OPERASI LALANG
DARI LONDON
Operasi Lalang bermula pada 27 Oktober 1987. Ketika itu aku duduk di No 44 Newmill House Devas Street London E3. Flet aku hanya tujuh minit dari stesen kereta api bawah tanah Bromley-by-Bow.Kawan aku Yunus Ali telah ditangkap oleh polis di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Aku telah diberi tahu oleh Jomo Sundaram tentang penangkapan Yunus. Aku juga telah dibawa berjumpa Udo warga German yang bertugas di ibu pejabat Amnesty Internasional London.
Amnesty Internasional dari apa yang aku faham sedang meneliti keadaan dan perkembangan untuk tindakan saterusnya.
Aku secara pribadi memerlukan berita selanjutnya. Aku nak tahu apa yang telah terjadi sehingga Yunus tertangkap. Aku wajib membuat panggilan talipon.
Siapa yang wajib aku panggil?
Telah lebih dari 10 tahun aku meninggalkan Malaysia. Semenjak aku sampai ke London aku agak kurang malah jarang berhubung dengan kawan-kawan di tanah air. Ketika aku di Karachi Pakistan aku amat rajin menulis surat kepada kawan-kawan di Australia dan Malaysia. Malah ketika aku di Wavre Belgium aku masih rajin menulis surat.
Surat dari kawan-kawan dari seluruh pelusuk menjadi oxygen untuk aku meneruskan perjalanan.
Sesampai ke London semua berubah. Aku dalam dunia baru yang rancak lagi menarik. Kota London kota budaya – tepuk dada tanya dompet.
Akhbar harian aku The Guardian yang boleh aku dapati di tepi stesen tube dalam perjalanan ke kuliah. Saluran TV yang aku ikuti BBC atau Channel4. Panggung wayang dan panggung teater berselirat. Untuk belanja harian aku bekerja sebagai pelayan restoran. Jujur aku katakan - aku amat selesa.
Aku tidak lagi bersendirian dalam kesesakan orang ramai. Aku tidak diganggu oleh bahasa untuk meluncur laju. Aku kini sebahagian dari sosok yang meramaikan kota London.
Hari Khamis setiap minggu dua majalah – Time Out dan City Limit akan keluar di pasaran. Majalah ini yang akan menjadi pemandu untuk warga kota London. Semua cita rasa manusia dalam dunia ini akan ditemui dalam majalah ini.
Dalam kota London kita akan bertemu dengan segala jenis makanan dari seluruh dunia, dengan semua jenis musik dan wayang dari seluruh dunia, dengan pelbagai genre parti politik dari seluruh dunia, dengan semua jenis ceramah, forum dan perbincangan dari seluruh dunia, dengan semua jenis agama dari seluruh dunia, dengan semua jenis keberahian sexual dari seluruh dunia, dengan pelbagai bentuk aksi politik dari seluruh dunia – semua boleh aku ditemui hanya dengan membaca Time Out atau City Limits.
Time Out dan City Limits ialah Al-Kitab yang menjadi pemandu cita rasa warga London. Melalui majalah ini Londoner boleh tahu tempat, masa dan sistem pengangkutan paling hampir untuk memenuhi cita rasa.
Kalau tak mahu membeli majalah - jangan risau ada majalah percuma What’s On – yang diedarkan di pintu masuk stesen tube dalam pusat kota setiap hari Rabu.
London adalah kota tepuk dada tanya selera. Aku tak perlu meninggalkan London pergi ke Lagos untuk menikamati air nira Nigeria. Aku tak perlu ke Mexico untuk menikmati taco. Dengan gerak laku dan bijak mengayat sebagai Londoner aku tak perlu ke Tokyo atau Osaka untuk bermalam dengan Minah Jepun. Aku tak perlu ke Rom untuk mengayat agar dapat menikmati kucupan panas lidah basah Minah Itali.
Ini kota London – tepuk dada buka zip.
Bayangkan – aku yang telah mula mengenap kini dalam perjalanan untuk menjadi Londoner. Aku telah merayau dari Kuala Klawang ke Kuala Lumpur ke Melbourne , ke Tokyo, ke New Delhi , ke Beirut, ke Damas, ke Tehran , ke Kabul – kini aku menjadi warga kota London.
Ketika ini kawan aku Yunus Ali telah ditangkap di bawah ISA di Kuala Lumpur. Yunus ditangkap di bawah Operasi Lalang.
