   I’ll  keep a paket of  egg fried rice for you....’

Biasanya sebelum restoran  ditutup mungkin ada  nasi lebih atau makanan  pelayan tersalah pesan. Biasanya akan dibuang. Semenjak aku berkenalan dengan John makanan lebihan  tidak pernah terbuang lagi.

Aku mula berkenalan dengan John pada   musim sejuk 1991.  Sesudah aku menjadi pelanggan The Big Issue. 

‘ John where do you park ? ‘ Aku bertanya di mana dia bermalam.


‘ At Piccadilly  .. end of this road... not too crowded...’  Aku tahu wilayah ini. Tidak jauh dari Garuda.  Tak jauh dari Oxford Street. Dan tak jauh dari sekolah aku. Aku tergambarkan john terbungkus akan tidur di bucu kedai atau di lorong  kecil yang berselirat di wilayah ini. 

Pernah satu petang  aku ternampak John melintas dihadapan restoran.  John menggamit aku. Aku keluar dari Garuda datang menemui John.

‘You  are early.. what’ up...’ Aku bertanya.
John membuka jaket  musim sejuk nya. Dalam saku  kiria dan saku kanan jaketnya tersorok   dua botol.  Satu vodka dan satu rum. Aku kenal  jenama minuman ini.

‘ Have one Isham.... I got  my cheque today...’ 

‘ Thanks.. me ..working... another time...’ Aku menolak jemputan.  Tapi  aku juga tidak mahu mengecilkan hatinya. 
Baru aku sedar John ada mendapat bantuan sosial dari kerajaan. Ketika ini aku jadi bingung. Alamat  jalan mana yang digunakan oleh John untuk menerima cek ini. Niat ingin tahu itu mati begitu sahaja kerana  pelanggan  mula masuk ke Garuda.

Sepanjang musim sejuk dihujung minggu ketika  aku bekerja di Garuda aku pastikan akan ada nasi goreng atau apa apa lebihan makanan  untuk John. Aku masukkan ke dalam kotak makanan dan letakan di tepi pokok kayu – tidak dalam tong sampah. 

Musim bunga tiba. Pepereksaan pun sampai. Kemudian musim panas masuk.  Masuk musim panas kampus  aku ditutup. Cuti panjang bermula. Bila cuti panjang bermula aku bekerja  enam hari seminggu. 
Di pertengahan   musim panas aku mula sedar bahawa  John tidak muncul lagi.  Nasi goreng yang aku letakan di tepi pokok sebelah tong sampah tidak diambil. Akhirnya aku tidak meninggalkan apa apa makanan lagi.

Tertiba satu malam John muncul kembali.  Aku ternampak dia tercari-cari di tepi pokok. Aku keluar untuk bertanya khabar

‘ Hi John... where have you been... haven’t  seen you for a long time..... mana kau pergi lama tak nampak.’

‘ Isham...  I went for a holiday...’

Wow.  John seorang warga miskin dari kota London bila musim panas sampai dia pun pergi bercuti. Aku tergambarkan John di tepi pantai  pulau  Majorca Sepanyol  atau di pantai  Ibiza.   Pantai  pantai ini menjadi pilihan warga United Kingdom ketika bercuti di musim  panas. 

‘ Where did you go?’ Aku juga nak tahu  di mana   kawan aku seorang warga miskin kota bercuti pada musim panas tahun  1992. Aku mahu berkongsi gembira.

‘ Isham... I left Picadillly and went to Oxford Street..and stayed there all summer.. nice  and crowded..loads of tourist.... ‘  John menjawab.

‘Where ? ‘ Aku bertanya dengan suara kuat.

“Oxford Street..’ Jawapan John dengan  tenang.

Bila aku  terdengar  John menyebut  nama Oxford Street aku hampir nak jatuh pengsan. Aku  nak terbarai ketawa. Tapi aku tidak ketawa. Takut dianggap menghina.

Jawapan jujur dari warga miskin kota ini termasuk dalam kata bual paling klasik. Jawapan John ini sama saperti jawapan seorang  warga miskin kota Kuala Lumpur yang tidur  di Jalan Pudu mengakui hilang sebulan keran  pergi bercuti  ke Petaling Street.   Amin.

EPILOK

Pada November tahun 2001 aku telah keluar dari Kamunting.   Bilik pejabat lama aku – di mana ku ditangkap – telah  diambil kembali  oleh   Richard tuan empunya. 
‘ Isham ... feng shui tidak baik ..’ Richard memberi aku nasehat agar aku tidak kembali ke  pejabat yang sama.

Aku menyewa di bangunan yang sama  tapi lantai yang asing.

Pada November 2001 seorang Minah  Cun dari Canada datang bertanya khabar. Minah ini  mungkin telah terbaca tentang Universiti Bangsar Utama (UBU). 

Aku terlupa nama Minah ini.  Minah ini satengah Mat Saleh satengah China.   Minah ini membuka surah tentang memberi makan percuma yang dilakukan  oleh anak anak muda di Canada- terutama  mereka yang anti-perang.

Ketika ini aku sudah berkenalan dengan Tad yang ketika itu sedang  belajar untuk  membuat persediaan menyambung belajar ke Australia. 

Aku cadangkan kepada Tad agar membuat kerja amal memberi makan percuma kepada warga miskin kota Kuala Lumpur. Sama saperti yang dilakukan oleh anak muda di Canada, Salvation Army dan Hare Rama Hare Krishna di London.

Maka lahir Food Not Bomb – Makanan Bukan Perang. Kumpulan inilah yang pertama menjalankan kerja amal memberi makan percuma kepada  warga miskin kota di Kuala lumpur.   Hari Ahad petang Tad dan kawan kawan datang memasak didapur  Pejabat aku di Jalan Kamuja Bangsar Utama. Yang lainnya ialah sejarah. Amin

EPILOK DUA
Pada tahun 2014  aku membawa teater Bilik Sulit ke London.  Garuda Restaurant masih di 150 Shaftesbury Avenau. Restoran bertukar nama menjadi  Bali Bali. Pemiliknya  masih keluarga Pak Brahim. Tukang masak masih Uyung.

Aku pergi menziarah  Piccadilly kalau kalau terserempak  dengan John.  John tidak berada dilorong itu lagi. Dari Piccadily  aku ngelencong ke  Gerrad Street China Town. Clochard atau tramp atau warga miskin kota berkulit coklat dari India  atau Pakistan itu telah tidak ada lagi ditempat biasanya – di pintu masuk ke China Town. (TT)

TULISAN INI JUGA
MUNCUL DALM PORTAAL
MALAYSIANOW.COM



 

4 ulasan:

  1. Gwa terserempak dgn kawan lu John kat Monaco. Dia menetap kat Sana. Tak lama setelah Lu pulang ke tanah air, dia menang lotto, first prize! Lalu dia berhijrah ke Sana. John kirim salam kat Lu.

    BalasPadam
  2. Ayat pakcik sangat hebat. Kelas tersendiri. Cis patutlah sangat ekslusif. Ini bukan sekuntum bunga disunting. Ini dah banyak jambak bunga kumbang ini.

    BalasPadam
  3. Apa khabar Food Not Bomb? Masih aktif kah?

    BalasPadam
  4. Gua pon ada kawan macam John. Nama dia Achoi. Bukan Amoi. Selalu gak tengok dia masa lepas Isyak gi belakang masjid tengok kat pantry tu. Sudah ada meja makan, air coway dan buah pisang kadang2. Satu perubahan yg baik sekarang ini... Kita sudah terbuka mind a nowadays.

    BalasPadam