Aku pukul talipon untuk bercakap dengan Rohana Ariffin. Aku telah lama kenal dengan Rohana. Ada kesah yang berjela-jela antara aku dan Rohana Rriffin. Ketika aku tinggalkan Malaysia Rohana sedang bertugas sebagai pegawai FELDA. Pada tahun 1975 aku difahamkan Rohana menjadi pensyarah di Universiti Teknoloji di kampus Jalan Gurney. Suami Rohana ialah Abu Yacob wakil Al-Fatah dan kemudian menjadi Duta Palestin pertama di Malaysia.
Bila aku menalipon Rohana dia berada di Warwick University – England Utara. Rohana telah datang pada bulan September 1987 dan mendaftar sebagai pelajar. Dia sedang membuat kajian untuk mempersiapkan ijazah Phd.
‘ Bila Yunus kena tangkap ?’
‘ Jomo beri tahu aku dua hari lalu... ‘
Rohana juga mengenali rapat Yunus Ali. Malah pada tahun 1984 Rohana telah menyimpang dari Tripoli Libya untuk datang bercuti ke London satelah selesai mengikuti persidangan Buku Hijau Muamaar Gadafi. Aku juga datang menyusul dari Wavre Belgium. Kami sesama menumpang di rumah Yunus di Stratford E7.
‘ Jumaat petang kami datang...’ Rohana berjanji akan turun ke London.
Berita tangkapan beramai-ramai Operasi Lalang mula heboh ke seluruh dunia. Akhbar The Guardian kota London melaporkan. Akhbar lain aku tidak membaca.
Jumaat petang Rohana sampai dengan anaknya Taera. Taera ini Minah Melayu campur Palestin . Taera lahir Ogos 1974 ketika aku berada di Tokyo. Mustahil aku lupa. Sesampai aku dari Tokyo Abu Yacob terus meminta aku pergi ke Hospital di Medan Tengku. Taera telah dilahirkan.
Ketika aku sampai ke hospital aku masih lagi dalam keadaan 'terbang’. Aku ‘terbang’ hasil dari champagne yang aku minum dalam kapal terbang MAS. Hendak dijadikan kesah – ketua Pramagura pesawat MAS yang aku naiki ialah Ahmad Fauzi seorang ‘old boy’. Maka berteko-teko champagne sampai ke meja aku.
Petang itu ketika Taera sampai aku ternampak dia memakai dua jam tangan - di tangan kiri dan kanan. Jangan silap faham bukan Taera hendak mengikut waktu Kuala Lumpur dan waktu London. Tidak. Bukan.
Ha. Ha. Ini feshen yang amat cool ketika itu. Anak anak gadis belasan tahun pada ketika ini semuanya basah lembab terpengaruh dengan Bros yang memakai dua jam tangan. Bros ialah kumpulan penyanyi dua beradik kembar - Matt Gross dan Luke Gross. Mereka ini kacak dan jambu.
Bulan Ogos 1987 lagu pertama Bros ‘ I Owe You Nothing’ telah melanggar London. London hangat dan basah dengan Bros. Mustahil mata akan terlepas dari ternampak poster Bros, Kalender Bros, Topi Bros, Baju T Bros dan seribu satu bahan jualan yang bersangkutan dengan penyanyi kembar dua beradik ini.
Malah aku sendiri secara tak sengaja pernah ternampak Matt sedang meloncat-meloncat atas katil ketika dia mahu membeli tilam di kedai perabut di Tottenham Court Road.
Jangan silap faham aku tidak pernah meminati Bros. Aku kenal Bros kerana Taera pakai dua jam tangan. Taera pada ketika itu hanya seorang dari berjuta anak gadis belasan tahun yang akan basah apabila melihat Bros bertandak dan menyanyi.
‘ Taera.... why are you wearing two watches...’ Aku cuba berlagak sebagai penjaga moral.
‘ I like it...’ Jawapan yang jujur. Aku tidak perlu mencari ayat atau hadis untuk menentangnya jawapan Taera.
‘ Joe dan Irene juga akan datang esok? ...’
‘Sapa Joe ? Sapa Irene ? ‘ Dua nama yang tak pernah muncul dalam perjalanan aku.
‘ Joe... dia buat MA di Warwick... Irene isteri dia ...datang melawat...bulan lepas dari KL’.
‘ Aku ajak Jomo datang... ‘ Aku beri cadangan. Lalu aku manalipon Jomo di Cambridge mengajak dia datang sama.
No 44 Newmill House – flet dua bilik – di wilayah ‘working class’ . Untuk jantan solo saperti aku flet ini cukup lumayan. Tapi jika ada dua atau lebih anak aku rasa flet ini sempit tak sesuai. Flet ini milik Majlis Bandaran Tower Hamlet. Flet khusus untuk warga kelas buruh berpendapatan rendah.
Tetangga aku No 43 ialah Mister Ali berasal dari Bangladesh bersama isteri dan tiga anak.
Dari sejarah yang aku difahamkan flet-flet ini didirikan sesudah perang dunia ke dua. Wilayah tempat aku tinggal ini tidak jauh dari Dockland – pelabuhan besar Sungai Thames.
Wilayah ini antara yang paling teruk di bom oleh Luftwaffe - kapal terbang pengebom German. Awalnya kawasan perumahan ini untuk menampung soldadu yang pulang dari perang. Akhirnya menjadi wilayah ‘ orang putih miskin’ dan imigran baru dari Bangladesh.
Esoknya petang Sabtu – Joe dan Irene sampai. Aku sebagai tuan rumah mempersilakan mereka masuk. Aku agak tergamam kerana suami isteri ini datang bersama Lucy dan Natasha. Ini anak gadis Lucy yang aku rasa lebih muda dari Taera.
‘ My husband and my brother detained... Isham do you remember Irene....’ Lucy berkata sambil bersalaman.
Aku terperanjat. Suami Lucy ayah kepada Natsha – John Sybil juga telah di tangkap di bawah ISA. Adik Lucy bernama Julian juga ditahan.
‘Isham .. do you remember Irene Xavier ... She was arrested......’ Lucy mengulangi soalan yang tidak aku jawab.
Aduh! Lucy ini amat aku kenali. Irene Xavier juga aku kenal baik. Kami masuk ke Universiti Malaya pada tahun dan fakulti yang sama. Kami juga tinggal di Kolej Kelima. Kami bersama-sama di orientasi ketika masuk ke Kolej Ke Lima pada tahun 1971. Mustahil aku akan melupakan Lucy dan Irene.
Aku tidak kenal suami Lucy John Sibel. Aku tak kenal Julian adik Lucy.
Irene dan Lucy ini aktivis dari SCM – Students Catholic Movement. Kelab Sosialis Universiti Malaya selalu bekerja sama dengan SCM. Garis pandangan dunia kami amat serasi.
Garis pencerahan yang dibawa oleh SCM agak selari dengan garis pandang dunia Kelab Sosialis. Mahasiswa, pelajar dan anak muda dari SCM menganut fahaman Liberation Theology. Kami dari Kelab Sosialis menganut faham kiri.
Garis iman ‘ liberation theology ‘ ini dimulakan oleh Gustavo Gutierrez (1928) seorang padri, ulama dan ahli falsafah mazhab Dominican dari Peru. Padri Gustavo ini juga adalah bekas graduan dari University Catholic Lueven (UCL) Belgium.
Para alim ulama Kristian yang mengajukan liberation theology telah mengkahwinkan pemahaman teoloji Kristian dengan analisa sosio ekonomi yang sedia wujud. Para alim ulama ini juga menganjurkan agar penganut Kristian membantu dan membebaskan umat manusia dari penindasan dan kemiskinan.
Garis ajaran liberation theology ini mula berkembang di Amerika Latin pada tahun 60’an. Ianya bertujuan untuk mengembangkan keadilan dalam dunia. Amin
Pada hemat aku teology ini juga sama saperti teology Islam yang disebarkan oleh Ali Shariatai ( 1933-1977) dan Ayatollah Teleghani ( 1911-1979) di Iran. Pandangan dan pegangan Shariati dan Ayatollah Teleghani inilah yang mengampoh ketika warga Iran bangun melawan kezaliman Ahmad Reza Pahlavi.
Aku tidak sangka petang itu di 44 Newmill House aku akan bertemu dengan Lucy. Dia sedang belajar dalam bahagian undang-undang di East London Polytechnic. Kalau tidak kerana Operasi Lalang kami tak akan bersua.
Petang itu juga untuk pertama kali aku berjumpa dengan Irene Fernandez dan Joe suaminya. Nama Joe pernah aku dengar dari Rohana kerana dia membuat ijazah Master di universiti yang sama dengan Rohana.
Irene Fenandez? Aku tak pernah kenal. Aku difahamkan Irene mengendalikan NGO di Malaysia. Di London aku hanya mengenali Irene ini sebagai isteri kepada Joe. Dia datang ke Warwick kerana suaminya sedang menyambung belajar disana.
Petang Sabtu itu Jomo sampai agak lambat sadikit. Ruang tamu aku yang kecil menjadi padat. Operasi Lalang mempertemukan warga Malaysia di 44 Newmill House.
Jomo membawa berita terkini. Nama-nama baru disebutkan. Semuanya aku tak tahu dan tidak kenal. Nama saperti Dr. Nasir, Dr. Kua, Dr Chandra, Cecelia, Heng Leng dan KK Tan – semua ini hanya bunyi untuk telinga aku.
Hanya nama Dr Chandra yang aku ingat dan aku kenal. Kerana sebelum Operasi Lalang Chandra pernah datang ke London dalam satu program.
‘ The biggest arrest by Mahathir...’ Lucy berkata.
Aku tidak tahu pun siapa sebenarnya Mahathir Muhamad ini. Aku sedar ketika Operasi Lalang Mahathir adalah penerbit utama kerana dia Perdana Menteri.
Pada tahun 1970 aku ada membeli buku ‘haram’ The Malay Dilemma tulisan Mahathir. Ketika itu apa sahaja yang dilarang baca aku akan baca. Apa sahaja yang dilarang minum aku akan minum. Apa sahaja yang dilarang hisap aku akan hisap. Aku sedang memupuk pencerahan muda aku. Makin dilarang makin menjadi.
Aku masih ingat lagi pada tahun 1969 beberapa bulan selepas Mei 13 - ketika aku belajar di Kuala Kangsar - aku ada membaca surat Mahathir – saikostail - kepada Tunku Abdul Rahman. Isinya tentang Tunku suka main kuda dan minum whiski. Ada kawan-kawan satu dormitri yang ulang sebar. Aku tak ambil pot.
Dalam tahun 1969 itu juga aku terbaca konsep ‘ Malay Ultra’. Entah apa maknanya aku pun tidak faham sangat. Yang aku faham Melayu nak bunuh China – bergaduh di Kuala Lumpur. Darurat di umum. Parlimen digantung. Amin.
Ketika aku meninggalkan Malaysia Tun Razak Perdana Menteri, Mahathir berjawatan Menteri Pelajaran. Ghazali Shafie Menteri Dalam Negeri (1922-2010). Dari apa yang aku diberi tahu Mahathirlah yang meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1974.
Aku tidak faham apa latar belakang hingga berlakunya tangkapan beramai-ramai ini. Bukan aku bebal politik. Tetapi untuk memahami penangkapan beramai-ramai seperti Operasi Lalang pasti ada latar belakangnya.
Tahun 1974 ada Operasi Mayang. Aku tahu latar belakangnya. Operasi Mayang bertujuan untuk menangkap kami para pelajar, mahasiswa yang turun berdemo dan bersetia kawan dengan kaum tani miskin dari Baling Kedah. Ketika itu aku adalah Setiausaha Agong Majlis ke 16 Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM). Aku juga Presiden PMUM ke 17 yang baru dilantik.
Petang itu di 44 Newmill House kami bertemu dan kami berbincang. Apa yang wajib kami lakukan. Suami Lucy dan adiknya ditahan. Jomo – kaum kerabat dari majalah Nadi Insan saperti Heng Leng, Cecelia dan Dr Nasir ditangkap. Aku – kerana Yunus ditangkap.
Lalu kami bersetuju untuk membuat satu program untuk memberi pencerahan kepada pelajar Malaysia yang bersepah-sepah dalam kota London.
Aktivis pelajar Malaysia yang dulunya berkampung di 34 Birnam Road semua sudah pulang ke Malaysia. Maria Chin sudah pulang. Sivarasa dari Oxford telah selamat dipanggil ke Bar di Lincoln Inn untuk menjadi peguam. Kini Siva juga telah pulang.
Akhirnya aku menjadi pewaris tradisi 34 Birnam Road. Dan aku wajib meneruskan apa yang telah dilakukan oleh aktivis yang terdahulu dari aku.
Sebelum aku sampai ke London telah wujud SIMBA – Singapore And Malaysia British Assiciation. Juga wujud FEUMSSO – (Federation of Eire United Kingdom Malaysian and Singaporean Students Organisation ). Persatuan pelajar yang asalnya mengendalikan tiket penerbangan akhirnya menjadi persatuan pelajar progresif di Konferensi Dublin pada 23 March 1968.
Aku yang tak pulang-pulang ke Malaysia kini mengambil alih dan menyambung tanggung jawab untuk membawa pencerahan tentang apa yang berlaku di Malaysia bukan sahaja kepada pelajar Malaysia di London tapi juga kepada warga United Kingdom dan Eropah.
Aku pelajar tahun satu di Polytechnic of Central London kini kembali menjadi aktivis pelajar. (TT)
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
Isyam, kalau ikut apa yang Isyam tulis, kat mana mana Isyam pergi senang dapat tidur dengan minah, cuba jawab dengan jujur, jika setiap saorang minah yang Isyam tiduri Isyam pancut dan jadi anak, berapa ramai anak Isyam kat luar negara? Jawab dengan jujur......kah kah kah kah kah....ada berani ka....
BalasPadam